Sabtu, 3 Februari 2018

Undi rosak

KEMPEN MEROSAKAN UNDI

Satu gerakan menerusi media baru mengajak pengundi muda khususnya merosakkan undi mereka dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) diinisiatif anak-anak muda mewakili pengundi muda setelah Pakatan Harapan menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri. Reaksi segolongan anak-anak muda menzahirkan kekecewaan peranan yang dimainkan oleh mantan Perdana Menteri, sebagai natijahnya mengajak pengundi memberikan undi rosak dalam PRU14 nanti. Pengumuman dari pihak sekretariat Pakatan Harapan, pada 07/01/2018, lebih banyak reaksi negatif berbanding sokongan total keseluruhan rakyat yang berhasrat menukar pemerintah dan penguasaan Putrajaya. 


Undi rosak sebagai manifestasi protes kekecewaan terhadap halatuju semua ahli politik sama ada dari Barisan Nasional atau Pakatan Harapan.  Sudah wujud satu kecenderungan atau trend kebosanan dengan pertelingkahan atau terlalu politiking semua parti, kerajaan dan pembangkang di kedua-dua peringkat Persekutuan dan negeri. Pengundi muda yang mempunyai harapan yang cukup tinggi atau terlalu idealistik dengan realiti politik sebagai alat untuk keharmonian dan kesejahteraan kehidupan manusia berhasrat menzahirkan kekecewaan anak muda. 

Kerajaan BN di bawah DS Najib yang berpalit dengan berbagai skandal, dengan isu 1MDB, isu FELDA, penamatan tugas atau persaraan terpaksa beberapa penjawat eksekutif utama, peningkatan hutang negara, kenaikan kos kehidupan, peningkatan kadar pengangguran terutama lepas pengajian tinggi, amat mengguris hati sebilangan pengundi, khususnya pengundi muda. Anak muda yang membangkitkan semangat memerlukan sebuah pentadbiran yang lebih telus serta penambaikan tatakelola pentadbiran dan pengurusan sektor awam, kecewa lagi bila pembongkaran salah urus kerajaan alternatif, iaitu apa yang berlaku dalam pentadbiran DAP di Pulau Pinang. 

Sungguhpun, amalan demokrasi kita masih lagi berbilang parti, tetapi dominasi oleh dua kelompok: dominasi UMNO menguasai kerajaan Persekutuan dan bahagian besar kerajaan-kerajaan negeri, dan dominasi DAP dalam Pakatan Harapan. Bagi pengundi baru, pengundi muda, kedua-dua parti dominasi ini tiada beza, walaupun DAP baru berkuasa hampir 10 tahun. 

DAP menerusi Setiausaha Agungnya, tidak dapat merealisasikan hujjahnya Pakatan Harapan adalah parti suci, bila menggelarkan Pas sebagai parti sesat. Pas yang mentadbir Kelantan, lebih 27 tahun amat jauh beza dengan DAP yang baru 10 tahun tadbir kerajaan negeri. Dalam usia yang begitu muda, kepimpinan negeri termasuk Ketua Menteri sudah diheret ke mahkamah, berbanding belum ada seorang pun penjawat legislatif dan eksekutif dari Kelantan terlibat dalam apa-apa kes jenayah atau moral.  

Antara sebab yang dapat dikesan oleh media sosial, tercetusnya kempen merosak undi ialah;
i. Undi rosak adalah mewakili kelompok pengundi yang tidak berpuashati dengan prestasi kerajaan pimpinan BN dan apa yang disebut penyokong BN, "kerajaan pembangkang";
ii. Satu pengajaran kepada ahli politik yang tidak teguh dengan ikrar perjuangan dan janji pilihan raya serta mereka yang tak bertanggungjawab, memusnahkan harapan pengundi bila ambil keputusan belot atau melompat parti; 
iii. Satu penilaian semak dan imbang (check and balance) bagi parti yang meletakkan calon yang tidak dikenali pengundi.

DAP sebagai parti dominan dalam pakatan pembangkang yang telah menaburkan janji untuk menyelaraskan struktur pentadbiran dengan perancangan mengurangkan jumlah kakitangan awam kepada 430,000 orang sahaja berbanding dengan jumlah semasa 1.62 juta kakitangan awam. Rancangan ini seandainya PH mengambilalih Putrajaya dalam PRU14. Sektor awam yang dikuasai oleh tenaga Melayu akan terjejas kedudukan, akan memaksa pengundi Melayu yang sudah jemu dengan BN tiada pilihan lain, di samping menolak BN, terpaksa juga tolak PH, dengan merosakkan undi mereka. 

Dalam pertandingan dua penjuru, merosakkan undi, pada satu peringkat boleh menjejaskan prinsip asas demokrasi yang menentukan individu berperanan dalam membentuk kerajaan. Mungkin pengundi menunaikan tanggungjawab di peri undi dengan peratusan keluar mengundi yang tinggi, tetapi kadar undi sah yang kecil yang menentukan keputusan. Keputusan yang dibuat oleh segelintir kecil pengundi tidak menepati kerajaan dibentuk atau dipilih oleh suara rakyat terbanyak. 

Dalam Pilihan Raya Umum 1978, calon BN dari MCA bagi Bahagian Pilihan Raya Negeri Selangor, N 8, Kuala Kubu Bahru telah ditolak borang pencalonan atas kesilapan teknikal, menjadi persaingan adalah antara calon DAP dengan seorang calon bebas. Pan Su Peng (DAP) menang bila perolehi 3,202 undi untuk mengalahkan Yap Hon Chu (bebas) yang dapat 647 undi sahaja, sementara 4,955 undi telah dirosakkan. Walaupun seramai 8,804 pemilih atau 73.80% telah keluar mengundi, dari jumlah 11,928 pemilih berdaftar, tetapi sebenarnya, cuma 3,849 pengundi (3,202 + 647) atau 32.87% pemilih terlibat mengamalkan prinsip demokrasi; memilih ahli perundangan.

Dalam kes Kuala Kubu Bahru, angka undi rosak jauh lebih besar dari jumlah undi yang diperolehi oleh calon yang menang, memperlihatkan bukan sekadar penolakan pemilih terhadap calon-calon atau parti-parti yang bertanding tetapi lebih utama ialah bantahan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Bantahan kepada SPR adalah dalam bentuk kesilapan teknikal semasa hari penamaan calon yang boleh diatasi demi memurnikan proses demokrasi dalam menentukan kehidupan orang ramai.

Mengambil kes Kuala Kubu Bahru (1978) sebagai contoh, undi rosak memain peranan untuk menafikan persepsi kerajaan oleh rakyat, dipilih oleh rakyat untuk rakyat, sedangkan ianya melibatkan bilangan kecil keterlibatan rakyat. Jika kesan dari kempen undi rosak yang mempengaruhi sebahagian besar pemilih, dengan cuma 30% sahaja yang terlibat untuk memilih kerajaan menerusi amalan demokrasi, akan wujudkan kegagalan membentuk sebuah masyarakat yang tidak peduli kepentingan awam atau kepentingan bersama. 

Amalan undi rosak bukan sekadar satu bentuk protes ke atas beberapa pelaku dalam sistem demokrasi kepilihanrayaan, ia juga memberikan beberapa kesan negatif kepada sistem berkenaan dalam jangka masa tertentu. Keterbatasan penglibatan seluruh warga dalam amalan demokrasi menerusi mekanisme undi rosak akan menjurus kepada bentuk "a government elected by the minority to govern the majority". 

Dalam konteks semasa di Malaysia, kempen undi rosak atau rayuan merosakkan undi akan memberikan lebihan kepada parti yang mempertahankan pemerintahan; BN. Kempen ini mensasarkan kelompok yang kecewa dengan tindak-tanduk parti-parti kerajaan dan pembangkang, secara langsung akan mengurangkan potensi undi kepada parti pembangkang, Pakatan Harapan khususnya. 

Kecenderungan kepada undi rosak dapat dielakkan lantaran PRU4 berpotensi kepada persaingan lebih dua penjuru. Pengundi yang bercadang untuk merosakkan undi kerana kecewa dengan prestasi BN dan PH, ditawarkan pilihan ketiga menerusi Pas bersama Gagasan Sejahtera, atau parti lain kiranya berlaku singan tiga atau empat penjuru. Tindakan pemilih menolak kempen undi rosak akan menyelamatkan kesuburan demokrasi yang menjadi teras pembentukan negara bangsa.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan