Ahad, 18 Ogos 2019

Pengaruh DAP

KERAJAAN PAKATAN HARAPAN MENTERJEMAHKAN KECELARUAN MENGUASAI SEBUAH KERAJAAN

Kerajaan Pakatan Harapan  walaupun sebuah pengkongsian kuasa lima parti; PKR, DAP, PPBM (Bersatu), Amanah dan Warisan, dalam tempoh setahun lebih menampakkan sebuah pengkongsian kuasa menghala kepada satu pihak dominan. Ianya tidak jauh beza dengan pengkongsian kuasa gabungan parti-parti dalam Barisan Nasional (BN) yang memberikan kuasa dominan kepada UMNO, yang secara langsung meletakkan kepentingan orang Melayu di hadapan. 


Hasil PRU14, gabungan kerjasama PKR (47 kerusi), DAP (42 kerusi), PPBM (Bersatu) (13 kerusi) dan Amanah (11 kerusi) menguasai 113 kerusi, dengan sokongan 8 ahli Warisan dan 3 orang calon Bebas, berjaya membentuk kerajaan dengan kekuatan 124 Ahli Parlimen. Blok kerajaan di Parlimen terdiri dari 57 orang Ahli Parlimen Melayu/Bumiputera Islam atau 45.9% sahaja. Ahli Parlimen bukan Melayu/bukan Islam dalam blok kerajaan seramai 67 orang.
Justeru, perwakilan Melayu dalam blok kerajaan mengatasi perwakilan bukan Melayu/Islam di Dewan Rakyat lantaran lompatan parti selepas PRU14, tetapi kerajaan Pakatan Harapan tidak jelas memperlihatkan penguasaan suara Melayu dalam pemerintahan. Pertambahan keanggotaan PPBM seramai 13 orang bekas ahli UMNO, 12 orang keturunan Melayu/Islam dan seorang Bumiputera bukan Islam, meningkatkan suara Melayu/Islam dalam blok kerajaan, hakikinya tidak mengubah pengaruh atau kekuatan. Seorang bekas ahli UMNO sertai Warisan, menjadikan jumlah Ahli Parlimen Melayu/Islam  terkini adalah 70 orang berbanding Ahli Parlimen bukan Melayu/bukan Islam seramai 68 orang. 

Gambaran dalam pemerintahan PH hari ini, walaupun suara Melayu/Islam telah menguasai 70 kerusi atau 50.7%, tidak menampakkan pengurangan dominasi bukan Melayu sebagaimana sebelum bermulanya proses lompat-melompat oleh Ahli-ahli Parlimen yang memenangi kerusi atas tiket BN dalam PRU14. Suara-suara menuntut hak kesamarataan, demi mengurangkan dominasi Melayu/Islam dalam pemerintahan dapat dikesan dalam pelbagai tindakan dan dasar. 

Cadangan Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), walaupun ditangguhkan, merintis jalan ke arah persamaan hak serta mengurangkan keistimewaan kepada orang Melayu selaku penduduk asal yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Secara langsung akan mengurangkan dominasi kuasa Melayu/Islam, serta memberi peluang yang sama kepada semua warga negara walaupun bukan penduduk asal negara ini. Cadangan ratifikasi yang jelas bertentangan dengan Perkara 153 Perlembagaan yang memperakukan ketua negara melindungi kedudukan isitmewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan asasi kaum lain.

Cubaan untuk menandatangani Statut Rom oleh kerajaan Malaysia di bawah PH, dibaca umum oleh rakyat sebagai usaha untuk menghalang kerajaan melindungi warga yang dikehendaki oleh mahkamah antarabangsa. Statut Rom adalah satu treati (perjanjian) rasmi antara negara-negara dalam mengiktiraf Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebagai pelengkap kepada undang-undang sedia ada negara pihak (state party) untuk mendakwa individu yang melakukan jenayah antarabangsa.  Krisis keyakinan ini berakhir setelah kerajaan menarik diri menandatangi perjanjian berkenaan.

Seorang pemimpin kerajaan Malaysia Baru mempersoalkan kedudukan orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini, orang Melayu juga adalah pendatang. Didakwanya, orang India lebih lama menghuni negara ini berasaskan penemuan serta kesan sejarah penempatan tamadun Hindu di Lembah Bujang, tanpa membuktikan apakah kaum yang menganut Hindu.

Peruntukan kepada institusi pendidikan swasta Cina yang belum pernah diamalkan oleh kerajaan terdahulu, menjelaskan kecenderungan berpihak kerajaan PH untuk kaum tertentu. Tambahan pula, peruntukan berkenaan tidak dibentangkan dalam anggaran Perbelanjaan negara.

Usaha mempersoalkan status penduduk tetap pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik, yang asalnya berakarumbi Islamic phobia, secara langsung berkaitan dengan usaha kebimbangan pengaruh dakwah yang boleh mengancam penganut agama lain khususnya Hindu dan Kristian. Kini ditambah dengan kenyataan Zakir Naik mengenai kaum India dan Cina, membuka peluang yang lebih besar, kalangan tertentu untuk mengusir beliau keluar. Tambahan pula, kegagalan untuk mematahkan hujah akademik beliau dalam pegangan kepercayaan. 

Apabila Kementerian Pendidikan hendak memperkenalkan seni tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu yang wajid dipelajari di sekolah-sekolah vernakular, tentangan kuat pelaksanaannya. Alasan tentangan atas kebimbangan langkah kementerian ini sebagai satu proses Islamisasi dalam pendidikan peringkat sekolah. Tentangan paling lantang datang dari Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong). Perdana Menteri pernah menyebut Dong Zong adalah rasis.

Sebagai sebuah kerajaan baru, tahun pertama adalah tahun suaikenal, dan tahun kedua sekarang adalah tempo untuk mengukuhkan pentadbiran dan dasar. Dalam era demikian, apa yang berlaku dalam kerajaan Malaysia Baru lebih mempertontonkan ketidakseratian antara kepimpinan dengan pengikut. Banyak berlaku percanggahan pendapat, keputusan dan arahan dari Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan, memperolehi respons yang tidak sekata dan celaru, khususnya dalam kes-kes di atas dan kes-kes lain yang melibatkan pelaksanaan undang-undang dan keputusan dasar. 

Sungguhpun DAP menguasai satu pertiga keanggotaan Parlimen tetapi lebih memainkan peranan yang dominan yang urusan pentadbiran dan keputusan pelaksanaan dasar. Seolah-olah DAP mewakili kerajaan di mana jumlah Ahli Parlimen bukan Melayu (42 DAP, 24 PKR) mampu mendominasi penguasaan dalam kerajaan. Pandangan Perdana Menteri dalam beberapa isu sebagai contoh; ICERD, Status Rom, Zakir Naik, tulisan khas, disambut dengan reaksi yang tidak senada dan selari, antara Perdana Menteri dengan menteri-menterinya. Bukan rahsia lagi bahawa wujud kata-kata atau keputusan dibuat ketua kerajaan memberikan tindakbalas tidak menyenangkan. Rational juga cadangan pembangkang; menteri yang gagal menyokong Perdana Menteri lebih baik letak jawatan untuk melicinkan pentadbiran dan pemerintahan.











 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan