Sabtu, 31 Ogos 2019

Merdeka Era Malaysia Baru

SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN DI ERA MALAYSIA BARU

Tahun ini negara akan menyambut ulangtahun kemerdekaan kali ke 62.  Tahun ini, adalah tahun kedua sambutan kemerdekaan di bawah pemerintahan Malaysia Baru. Tahun lepas, penulis tidak merasai sambutan kemerdekaan buat pertama kali di bawah pemerintahan baru, lantaran penulis berada di tanah suci untuk menunai rukun Islam yang kelima. 

Majlis sambutan ulangtahun kemerdekaan tanahair atau Hari Kebangsaan yang berlangsung hari ini menampakkan beberapa perubahan dan pembaharuan. Mengambil pendekatan Malaysia Baru, gambaran kasar sambutan menampakkan usaha pemerintah merealisasikan hasrat, agenda dan tumpuan serta matlamat dasar kerajaan baru. Penekanan kepada aspek anti-rasuah, perpaduan kaum, intergrasi nasional serta meletakkan semula menjadikan Malaysia satu kuasa ekonomi yang digeruni di rantau Asia.

Sambutan tahun ini lebih bererti kerana pemerintahan baru sudah memasuki tahun kedua pemerintahan. Dalam tempoh setahun kita berada di bawah Malaysia Baru, beberapa perubahan walaupun secara perlahan yang menampakkan perbezaan zaman Malaysia di bawah Perikatan/Barisan Nasional (BN) selama 60 tahun berbanding Malaysia di bawah Pakatan Harapan (PH). 

Usaha untuk merungkai dan merombak ikatan dan perjanjian berbagai kaum pra-kemerdekaan sudah dapat dikesan. Empat perkara asas yang menjamin perpaduan kaum dan kesetiaan pemerintahan menjadi tonggak kestabilan politik dan sosial mampu dipertahankan selama 60 tahun. Panduan Perlembagaan Persekutuan menjadi asas kestabilan sosial masyarakat berbilang kaum. Kontrak sosial yang diikat untuk mempastikan British mengurniakan kemederkaan ialah orang Melayu menerima pemberian taraf kewarganegaraan kepada orang Cina dan India, dengan menjamin;

i.   Kedudukan Raja-raja Melayu sebagai ketua negara;
ii.  Hak Keistimewaan Orang Melayu dan penduduk asal;
iii. Islam adalah agama Persekutuan;
iv. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Terdapat di kalangan orang politik sudah mempersoalkan institusi kesultanan. Sultan disebut sebagai syaitan. Mempersoalkan elaun dan imbuhan diterima oleh Sultan dan keluarga diraja. Persoalan Sultan dibawa dalam perbahasan dan soalan di dewan legislatif. 

Tidak menghormati Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Menghina Nabi Muhammad s.a.w. menerusi media sosial serta mempertikaikan hak kebebasan beragama khususnya bagi warganegara di bawah umur 18 tahun menukar agama kepada Islam. Bagaimana penganut agama Hindu berkhemah di luar pagar masjid membantah majlis korban Aidiladha serta mempersoalkan amalan menyembeleh lembu dalam menunaikan tuntutan ibadat korban.  

Penggunaan tulisan Cina dalam urusan rasmi pentadbiran awam memperlihatkan tiada rasa hormat kepada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa untuk urusan rasmi. Ada pihak berkuasa tempatan (PBT) meletakkan tulisan jalan pada papan tanda nama jalan. 

Tuntutan yang lebih berani dipertontonkan dalam era pemerintahan kerajaan Malaysia Baru, yang lebih cenderung kepada tuntutan dan kenyataan rasis, yang membawa kepada beberapa laporan polis. Antaranya; Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P. Ramasamy yang dikaitkan mempunyai hubungan dengan pemimpin pengganas Pembebasan Harimau Tamil Ealam (LTTE), Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran yang menuduh orang Melayu sebagai pendatang, Ahli Exco Selangor, V. Ganabatirau menuduh kumpulan Muslim menyerang Kuil Sri Mariamman, Subang Jaya. 

Isu kematian Mohamad Adib, anggota bomba, menjadi satu perkara yang banyak dipersoalkan. Isu ini membawa kepada satu pendakwaan terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas, yang menggambarkan ketidakyakinan masyarakat terhadap institusi perundangan serta ketelusan birokrasi dan pentadbiran. 

Harapan dari khalayak masyarakat awam, semoga kerajaan Malaysia Baru dapat menghakis tindakan-tindakan birokratik dan pengurusan yang membawa kepada ancaman perpaduan antara kaum dan penganut berbilang agama. Tindakan rasis yang boleh melupuskan semangat kemerdekaan yang dipamerkan dalam sambutan Hari Kebangsaan pagi tadi. Janganlah semangat seluruh warga berpadu tenaga demi masa depan negara pagi tadi sekadar sebuah lakonan atau sekadar memenuhi aturcara tradisi.

Rakyat mengharapkan Malaysia Baru yang adil untuk semua, memberi jaminan kesaksamaan sosial, menghakis unsur-unsur rasis dan anti-keharmonian agama. Janganlah atas sentimen kepartian, rasis dan anti-Islam mendorong tidak tertunai tuntutan bayaran royalti petroleum kepada Kelantan yang didiami lebih 95% orang Melayu dan Islam. Ini meninggalkan tuntutan kemerdekaan, yang mengekang pemikiran, sikap dan jatidiri. 

Salam kemerdekaan

31 Ogos 2019





  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan