Jumaat, 6 September 2019

Boikot Barangan

DILEMA TINDAKAN MEMULAU PERMINTAAN BARANGAN KELUARAN NON-MUSLIM


Kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng meminta UMNO dan Pas memain peranan memujuk pengguna Islam khususnya, tidak memulaukan permintaan atau pembelian barangan dan perkhidmatan bikinan Non-Muslim, menampakkan kegusaran pemerintah berdepan dengan serba kemungkinan iklim sosio-politik dan ekonomi. Suara Lim bukan sekadar individu yang mengepalai sebuah kementerian berkaitan ekonomi negara, malah sebagai suara kepimpinan utama kerajaan Malaysia Baru. Beliau dan partinya mempunyai kedudukan yang penting dan dominan dalam pemerintahan, melihat kepada perkembangan dan tindak-tanduk pemimpin-pemimpin DAP pasca PRU14 di semua peringkat. 

Persoalan kempen memulau barangan keluaran non-Muslim lebih dilihat sebagai usaha menjarakkan hubungan etnik di negara ini. Pemulauan ini disifatkan sebagai satu tindakan rasis untuk mengeruhkan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan berbilang kepercayaan. Gambaran umum dihalakan sebagai satu gerakan perkauman untuk memecahkan peguasaan ekonomi yang didominasi oleh orang Cina khususnya. 

Lebih gelabah lagi apabila Guan Eng menghalakan sasaran kepada UMNO dan Pas dapat memain peranan membendung kemaraan gelombang pemulauan pembelian barang. Setakat ini, tidak jelas penglibatan kedua-dua parti, di mana-mana peringkat, dalam gerakan membangkitkan tindakan pengguna. Sama ada di peringkat pemuda, muslimat atau wanita, ameerah atau puteri, mendekatkan diri dalam aktiviti konsumerisme. Biasanya, UMNO dan Pas dikaitkan dengan ancaman berbentuk perkauman kepada pemerintah. Apakah bagi pemerintah yang bernaung di bawah panji Malaysia Baru, sebarang isu yang boleh mengancam kestabilan berkait langsung dengan UMNO dan Pas yang sedang bersiap sedia memuktamadkan kerjasama, dalam tempoh terdekat.

Tindakan memulaukan barangan keluaran tertentu lebih dirumitkan lagi apabila mencampuradukkan antara tuntutan agama dengan sentimen perkauman. Tuntutan agama berlandaskan kepada peraturan atau hukum dalam agama berkenaan yang membataskan antara yang dilarang dan dibolehkan. Ada bahan-bahan yang halal dan ada yang haram ditetapkan oleh agama. Ada yang diharam, ada yang diharuskan, ada yang digalakkan, semuanya termaktub dalam ajaran agama.  

Di satu pihak, mengagendakan tindakan permintaan atau pembelian terpilih sebagai usaha membantu ekonomi dan dunia perniagaan kaum Muslim. Kumpulan ini mensasarkan mengutamakan pembelian keluaran Muslim, sebagai satu tanggungjawab kepada ummah, menerusi membangunan ekonomi ummah. Mengutamakan permintaan barangan keluaran Muslim bukanlah merundumkan ekonomi negara ianya menepati agihan kekayaan lebih adil, bukan lagi berputar dan mengalir di kalangan segelintir puak. Ummah akan mendapat pulangan menerusi sumbangan zakat dan sedeqah apabila berlaku pertambahan dan peningkatan sumber rezeki yang halal. 

Tanpa melihat kepada tuntutan agihan kekayaan yang adil menerusi institusi zakat dan sedeqah, gerakan  membeli barangan Muslim akan dilihat sebagai satu gerakan ke arah sentimen etnik, kaum dan agama. Sebaliknya gerakan ini lebih membawa kesedaran kepada penganut Islam tidak memisahkan antara tuntutan agama dengan tuntutan kemasyarakatan. Secara langsung, orang Islam akan berwaspada dan sentiasa mematuhi tuntutan agama dalam setiap amalan kehidupan harian, supaya dapat memisahkan antara yang halal dengan yang haram, yang hak dengan yang bathil, serta tuntutan fardhu kipayah dalam hidup bermasyarakat. 

Sekurang-kurangnya dua faktor utama yang menjurus kepada isu mengutamakan penggunaan barangan keluaran pengeluar Muslim, yang hakikinya memboikot barang keluaran non-Muslim; pentadbiran Pakatan Harapan, dan aktiviti perniagaan non-Muslim.

Pasca PRU14 atau suasana yang berlaku di bawah pemerintahan Malaysia Baru, isu-isu yang menyinggung perkara-perkara sensitif seperti kedudukan Islam, Raja-raja Melayu dan Bahasa Melayu. Perkara-perkara yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial ke arah kemerdekaan tidak ketara sangat disanggah zaman pemerintahan Barisan Nasional. Penghinaan kepada Rasullullah s.a.w, menerusi kurikutur dan catatan media sosial, mengguris perasaan penganut Islam. Mempersoal kedudukan dan peranan Sultan, sebagai tidak menghormati kedudukan Ketua Negara atau Ketua Negeri. Membantah pelaksanaan tulisan jawi dan seni khat bolehlah disifatkan mencabar Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. 

Gambaran mencabar dan mengenepikan semangat kontrak sosial yang dipersetujui bersama oleh tiga kelompok utama warga; Melayu, Cina dan India,  sebagai syarat kemerdekaan menambahkan lagi bantahan terhadap aktiviti dan strategi keluaran non-Muslim menipu penggunaan tanda halal. Walaupun isu keluaran tidak halal serta penipuan penggunaan logo halal sudah lama dikesan dan disedari oleh pengguna Muslim, ianya lebih parah ditambah dengan isu-isu sensitif sejak PH mengambil alih pemerintahan. 

Pengguna memerlukan penggunaan barangan dan perkhidmatan yang terbaik, tanpa was-was, terjamin status mengikut dimensi syariah untuk  memenuhi kepuasan penggunaan maksimun. Pengguna Muslim tidak dapat lari dari hakikat agama tidak boleh dipisahkan dari kehidupan. Pemerintah harus menanggung sensitiviti rakyat terpelihara, perpaduan berkekalan, keadilan ekonomi dan agihan kekayaan yang seimbang antara rakyat yang berbilang kaum dan kepercayaan. Jangan cepat menuding jari kepada khalayak  masyarakat tertentu tanpa memuhasabah kelemahan pengurusan dan pentadbiran sendiri.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan