Ahad, 25 November 2018

ICERD

KESAN ISU ICERD

Sungguhpun Kerajaan Pakatan Harapan secara rasmi memaklumkan tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (International Convention On The Elimination Of All Forms Of Racial Discrimation - ICERD) sebagaimana kenyataan akhbar Pejabat Perdana Menteri 23/11/2018, namun kesannya mengcungkil dan menggali semula elemen-elemen dalam sejarah pembantukan bangsa. Ianya tidak akan hilang dan lenyap dalam sekelip mata lantaran keputusan untuk tidak meratifikasinnya. Cuma ianya sekadar membatasi pengetahuan dan maklumat sejarah tersebar lebih luas. 

Konvensyen ini telah diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam tahun 1965 dan mula berkuatkuasa dalam tahun 1969, dengan objektif utama adalah mengiktiraf hak asasi manusia. Sehingga kini, sebanyak 175 negara anggota PBB telah pun meratifikasi konvensyen ICERD, dengan 16 buah negara anggota masih belum meratifikasinya termasuk Malaysia, di samping Brunei, Singapura, Mynmar dan Korea Utara. 

Persoalan kini ialah apakah keperluan mendesak ICERD dianjurkan diratifikasikan di Malaysia, setelah hampir 50 tahun dikuatkuasakan oleh PBB. Apakah ancaman hak asasi manusia yang mendesak di Malaysia yang menuntut ratifikasi. Setelah kejatuhan kerajaan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) menjadi ruang untuk pentadbir baru mengemukakan agenda perubahan yang mencetuskan polimek masyarakat awam. Draf cadangan meratifikasikan ICERD diutarakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial), Senator Waytha Moorthy Ponnusamy.

Selepas kekecohan ketika Menteri JPM membuat jawapan dan perbahasan di Parlimen minggu lepas, mengundang berbagai kontraversi.  Justeru perbahasan di Parlimen lebih menampakkan Waytha berseorangan mempertahankan isu ICERD tanpa bantuan rakan-rakan penyokong kerajaan setelah diasak bertubi-tubi oleh barisan pembangkang khususnya UMNO, tafsiran awam melihat lebih kepada agenda peribadi Waytha. 

Waytha Moorthy satu nama yang cukup relevan dengan suasana politik tanah air pra-PRU12. Penglibatan aktif beliau bermula dalam tahun 2006 selepas perobohan kuil Hindu, di Setapak, diikuti kuil di Midlands dan Seremban. Kuil-kuil yang dirobohkan adalah yang dibina secara haram atau tanpa kebenaran pihak berkuasa. Gabungan lebih 30 NGO Hindu membentuk Hindu Rights Action Force (HINDRAF) yang dipelopori oleh 5 peguam Hindu termasuk Waytha Moorthy, memperjuangkan nasib dan hak masyarakat India sebagai kaum minoriti di Malaysia. 

Dalam tahun 2007, Waytha Moorthy mengepalai satu pasukan peguam India membuat satu tuntutan kepada kerajaan Britain sebanyak 4 trillion pound, menyelongkar sejarah kemasukan secara paksa buruh India ke Tanah Melayu lebih 200 tahun lalu dan meninggalkan generasi ini selepas merdeka, pemerintah yang dikuasai oleh golongan majoriti; Melayu/Islam yang menafikan hak masyarakat minoriti iaitu kaum India. Pada 25/11/2007, satu himpunan aman 100,000 masyarakat India anjuran HINDRAF dirancang. Himpunan ini mendapat respon yang baik dari etnik India dengan penyertaan 30,000 orang. Waytha Moorthy bergerak di luar negeri dan berakhir menjadi perlindungan politik di Britain. PRU12 menyaksikan kemerosotan undi BN di peringkat Persekutuan serta kehilangan kuasa di 4 buah negeri; Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Kedah, setelah majoriti undi etnik India beralih ke parti pembangkang, yang secara keseluruhannya faktor HINDRAF. 

Beberapa bulan selepas PRU12, Waytha Moorthy dibenarkan pulang ke Malaysia. Menjelang PRU13, HINDRAF telah mengadakan MOU dengan kepimpinan BN, dengan misi merayu pengundi India menyebelahi BN. Ada ayungan undi etnik India dari pembangkang ke BN dalam PRU13 tetapi tidak cukup untuk meningkatkan undi BN kerana BN kali ini berdepan pula dengan alihan undi etnik Cina ke pembangkang. Selepas PRU13, Waytha Moorthy tanpa mewakili mana-mana parti diberi layanan sebagai Timbalan Menteri JPM, dengan tanggungjawab menjaga kebajikan etnik India. Awal 2014, beliau meletak jawatan setelah beberapa tuntutan kepada kerajaan BN tidak dilayani. 

Dalam tahun 2017, Waytha Moorthy berjumpa Tun Dr Mahathir, menyatakan hasrat HINDRAF boleh membawa pengundi etnik India bersama Pakatan Harapan(PH).  PRU14 mencatatkan 88% undi dari masyarakat India memihak kepada PH berbanding 50.5% dalam PRU13. Dua bulan selepas PRU14, Waytha Moorthy dilantik Menteri JPM (Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial). 

Pengkritik  awam dan penyokong pembangkang melihat aktiviti Waytha Moorthy yang memberikan gambaran amalan perkauman kerajaan yang dikepalai etnik Melayu/Islam di Malaysia serta diskriminasi terhadap kaum minoriti. Sebagai ahli kabinet yang dipertanggungjawabkan untuk perpaduan dan kesejahteraan sosial, idea meratifikasi ICERD adalah mekanisme untuk mewujudkan perpaduan dan mencapai hak asasi manusia. 

Beliau memberi jaminan bahawa Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh perlindungan kepada kedudukan hak istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan kaum-kaum lain, tidak diusik dan tidak akan dipinda. Persoalannya, apakah jaminan tempoh masa ianya tidak dipinda atau tidak akan dipinda. 

Berlatarbelakang Waytha Moorthy sebagai pejuang hak asas etnik minoriti, aktiviti beliau di luar negara dan diberikan portfolio untuk perpaduan, lebih banyak memberikan tafsiran untuk membela satu kaum yang lebih bersifat rasis. Jika isu retafikasi ICERD dipolimekkan, memang sewajarnya diperluaskan perbincangannya, walaupun kerajaan melalui kenyataan JPM tidak akan meratifikasinya. 

Isu ratifikasi ICERD ini banyak memberi kesan positif kepada anggota masyarakat semua peringkat umur. Secara langsung rakyat akan mendapat pencerahan atau maklumat yang terpeinci mengenai sejauh pembentukan negara menerusi kemerdekaan. Kontrak sosial yang menjadi asas pembentukan negara Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia kemudiannya. 

Justeru penulisan sejarah yang sengaja meminggirkan peranan golongan tertentu demi kepentingan politik semasa, memaksa generasi baru tercari-cari siapa pejuang, siapa petulang, siapa yang bergadai nyawa, siapa yang mendapat kesenangan di atas penderitaan orang lain. 

Isu ratifikasi ICERD mengajak setiap orang menginsafi nasib bangsa dalam masyarakat berbilang kaum dalam memenuhi tuntutan ajaran demokrasi yang meletakkan persamaan hak antara insan. Isu ini mengajak setiap insan memantapkan nilai-nilai agama atau kepercayaan masing-masing sebagai pemastautin bumi ini. Lantaran itu, wajarlah sekiranya satu himpunan asalnya Rakyat Tolak ICERD yang dijadualkan 08/12/2018 depan diteruskan walaupun kerajaan sudah membuat keputusan tidak meratifikasi ICERD, sebagai sebahagian usaha memberi peringatan dan keinsafan kepada seluruh rakyat. Sekurang-kurangnya dapat membuka minda kepada rakyat yang buta sejarah dan realiti perjanjian tuntutan kemerdekaan. 








 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan