Khamis, 14 Jun 2018

Tiada Impaks PRK

HASIL PRK TIDAK MEMBERI IMPAKS KEPADA PRU

Keputusan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas PRU13 berbeza dengan PRK pra PRU13 (2008-2011). Selepas PRU12, 16 PRK telah diadakan merangkumi semua negeri, kecuali Perlis, yang menyaksikan 8 dimenangi BN dan 8 oleh pakatan pembangkang, Pakatan Rakyat. BN pertahan 6 kerusi dan hilang 2 kerusi, Parlimen Sibu dan Kuala Terengganu. Pakatan Rakyat pertahan 6 kerusi dan hilang 2 kerusi kepada BN; kerusi DUN Galas dan Parlimen Hulu Selangor. PRK dalam tempo pra PRU13 mempamirkan satu senario, saingan antara BN dan PR dijangka sengit dalam PRU13. Hasilnya prestasi BN semakin merosot dalam PRU13 berbanding PRU12, di mana undi popular BN hanya 47% sahaja. Sungguhpun BN masih mengekalkan kuasa di Putrajaya, tetapi ianya tidak disokong oleh majoriti pengundi.

Sebanyak 13 PRK diadakan pasca PRU13, BN berjaya pertahan 8 kerusi, parti pembangkang pertahan 4 kerusi, tetapi gagal di Parlimen Teluk Intan, BN merampas kerusi DAP. PRK dalam tempoh pasca PRU13; 2013-2016 agak kelainan dan tidak sehangat saingan bagi tempoh pasca PRU12; 2008-2011. 

BN tidak bertanding di dua kubu kuat pembangkang Bukit Gelugor dan Chempaka, bila DAP dan Pas yang pertahan kerusi hanya ditentang oleh calon-calon bebas yang kurang popular. Calon DAP membolot 89.95% undi di Bukit Gelugor dan calon Pas perolehi 91.79% undi sah, dengan peratusan mengundi yang agak rendah: 56.38% dan 55.0%. Saingan yang agak sengit hanya di Dun Sungai Limau, bila lebih 85% keluar mengundi dan calon Pas yang pertahan kerusi  sekadar perolehi 53.25% undi dalam pertandingan satu lawan satu dengan calon BN. 

Ada 3 PRK yang dimenangi BN dengan mudah, tetapi tidak memaparkan realiti kemungkinan pencapaian PRU. PRK Pengkalan Kubor (29.05.2014), tidak lain adalah satu ujian sejauhmana kemampuan Pas bersendirian tanpa kerjasama parti-parti pmbangkang utama. Bermula dari PRK ini, kedinginan hubungan pakatan pembangkang dapat dihidui lantaran tanpa penglibatan tenaga DAP dan PKR. Tiada pemimpin DAP dan PKR hadir mengiringi calon Pas pada hari penamaan calon, agak asing berbanding dengan mana-mana PRK selepas PRU12. 

BN menang besar dalam PRK Pengkalan Kubor dengan majoriti 2,435 undi untuk atasi calon Pas, di mana 73.08 peratus pemilih menunaikan tanggungjawab, berbanding majoriti dicapai calon BN, 1,736 undi dalam PRU13, untuk mengalahkan calon PKR. Kali ini, bila pembangkang meletakkan calon Pas, kekalahan pembangkang lebih besar. Malah undi calon Pas, kekurangan lebih 1,000 undi berbanding undi calon PKR. Pencapaian calon BN kali ini dilihat sebagai ancaman yang diterima Pas lantaran bersendirian tanpa kerjasama rakan dalam PR. 

Sebaliknya dalam PRU14, Pas berjaya merampas kerusi Pengkalan Kubor dalam saingan 3 penjuru dengan meningkatkan undinya dari 7,326 undi (PRK) ke 10,142 undi untuk mengatasi calon terdekat, BN, dengan majoriti 1,579 undi.  Undi BN telah berkurangan dari 9,961 undi (PRK) kepada hanya 8,563 undi sahaja, sementara 1,583 undi dikaut oleh calon PKR. Keluarnya Pas dari PR tidak menggugat kekuatan Pas, bertentangan dengan ramalan Pas akan kalah teruk dalam PRU14 setalah Pas tidak lagi bersama pakatan pembangkang, undi pembangkang dan penentang BN akan berpecah.

PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 18.06.16, selepas secara rasminya berlaku perpecahan dalam Pas, dengan kemunculan serpihan Parti Amanah Nasional (Amanah), menceritakan realiti perpecahan pembangkang yang memberi advantage kepada BN. 

Dalam PRK Kuala Kangsar, calon BN menang dengan majoriti besar, 6,969 undi untuk atasi calon terdekat, calon Pas, dalam saingan tiga penjuru. Dalam PRU13, calon BN menang dengan majoriti 1,082 undi untuk mengalahkan calon Pas. Kemenangan besar calon BN, menepati ramalan, Pas akan kalah dengan majoriti lebih besar lantaran perpecahan undi yang menyokongnya dalam PRU13. Pas hanya dapat 5,684 undi berbanding 13,136 undi dalam PRU13. Serpihan Pas, Amanah perolehi 4,883 undi. 

Dalam PRU14, Parlimen Kuala Kangsar menyaksikan persaingan tiga penjuru lagi. Calon BN hanya menang tipis dengan 731 undi, apabila hanya perolehi 12,102 undi berbanding 12,653 undi dalam PRU13, di kala peratusan keluar mengundi 81% berbanding 71.36% dalam PRK. Calon Amanah berjaya melipatgandakan undi kepada 11,371 undi, sementara calon Pas hanya 6,853 undi. 

Di Sungai Besar, BN menang besar, majoriti 9,191 undi dalam PRK berbanding 399 undi dalam PRU13. Dalam PRK, BN perolehi 16,800 undi, Amanah 7,609 undi dan Pas 6,902 undi, berbanding 18,695 undi bagi  untuk calon BN dan 18,296 undi bagi calon Pas dalam PRU13. Dalam PRU14, calon BN hanya perolehi 16,636 undi, calon Bersatu yang mewakili PKR 17,350 undi, dan 7,220 undi untuk calon Pas, untuk membolehkan calon PKR merampas kerusi Sungai Besar, dengan majoriti 754 undi. 

Kejutan berlaku dalam PRU14 dengan dua aliran atau kecenderungan berbeza iaitu kecenderungan menjatuhkan kerajaan BN semua peringkat berlaku di sebelah pantai barat Persekutuan Tanah Melayu, sementara gelombang menjatuhkan pemerintah di Putrajaya tidak mempengaruhi kecenderungan pengundi di pantai timur, terarah kepada mempertahankan kerajaan Islam Kelantan serta penyebaran ke Terengganu. Dengan lain perkataan, gelombang kebangkitan sama ada menukar pemerintah Persekutuan atau mempertahan kerajaan negeri terbangkit di penghujung tempoh Parlimen ke 13. Gelombang ini mulai dirasai menjelang tempoh Parlimen ke 13 menghampiri penghujungnya. 


kepada pembaca beragama Islam diucapkan Selamat Menyambut Idilfitri, Maaf Zahir dan Bathin


catatan malam raya
1 Syawal 1439.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan