Rabu, 11 April 2018

Satu logo

PAKATAN HARAPAN GUNA SATU LOGO

Pakatan Harapan yang menggabungkan 4 parti: DAP, PKR, PPBM dan Amanah telah  melancarkan logo tunggal yang akan digunakan dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), dalam ceramah perdananya hujung minggu di Pasir Gudang. Logo PKR menjadi pilihan setelah kegagalan usaha mendaftarkan Pakatan Harapan, demi menggunakan satu logo tunggal untuk berdepan Barisan Nasional, dalam saingan 3 penjuru, yang akan turut disertai oleh Pas, bersama sekutunya dalam Gagasan Sejahtera.

Tambahan pembubaran sementara PPBM oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) lantaran kegagalan partti berkenaan memenuhi peraturan pertubuhan, juga menjadi faktor Pakatan Harapan terpaksa satu logo bersama. 

Apa yang menjadi gempar dan berita tumpuan ialah pengumuman awal DAP, parti paling kanan dalam gabungan parti pembangkang, Pakatan Harapan, mengorbankan simbolnya untuk menggunakan simbol PKR dalam PRU14 nanti. Di samping parti paling senior serta paling banyak kerusi dewan perundangan berbanding parti lain, khususnya PKR, keputusan yang diambil DAP, agal luar biasa. 

MCA seteru utama DAP dalam rebutan undi masyarakat bukan Islam mengecam hebat tindakan DAP mengorbankan simbolnya yang banyak memberikan sumbangan prestasi dan kemenangan DAP lebih 50 tahun, semata-mata untuk membolehkan pakatan pembangkang menggunakan satu logo untuk lawan BN. Bimbangnya MCA akan kemerosotan DAP dalam PRU14 bila tidak lagi menggunakan lambang roket. MCA menerusi Presidennya Liow Tiang Lai,  menuduh DAP menggadai maruah dengan mengenepikan simbol roket yang sudah sebati dan sinonim dengan masyarakat bukan Islam, orang Cina khususnya.  Seolah-olah DAP akur dengan kehendak Pakatan Harapan, yang boleh menghakis status quo parti dominan.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang menzahirkan keberatannya untuk ketepikan simbol roket dalam politik Malaysia, yang sudah sebati dengan khalayak pemilih di negara ini. Sepatutnya kesediaan dan akuran DAP meninggalkan roket, menggunakan lambang PKR mewakili pakatan pembangkang harus dihormati, demi perpaduan dan persepakatan utuh pakatan pembangkang. 

Dalam PRU13, apabila RoS (Registry of Societies) menghalang DAP menggunakan simbol roket apabila DAP dalam saat-saat genting berdepan dengan ketidaklayakan sertai pilihan raya. DAP bersetuju menggunakan simbol Pas, bulan purnama di Persekutuan Tanah Melayu dan simbol mata PKR untuk Sabah dan Sarawak. Menjelang hari penamaan calon, calon-calon DAP yang bakal bertanding sudahpun perolehi surat kebenaran menggunakan lambang bulan purnama dalam PRU13. Kurang 24 jam calon kemukakan borang pencalonan masing-masing, RoS merungkaikan masalah DAP yang membolehkan simbol roket digunakan.

Pandangan penggunaan simbol yang asing bagi pengundi yang sudah sebati satu simbol sebagai penyokong setia parti, tidak timbul. Dalam PRU8 (PRU 1990), penyokong tegar UMNO dan Pas di Kelantan, yang sudah lama mengenali lambang dacing dan bulan, tiada masalah dan kekok dengan simbol angka 46. Pengundi di kawasan pedalaman boleh terima simbol 46, walaupun mereka pengundi tegar lambang dacing sejak dacing digunakan dalam politik Malaysia dalam tahun 1974. Penyokong Pas, pada awalnya susah nak terima selain bulan purnama, boleh ketepikan sentimen kepartian dan lambang.  Kawasan pedalaman Kelantan terkenal sebagai kubu UMNO dan kawasan hiliran sebagai kubu Pas, pengundi boleh terima lambang baru, lambang 46 mewakili Parti Semangat 46. Hasilnya BN kalah kalah teruk, bukan sahaja hilang kerajaan, semua calon BN Parlimen dan negeri kalah. 

Pengundi dalam PRU14 yang jauh lebih banyak pendedahan dan kemudahan akses matlumat berbagai sumber sudah tentu tiada masalah apa saja simbol parti yang digunakan, berbanding pengundi 30 tahun dahulu yang terbatas penerimaan maklumat. Faktor penentuan pilihan mana untuk PRU14 ialah sama ada mempertahankan status quo yang ada, atau penguasa di Putrajaya perlu diubah, pemerintah yang menguasai kerajaan negeri perlu dikekal atau dijatuhkan. 






Tiada ulasan:

Catat Ulasan