Jumaat, 5 April 2019

PRK Rantau 1

PRK RANTAU ADALAH IBU SEGALA PRK PASCA PRU14

Pilihan Raya Kecil N27 Rantau pada 13/04/19 nanti bakal dilihat sebagai kemuncak atau ibu segala pilihan raya kecil (PRK) pasca PRU14 oleh setengah pihak. PRK N27 iaitu PRK kali ke 7 selepas PRU14 dilihat oleh Prof Sivamurugan Pandian dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, sebagai ibu segala PRK dan disokong oleh beberapa kepimpinan Pakatan Harapan. Tanggapan ini lebih berfokus kepada kesan kecenderungan pengundian dalam 2 PRK terakhir yang menampakkan sudah berlaku pola penolakan kepada calon parti pemerintah.

PRK Rantau lebih ditumpukan untuk menyaksikan sejauh manakah perubahan kecederungan pengundi akan berterusan atau sebaliknya, yang akan memberi impaks yang cukup besar kepada kemampuan pemerinatahan Malaysia Baru di bawah PH. Di samping itu, hasil PRK Rantau yang akan mencorakkan keberadaan dan momentun Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO dalam politik tanah air. Apakah hasil keputusan rakyat di Rantau nanti, akan menyakinkan BN mewakili pembangkang untuk mengukuhkan peranan sebagai kuasa politik yang digeruni dan mencabar. 

PRK Rantau akan menyaksikan persaingan empat penjuru, dengan BN yang mempertahan kerusi diwakili Dato' Mohamad Haji Hassan, parti pemerintah mencalonkan Dr Streram a/l Sinnasamy dari PKR, yang ditolak pencalonan semasa PRU14.  Mereka dicabar oleh dua orang calon bebas; Mohd Noor bin Yassin, seorang anggota Parti Amanah (PAN) dan Malarvizhi a/p M. Rajaram, seorang suri rumah. 

Justeru calon BN menang tanpa bertanding dalam PRU14, sedikit terganggu untuk menganalisis prestasi untuk dibuat perbandingan dan panduan, walaupun tradisinya bahagian pilihan raya negeri N27 Rantau adalah kubu kuat BN sejak sekian lama.  Lantaran gelombang besar dalam politik tanah air menerusi PRU14 yang meruntuhkan sebuah pemerintahan yang mendominasi 13 kali PRU, memerlukan kelainan faktor untuk memerhati dan mengupas PRK N27. 

Mengambil pencapaian undi bagi bahagian pilihan raya Persekutuan P131 Rembau sebagai panduan secara umum, mampu melihat keupayaan dan kekuatan BN dan PH. BN memperolehi 36,096 undi, jika diambil andaian pola pengundian pengundi bagi kerusi DUN dan Parlimen adalah sama, iaitu pengundi mengundi parti yang sama, di mana BN perolehi 11,197 undi di kerusi Parol, 9,079 undi di Chembong dan 6,356 undi di Kota menjumlahkan 26,632 undi, bermakna baki BN untuk Parlimen Rembau, sebanyak 9,464 undi datang dari kerusi Rantau. 

PH memungut sebanyak 31,732 undi untuk kerusi Parlimen Rembau, jika kira dengan kaedah di atas, 16,038 undi PH dari Parol, 4,652 undi dari Chembong dan 3,387 undi dari Kota, menghasilkan sejumlah 7,655 undi di Rantau.  
 
Dalam PRU14, kerusi Parlimen Rembau dan 3 kerusi negeri; Parol, Chembong dan Kota, ditandingi oleh 3 calon: BN, PH dan Pas. Undi Pas bagi kerusi Parlimen adalah sebanyak 6,028 undi, dengan perolehan 3,499 undi di Parol, 1,288 undi di Chembong dan 1,333 undi di Kota. Jumlah undi Pas dari ketiga-tiga kerusi DUN tersebut berjumlah 6,120 undi. Ketiga-tiga kerusi Parol, Chembong dan Kota, adalah kawasan majoriti pengundi Melayu, memiliki peratusan pengundi Melayu yang tinggi, melebihi 70 peratus, sementara di Rantau, pengundi Melayu hanya 55 peratus sahaja. Jika dilihat kepada perolehan undi Pas dalam PRU14, undi Pas hanya terkumpul di 3 kerusi majoriti Melayu, boleh disifatkan Pas gagal mendapat undi di kawasan Rantau. 

Berbeza dengan kawasan Cameron Highlands, walaupun satu kawasan campuran tetapi Pas mempunyai pengaruh tersendiri setelah bertapak dan menguasai 3 daerah mengundi. Kehadiran Pas di Cameron Highlands mampu membantu calon BN, apabila penyokong-penyokong Pas bekerja keras membantu BN. Di kawasan Semenyih, sebagai satu kawasan majoriti Melayu bila menguasai lebih 60 peratus pengundi, peranan Pas dalam membantu BN lebih berkesan. Dalam PRU14, Pas bertanding di Cameron Highlands dan Semenyih, yang masing-masing menghasilkan 6,000 undi lebih. Sementara di Rantau, apabila Pas tidak bertanding di kerusi berkenaan, menjelaskan tahap kedudukan dan kekuatan sebenar Pas di situ. Lantaran itu, ujian sebenar kerjasama UMNO-Pas dijangka tidak menampakkan kesan dan sumbangan membantu pencapaian BN dalam PRK Rantau.
  Pandangan setengah pihak bahawa PRK Rantau sebagai ibu segala PRK pasca PRU14 berfokuskan kepada ujian sebenar BN khususnya UMNO bertembung dengan PH dalam kawasan campuran di mana peranan Pas yang terbatas dan minima. Sementara PH yang banyak bergantung kepada sokongan di kawasan campuran dan bukan Melayu dalam PRU14 berpeluang memperbaiki prestasi yang tercalar hasil kegagalan mempertahankan kerusi yang dimenangi dengan majoriti besar di Semenyih dan kegagalan parti pemerintah merebut kerusi marginal di Cameron Highlands. 

Lebih mencabar walaupun kerusi Rantau, kerusi tradisi UMNO/BN, lebih merupakan ujian bagi calonnya sebagai Pemangku Presiden UMNO. Justeru itu meletakkan tumpuan utama PRK Rantau dalam carta PRK di era Malaysia Baru, apabila PH diwakili seorang calon bukan Melayu. Ujian sebenar bagi kedua-dua parti lantaran kerusi Rantau, satu-satunya kerusi dimenangi tanpa bertanding dalam PRU14, berbeza dengan kerusi lain yang menjadikan keputusan PRU14 sebagai garis panduan. Namun begitu, secara tidak rasmi BN mengatasi PH dari segi pungutan undi sekitar 1,800 undi mengikut kiraan undi kerusi Parlimen, pola pengundian pemilihan calon Parlimen yang mungkin berbeza andainya calon PH tidak ditolak pencalonan dalam PRU14 yang menyaksikan Dato' Mohamad bersaing menentang Dr Streram.

Berlatarbelakangkan PRU14, PRK Rantau agak istimewa dan unik, kemenangan BN akan meletakkan peningkatan reputasi di kala gelombang peningkatan peralihan sokongan kepada BN bermula di Cameron Highlands. Umum akan melihat kemampuan PH memperbaiki imej yang tercalar bermula di Cameron Highlands serta menyekat tempo kesemarakan BN. 

Berbekalkan komposisi pengundinya; 11,283 pengundi Melayu (55.11%), 3,847 pemilih Cina (18.80%), 5,336 pemilih India (26.00%) dari jumlah 20,804 pemilih, dijangka faktor keturunan calon tidak menjadi ukuran meramal pihak mana yang menang. Justeru amalinya mana-mana parti tidak terikat meletakkan calon berasaskan etnik di kawasan campuran atau kawasan di mana jumlah pengundi Melayu berada dalam kelompok antara 45 hingga 59 peratus pemilih. Kejayaan mana-mana calon akan merumuskan politik merentasi ras dan keturunan di mana kecenderungan penafian pergantungan sokongan berasaskan kaum, bukanlah satu kejutan jika BN menang besar atau PH sebagai parti pemerintah merampas kerusi.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan