Ahad, 15 April 2018

Mengundi hari Rabu

HARI RABU UNTUK PENGUNDIAN PRU14

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mesyuaratnya pada 10/04/18 selepas menerima notis pembubaran Dewan Rakyat dan semua dewan perundangan semua negeri Persekutuan Tanah Melayu, memutuskan hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) ialah Rabu, 09/05/18. Satu keistimewaan amalan demokrasi kepilihanrayaan di Malaysia ialah menunggu dengan debaran, teka-teki dan spekulasi tarikh hari membuang undi. Amalan di Malaysia, tarikh ini dijadikan senjata dan strategi parti pemerintah, menyembunyikannya untuk menghalang pihak lawan mengatur dan menyusun persiapan. 

Respons awal dari pengumuman SPR ialah pemilihan hari Rabu, hari bekerja di pertengahan minggu yang memberikan banyak masalah khususnya khalayak pemilih. Hari Rabu, terkepit antara dua hari kerja, yang merupakan satu keganjilan dari amalan lazim, hari pembuangan undi di Malaysia ialah hari kelepasan yang bersambung dengan hari cuti mingguan iaitu hari Sabtu. Justeru cuti mingguan yng berbeza antara negeri, beberapa negeri menjadikan Jumaat, sementara yang lain memilih Ahad. 

Kecenderungan pro dan kontradik memperlihatkan mendekatkan persepsi umum adalah SPR adalah sebuah agensi yang terikat dan berpihak, bukan pengadil yang jujur. Kalangan yang menyokong dan mempertahan keputusan SPR adalah kepimpinan dan penyokong BN, sebagaimana dilaporkan oleh sumber berita arus perdana dan media baru.

Sungguhpun pandangan Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin yang agak terbuka, mengakui penentuan hari pembuangan undi bagi PRU14 agak luar biasa (Berita Harian Online 10/04/18), tetapi  tak seragam dengan pandangan pimpinan lain. Rata-rata pandangan kepimpinan lain, adalah sebaliknya mempertahankan keputusan SPR.

Shamsul Annuar Nasarah, mantan Ahli Parlimen Lenggong (UMNO) menegaskan bahawa bukanlah luar biasa memilih hari bekerja kerana beberapa PRU diadakan pada hari bekerja sebelm ini (Malaysiakini 11/04/18). Eric See To, pakar strategik BN, menyokong keputusan SPR kerana ianya adil untuk semua kerana hari hujung minggu yang berbeza antara negeri (Malaysia Today 11/04/18). Ismail Sabri Yaacob, seorang ahli Kabinet Pusat, dengan menyebut di zaman Tun Mahathir, beberapa PRU pernah diadakan di pertengahan minggu (Sinar Harian 12/04/18).

Sehingga kini, selepas Merdeka, kita sudah alami 13 kali PRU. Hanya dalam dalam PRU9 (PRU 1995) diadakan pada hari Selasa, 25/04/1995. Di samping itu PRU10 (PRU 1999) pada hari Isnin 29/11/1999 dan PRU6 (PRU 1982), pada hari Khamis, 22/04/1982.  

Isnin dan Khamis bersambungan dengan hari kelepasan mingguan di negeri tertentu. Kesemua PRU di atas diadakan dalam musim cuti persekolahan, yang tidak banyak menimbulkan masalah kepada pengundi tidak menetap atau bekerja di tempat mereka daftarkan sebagai pemilih.

Pengundi yang balik kampung akan berdepan dengan kesukaran masa dan tenaga, walaupun kerajaan telah mengistiharkan 9 Mei sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara, mengikut pandangan pemerhati politik dan ahli akademik Faisal S. Hazis dari UKM (Sinar Harian 12/04/18). Beliau melihat keputusan SPR ini bertentangan dengan sasaran 85% keluar mengundi oleh SPR. 

Walaupun ada peruntukan undang-undang mewajibkan majikan memberi cuti membolehkan pemilih menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara, realitinya hari Rabu yang diberi cuti iainya tersepit antara dua hari bekerja dalam seminggu. Apakah sektor swasta mampu memberi cuti tambahan kepada pekerja yang terpaksa balik kampung dan bergegas balik ke tempat kerja dalam jarak yang jauh. 

Husam Musa, seorang pemimpin Parti Amanah merujuk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 Seksyen 25 (1): tiap-tiap majikan hendaklah pada hari mengundi membenarkan satu tempoh yang munasabah bagi setiap pemilih yang bekerja dengannya mengundi.

Tun Mahathir berpendapat mengundi hari Rabu menyusahkan rakyat yang bekerja. Seramai 500,000 rakyat Malaysia bekerja di Singapura (Astro Awani 10/04/18). Mana mungkin pekerja berkenaan diberi pelepasan cuti sebagaimana rakan mereka di tanah air. 

Jawapan balas dari SPR menerusi Pengerusinya, Mohd Hashim Abdullah (Berita Harian 13/04/18); mengundi pada hari bekerja atau bukan hujung minggu, pernah berlaku sebanyak 4 kali dalam PRU sejak lepas Merdeka. Sehari kemudian, SPR mempertahankan keputusannya dengan mendalih bahawa SPR mengambil kira berbagai sudut dan kepentingan. Tetapi tidak dinyatakan, apakah rasionalnya yang memberi kebaikan kepada semua pihak: pemilih, parti kerajaan, parti pembangkang dan jentera kerajaan. 

Tertarik juga pandangan, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, matlamat SPR ialah mensasarkan 85% pengundi keluar mengundi tetapi dengan kesukaran pulang mengundi bagi perantau yang tidak memungkinkan peratusan keluar mengundi yang tinggi. 

Dalam tempoh selepas Merdeka, secara analisisnya menampakkan peratusan keluar mengundi yang berbeza antara hari minggu dengan hari kerja. Peratusan keluar mengundi pada hari Sabtu, iaitu di tengah-tengah antara dua hari cuti hujung minggu; Jumaat (hari kelepasan bagi Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor) dan Ahad (hari kelepasan mingguan bagi negeri-negeri lain). Bila PRU diadakan pada hari Sabtu (hari kelepasan semua negeri selepas dirintis oleh Kelantan menerusi dasar Membangun Bersama Islam)  peratusan adalah tinggi: 78.9% (PRU2), 76.0% (PRU12), 75.3% (PRU5), 75.1 (PRU4). Begitulah juga hari mengundi dilaksanakan pada hari Ahad; 84.4% (PRU13), 74.4% (PRU7), 73.9% (PRU11), 72.3% (PRU8). 

Dalam tempoh PRU1 hingga PRU13, peratus keluar mengundi yang paling rendah dicatat bila hari mengundi diadakan pada hari bekerja. 68.3% sahaja keluar mengundi dalam PRU9, yang diadakan pada hari Selasa, 25/04/1995. PRU10, mencatat 69.3%, yang diadakan pada hari Isnin, 29/11/1999. Kedua-dua PRU9 dan PRU10, diadakan dalam masa cuti persekolahan, dan kelazimannya kebanyakan hari mengundi PRU diadakan dalam masa cuti persekolahan, di mana musim cuti persekolahan memberi ruang yang lebih kepada pemilih bersama keluarga pulang kampung khususnya bagi perantau. 

PRU14, akan berlangsung pada hari Rabu yang di luar musim cuti persekolahan, memungkinkan menyekat ruang bagi pemilih yang mengundi bukan di tempat kerja. Sejauhmanakah kebijaksanaan pengurusan SPR mempastikan angka keluar mengundi yang lebih tinggi bagi mencapai sasaran. Di samping itu, sejauhmana jaminan SPR mempastikan hak pemilih dalam melaksanakan tugasan yang dituntut oleh konvensyen demokrasi dipenuhi.

Seandainya, peratusan keluar mengundi dalam PRU14 menurun sedangkan peratusan keluar mengundi sebagai lambang kesedaran dan kejayaan pendidikan demokrasi berterusan terus meningkat sejak PRU9 (PRU 1995), bolehlah diterjemahkan kegagalan SPR melaksanakan tugasan hakikinya. Apabila peratusan keluar mengundi yang rendah bila hari pembuangan undi pada hari Selasa, yang tersepit antara dua hari kerja dalam PRU9, maka SPR mengubah kepada hari Isnin dalam PRU10, hasilnya berlaku peningkatan peratusan keluar mengundi. Setengah pemilih sudah pun mengambil cuti awal hari Sabtu atau Ahad untuk pulang mengundi. Bagi PRU11 dan berikutnya, bila pembuangan undi pada hari Sabtu atau Ahad, memberi impaks besar kepada peratusan keluar mengundi.





 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan