Sabtu, 14 September 2019

Penyatuan Ummah

HIMPUNAN PENYATUAN UMMAH: ANTARA REALITI POLITIK BARU DENGAN CABARAN MALAYSIA BARU
UMNO dan Pas, dua buah parti terbesar mewakili orang Melayu/Islam dalam politik Malaysia semasa telah menandatangani satu perjanjian yang dinamakan piagam hari ini, 14/09/2019. Masing-masing mewakili pemilik kerusi perwakilan Melayu terbesar di Parlimen; UMNO menguasai  dengan 38 kerusi (asalnya 55 kerusi) dan Pas dengan 18 kerusi, satu tenaga berkesan peringkat nasional, walaupun berada di blok pembangkang. 

Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) yang membantu pakatan pembangkang berjaya menguasai kerajaan Persekutuan. Pakatan ini mengumpulkan 124 kerusi Parlimen menerusi: PKR (47 kerusi), DAP (42 kerusi), Bersatu (13 kerusi), Amanah (11 kerusi), bersama Warisan (8 kerusi) dan 3 orang calon bebas. Pakatan ini diwakili oleh 57 Ahli Parlimen Melayu/Islam dan 67 ahli non-Muslim. Buat pertama kalinya, Parlimen dikuasai oleh ahli non-Muslim, setelah  60 tahun barisan kerajaan dikuasai oleh kelompok Melayu/Bumiputera Islam. 

Sebaliknya blok pembangkang dikuasai perwakilan Melayu/Islam. Blok pembangkang mulai dikuasai perwakilan non-Muslim selepas PRU4 (PRU 1974) bila pembangkang Melayu iaitu Pas serta pembangkang bukan Melayu; PPP, Gerakan dan SUPP sertai kerajaan menerusi pembentukan Barisan Nasional. DAP dengan majoriti Ahli Parlimen Cina mendominasi pembangkang sebelum perpecahan UMNO bermula PRU 1990. 

Kedudukan terakhir di Parlimen, setelah berlaku lompat parti, barisan penyokong kerajaan berjumlah 140 orang; 73 ahli Melayu/Islam, 67 ahli non-Muslim.  Barisan pembangkang yang asalnya seramai 98 orang, kini tinggal 82 ahli, dengan 67 orang ahli Melayu/Islam; 38 UMNO, 18 Pas, 9 Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan 2 bebas (bekas UMNO), sementara ahli bukan Islam hanya 15 orang; 9 GPS, masing-masing seorang dari MCA, MIC, PBS, PBRS, STAR dan PSB. 

Lompatan ahli-ahli Parlimen UMNO dan UPKO ke blok kerajaan masih mengekalkan penguasaan perwakilan Melayu/Islam di blok pembangkang. Sungguhpun menerusi agenda lompatan parti berjaya meningkatkan perwakilan Melayu/Islam dalam barisan penyokong kerajaan Malaysia Baru, malah berjaya mengatasi bilangan Ahli Parlimen non-Muslim. Kesannya, secara terbuka DAP yang membuktikan parti dominasi Malaysia Baru yang secara terbuka meminta disekat lompatan Ahli Parlimen UMNO khususnya, menyertai Pakatan Harapan. 

Tindakan terbuka kepimpinan DAP membantah lompatan Ahli Parlimen UMNO, Melayu khususnya,  sertai blok kerajaan, menggambarkan kerisauan tercabar kedudukan DAP menerusi perwakilan bukan Melayu sebagai kuasa dominan dan penentu dalam kerajaan. Reaksi dan respons kepimpinan DAP terhadap tindakan lompat parti beberapa orang Ahli Parlimen UMNO sebagai usaha menghalang perubahan dan pembaharuan pentadbiran kerajaan baru, atas alasan anggota pentadbiran lama yang terpalit berbagai isu yang membantu gelombang penolakan rakyat terhadap kerajaan dahulu. 

Hari ini, dua parti terbesar yang mendapat sokongan dari pengundi Melayu dan pengundi luar bandar menandatangani piagam sempena Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia  Putra (PWTC), Kuala Lumpur, demi kelangsungan politik menhadapi cabaran semasa dan mendatang. Piagam ini lebih merupakan satu persepakatan politik untuk mempastikan survival perjuangan dan keperluan di atas realiti suasana politik nasional semasa. 

Lantaran isu-isu yang menyentuh sensitiviti ummah yang dicetus oleh pentadbiran hari ini melibatkan usaha mencabar perkara yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan serta roh dan semangat persepakatan kontrak sosial yang menjadi asas kemerdekaan dan pembentukan negara, mengajak UMNO dan Pas sebagai pembangkang utama mengambil satu inisiatif politik baru. Inisiatif politik  yang bermatlamat menyatukan dua wadah yang mengambil haluan berbeza demi menguatkan suara mewakili kepentingan ummah yang berdepan risiko hakisan jaminan dan perlindungan. Di bawah kerajaan Malaysia Baru sudah terurai usaha mencabar kuasa dan kedudukan Raja-raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dicabar, jaminan hak keistimewaan Bumiputera mula dipersoalkan. 

Usaha meratifikasi ICERD, statut Rum, tentangan pelaksanaan tulisan jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, tindakan-tindakan Dong Zong, penghinaan terhadap peribadi Nabi Muhammad s.a.w., isu LGBT, mempersoalkan kehadiran dan asal orang Melayu, adalah antara cebisan isu di peringkat awal pentadbiran Malaysia Baru, yang memperlihatkan peringkat awal ancaman kepada kontrak sosial yang dipersetujui bersama oleh tiga kelompok terbesar penduduk; Melayu, Cina dan India. Paling utama diperhatikan unsur-unsur tersebut sebagai ancaman kepada kedudukan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan. 

Piagam sebagai tanda persetujuan jiwa besar Pas dan UMNO melupakan sejarah silam, membentuk pemuafakatan politik untuk mendepani iklim politik nasional. Dasarnya, umum melihat pemuafakatan ini sebagai impaks utama kekalahan UMNO bersama BN dalam PRU14, dengan setengah pihak mensasarkan satu agenda UMNO untuk kembali relevan dalam arus perdana politik tanah air. UMNO memerlukan Pas, musuh utama selepas penyingkiran Pas dari BN dalam tahun 1977 untuk berada dalam pasukan bersama menangkis agenda Malaysia Baru yang kelihatan mula merobek status quo yang diagendakan oleh kontrak sosial. Dengan kata mudah, mengkesampingkan garisan kontrak sosial dengan proses penyaluran elemen-elemen kesamarataan dan keadilan, akan meletakkan kebimbangan kepada orang Melayu dan penduduk asal. 

Pas yang kekal sebagai pembangkang melihat kepentingan dan kedaulatan Islam. Beberapa perkembangan yang boleh menjejaskan kedudukan dan kedaulatan Islam semenjak pemerintahan Malaysia Baru, menjadi asas perlunya Pas mengambil peranan memperkasakan peranan sebagai pembangkang demi mempertahankan kepentingan Islam. Justeru itu, langkah-langkah ke arah kerjasama dengan UMNO bermula menerusi beberapa siri pilihan raya kecil pasca PRU14, yang menampakkan sumbangan positif ke arah penyatuan tenaga-tenaga proaktif dalam membela kepentingan ummah. 

PRU14 yang menyerlahkan persaingan  tiga parti utama: BN, PH dan Pas. Saingan utama tiga penjuru memberikan kesan besar kepada BN yang dipimpin UMNO, yang hilang kuasa, sementara Pas yang bersendirian mampu kekal relevan dalam politik Malaysia. PRU14 bolehlah disifatkan sebagai kejayaan cemerlang bagi Pas yang bersendirian, walaupun ada kerjasama dengan beberapa parti kecil yang tidak berpengaruh. Pas mampu bertahan di Kelantan, merampas Terengganu, hampir kuasai Kedah, serta menambah kekuatan di Pahang. Berbeza dengan PRU14, kejayaan Pas bermula 1990 adalah hasil kerjasama dengan beberapa parti lain dalam permuafakatan Angkatan Perpaduan Ummah, kemudian Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. 

Sungguhpun terdapat pandangan berbeza di peringkat akar umbi Pas, bahawa kerjasama dengan UMNO hanya membantu menyambung talian hayat UMNO, tetapi wadah perjuangan membela kepentingan agama dan bangsa yang nampak tercabar di bawah dasar dan pentadbiran pemerintahan baru, Malaysia Baru, lebih penting. UMNO yang menjadi musuh utama Pas, semenjak berada di luar BN selama 40 tahun dengan berbagai mehnah, tribulasi, deraan, mangsa birokrasi, diskriminasi dan berbagai cabaran, sukar untuk dilupakan oleh penyokong Pas khususnya di peringkat akar umbi. 

Mengambil iktibar dari sirah Rasulullah yang berjaya mendamaikan dua puak atau kabilah di Madinah yang berbalah ratusan tahun; Aus dan Khazraj, menjadi asas kepada perjanjian piagam UMNO dan Pas hari ini. Sungguhpun perbalahan, permusuhan, seringkali berperang antara dua puak berpengaruh ini yang memakan masa ratusan tahun berjaya disatukan atas nama agama. Perdamaian yang mendesak masyarakat Yahudi di Madinah masa itu kebimbangan penyatuan dan perdamaian Aus dan Khazraj bukan sekadar kekuatan iman dan akidah tetapi membawa kepada kekuatan ekonomi, politik dan ketenteraan Islam. 

Jika seandainya permuafakatan UMNO dan Pas ini dengan agenda utama kepada persediaan untuk menghadapi PRU15, dengan janji dan matlamat kedaulatan Raja-raja Melayu, kedudukan Islam, Bahasa Melayu serta hal keistimewaan Bumiputera dan penduduk asal tetap dipertahankan dan tidak diganggu-gugat, piagam ini menjadi asas tawaran untuk pengundi PRU15. 

Sebaliknya, pemuafakatan ini hasil cetusan UMNO mencari dahan yang lebih kukuh untuk berpaut demi survival, Pas perlu kerja dengan lebih kuat untuk mengaut keyakinan sokongan akar umbi yang sentiasa dinamik, tahan lasak dan tahan diuji. Sejauh manakah Pas berjaya menkaderkan pendokong dan penyokongnya memantapkan landasan parti politik yang berpaksikan kepada siasah, tarbiyah dan dakwah, dalam merealisasikan piagam bersama UMNO yang termeteri hari ini.

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan