Jumaat, 6 April 2018

Persempadanan semula 3

PERSEMPADANAN SEMULA BAHAGIAN PILIHAN RAYA UNTUK MEMBANTU BN MENGEKALKAN KUASA

Cadangan persempadanan semula bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri Persekutuan Tanah Melayu yang diluluskan oleh Dewan Rakyat, pada Rabu 28/03/2018, menyerlahkan telahan banyak pihak, sebagaimana beberapa siri persempadanan lepas beragendakan untuk mempertahankan status quo kuasa yang didominasi oleh Barisan Nasional. Sungguhpun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertahankan tugasan routinenya yang dituntut oleh perlembagaan, persempadanan semula hendaklah diadakan selepas 8 tahun persempadanan terakhir, dengan mengambil kira pengaturan persempadanan berasaskan perimbangan bilangan pemilih. Kaedah perimbangan ini dijadikan asas persempadanan lantaran persempadanan kali ini tidak menambah atau membentuk bahagian pilihan raya baru atau tambahan. 

Asas yang diambil oleh SPR dalam persempadanan semula menepati peraturan pembentukan kawasan pilihan raya, di mana kesempatan persempadanan semula tanpa pertambahan kerusi baru, menyusun atur atau belah bahagi daerah mengundi dengan matlamat akhir memenuhi agenda legislatif. Asas pertimbangan belah bahagi daerah mengundi kepada faktor geografi, faktor pentadbiran dan infrastruktur, logiknya boleh diterima tetapi diperdalami ianya bersangkutan dengan agenda politik dan kepentingan kepartian. 

Mengambil contoh persempadanan semula di negeri Kelantan, setelah BN gagal menguasai kerajaan negeri selama 6 kali pilihan raya umum (PRU) berturut-turut, sejak 1990, sungguhpun asas persempadan berfokus kepada faktor asas: geografi, pentadbiran dan akses kemudahan awam, tetapi ketara sangat beragenda strategik berkecenderungan berpihak. Saingan utama dalam PRU di Kelantan ialah antara BN dan Pas. Berasaskan kepada pencapaian dalam PRU13, 13 kawasan pilihan raya negeri atau kerusi DUN di mana Pas menguasai lebih 60% undi, selepas persempadanan semula, mengambil kira undi PRU13, Pas hanya menguasai lebih 60% undi di 12 kerusi DUN sahaja. 

Kawasan Wakaf Bharu, kawasan marginal, undi Pas  52.22%, telah berlaku perpindahan daerah mengundi. Daerah mengundi Alor Pasir (2,400 pengundi) dan Kg Dalam Kota Kubang Labu (2,263 pengundi), dua daerah mengundi di pinggir Pekan Wakaf Bharu telah dipindahkan ke kerusi DUN Pasir Pekan (undi Pas 62.40%). Sebagai ganti, daerah mengundi dari DUN Kelaboran: Kampung Pasir Puteh (934 pengundi), Cherang Melintang (887 pengundi), Kampung Tok Oh (1,129 pengundi), dimasukkan ke DUN Wakaf Bharu. Persempadanan baru ini mengurangkan pemilih Wakaf Bharu, 26,402 pemilih (sebelum persempadanan) kepada 24,300 pemilih (selepas persempadanan). Daerah mengundi Pulau Beluru (1,892 pemilih), Mak Neralang (984 pemilih), Sungai Pinang (1,372 pemilih), Kok Keli (2,355 pemilih) dimasukkan ke DUN Kelaboran.  Pemilih DUN Kelaboran telah bertambah dari 22,416 pemilih (sebelum persempadanan) kepada 26,236 pemilih (selepas persempadanan). Kesan dari persempadanan ini, kedudukan Pas di Wakaf Bharu tergugat, sementara Pas lebih selesai di Pasir Pekan, sementara Kelaboran, kawasan prestasi sederhana oleh Pas, 55.81% akan juga turut terkesan. 

Di bahagian pilihan raya Persekutuan Pasir Mas dan Rantau Panjang, persempadanan bukan sahaja melibatkan belah bahagi daerah mengundi  antara bahagian pilihan raya  negeri tetapi merentasi kawasan Parlimen. DUN Meranti, prestasi Pas 65.00% (PRU13) dipindahkan dari Rantau Panjang ke Pasir Mas, ditukar ganti dengan DUN Chetok (prestasi Pas 55.18%). Dalam PRU13, perolehan undi Pas dalam bahagan pilihan raya Pasir Mas: Tendong (52.74%), Pengkalan Pasir (60.68%), Chetok (55.18%), sementara dalam bahagian pilihan raya Rantau Panjang: Meranti (65.00%), Gual Periok (51.94%), Bukit Tuku (53.59%). Secara langsung persempadanan ini menghimpun kerusi yang dimenangi Pas dengan majoriti besar ke dalam bahagian Pasir Mas, sebaliknya kerusi-kerusi marginal ke Rantau Panjang. Di samping itu, daerah mengundi dalam DUN Chetok: Nibong (1,451 pemilih), Pengkalan Machang (361 pemilih), Kampung Bujuk (1,278 pemilih), telah dimasukkan ke DUN Bukit Tuku (selepas persempadanan semula dinamakan Apam Putra). Strategi belah bahagi untuk mengurangkan kekuatan Pas, di kawasan atau kerusi marginal.

DUN Kadok, kerusi prestasi tinggi Pas, dengan perolehan 60.75% undi dalam PRU13 telah mengalami pengurangan pemilih selepas persempadanan semula. 3 daerah mengundi dalam DUN Kadok: Kampung Kor (1,680 pemilih), Beta Hulu (1,529 pemilih), Kedai Piah (1,773 pemilih) telah dimasukkan ke DUN Salor dalam bahagian pilihan raya Persekutuan Kubang Kerian. Salor berada dalam skala cemerlang bagi Pas, mencapai 60.98% undi dalam PRU13. DUN Kadok, adalah dalam bahagian pilihan raya Persekutuan Ketereh. Pemindahan 3 daerah mengundi ini telah menukar status DUN Kadok dalam carta Pas, di mana Kadok berada dalam senarai skala prestasi 55-59% sokongan Pas. Secara langsung, akan mengurangkan sokongan Pas dalam bahagian pilihan Persekutuan atau Parlimen Ketereh, berasaskan undian semasa PRU13. 

Di bahagian pilihan raya Parlimen Pasir Puteh, DUN Selising satu kawasan marginal, BN perolehi 49.96% undi untuk mengatasi Pas yang perolehi 49.26% undi, satu daerah mengundi: Kampung Seligi (1,143 pemilih) dari DUN Limbongan telah dimasukkan ke DUN Selising. BN perolehi 571 undi di DM Seligi dalam PRU13, sementara Pas, 366 undi. Kelebihan 205 undi Seligi boleh membantu kemenangan kecil 107 undi oleh BN di DUN Selising. Daerah mengundi Kampung Raja dalam DUN Gaal dipindahkan ke Limbongan. Dalam PRU13, Pas memungut 680 undi, BN 438 undi, beza 242 undi. Pas menguasai kerusi marginal Gaal, bila perolehi 51.07% undi, dengan beza 302 undi mengatasi BN. Persempadanan semula di dalam bahagian pilihan raya Parlimen Pasir Puteh, jelas menampakkan  untuk menambah kekuatan BN di Selising serta mengurangkan potensi Pas di Gaal. 

Daripada beberapa sample belah bahagi daerah mengundi di atas walaupun SPR ada asasnya berpandukan peraturan dan keutamaan tetapi matlamatnya beragenda dan berstrategik. Mungkin satu kajian yang cukup mendalam dan terperinci oleh SPR melakar persempadanan semula, yang mana jika diteliti, ianya lebih kepada kembali atau susur galur persempadanan asal sebelum berubah setiap kali berlaku persempadanan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan