Rabu, 31 Julai 2019

Halangan Bersama PH

PAS DAN UMNO BERHALANGAN BERSAMA PAKATAN HARAPAN

Jika barisan pembangkang boleh bersama penyokong kerajaan meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan (pindaan) 2019 mengenai pendaftaran pemilih,  tidak mustahil, atas semangat politik matang, mereka boleh mengenepikan sentimen kepartian demi kepentingan negara di masa lain. Ada saranan dari kepimpinan parti dalam Pakatan Harapan, agar Pas dan UMNO bersama PH. Kritikan pembangkang khususnya Pas dan UMNO, kerajaan hari ini dikuasai oleh DAP. Penguasaan DAP ini akan menggusarkan kedudukan orang Melayu yang terbela oleh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. 

Cabutan beberapa kenyataan pemimpin UMNO dan Pas dengan jelas meletakkan keberadaan DAP dalam Pakatan Harapan menjadi penghalang agenda penyatuan atau kerjasama antara parti. Pas menerusi Presidennya, awal-awal lagi memisahkan diri daripada kerjasama dengan DAP, setelah merasai dan mencium beberapa usaha DAP melaksanakan agenda tunjangnya; Malaysian Malaysia.  Setelah bekerjasama dengan DAP, membantu pakatan pembangkang menerusi Pakatan Rakyat mencapai beberapa kejayaan dalam Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU12). 

Selepas PRU13, Pas secara beransur berundur dari Pakatan Rakyat setelah merasai kecelaruan tindakan DAP, yang merugikan  agenda Islam. Pengunduran Pas, setelah dengan jelas DAP menentang beberapa agenda Pas khususnya usaha meningkatkan hukum syariah di kalangan umat Islam. 

Awal bulan ini (Julai), Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mempelawa orang-orang Melayu yang berada dalam pakatan pembangkang menyertai PPBM atau Bersatu. Pelawaan ini bermatlamat memperkukuhkan kuasa orang Melayu dalam kerajaan hari ini. Secara sinisnya, secara langsung dalam jangka masa tertentu, UMNO yang menguasai sokongan orang Melayu yang terbesar akan terbubar kerana orang Melayu memihak ke PH. 

Sama ada parti-parti Melayu yang menjadi pembangkang utama hari ini; UMNO dan Pas, akan dibubar atau bersama PH, apakah halangan yang mendominasinya menyukarkan realiti meletakkan UMNO dan Pas bersama parti-parti lain. 

Presiden UMNO, DS Dr Ahmad Zahid Hamidi, dengan tegasnya menyatakan UMNO menolak sebarang rundingan atau kerjasama dengan mana-mana parti selagi parti berkenaan berkongsi kuasa dengan DAP. Beliau juga menyatakan bahawa hasil kerjasama dalam bentuk taawun siyasi antara UMNO dan Pas, kedua-dua parti telah sepakat menutup pintu rundingan dengan parti-parti yang ada hubungan dengan DAP. (ucapan perasmian Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Machang, 20/07/2019)

Naib Presiden UMNO, Dato' Mahdzir Khalid menjelaskan perjuangan DAP amat bertentangan dengan UMNO, malah tindak tanduk DAP akan meruntuhkan keharmonian negara. UMNO dan Pas menolak kerjasama dengan DAP yang jelas berpegang dengan prinsipnya; Maaysian Malaysia, yang bertentangan dengan asas pembinaan negara ini. (ucapan merasmikan Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, 20/07/2019).

 Prinsip Malaysian Malaysia, asasnya dipopularkan pada awal 1960an sebagai motto Malaysian Solidarity Council (MSC), iaitu satu gabungan parti-parti politik yang dibentuk untuk menentang Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Idea penubuhan MSC  as hasil dari satu konvensyen kepimpinanan parti-parti pembangkang di Singapura, pada 08/05/1965 (Singapura masih dalam Malaysia masa itu). Setiap parti diwakili pemimpin utama; Dr Toh Chin Thye (PAP), D.R.Seenivasagam (PPP), Dr Lim Chong Eu (UDP,) Stephent Yong (SUPP) dan Michael Buma (Parti Machinda). Hasil  pertemuan itu, MSC diasaskan pada 06/06/1965.

Selain, Michael Buma pemimpin sebuah parti kecil di Sarawak, pemimpin-pemimpin tersebut adalah tokoh-tokoh utama blok pembangkang di Parlimen, tahun 1960an. Parti-parti berkenaan adalah parti berasaskan pelbagai kaum. Dr Lim Chong Eu, adalah bekas Pengerusi MCA Pusat, yang menubuhkan UDP selepas keluar dari MCA.

Pemisahan Singapura dari Malaysia berkait rapat dengan usia MSC. Selepas beberapa peristiwa rusuhan di Singapura yang boleh mengancam perpaduan kaum, Dewan Rakyat pada 09/08/1965 meluluskan usul memisahkan Singapura dengan undian 126-0, dengan semua Ahli Dewan Rakyat mewakili Singapura (12 PAP dan 3 Barisan Sosialis) tidak hadir. Pendaftaran Pertubuhan telah membatalkan pertubuhan dan aktiviti PAP di Malaysia pada 09/09/1965. Ahli-ahli PAP yang berada di Malaysia telah mengasaskan Democratic Action Party (DAP) menggantikan PAP pada 11/10/1965. Dalam Pilihan Kecil Dun Rahang, Negeri Sembilan, pada 09/12/1965, pengasas DAP bertanding sebagai calon bebas oleh kerana DAP belum diluluskan pendaftaran dan memenangi pilihan raya tersebut. Di sini bermulalah aktiviti serpihan PAP, sehingga secara rasmi DAP diluluskan pendaftaran pada 19/03/1966. 

DAP secara bersendirian memperkasakan agenda Malaysian Malaysia secara langsung menentang Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Artikel ini khusus menyediakan kuotakhas untuk orang-orang Melayu dan bumiputera yang lain, dalam kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, pemberian biasiswa awam, kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam dan pemberian lesen perdagangan. Ia juga memberi kuasa kepada kerajaan untuk mewujudkan monopoli Melayu dalam perdagangan tertentu. 

Prinsip Malaysian Malaysia sebagai satu doktrin menafikan diskriminasi rakyat Malaysia berasas kaum dengan mewujudkan ketuanan Melayu. Ketegasan prinsip DAP berpijak kepada sebuah piagam dikenali Deklrasi Setapak 1967.  Setahun selepas penubuhannya, DAP mengumumkanDeklarasi Setapak 1967 yang menggariskan prinsip perjuangan yang mengimpikan Malaysia milik bersama yang berteraskan keadilan sosial dalam masyarakat majmuk. 

Dasar-dasar asas DAP yang ditekan dalam Deklarasi Setapak 1967, antaranya: jika kami hendak memperbetulkan prinsip pembangunan negara di sebuah masyarakat berbilang kaum, maka perkara utama yang perlu dilakukan adalah untuk mengelakkan daripada berlakunya hegemoni perkauman oleh mana-mana komuniti. Usaha yang sedemikian mesti ditumpaskan dan disingkirkan sama sekali, atas dasar keinginan dan boleh dilakukan.

Prinsip Malaysian Malaysia yang turut didokongi UDP, PPP dan SUPP dirintis dengan realiti kepentingan dan perpaduan nasional. UDP dibubarkan, di mana kepimpinannya bersama bekas kepimpinan Parti Buruh Malaya serta golongan akademik menubuhkan sebuah parti baru, Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dalam tahun 1968. Gerakan bersama PPP dan SUPP bersama Pas, menyertai Perikatan yang dianggotai UMNO, MCA, MIC, PBB dan USNO membentuk Barisan Nasional. Gabungan 14 buah parti demi agenda perpaduan nasional dan natijah dari Peristiwa 13 Mei, meninggalkan DAP yang teguh dengan prinsip Malaysian Malaysia.

Parti-parti yang menyokong prinsip Malaysian Malaysia dalam rangka persamaan atau kepentingan bersama, satu demi satu mengendurkan diri, tetapi DAP sebagai pembangkang utama sejak 50 tahun, tetap dengan prinsip asal sebagaimana asas penubuhan parti. 

Justeru itu, ketegasan UMNO dan Pas yang menolak sebarang kerjasama dengan mana-mana parti yang ada hubungan dengan DAP yang kukuh  Malaysian Malaysia tanpa tolak ansur, ada kekuatannya. Pemimpin UMNO dan Pas tidak boleh bertolak ansur dalam sebarang dasar atau agenda yang boleh menjejaskan kedudukan agama Islam dan kepentingan orang Melayu, menyekat usaha menarik mereka bersama parti-parti PH atau pemerintahan PH.





 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan