Isnin, 17 Disember 2018

Lompat Parti

AGENDA MENGHANCURKAN SEBUAH LEGENDA KUASA MENERUSI AMALAN LOMPAT PARTI

Tindakan Ahli-ahli Parlimen, ADUN serta Ketua UMNO Bahagian di Sabah, secara beramai-ramai meninggalkan parti bukanlah satu kejutan. Memang sudah dijangka sebaik selesai Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), wakil-wakil rakyat UMNO serta parti komponen Barisan Nasional, akan meninggalkan parti asal kesan kemusnahan monopoli kuasa selama 60 tahun. 

Satu gambaran unik dalam politik Sabah ialah tukar kiblat atau lompat parti bermula 40 tahun lalu. Di peringkat awal kemerdekaan Sabah melalui penubuhan Malaysia, politik Sabah didominasi oleh USNO (United Sabah National Organisation). Dalam pilihan raya negeri pertama, 1967, USNO memenangi 14 kerusi, UPKO (United Pasokmomogun Kadazan Organisation) 12 kerusi, SCA (Sabah Chinese Association) 5 kerusi dan satu kerusi dimenangi oleh calon bebas. USNO, UPKO dan SCA membentuk kerajaan Perikatan Sabah, yang akhirnya UPKO dibubarkan untuk membolehkan semua ahlinya sertai USNO. USNO dikuasai oleh majoriti Bumiputera Islam, sementara UPKO mewakili Bumiputera Bukan Islam. 

Dalam pilihanraya negeri kedua, 1971, semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri dimenangi oleh USNO (29 kerusi) dan SCA (3 kerusi) tanpa bertanding. Tiada calon dari parti politik lain atau calon bebas muncul pada hari penamaan calon.

Hubungan yang kurang mesra kerajaan negeri pimpinan Tun Datu Mustapha Datu Harun dengan kerajaan Persekutuan pimpinan Tun Abdul Razak Hussien sejak 1971 ekoran urus tadbir negeri merintis kepada krisis dalam kepimpinan kerajaan negeri. Hasil sokongan kerajaan Persekutuan dengan sokongan Yang Dipertuan Negeri, Tun Mohd Fuad Stephents, Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) ditubuhkan. Parti ini dipimpin oleh Harris Mohd Salleh (Naib Pengerusi USNO) bersama Ganie Gilong (Timbalan Pengerusi USNO) bersama pimpinan USNO lain, pada 15/07/1975. 

Dalam pilihan raya negeri ketiga, 1975, USNO gagal pertahan kerajaan apabila hanya mampu pertahan 20 kerusi DUN, di mana Parti Berjaya menguasai 28 kerusi. USNO menang di kebanyakan kawasan majoriti Muslim. Berjaya hanya menang 3 kerusi Muslim sahaja, dengan bakinya kawasan majoriti Bumiputera Non-Muslim dan Cina. 

Kegagalan USNO mempertahankan kerajaan mendorong kepada bermulanya politik lompat parti. Keanggotaan USNO dalam DUN semakin mengecil bila sebahagian ADUNnya melompat ke bangku kerajaan pimpinan Berjaya. Kesannya dalam pilihan raya negeri keempat, 1981, USNO kalah teruk. USNO hanya menang 3 kerusi sahaja, Berjaya menang bergaya dengan kuasai 44 kerusi, sementara SCCP (Sabah Chinese Consolidated Party)  menang satu kerusi. 

Bagi mengelakkan wakil rakyatnya melompat parti, kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional pimpinan Berjaya meminda Undang-undang Tubuh Negeri dengan meletakkan seseorang ADUN yang bertukar parti boleh menyebabkan hilang kelayakan sebagai ADUN. Maksudnya kekosongan kerusi dari hilang kelayakan ini membawa kepada satu pilihanraya kecil bagi kerusi terlibat. 

Krisis kepimpinan dalam kerajaan Berjaya dalam tahun 1984 menyebabkan Naib Pengerusi Berjaya, Joseph Pairin Kitingan hilang kerusi ADUN bila dipecat keanggotaan parti, di bawah peruntukaan perundangan negeri Sabah dalam hal pindah parti. Selepas memenangi pilihan raya kecil, Disember 1984, beliau menubuhkan Parti Bersatu Sabah (PBS). 

Dalam pilihan raya negeri kelima, 1984, kesan krisis dalam parti, Berjaya hilang kuasa apabila hanya menang 6 kerusi sahaja. PBS menang 25 kerusi di kawasan majoriti Bumiputera Non-Muslim dan Cina, USNO menang 16 kerusi iaitu di kawasan Muslim, baki satu kerusi dimenangi oleh Parti Pasok. 

Kekalahan Berjaya, sekali lagi membuka ruang lompat parti di kalangan wakil rakyat. Kali ini wakil rakyat Berjaya, sertai PBS. Hasil kehilangan kuasa, Berjaya hanya menang satu kerusi dalam pilihan raya negeri keenam, 1986 dan tidak menang sebarang kerusi dalam pilihan raya negeri ketujuh, 1990. 

Setelah USNO hilang kekuasaan kerajaan negeri, kepada Berjaya dan PBS, akhirnya UMNO di bawah masuk ke Sabah pada tahun 1991, untuk membolehkan kemasukan beramai-ramai anggota USNO sebagai anggota UMNO. Kemasukan UMNO ke Sabah sebagai tindakbalas ke atas PBS yang keluar BN untuk sertai gabungan pembangkang; Gagasan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum 1990. 

Dalam pilihan raya negeri kelapan, 1994, BN Sabah memberi saingan sengit kepada PBS, di mana PBS pertahan kerajaan dengan 25 kerusi, sementara baki 23 kerusi dimenangi oleh BN iaitu 19 kerusi oleh UMNO, 3 kerusi SAPP (Sabah Progressive Party) dan satu kerusi oleh LDP (Liberal Democratic Party). SAPP adalah parti serpihan PBS setelah beberapa kepimpinan PBS keluar parti yang dikepalai Yong Teck Lee. 

Lompatan terbesar dalam sejarah politik Malaysia di kala  kegentingan perebutan kuasa membentuk kerajaan, wakil-wakil rakyat PBS keluar parti beberapa hari selepas selesai pilihan raya. PBS hanya tinggal 3 wakil rakyat saja; Joseph Pairin Kitingan, Maximus Ongkili dan Datu Amir Kahar Tuan Mustapha. 22 wakil rakyat sertai BN menerusi UMNO serta parti-parti baru pimpinan pemimpin kanan PBS; PDS (Parti Demokasi Sabah) pimpinan Timbalan Pengerusi PBS, Bernard Dompok, PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) pimpinan Naib Pengerusi PBS, Joseph Kurup. 

Kerajaan negeri Sabah di bawah kepimpinan UMNO mengekalkan kuasa setelah BN menang 31 kerusi (dengan 24 kerusi dari UMNO) dalam pilihan raya negeri kesembilan, 1999. PBS yang hanya dengan 3 kerusi mampu meraih 17 kerusi untuk mencerminkan pengaruh PBS masih bertahan. Namun demikian, pada April 2000, 6 ADUN PBS diketuai Jeffrey Kitingan keluar parti dan menubuhkan Parti Rakyat Sabah Bersatu (PRBS).  Dalam tahun 2003, PBS kembali menyertai BN. 

Bermula 2004, pilihan raya bagi kerusi DUN Sabah  diserentakkan bersama Pilihan Raya Umum 2004. Kerusi DUN Sabah bertambah dari 48 kepada 60, hasil persempadanan semula kawasan pilihan raya, 2003. BN terus menguasai pentadbiran Sabah setelah memenangi kerusi-kerusi negeri dalam PRU 2004, PRU 2008 dan PRU 2013.

Dalam Pilihan Raya Umum 2018, di peringkat negeri; BN gagal mendapat suara majoriti bila hanya mampu kuasa 29 kerusi (16 UMNO, 6 UPKO, 6 PBS, 1 PBRS), sementara sebuah parti baru pimpinan  Naib Presiden UMNO yang dipecat, Shafie Apdal, Parti Warisan Sabah perolehi 21 kerusi, baki 10 kerusi dimenangi oleh; DAP 6, PKR 2 dan Parti Solidariti 2. BN diketuai Musa Aman membentuk kerajaan dengan bantuan 2 ADUN Solidariti, menjumlahkan sokongan 31 ADUN. Dua hari kemudian, Parti Warisan dengan sokongan ADUN PKR dan DAP serta sokongan 6 ADUN UPKO dan 6 ADUN UMNO yang berpaling tadah berjaya membentuk kerajaan dengan jumlah sokongan 41 ADUN. Peristiwa perebutan mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri pada tahun 1994 berulang semula dalam tahun 2018, ekoran perolehan majoriti tipis menguasai Dewan Undangan Negeri. 

Pengalaman Sabah mewarnai rentetan politik lompat parti dalam politik demokrasi kepilihanrayaan meletakkan nilai dan kredibiliti wakil rakyat yang diberi mandat menerusi sistem undi "the first past the post". Perubahan senario kesan dari keputusan PRU14 lalu yang merombak monopoliti kuasa lebih 60 tahun yang akan membentuk politik "Malaysia Baru" mendedahkan kepada pengalaman Sabah dalam membentuk kerajaan. 

Kegagalan membentuk kerajaan sebaik selesai PRU14 di Kedah dan Perak, memaksa pengalaman Sabah digunakan. Walaupun BN yang dipimpin oleh UMNO gagal pertahan kuasa, peranan wakil rakyat UMNO menyelamatkan kesepakatan menyetabilkan politik. Sebenarnya, politik melompat parti yang menentukan kuasa pemerintahan dirintis oleh ahli politik Terengganu. Kerajaan negeri yang dipimpin oleh Pas hilang kuasa dalam tahun 1961, setelah beberapa ADUN Pas berpaling tadah menyokong UMNO membentuk kerajaan. 

Seorang demi seorang wakil rakyat UMNO sama ada Ahli Parlimen atau ADUN keluar parti menjadi penanda aras permulaan gagasan "Malaysia Baru". Apakah gagasan ini sebagai mekanisme mematikan sebuah organisasi dan sebuah lagenda yang berjasa besar mencetuskan kemerdekaan dan pembentukan sebuah negara bangsa. Persoalannya sejauhmanakah mekanisme lompat parti demi perjuangan untuk kebajikan pengundi atau sekadar memenuhi kemuslihatan politik peribadi. Apakah sumbangan kepada pembinaan bangsa dan kemajuan rakyat hasil lompat parti di Terengganu dan Sabah yang tercatat dalam sejarah Malaysia pasca merdeka.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan