Selasa, 3 April 2018

Persempadanan semula 2

APAKAH MALAYSIA LEBIH MAJU BERBANDING UNITED KINGDOM

Persempadanan semula kawasan pilihan raya terbaru menampakkan ada usaha untuk mengseimbangkan jumlah pemilih antara kawasan. Contohnya, ketidakseimbangan yang ketara antara Alor Star, sebuah bandar raya dengan kawasan jiran, iaitu kawasan campuran pinggir bandar dan desa: Pokok Sena dan Kuala Kedah. Sebelum persempadanan semula jumlah pemilih adalah; Alor Star ;68,662, Pokok Sena; 80,370 dan Kuala Kedah; 95,131. 3,653 pemilih dari Kuala Kedah dan 1,372 pemilih Pokok Sena dimasukkan ke dalam Alor Star tetapi hanya sekadar mengurangkan sedikit kadar perbezaan, di mana jumlah pemilih Alor Star masih rendah berbanding Kuala Kedah yang bahagian besarnya desa. Jumlah pemilih selepas persempadanan semula: Alor Star;  73,687, Pokok Sena; 78,998,    Kuala Kedah; 91,478.

Contoh kedua, persempadanan semula kawasan Bukit Katil (nama baru: Hang Tuah Jaya) , satu kawasan pinggir bandar dan kawasan desa, dan kawasan bandaraya, Kota Melaka. Pemilih asal di Bukit Katil ialah 104,234 pemilih, sementara Kota Melaka;  93,761 orang. Kedua-dua kerusi Parlimen ini dimenangi pembangkang dalam PRU13, maka dipindahkan daerah mengundi majoriti pengundi Cina, 23,400 orang dari Bukit Katil ke Kota Melaka. Usaha ini untuk mengurangkan pengundi Cina di Bukit Katil demi mengurangkan penyokong pembangkang dan dihimpunkan di Kota Melaka, untuk memboleh kekalahan BN dalam PRU13, 0-2 kepada 1-1 dalam PRU14 nanti. 

Sungguhpun SPR dalam kerjanya untuk menjamin hak satu orang satu undi serta mematuhi asas kesamaan demokrasi dengan mengimbangkang jumlah pemilih antara kawasan, tetapi usaha mengimbangkan jumlah pemilih banyak dipengaruhi elemen malappointment demi memperkukuhkan keupayaan BN memenangi sesuatu kerusi. Apa yang boleh dipersoalkan ialah dari segi bilangan pemilih antara kawasan khususnya di kawasan setara. 

England negeri utama dalam Great Britain menyumbangkan 533 kerusi dalam House of Lords (Parlimen) dari jumlah 650 kerusi, di mana hanya terdapat 4 kerusi Parlimen mempunyai lebih 90,000 pemilih, iaitu senarai yang digunakan dalam pilihan raya umum Great Britain 2017. Kerusi tersebut ialah: Isle of Wight (110,697 pemilih), Bristol West (92,986 pemilih), Seaford & North Hykelhm (90,925 pemilih) dan West Ham (90,640 pemilih). Kawasan Parlimen dengan pemilih terkecil di England ialah Newcastle Upon Tyne Central (55,571 pemilih). 

Welsh, sebuah negeri di bahagian barat daya yang kepadatan penduduk terendah di Great Britain diperuntukkan 46 kerusi. Kawasan pilihan raya tertinggi ialah Cardiff South Penarth, dalam ibu negara Welsh, mempunyai 76,006 pengundi, dan satu-satunya kerusi Parlimen melebihi 70,000 pengundi di Welsh. Arton, dengan pengundi 40,492 orang adalah kawasan pilihan raya dengan saiz pengundi paling rendah, bukan sahaja di Welsh, malah seluruh Great Britain.

England yang umumnya lebih urban dan metropolitan bentuk kependudukan dan taburan kepadatan berbanding dengan Malaysia yang umumnya lebih bersifat luar bandar dari segi sosio-geografi dan latar ekonominya, menampakkan perbezaan yang sangat ketara dalam amalan demokrasinya. Di Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi 165 kerusi Parlimen terdapat 5 kawasan Parlimen luar bandar dan pinggir bandar mempunyai bilangan pengundi melebihi 90,000 orang: Kuala Kedah (91,478), Baling (94,800), Tumpat (101,318), Marang (95,904), Kemaman (98,352).

Di samping itu, 21 kawasan bandar: Sungai Petani (101,829), Kuala Terengganu (96,128), Tambun (96,437), Selayang (93,810), Gombak (124,983), Bangi (146,168), Subang (128,330), Petaling Jaya (129,363), Damansara (150,439), Shah Alam (90,742), Kapar (106,124), Klang (136,222), Kota Raja (121,126), Seremban (99,752), Rasah (93,299), Kota Melaka (120,071), Tebrau (99,592), Pasir Gudang (108,156), Johor Bahru (98,351), Pulai (95,980), Iskandar Puteri (dulunya Gelang Patah) (119,175).

Secara perbandingan, 26 dari jumlah keseluruhan kerusi Parlimen di Persekutuan Tanah Melayu atau 15.76% mempunyai bilangan pemilih melebihi 90,000 orang, di England, hanya 4 dari jumlah 533 kerusi Parlimen atau 0.75% dalam kelompok berkenaan. Kecuali Tambun, Pasir Gudang, Tebrau, Johor Bahru dan Pulai, semua 21 kawasan berkenaan kawasan saingan sengit BN dengan parti pembangkang, yang pernah dimenangi pembangkang.

Di Persekutuan Tanah Melayu, sebanyak  13 kawasan pilihan raya Parlimen mempunyai pengundi kurang dari 40,000 orang; Langkawi (37,645 pemilih), Gerik (33,832), Lenggong (28,078), Padang Rengas (28,727), Kuala Kangsar (33,113), Parit (33,368), Bagan Datoh (39,459), Cameron Highland (27,892), Lipis (32,075), Maran (37,924), Sabak Bernam (37,126), Labis (37,568), Penggerang (38,338). 13 kawasan ini merupakan 7.87% jumlah kawasan pilihan raya di Persekutuan Tanah Melayu, atau disebut juga Semenanjung Malaysia. Kesemua 13 kawasan ini telah dimenangi BN dalam PRU13, selain Parit yang pernah dimenangi parti pembangkang, kesemuanya secara tradisi adalah kubu kuat parti pemerintah. 

Dalam persempadanan semula kali ini, SPR yang diberikan tugasan eksekutif tanpa berselindung mengambil kesempatan susunan semula daerah mengundi untuk memberikan lebihan kepada parti pemerintah. Taburan pemilih masih dalam lompang perbezaan yang besar, apabila kawasan luar bandar mempunyai saiz keluasan dan saiz pengundi lebih besar berbanding dengan kawasan yang lebih maju dari segi kemudahan fizikal, malah sebahagiannya bersifat perbandaran. Pengekalan elemen ini gagal menafikan anggapan dan persepsi masyarakat awam, persempadanan semula kawasan pilihan raya sejak dahulu bercirikan memihak bermatlamatkan memihak untuk status quo. 

Satu lagi hal yang menarik yang dapat disimpulkan ialah saiz pengundi di setengah kawasan terlalu besar jauh mengatasi saiz pemilih di negara yang lebih maju, yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen yang sama: perwakilan satu orang satu kawasan dengan "the first pass the post". Agak dangkal bila bilangan pengundi bagi sesuatu kawasan pilihan raya Parlimen di Malaysia jauh lebih besar berbanding dengan saiz pengundi di Great Britain. Apakah Malaysia lebih terkedepan dan maju dalam amalan demokrasi untuk disepadukan dan disetarakan dengan pembangunan fizikal dan pembangunan insan.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan