Ahad, 30 Disember 2018

Selamat Tahun Baru

SELAMAT TAHUN BARU, SELAMAT MALAYSIA BARU

Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) meletakkan kemuncak peristiwa dan cacatan sejarah yang telah mencetuskan satu lambaran baru setelah kekebalan sebuah pemerintahan yang berkuasa selama 63 tahun diruntuhkan. Justeru itu, tuntutan khalayak masyarakat begitu ghairah melihat apakah peruabahan hasil pertukaran pemerintah. Keghairan rakyat baik di kota atau di pelusuk desa yang tersorok mencemaskan pemerintah baru, Pakatan Harapan melunaskan janji manis sebelum PRU14. 

Pakatan Harapan (PH) telah menjanjikan 10 perkara dalam manifestonya untuk dilangsaikan dalam 100 hari pertama pemerintahan. Janji ini dideklarasikan kempinanan PH pada 09/03/2018, bertemakan "Membina Negara Memenuhi Harapan", 60 hari sebelum rakyat keluar membuang undi untuk menukar kerajaan. 

10 janji manifesto PH:
1. Menghapuskan GST dan mengurangkan kos sarahidup;
2. Mengstabilkan harga minyak petrol dan memperkenalkan subsidi petrol secara bersasar;
3. Menyamarata gaji minima;
4. Menghapuskan hutang tidak wajar ke atas peneroka FELDA;
5. Memperkenalkan dan melaksana caruman KWSP untuk suri rumah;
6. Menangguhkan bayaran balik PTPTN bagi peminjam bergaji kurang RM4000.00;
7. Memperkenalkan skim peduli sihat, dengan pemberian RM500.00 untuk rawatan;
8. Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk 1MDB, Felda, Mara & Tabung Haji;
9. Menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet menyemak Perjanjian Malaysia 1963;
10. Melancarkan kajian terperinci projek mega yang dianugerah kepada negara asing.  

Tempoh 100 hari berakhir pertengahan Ogos lepas.  Dalam tempoh tersebut kerajaan pimpinan PH hanya mampu lunaskan janji dalam 3 perkara sahaja. Langkah pertama ialah tindakan segera menghapuskan GST dalam tempoh bulan pertama mengambil alih kuasa. Memperkenalkan caruman KWSP untuk suri rumah serta jaminan gaji minima unruk semua sektor, yang diperkukuhkan dengan pembentangan belanjawan 2019. 

Kerajaan PH mengundang reaksi kritikan rakyat apabila mengumumkan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan di bawah paras RM2000.00. Perubahan paras pendapatan berbanding dengan dalam manifesto dalam PRU14 memberikan gambaran pemerintah PH, di awal pentadbiran sudah mulai mengambil tindakan tidak popular, yang memberikan kemarahan rakyat.

Beberapa kepimpinan PH demi menangkis serangan tidak menepati janji semasa kempen PRU14 memberikan alasan dengan menyalahkan kepimpinan lama dalam mengurus kewangan negara. Kerajaan mengambil alih pemerintahan dengan kantong yang kekeringan dek ketirisan dan pemborosan masa lampau. Rakyat menanti dengan penuh minat dan harapan janji perubahan di bawah kerajaan "Malaysia Baru". Tiada lagi hendaknya alasan kerajaan lama kebas duit membantut usaha pemerintah baru melakukan perubahandan pembaharuan demi kesejahteraan rakyat dan keadilan untuk semua. Tahun baru 2019, tahun untuk "Malaysia Baru" membuktikan sebuah urus tadbir yang lebih baik dengan roh dan semangat baru yang lebih progresif. 

Kerajaan PH yang baru berusia 7 bulan menjelang berakhir tahun 2018 diganggu dengan perbalahan antara parti gabungan yang dapat ditonton menerusi percanggahan kenyataan-kenyataan dari kalangan pimpinan.  Kenyataan Perdana Menteri bahawa kerajaan tidak akan adakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan. Menteri Kerajaan Tempataan dan Perumahan (dari PKR) mendakwa kerajaan akan buat kajian selama 3 tahun keperluan pilihan raya PBT. Ketua Menteri Pulau Pinang (dari DAP) tegaskan pilihan raya PBT tetap diadakan di Pulau Pinang. Menteri Belia dan Sukan (dari Bersatu) minta Menteri JPM (Perpaduan & Kesejahteraan Sosial) letak jawatan atas beberapa kenyataan kontraversi menteri berkenaan. 

Sejauhmanakah pemantapan perpaduan dan visi "Malaysia Baru" dihayati semua pendokong PH, yang boleh menyakinkan rakyat dalam tahun hadapan. Tahun hadapan, tahun kedua PH di tampuk kekuasaan, rakyat mahu melihat kerja keras untuk pembinaan negara bukan lagi  penerusan budaya pertikaman lidah. Kadang-kadang parti-parti PH masih meneruskan mentaliti pembangkang, kelu dan panik dengan asakan pembangkang baru, UMNO.

UMNO yang terkejut dengan kehilangan kuasa yang dimonopolinya lebih 60 tahun, dibebani dengan kehilangan rakan-rakan dalam gagasan Barisan Nasional (BN), terdedah dengan berbagai kemungkinan yang boleh melemahkan parti. Satu demi satu, parti-parti komponen BN meninggalkan organisasi itu, dengan meletakkan MCA dan MIC masih setia bersama UMNO. Seorang demi seorang pemimpin UMNO diletakkan dalam senarai siatan SPRM. Sebahagian dikenakan tuduhan berbagai kesalahan berhubung salahlaku kewangan. UMNO, awalnya selesai PRU14, adalah parti paling dominan dalam Parlimen dengan bilangan ahli paling ramai, 55 Ahli Parlimen, tetapi hari ini bilangannya semakin susut. UMNO memiliki 38 kerusi di Parlimen hari ini, di belakang PKR (50 ahli) dan DAP (42 ahli). 

UMNO perlu bangkit untuk terus relevan dalam politik "Malaysia Baru". Perkukuhkan kedudukan UMNO sebagai pembangkang utama, peranan yang efektif dan bermatlamat. UMNO harus mengetuai di kedudukan semak imbang dalam sistem demokrasi berparlimen, agar masa depan negara akan lebih cemerlang serta kedudukan kestabilan sosio-politik serta kepersatan ekonomi dan kesejahteraan rakyat yang terjamin. 

Harapannya tahun 2019 adalah tahun untuk meraikan sebuah realiti demi menafikan ketidaksediaan PH membentuk kerajaan dan ketidaksediaan UMNO berada di bangku pembangkang. PH diharap mencari ruang terbaik untuk membuktikan kejayaan "Malaysia Baru" bukan banyak kerja dihabiskan untuk menyalahkan kerajaan lama. UMNO perkukuhkan kedudukan berdikari sebagai pembangkang berkesan. Pas yang mampu mengekalkan kedudukan dan prestasi walaupun bersendirian diharap memberikan sumbangan besar dalam memakmurkan demokrasi demi meraikan amanah rakyat. 

SELAMAT TAHUN BARU 2019



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan