Isnin, 24 Disember 2018

Lompat Masuk Kerajaan

PELUANG WAKIL RAKYAT BLOK PEMBANGKANG MELOMPAT KE BANGKU KERAJAAN

Dalam politik Malaysia, episod lompat parti khususnya dari kelompok pembangkang sertai pasukan kerajaan atau pemerintah berlaku secara individu dalam tempoh 60 tahun pemerintahan Barisan Nasional. Setelah berlaku bertukaran pemerintah hasil Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) menampakkan kecenderungan wakil rakyat pembangkang melompat ke blok kerajaan lebih ketara dan bukan lagi jumlah yang kecil atau bersifat individu. Kecenderungan ini lebih menyerlah setelah satu demi satu parti komponen Barisan Nasional keluar gabungan berkenaan, berada dalam dewan perundangan di blok pembangkang.

Dalam sejarah lebih 60 tahun politik Malaysia pasca kemerdekaan, wakil rakyat lompat parti khususnya dari dari pembangkang ke bangku kerajaan sekadar survival politik individu.  Ianya tidak memberi impaks jelas kepada parti lama yang ditinggalkan.

Richard Ho Ung Hun yang menangi kerusi Parlimen Sitiawan sebagai calon DAP mengalahkan Setiausaha Agung MCA, Kam Won Wah dalam PRU3 (PRU 1969), melompat ke MCA selepas tiga tahun menduduki kerusi pembangkang. Dalam PRU4 (PRU 1974) beliau dipilih oleh MCA mempertahankan kerusi lamanya yang diberi nama baru, Lumut, atas tiket BN. Beliau menang selesa di Lumut. 

Setelah kemenangan besar BN dalam PRU4, di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak, Richard Ho dilantik sebagai Timbalan Menteri Kerjaraya. Dalam kabinet pertama Tun Hussien Onn (1976), beliau diberi portfolio Timbalan Menteri Kewangan. 

Dalam PRU5 (PRU 1978) beliau mengekalkan kerusi Parlimen Lumut dan dilantik sebagai menteri penuh, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, kemudiannya Menteri Buruh dan Tenaga Manusia. Beliau berjaya menduduki jawatan kanan dalam parti sebagai Timbalan Presiden MCA.

Beliau tidak dicalonkan dalam PRU6 (PRU 1982) walaupun menduduki sebagai orang nombor dua dalam hiraki parti, semasa peralihan kuasa kepimpinan MCA dari Lee San Choon kepada Tan Koon Swan. Berakhirlah karier politik beliau selepas itu, dan diberi tanggungjawab mengetuai Maybank Berhad, sebuah institusi kewangan mega.

Seorang lagi tokoh DAP seangkatan dengan Richard Ho, iaitu Yap Pian Hon. Yap memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor kawasan Serdang dalam PRU3 (PRU 1969). Melompat ke MCA selepas demokrasi dipulihkan dalam tahun 1972. Dalam PRU4 (PRU 1974), diberi kepercayaan sebagai calon BN di kerusi Serdang, dan berjaya menyumbangkan kerusi Serdang kepada MCA. 

Dalam PRU5 (PRU 1978) ketokohan Yap di Serdang diberi tentangan sengit oleh DAP, apabila DAP mempertaruhkan tokoh popular peringkat pusat, Lee Lam Thye. Yap gagal mempertahankan kerusi Serdang.

Ketokohan dan kelantangan Yap diberi keyakinan oleh MCA untuk merampas balik kerusi Serdang dalam PRU6 (1982). Beliau berjaya dalam misi menawan Serdang tersebut, serta mengekalkan kemenangan dalam PRU7 (1986) dan PRU8 (1990). Yap adalah antara ahli politik yang dikenakan tindakan dalam Operasi Lalang 1987. Ketokohan beliau diberi kepercayaan menduduki kerusi Exco dalam kerajaan BN Selangor. Bermula 1990, Yap berjaya menduduki salah satu kerusi Naib Presiden MCA, sehingga tahun 1999. 

Berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya 1993, mewujudkan satu kawasan baru Parlimen Serdang, di mana termasuk kawasan pilihan raya negeri Serdang lama, yang ditukar nama kepada Seri Kembangan. Beliau berjaya memenangi kerusi Parlimen Serdang dalam PRU9 (1995) dan memertahankannya dalam PRU10 (1999) dan PRU11 (2004). Legenda Yap berakhir dengan kekalahan mempertahankan kerusi Parlimen Serdang dalam PRU12 (2008) kepada muka baru DAP, Teo Nie Ching, dalam gelombang kebangkitan rakyat menafikan suara majoriti dua pertiga di Parlimen. 

Othman Abdullah, satu nama yang tidak asing dalam sejarah Pas. Othman adalah Setiausaha Agung Pas berasal dari Perak diberi tanggungjawab sebagai calon untuk kerusi Parlimen Tanah Merah dalam PRU Pertama (1959). Beliau menang untuk menganggotai Dewan Rakyat pertama. Dalam tahun 1962, beliau keluar Pas dan kemudian menyertai UMNO dengan mengekalkan sebagai Ahli Parlimen Tanah Merah. 

Dalam PRU2 (1964) dipilih sebagai calon Perikatan untuk kerusi Parlimen Hilir Perak untuk menentang Panglima Jihad Pas, Hassan Adli Haji Arshad. Hassan Adli sama seperti Othman, antara pemimpin Pas dari Perak yang diturunkan bertanding dalam PRU Pertama di Pantai Timur. Hassan Adli menang di kawasan Parlimen Kuala Terengganu Utara. Othman Abdullah menang dalam perturungan ini. 

Kerusi Parlimen Tanah Merah kekal dimenangi calon Pas dalam PRU2, walaupun Perikatan menurunkan calon berkaliber dan popular untuk ganti tempat Othman yang sepatutnya bertanding semula mempertahankan kerusinya. 

PRU3 (1969), Othman tidak diturunkan. Selepas pemulihan demokrasi, beliau dilantik sebagai Anggota Dewan Negara (Senator). Pernah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. 

Ahli politik yang paling popular sebagai tokoh lompat parti, Ibrahim Ali mencipta nama tersendiri dalam politik Malaysia moden. Ibrahim kerap melompat parti sama ada dari pembangkang ke kerajaan atau dari kerajaan ke pembangkang. Awal penglibatan Ibrahim, bersama mengasas sebuah parti serpihan Pas, Barisan Jemaah Islamiyah Malaysia (Berjasa) dalam tahun 1978, di mana beliau adalah Ketua Dewan Berjasa Pusat yang pertama. 

Beliau keluar Berjasa dan menyertai UMNO. Dipilih sebagai calon UMNO/BN di kerusi Parlimen Pasir Mas dalam PRU7 (1986) berjaya merampas kerusi yang dimenangi Pas. Ekoran krisis kepimpinan UMNO 1987 yang membawa kepada penubuhan sebuah parti serpihan, Parti Semangat 46, di mana beliau terlibat sama bersama beberapa Anggota Parlimen UMNO sertai parti baru ini. Dalam PRU8 (1990) beliau bertanding di kerusi lamanya, Parlimen Pasir Mas, berjaya menyingkirkan calon UMNO/BN. 

Setahun menduduki kerusi pembangkang, beliau bersama Ahli Parlimen Machang, Ahmad Shukri Hassan, keluar Semangat 46 melompat ke UMNO. Dalam PRU9 (1995), mereka diperturunkan oleh BN sebagai calon. Ibrahim dipertaruhkan untuk mempertahan kerusi Parlimen Pasir Mas, sementara Shukri di kerusi negeri Pulai Chondong. Mereka ditewaskan rakan lama mereka, calon-calon Semangat 46. 

Selepas melompat ke bangku kerajaan, Ibrahim dilantik Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan. Selepas kalah dalam PRU9, Ibrahim sempat memegang portfolio Timbalan Menteri, Jabatan Perdana Menteri, menerusi perlantikan Ahli Dewan Negara. Bagi PRU10 (1999), dipertanggungjawabkan mewakili BN di kerusi lamanya, tumpas di tangan calon Pas, setelah Semangat 46 dibubarkan dan diistiharkan menyertai UMNO secara beramai-ramai (en bloc). 

Pada 23/11/2003, Ibrahim dipecat dari jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas dan digantung keahlian seumur hidup. Tanpa berparti, beliau bertanding sebagai calon bebas dalam PRU11 (2004) menentang calon Pas dan BN. Kejayaan Ibrahim memungut lebih 6,000 undi, memudahkan Pas memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas, hasil perpecahan undi sokongan BN.

Pas melihat Ibrahim adalah satu faktor signifikan dalam politik tempatan Pasir Mas. Justeru itu, Pas memberi peluang kepada Ibrahim untuk mewakili Pas bagi kerusi Parlimen Pasir Mas dalam PRU12 (2008) walaupun tidak menjadi ahli Pas. Beliau menang atas tiket Pas untuk mengalahkan calon BN. Di Dewan Rakyat beliau berada di bangku wakil bebas, sungguhpun menang atas tiket Pas, tetapi beliau banyak mengkritik kepimpinan dan pembawaan Pas. 

Dalam PRU13 (2013), beliau turut bertanding mempertahankan kerusinya di Parlimen Pasir Mas untuk menentang calon Pas dan BN. Penyertaan Ibrahim sebagai calon bebas mengundang BN menarik diri untuk memberi laluan kepada Ibrahim bertanding satu lawan satu menentang calon Pas. Pengaruh peribadi Ibrahim dan sokongan padu jentera BN tidak mampu untuk menumpaskan calon Pas. 

Peranan Ibrahim sebagai tokoh lompat parti sentiasa mencari kerelevenan  dalam politik tempatan, dalam suasana dan iklim pra PRU14 diselubungi perebutan pengaruh tiga kelompok politik; BN, Pakatan Harapan dan Pas, Ibrahim terus melibatkan diri mempertahankan identiti. Ibrahim bertanding sebagai calon bebas dalam persaingan empat penjuru di Parlimen Pasir Mas dan kerusi negeri Tendong. Beliau hilang wang pertaruhan di kedua-dua kerusi dengan memberikan Pas menang dengan majoriti lebih tinggi berbanding PRU13. 

Perbezaan ketara era pasca 13 siri PRU lepas berbanding PRU14 ialah rentetan keluar parti ahli-ahli perundangan sama ada Ahli Dewan Rakyat atau ADUN daripada anggota komponen Barisan Nasional. Gambaranya tindakan keluar parti anggota pembangkang, dengan niat untuk bersama kerajaan semasa. Setakat ini, seramai17 Ahli Parlimen dari UMNO istihar keluar parti; 3 orang jadi penyokong kerajaan menerusi pernyertaan dalam parti Bersatu dan seorang melalui Parti Warisan, baki 13 YB sedang berkelanan atas status bebas, dalam tempoh bertenang, parti mana yang disertai. 3 ADUN Johor dan seorang ADUN Kedah keluar UMNO dan sertai parti Bersatu. Di Sabah, UPKO isitihar meninggalkan BN, membolehkan seorang Ahli Parlimen dan 6 ADUN menyokong kerajaan pimpinan Warisan. 

Perhatian sekarang ialah sejauhmanakah kedudukan dan penghormatan kepada wakil-wakil rakyat yang melompat selepas PRU14 oleh parti yang memerintah. Apakah peluang dan ruang bagi mereka dalam kerajaan baru dengan jolokan "Malaysia Baru". Siapakah yang akan menuruti jejak Richard Ho. Siapa yang menerima nasib seperti Othman Abdullah. Siapa pula yang akan melompat dan terus melompat seperti Ibrahim Ali. Siapa yang akan menonjolkan diri dalam parti baru seperti Yap. Atau mereka sekadar membantu untuk mencukupkan sokongan majoriti dua pertiga atau memantapkan blok kerajaan. Atau mereka sekadar untuk menstabilkan kerajaan semasa serta turut berperanan meruntuhkan parti yang banyak berjasa kepada mereka. Atau untuk menzahirkan siapa opportunis dan siapa pejuang tulen. 








Tiada ulasan:

Catat Ulasan