Sabtu, 31 Mac 2018

Persempadanan semula 1

PERSEMPANAN SEMULA SEBAGAIMANA APA YANG DIJANGKA DEMI MENJALANKAN TUGAS EKSEKUTIF

Sebagaimana dijangka rang undang-undang persempadanan semula bahagian pilihan raya di negeri-negeri Tanah Melayu dibentang dan dilulus dengan mudah oleh Dewan Rakyat pada 28/03/2018. Cadangan persempadanan semula bahagian pilihan raya yang pertama di Malaysia tidak melibatkan pertambahan kerusi. Berbanding dengan empat kali persempadanan semula yang lepas: 1973, 1983, 1993 dan 2003, yang menambahkan kerusi atau bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri memberikan pertambahan kerusi untuk Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, berbeza dengan persempadanan terbaru, 2016. 

Kegagalan Barisan Nasional menguasai dua pertiga membantut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya untuk menambahan bilangan kerusi badan perundangan, sebagaimana kehendak Perlembagaan Persekutuan. Tuntutan perundangan yang memerlukan sokongan dua pertiga ahli perundangan untuk menambahkan kerusi atau bahagian pilihan raya, menafikan kehendak parti pemerintah memiliki kelebihan berpihak hasil kerja perundangan. 

Cadangan persempadanan semula yang baru diluluskan oleh Dewan Rakyat yang hanya memerlukan sokongan simple majority terbatas sekadar menyusun atur atau membelah bahagi daerah mengundi. Pihak parti pemerintah sebagaimana lazim daripada kesan jangka pendek persempadanan semula dapat menimba lebihan berpihak, jika dalam persempadanan terdahulu dikurniakan kerusi-kerusi baru. Persempadanan kali ini, penyusunan semula daerah mengundi demi untuk jaminan kelebihan kepada parti pemerintah untuk mengubati prestasi buruk dalam dua pilihan raya umum (PRU) terakhir. 

Sebagai sebuah demokrasi berasaskan model Westminster yang diamalkan di negara-negara Commonwealth atau bekas tanah jajahan British, amalan rujukan ialah sistem amalan Great Britain. Great Britain dan India sebagai contoh, mengamalkan pentadbiran dua dewan perundangan: House of Commons dan House of Lords di Britain, Lok Sabha dan Rajya Sabha di India. House of Commons dan Lok Sabha adalah dewan perwakilan sebagaimana Dewan Rakyat di negara kita. Terdapat peruntukan dalam perlembagaan bagi Britain dan India sebagaimana Malaysia, kawasan atau bahagian pilihan raya perlu dibuat semakan atau kajian persempadanan dalam tempoh tertentu. 

Great Britain yang mengandungi empat negeri; England, Wales, Ireland Utara dan Scotland mengadakan kajian persempadanan terakhir dalam tahun 2010. Setiap kali kajian semula adalah mengatur perimbangan saiz pemilih bagi sesuatu bahagian pilihan raya atau kawasan pilihan raya. Jikalau dilihat kepada jadual bilangan pemilih di semua 649 kerusi House of Lords, bilangannya hampir sama dengan terkini ialah purata 68,000 pemilih bagi sesuatu kawasan pilihan raya. Parlimen British dengan 650 ahli (649 + 1 kerusi speaker yang dilantik) bertaboran: 533 kerusi dari England, 59 dari Scotland, 46 di Wales dan 18 kerusi dari Ireland Utara. Di England dan Scotland, bilangan pemilih adalah antara 70,000 hingga 85,000 orang, di Ireland Utara 65,000 hingga 70,000 orang, sementara 46 kerusi Wales memiliki 40,000 hingga 60,000 pemilih. 

Jumlah kerusi Parlimen di Great Britain tak berubah sejak sekian lama. Dalam tahun 1980, kerusi Parlimen atau House of Lords ialah 650 kerusi, dan masa kini, masih kekal dengan jumlah yang sama. Di India, dewan perwakilan, Lok Sabha mempunyai 543 kerusi dalam tahun 1980 dan masih kekal dengan bilangan yang sama hari ini. 

Di Great Britain dan India, dalam tempoh 37 tahun (1980-2017) tiada penambahan kerusi atau kawasan pilihan raya walaupun penduduk bertambah, tetapi di Malaysia, dalam tempoh yang sama bilangan kerusi Parlimen telah bertambah dari 154 kepada 222, iaitu bertambah 68 kerusi atau 44.1%. 

Bilangan pemilih di kerusi Liverpool Riverside dalam tahun 2000; 72,873 pemilih, 2010: 73,406 dan 2017: 76,332 pemilih. Di kerusi Manchester Central: 69,600 (2000), 89,519 (2010), 90,261 (2017). Jumlah pemilih bertambah dengan perkembangan dan pertumbuhan sosio-ekonomi, yang bertambah ialah pengundi di sesuatu kawasan tetapi bilangan kawasan pilihan raya atau kerusi perwakilan tidak berubah. 

Berbeza di Malaysia, persempadanan semula kawasan pilihan raya tidak menampakkan pengaturan semula untuk mengseimbangkan pemilih tetapi lebih kepada strategi untuk menguasai sesuatu kawasan pilihan raya bagi parti pemerintah, elemen malapportionment mempengaruhi persempadanan semula.  Kerusi Parlimen Baling, satu kawasan luar bandar yang pernah beberapa kali dimenangi pembangkang, satu kawasan luar bandar dengan  94,809 pemilih, jauh lebih besar berbanding kawasan bandaraya yang padat penduduk, contoh Parlimen Alor Setar: 73,687 pemilih, Tanjong: 50,324 pemilih. Kerusi Parlimen Padang Rengas, hanya 28,727 pemilih, sementara jirannya, Kuala Kangsar 33,113 pemilih serta Lenggong, 28,078 pemilih. Ketiga-tiga kerusi Parlimen ini adalah kubu parti pemerintah, di mana Kuala Kangsar kawasan bandar, Padang Rengas kawasan campuran pinggir bandar dan luar bandar, Lenggong adalah kawasan luar bandar. Sepatutnya Kuala Kangsar, Padang Rengas dan Lenggong dijadikan satu kawasan dengan jumlah pemilih 89,918 orang, jika menggunakan pendekatan mempersempadankan bahagian pilihan Parlimen Baling. Jika sekiranya wajaran bandar-desa dijadikan asas, apakah beza Baling dengan Kuala Kangsar dan Padang Rengas.

Memanglah perubahan sosio-geografi dan pertumbuhan demografi serta ekonomi memerlukan perubahan kawasan yang memerlukan perkhidmatan seseorang anggota perwakilan perundangan atau wakil rakyat, sebenarnya tidak memerlukan pertambahan Ahli Parlimen. Apa yang perlu diaturkan ialah penyusunan atau belah bahagi daerah mengundi untuk mengseimbangkan taburan pemilih di bawah perkhidmatan seseorang wakil rakyat. Mungkin 30 tahun dahulu, seorang Ahli Parlimen mewakili 30,000 pengundi tetapi hari ini seseorang Ahli Parlimen mewakili 90,000 pengundi. Ahli Parlimen Tumpat mewakili 34,667 pemilih dalam PRU 1978, Ahli Parlimen Tumpat yang memenangi PRU14 nanti adalah mewakili 101,318 pemilih. Dalam tempoh tersebut, kawasan pilihan raya Parlimen Tumpat adalah sebagaimana 37 tahun dulu, masih kekal dengan sempadan dan saiz keluasan.  Kawasan Parlimen Tumpat dimenangi pembangkang sejak PRU 1990.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan