Selasa, 4 Disember 2018

Kerajaan Minoriti PH

PERLUNYA PEMBENTUKAN UNITY GOVERNMENT UNTUK MEMANTAPKAN KERAJAAN MINORITI PAKATAN HARAPAN

Ulasan awal selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), antaranya suara cadangan sistem pilihan raya berasaskan perwakilan berkawasan (constituency representatives) dengan amalan " first past the post". PRU yang menciptakan sejarah tersendiri yang menyaksikan perubahan pemerintah buat kali pertama setelah 60 tahun negara mencpai kemerdekaan. Kesan awal ini, menuntut ada penambahbaikan dalam  peraturan dan undang-undang pilihan raya, selepas bertukarnya kerajaan yang diwarnai dengan Malaysia Baru. 

Kerajaan baru dengan semangat Malaysia Baru telah membentuk sebuah jawatankuasa kajian, Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihanraya (ERC). Apakah kelemahan dan kekuatan sistem perwakilan berkawasan yang kita amalkan sejak 60 tahun yang memberikan Perikatan, kemudiannya Barisan Nasional, dapat bertahan kuasa dalam sistem pilihan raya berbilang parti. 

Dalam PRU14, di Semenanjung, terdapat 165 bahagian pilihan raya Persekutuan atau kawasan pilihanraya Parlimen. BN bertanding di semua 165 kawasan, Pakatan Harapan (PH) yang bertanding menggunakan logo PKR, meletakkan calon di 164 kawasan, sementara Pas sebagai kuasa ketiga, bertanding di 144 kawasan.

BN telah memenangi sebanyak 50 kerusi, dengan memungut 3,272,956 undi atau 31.66% dari jumlah undi sah. PH yang meraih 4,990,621 undi atau 48.28% dengan memenangi 96 kerusi, sementara Pas yang menguasai 18 kerusi memperolehi 2,015,208 undi atau 19.50% undi. Baki satu kerusi dimenangi calon Bebas mesra PH di Batu. 

Di Sabah, yang menawarkan 25 kerusi Parlimen, BN mempertaruhkan 25 calon, sementara persefahaman pilihan raya antara PKR, DAP dan Parti Warisan Sabah mengagihkan kerusi: 6 untuk PKR, 3 kepada DAP dan baki 16 untuk Warisan. 

BN memperolehi 335,587 undi atau 39.80% dari jumlah undi sah dengan memenangi 11 kerusi. PKR yang memenangi 3 kerusi membolot sebanyak 82,560 undi atau 9.79%, DAP dapat 62,089 undi atau 7.36% dari jumlah keseluruhan undi sah, memenangi semua 3 kerusi yang ditandingi. Parti Warisan mengumpul 271,806 undi atau 32.24% undi sah dengan memangi 7 kerusi Parlimen. Baki satu kerusi Parlimen dimenangi oleh Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang mempertaruhkan 5 orang calon. 

Sebanyak 31 kerusi Parlimen diperuntukan untuk perwakilan Sarawak. BN meletakkan calon di semua 31 kawasan, dengan menangi 19 kerusi, mengumpul 462,092 undi atau 52.48% dari jumlah undi sah. Kerjasama pembangkang utama PKR-DAP bertanding di 30 kawasan, dengan memberi ruang calon bebas bersaing menentang BN di Julau. PKR yang meletakkan 21 calon, memenangi 4 kerusi dengan perolehan 179,926 undi atau 19.98%. Manakala DAP memungut 205,959 undi atau 23.39% dari jumlah undi sah, menerusi 9 calon dan memenangi 6 kerusi. 6 orang calon bebas turut bertanding termasuk di Julau, mengumpul 23,288 undi atau 2.64%, dengan memenangi 2 kerusi  di Julau dan Lubok Antu. 

Bermula PRU12 (PRU 2008) parti pemerintah kerajaan Persekutuan hilang suara majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. Walaupun BN berjaya mempertahankan kuasa dalam PRU13 (PRU 2013), dengan sedikit penurunan jumlah kerusi dari 140 kepada 133, tetapi undi popular atau peratusan perolehan undi dari jumlah keseluruhan undi sah hanya 47% sahaja. Ini bermakna walaupun mengumpul jumlah perwakilan secukupnya membentuk kerajaan, kerajaan yang memerintah tidak disokong oleh majoriti pemilih yang mengundi dalam PRU13. Lebih separuh pengundi menolak BN. 

Perubahan bermula dalam PRU12, lantaran persepakatan atau kerjasama pilihan raya parti-parti pembangkang utama menerusi Pakatan Rakyat. Persepakatan ini secara tidak langsung mewujudkan sistem dua parti, walaupun amalan demokrasi kepilihanraya di Malaysia adalah kepelbagaan parti atau multi-parties, namun ianya didominasi oleh dua kelompok gabungan parti-parti menerusi BN dan Pakatan Rakyat. 

Berlainan dengan PRU14, bukan gelombang besarnya menukar parti pemerintah sahaja tetapi persaingan tiga penjuru: tiga kelompok gagasan: BN, Pakatan Harapan dan Pas, yang terus mengekalkan parti yang kuasa kerajaan tidak mendapat sokongan majoriti pemilih. Sama ada BN yang menguasai beberapa PRU dan Pakatan Harapan dalam PRU14, parti pemerintah mendapat kelebihan menerusi amalan atau sistem "first past the post" (FPTP), dalam menentukan perwakilan mengikut kawasan atau bahagian pilihan raya. PH berjaya membentuk kerajaan hasil perolehan 122 kerusi Dewan Rakyat menerusi calon-calon PKR, DAP, Warisan dan calon bebas, untuk menafikan penyandang BN yang hanya mampu sekadar memenangi 80 kerusi.

Demokrasi meletakkan prinsip asasnya keadilan untuk semua menerusi kesamarataan, kebebasan bersuara dan persamaan taraf dengan amalan satu orang satu undi. Oleh kerana amalan FPTP, membantu PH menguasai sebahagian kerusi dalam persaingan tiga penjuru. Sebahagian kerusi dimenangi kerana perpecahan undi yang setara kepada 3 calon, menghasilkan calon yang menang perolehi undi kurang dari 50%, bermakna majoriti pengundi tidak menyokong calon berkenaan. Di Semenanjung, dari jumlah 96 kerusi Parlimen dimenangi PH, 30 kerusi dimenangi dengan undi kurang 50%. Bermakna calon yang dipilih tidak disokong oleh majoriti pengundi. 
 
Untuk meraikan undi setiap pengundi, ERC yang ditubuhkan boleh mencadangkan supaya kerajaan yang dibentuk berasaskan sokongan keseluruhan rakyat atau pengundi. Langkah penambahbaikan sistem pilihan raya demi memberi keadilan kepada semua rakyat berasaskan kepada undi popular bukan amalan FPTP dalam menentukan pembentukan kerajaan atau pemerintah. Contohnya di Semenanjung, PH memenangi 96 kerusi Parlimen menerusi sistem FPTP, tetapi undi kepada PH adalah 48.28%, di mana dengan pera tusan undi tersebut, PH hanya layak memperolehi seramai 80 perwakilan sahaja di Dewan Rakyat. Amalan penentuan perwakilan di dewan legislatif sebagaimana yang diamalkan di Jerman dan Indonesia berasaskan undi popular. 

BN yang memiliki 50 kerusi di Semenanjung dalam PRU14 dengan 31.66% undi popularnya yang melayakkan memperolehi 52 kerusi berasaskan sistem undi popular. Pas yang meletakkan 144 calon dan memenangi 18 kerusi Dewan Rakyat, dengan pencapaian 19.50% undi popular, berhak diperuntukkan 32 kerusi. 

Di Sabah, bilangan kerusi yang dimenangi oleh parti-parti BN, PKR, DAP, Warisan dan STAR tidak jauh beza, jika dikira berasaskan kepada undi popular. Parti Harapan Rakyat Sabah yang meletakkan 14 orang calon, berjaya mengutip 36,783 undi atau 4.36% undi popular, dan tidak memenangi sebarang kerusi, tetapi dengan 4.36% undi popular layak mendapat satu kerusi. 

Di Sarawak, BN yang memenangi 19 kerusi dalam PRU14 dengan perolehan 52.48% akan hilang 2 kerusi kepada pembangkang: PKR, DAP, calon bebas, kiranya diamalkan perwakilan undi popular.

Keseluruhannya perolehan kerusi dalam PRU14: BN yang memenangi 80 kerusi akan kekal dengan angka sama mengikut sistem undi popular iaitu tambahan 2 kerusi di Semenanjung dan kurang 2 kerusi di Sarawak. 

Pakatan PKR, DAP, Warisan dan calon bebas (mesra PH) yang menang 122 kerusi Parlimen akan berkurang kepada 108 kerusi. Sementara Pas, akan menambahkan kerusinya dari 18 kerusi kepada 32 kerusi mengikut peruntukan undi popular. STAR akan kekal dengan satu kerusi dan Parti Harapan dari Sabah layak peruntukan satu kerusi. 

Walaupun Pakatan PKR, DAP, Warisan dan dua calon bebas (Julau dan Batu) menguasai suara majoriti dengan 122 kerusi  dari jumlah 222 kerusi Dewan Rakyat, undi gabungan 222 calon PKR, DAP, Warisan dan dua calon bebas berkenaan; 5,837,554 undi, iaitu hanya 48.32% daripada jumlah keseluruhan undi sah bahagian pilihan raya Persekutuan; 12,081,258 undi. 

BN yang menguasai kerajaan bagi Parlimen ke 13 diundi oleh 47% pengundi, sementara PH yang menguasai Parlimen ke 14, dengan 48.32% sokongan pengundi, adalah pemerintahan suara minoriti. Justeru itu, sewajarnya penambahbaikan dalam sistem atau mekanisme demokrasi untuk merealisasikan pemerintah adalah disokong oleh majoriti rakyat.

Jika pelaksanaan sistem perwakilan undi popular, jumlah kerusi PH+Warisan+bebas ialah 108 berbanding 114 gabungan parti-parti: BN, Pas, Star dan Parti Harapan. Secara langsung, situasi ini akan mendorong kepda pembentukan sebuah kerajaan perpaduan atau unity government, dalam sebuah negara yang mengamalkan berbagai parti (multi-parties). 
  Mantan Timbalan Pengerusi SPR, Dato' Wan Ahmad Wan Omar pernah menyarankan selepas PRU14 dulu; sistem pilihan raya di negara kita disyorkan kepada perwakilan undi popular, sebagai antara langkah penambahbaikan sistem dan amalan pilihan raya. 

Menerusi perwakilan undi popular lebih memberi keadilan dan kesamarataan yang menjadi asas demokrasi kerana ianya secara langsung menghargai undi setiap orang, kerana amalan sekarang yang meletakkan ketidakseimbangan bilangan pemilih antara kawasan seolah menafikan hak sebilangan pengundi. Pengundi di kawasan Parlimen Kuala Kangsar yang mempunyai 33,540 orang (data PRU4) memilih seorang perwakilan menerusi FPTP, sedangkan di kawasan Parlimen Bangi, 178,790 pengundi (data PRU14) juga memilih seorang perwakilan. 

Jawapan kepada menghargai hak rakyat yang dituntut demokrasi, unity government dapat mewujudkan semua parti mewakili berbagai golongan, etnik dan wilayah bertanggungjawab memakmurkan dan menjaga kebajikan rakyat. Apapun, harapannya penambahbaikan amalan demokrasi dan pilihan raya setelah lebih 60 tahun FPTP dipraktikkan, amatlah diharapkan, demi kelangsungan kestabilan politik dan sosial di sebuah negara berbilang kaum dan berbilang budaya. 







 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan