Sabtu, 23 Jun 2018

UMNO masih relevan

UMNO PERLU DIPERTAHAN DAN MASIH RELEVAN DALAM POLITIK MALAYSIA

Kekalahan teruk BN dalam PRU14 mendesak satu persoalan sama ada UMNO masih relevan lagi dalam kelangsungan politik Malaysia. Seolah-olah kekalahan dalam satu pilihan raya sudah menutup semua ruang bagi UMNO sebagai sebuah parti politik sokongan popular. Di usia, 72 tahun, UMNO adalah paling politik paling kanan, dalam politik tanahair. Jika ianya turut berkubur dan menjadi layu selepas tertewas di penghujung gelanggang, secara langsung menggambarkan perwatakan dan peranan pendokongnya, iaitu orang Melayu yang mengasaskannya demi membela nasib bangsa, agama dan tanahair sebagai asas.

UMNO sebagai parti tulang belakang dan pengasas gagasan Perikatan, kemudiannya Barisan Nasional, ikut sama bertindak meminggirkan diri sebagaimana parti-parti komponennya yang bertumpang teduh, memperlihatkan saling bergantungan antara UMNO sebagai parti dominan dan induk dengan ranting-ranting yang lain. 

Selesai PRU14 pada 9/5/2018, bermula sehari kemudian, 10/5/2018 bermulalah episod parti-parti komponen isithar keluar BN. UPKO mengambil permulaan langkah diikuti parti-parti lain dari Sabah: LDP, PBS dan PBRS, keluar BN. Semua parti-parti komponen BN di Sabah adalah parti serpihan yang berasal dari Berjaya atau muncul selepas terbentuk serpihan Berjaya, iaitu PBS (Parti Bersatu Sabah) pimpinan Joseph Pairin Kitingan, ekoran krisis dalam kerajaan BN Sabah pimpinan Berjaya, 1985. Berjaya pun juga sebuah serpihan hasil krisis kerajaan Sabah pimpinan USNO, 1975, dipimpin oleh Donald Stephents, dan bermasalah di bawah kepimpinan Harris Salleh.

Hasil dari Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN 1990) yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PBS setelah beberapa ADUNnya keluar parti untuk bersama UMNO membentuk kerajaan. Kepimpinan PBS yang keluar parti membentuk parti-parti serpihan; Parti Demokratik Sabah (kemudiannya diubah ke UPKO) pimpinan Bernard Dompok, PBRS (Parti Bersatu Rakyat Sabah) pimpinan Joseph Kurup dan LDP (Liberal Democratic Party) mewakili kelompok Cina, menyertai BN di bawah kepimpinan UMNO. 

Di Semenanjung, MyPPP (asalnya People's Progressive Party) istihar keluar BN. PPP adalah pembangkang popular tahun 1950an dan 1960an pimpinan Seenivasagam Bersaudara dalam tahun 1955, akhirnya sertai BN dalam tahun 1974, sebenarnya dari segi dasar sudah jauh berbeza dengan asas yang dibina oleh Seenivasagam dulu. PPP menjadi parti kecil, selepas menyertai BN. 

Minggu lepas, 12/06/2018, semua anggota BN Sarawak: Parti Bumiputra Bersatu (PBB), Sarawak United People's Party (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Progressive Democratic Party (PDP) bersama istihar keluar komponen BN. PBB dan SUPP adalah pengasas BN tahun 1974. Di Sarawak, SNAP (Sarawak Nasional Party) yang silih berganti bersama bentuk kerajaan negeri Sarawak dan pernah jadi pembangkang, berpecah kepada pembentukan serpihan PBDS (Parti Bansa Dayak Sarawak) dalam tahun 1983. PBDS tidak panjang hayat, krisis kepimpinan membawa kepada pembatalan pendaftaran akhirnya membentuk PRS dalam tahun 2004. PDP adalah serpihan SNAP kesan krisis kepimpinan dalaman tahun 2002.

Kelmarin 22/06/2018, Gerakan (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) yang ditubuhkan dalam tahun 1968 oleh bekas kepimpinan Parti Buruh (Tan Chee Khoon dan V. Veerapan), United Democratic Party (Lim Chong Eu, bekas Presiden MCA) dan tokoh-tokoh akademik, bersama mengasaskan BN dalam Tahun 1974. 

Hari ini UMNO bersama MCA dan MIC masih mengungguli BN dengan perwakilan seramai 57 orang perwakilan di Parlimen: 54 UMNO, 1 MCA dan 2 MIC. Merupakan blok utama pembangkang. Dengan lain perkataan, kembali kepada pakatan asal iaitu Perikatan. Perikatan yang begitu berjasa memerdekakan negara serta membentuk asas perpaduan negara menepati realiti sebuah negara bangsa yang berbilang bangsa. Kejayaan Perikatan pimpinan UMNO menarik Pas, Gerakan, PPP, PBB, SUPP dan USNO membentuk BN dalam tahun 1974, demi merealisasikan perpaduan negara merentasi sempadan perkauman dan wilayah, termaktub dalam sejarah politik tanah air, tidak seharusnya dilupakan dan diabadikan sebagai sebuah kenangan dalam sebuah tamadun dan pembinaan bangsa. 

Dalam tempoh 70 tahun UMNO menyuburkan politik nasional, ianya turut terlibat dengan beberapa kemunculan berbagai parti serpihan; Parti Kemerdekaan Malaya (1952), Parti Negara (1954), Parti Perhimpunan Kebangsaan (1963), Parti Melayu Semangat 46 (1989) serta Parti Keadilan Nasional (1999), tetapi ianya tetap utuh. Begitu juga dengan MCA, apabila beberapa kepimpinan mengasaskan UDP (1963) serta UMCO (1969). MIC yang seusia UMNO menyaksikan serpihannya tidak bertahan lama: DMIP (1985), IPF (1990).

Seandainya UMNO ikut sama mengendurkan diri dan membiarkan pakatan politik mengecut perlahan ikut rentak pilihan rakyat, UMNO sengaja mengesot diri keluar dari medan arus perdana nasional. UMNO akan dikutuk suatu masa nanti sebagai lemah semangat juang, memusnahkan inspirasi asas penubuhan UMNO. UMNO sepatutnya meneruskan legenda dengan berperanan sebagai pembangkang utama demi menghidupkan aspirasi "check and balance" dalam demokrasi berparlimen.  Menguasai 54 kerusi atau hampir 25% suara di Parlimen adalah satu tenaga yang mampu menyegarkan institusi Parlimen. 

UMNO harus mengambil pengajaran dari pergerakan dan peranan Pas dalam politik tanah air, masih segar, bertenaga malah semakin menyakinkan, walaupun pernah mampu hantar seorang wakil di Parlimen, kemudian bangkit berjaya merampas sebuah negeri untuk dijadikan pengkalan dan terus relevan hingga hari ini.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan