Selasa, 6 Ogos 2019

Kuasa Politik Melayu

MAMPUKAH PENDAFTARAN PEMILIH AUTOMATIK MEREDAKAN KEBIMBANGAN HAKISAN KUASA POLITIK MELAYU

Melihat kepada angka pemilih yang begitu besar di kawasan dimenangi sokongan bukan Melayu serta lebih 3 juta warga tidak mendaftar sebagai pemilih dengan majoritinya orang Melayu, satu trend kebimbangan wujud selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14). Kehilangan kuasa Barisan Nasional yang dikepalai UMNO yang menggambarkan sebuah kerajaan didominasi orang Melayu, dan digantikan dengan sebuah pemerintahan di mana suara perwakilan bukan Melayu mengatasi perwakilan Melayu, membina sebuah kebimbangan dalam politik Malaysia.

Terdapat 31 bahagian pilihan raya Parlimen dari jumlah 165 kawasan di Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) mempunyai pemilih melebihi 100,000 pemilih dalam PRU14.  Pakatan Harapan menguasai 26 kerusi, Pas 4 kerusi dan BN kuasai satu kerusi bagi kerusi kelompok pengundi demikian. Tujuh kawasan pengundi paling ramai berada dalam negeri Selangor; Bangi (178,790 pengundi dengan 43% Melayu), Damansara (164,322 pengundi, 13.8% Melayu), Klang (149,348 pemilih, 33.26% Melayu), Kota Raja (149,021 pemilih, 45.4% Melayu), Subang (146,422 pemilih, 37.3% Melayu), Gombak (141,112 pemilih, 75.3% Melayu) dan Petaling Jaya (140,920 pemilih, 42.8% Melayu). 

Dalam kelompok kawasan melebihi 100,000 pengundi, terdapat 4 kawasan mengandungi lebih 90% pengundi Melayu; Tumpat, Kemaman, Kuala Terengganu dan Marang. Semuanya dimenangi oleh Pas. Parlimen Baling (88% pengundi Melayu), kerusi tunggal dalam kategori berkenaan dimenangi BN. Selain Damansara (kawasan majoriti pengundi Cina) dan Gombak (majoriti Melayu), sebahagian besar baki 24 kerusi dimenangi Pakatan Harapan adalah kawasan campuran.

Sementara 33 bahagian pilihan raya Parlimen mempunyai kurang 50,000 pengundi, dengan Bukit Bintang (majoriti Cina), Labis dan Cameron Highlands (campuran), bakinya adalah kawasan majoriti Melayu. Kawasan pengundi bawah 50,000 pengundi ini dimenangi oleh BN: 26, PH: 6 dan Pas: 1.  8 kawasan Parlimen dengan bilangan pengundi paling sedikit, iaitu bawah 40,000 pengundi, semuanya dimenangi oleh BN; Putrajaya, Lenggong, Padang Rengas, Cameron Highlands, Kuala Kangsar, Lipis, Gerik, Parit. 

Kesimpulannya, kerusi Parlimen di Malaya yang mempunyai pengundi besar, terangkum dalam kawasan campuran, menjadi milikan PH, sementara kawasan dengan bilangan pemilih yang kecil adalah kawasan majoriti Melayu, dikuasai oleh BN. Baki 101 kerusi Parlimen berada dalam jumlah pengundi dalam lingkungan 50,000 ke 99,000, yang merupakan kawasan majoriti Cina, kawasan campuran dan kawasan majoriti Melayu menjadi medan pertarungan PH, BN dan Pas. Semua kerusi majoriti Cina selain Damansara, menjadi kubu kuat PH. Kerusi campuran membantu PH, sementara Pas dan BN hanya mampu kuasa kawasan majoriti Melayu. 

Suara-suara kegelisahan kehilangan kuasa Melayu lebih lantang pasca PRU14.  Ditonjolkankan peratusan besar warga yang cukup umur tetapi masih belum didaftarkan sebagai pemilih didominasi oleh orang Melayu. Kesan ketidakpekaaan mendaftar sebagai pemilih, lebih terasa bila dibandingkan angka pemilih dengan angka penduduk mengikut kaum. 

Data pemilih negeri Selangor dalam PRU14 menunjukkan pengundi Melayu hanya 50.04% dan Bumiputera lain; 1.08% dari jumlah 1.56 juta pengundi, ianya tidak setara dengan jumlah penduduk Selangor; 57.1% Melayu dan Bumiputera dari jumlah 5.4 juta orang. Berdasarkan angka berkenaan jika peratusan pendaftaran yang tinggi sebagai pengundi di kalangan orang Melayu, senario Selangor sebagai satu ancaman kuasa politik Melayu, kurang cabarannya.

Walaupun kerajaan PH tidak mampu meminda Perlembagaan Persekutuan kerana kekurangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, tetapi persempadanan semula kawasan pilihan raya boleh dilakukan tanpa menambah bilangan bahagian pilihan raya atau kawasan pilihan raya. Apa yang boleh dilaksanakan ialah memecahkan kawasan pengundi yang besar dan mencantumkan kawasan bilangan pengundi yang kecil. Kerusi Parlimen seperti Bangi, Damansara, Klang, Gombak, Kota Raja, Subang atau Petaling Jaya boleh dipecahkan. Sementara kerusi Parlimen Sabak Bernam, Sungai Besar dan Tanjung Karang  yang mempunyai pengundi kurang 50,000 orang dicantumkan membentuk satu atau dua kerusi sahaja. Bilangan kerusi Parlimen di Selangor tetap kekal dengan 22 kerusi, cuma taburan pengundi yang lebih seimbang antara kawasan. 

Di negeri Perak, pengundi Melayu adalah 50.67% dan Bumiputera lain 2.36% dari jumlah pengundi seramai 1.19 juta dalam PRU14, sedangkan orang Melayu dan Bumiputera merupakan 57.0% dari jumlah 2.26 juta penduduk.

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, orang Melayu adalah 38.07% dan Bumiputera lain pula 1.75% dari jumlah pengundi 687,449 orang pengundi. Data penduduk Kuala Lumpur menunjukkan jumlah penduduknya seramai 1.63 juta orang, dengan 45.9% Melayu dan Bumiputera. 

Pengundi Melayu adalah 34.41% dan Bumiputera lain 0.39% dari jumlah 709,282 pemilih di Pulau Pinang dalam PRU14. Data penduduk memperlihatkan penduduk Melayu dan Bumiputera adalah 43.6% dari jumlah 1.52 juta penduduk Pulau Pinang. 

Keseluruhan pengundi di 165 kawasan pilihan raya Parlimen Malaya  berjumlah 12,521,421 orang dengan 60.4% adalah pengundi Melayu. Lantaran peratusan warga Melayu di semua negeri lebih tinggi berbanding peratusan pemilih Melayu, orang Melayu mempunyai kedudukan yang lebih kukuh menguasai politik Malaysia di masa hadapan, di mana 68.8% penduduk Malaysia semasa adalah dari Melayu dan Bumiputera. 

Pengukuhan tersebut diperkuatkan dengan tindakan berani amalan politik sejahtera kerjasama kerajaan dan pembangkang meluluskan Rang Undang-undang Pindahaan Perlembagaan (2019) dengan maksud menurunkan kelayakan umur pengundi serta pendaftaran secara automatik.  Cadangan asal kerajaan adalah menurunkan umur kelayakan pemilih dari 21 tahun ke 18 tahun sukar diluluskan lantaran kerajaan PH tidak mempunyai suara dua pertiga. Desakan dan syarat pembangkang pelaksanaan pendaftaran automatik membolehkan rang undang-undang ini diluluskan tanpa bangkang. Melalui pendaftaran automatik akan dapat selesaikan masalah warga yang tidak mendaftar dengan majoritinya orang Melayu. Secara logiknya, bila terlaksana kelak, dijangka dalam tahun 2021 selepas selesai operasi mekanisme perundangan dan pengurusan, peratusan warga yang layak sebagai pemilih selari dengan peratusan penduduk. 

Tambahan pula, mengikut kadar pertumbuhan rakyat Malaysia dalam tahun 2017 ialah 1.94%. Mengikut dapatan dari bancian penduduk 2010, 2.4 orang anak setiap wanita Melayu dan Bumiputera, berbanding 1.4 anak setiap wanita Cina dan 1.8 anak setiap wanita India. Kadar kesuburan wanita Melayu adalah 40% lebih tinggi berbanding wanita India dan 56% berbanding wanita Cina. Peratusan penduduk Cina jatuh mendadak walaupun jumlahnya meningkat, dalam tahun 1957, penduduk Cina adalah seramai 2.4 juta bertambah kepada 6.6 juta dalam tahun 2017. Bila negara Merdeka, orang Cina adalah 40% penduduk, 60 tahun kemudian hanya 23.2%. Penduduk Melayu bertambah dari 3.1 juta dalam tahun 1957, meningkat kepada 15.5 juta dalam tahun 2017. 

Faktor utama pengukuhan kuasa politik Melayu selepas perubahan peraturan pendaftaran pemilih ialah pendidikan politik di kalangan anak-anak Melayu, yang banyak bergantung kepada peratusan keluar mengundi. Dalam beberapa pilihan raya lepas sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, peratusan keluar mengundi yang rendah berlaku di saluran mengundi anak muda. Parti-parti politik khususnya yang berakar umbi dalam kelompok Melayu harus menjadikan agenda mendekati anak muda sebagai keutamaan.




 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan