Khamis, 25 Januari 2018

Tsunami Melayu

JANGKAAN TSUNAMI MELAYU MENGGEGAR PRU14

Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) yang sedang menunggu pengumuman tarikh tahun ini diramalkan satu gelombang ayungan undi akan berlaku. Ramalan ini tidak berfokus atau bertumpu kepada satu kelompok parti tertentu, tetapi lebih diandaikan dengan berbagai persepsi. Kemunasabah persepsi tersebut ada hujah dan kekuatan serta rasionale tersendiri.

Barisan Nasional yang dikepalai UMNO yang hanya mampu meraih 47% undi popular dalam PRU13 walaupun masih mempertahankan kuasa Persekutuan, pencapaian terburuk dalam sejarah. Undi BN hanya mampu dipertahankan oleh undi masyarakat luar bandar, orang Melayu di Semenanjung dan peribumi di Sabah dan Sarawak. Undi masyarakat bandar yang dikuasai etnik Cina, disimpulkan sekitar 70 peratus menolak BN. 

Daripada 13 kawasan Parlimen di Semenanjung yang mempunyai peratusan pengundi Cina lebih 70%, kecuali Bukit Mertajam di mana BN dapat 44% undi, undi BN adalah tidak melebihi 33% atau 1/3 jumlah undi. Undi BN adalah bawah 33% di Kepong, Tanjung, Seputeh, Cheras, Batu Gajah, Ipoh Barat, Bukit Bendera, Petaling Jaya Utara, Ipoh Timur, Bukit Bintang, Bukit Gelugor dan Bagan. 

Berasaskan kepada peningkatan undi Melayu kepada BN dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) selepas PRU13, ada analisis menyakinkan undi Melayu akan berayung ke BN dalam PRU14.  Keyakinan ini diasaskan kepada keperluan sokongan semula orang Melayu kepada BN, lantaran peratusan undi orang Cina yang tinggi menolak BN. Demi mengstabilkan kuasa politik serta masa depan orang Melayu, keperluan pengundi Melayu memihak kepada BN di atas rasionaliti kebimbangan pengukuhan sokongan orang Cina kepada DAP akan memunculkan DAP sebagai satu ancaman kepada tradisi kuasa politik Melayu. Sungguhpun BN berjaya menarik dan memujuk undi Cina sebagaimana digambarkan dalam beberapa PRK, tetapi belum cukup untuk menjamin kedudukan parti-parti sokongan Cina dalam BN. 

Mengambil kira kejayaan BN memperbaiki imej dan prestasi menerusi beberapa PRK pasca PRU13, diyakini BN akan mendapat manfaat hasil perubahan pola pengundi Melayu dalam PRU14. Di samping itu, kekalutan yang berlaku dalam pasukan pembangkang yang membawa kepada perpecahan pakatan pembangkang, sedikit sebanyak mempengaruhi sikap pengundi. Sebahagian pengundi akan mengalih kepada BN, demi melihat kepada idaman kestabilan politik dan masa depan negara. Perubahan yang membawa kepada tsunami Melayu akan membantu BN mengembalikan senario lampau, BN akan membantuk pemerintahan Persekutuan yang lebih kukuh, hasil PRU14. 

Sungguhpun berlaku perpecahan dalam pakatan pembangkang pasca PRU13, yang boleh memberikan kelebihan kepada BN, tetapi sebaliknya ramalan tsunami Melayu mungkin berlaku. Kemelut yang berlaku dalam UMNO, yang bolehlah disifatkan sebagai satu krisis keyakinan kepimpinan Melayu boleh membawa kepada perubahan sikap dan sokongan pengundi. Kemelut yang membawa kepada penyingkiran kepimpinan parti, mendorong kepada pembentukan sebuah parti serpihan mewakili orang Melayu. Krisis kepimpinan yang membawa kepada pembentukan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) jika boleh mengulangani sejarah pembentukan Parti Keadilan Nasional (KeADILan) akan memberikan cabaran besar bukan sahaja kepada UMNO, tetapi BN umumnya. Ulangan tsunami Melayu dalam PRU10 (PRU 1999) yang telah merobek penguasaan UMNO dalam politik Melayu, tidak mustahil, BN akan hilang kuasa. 

PRU13 menyaksikan tsunami Cina, walaupun didakwa sudah berlaku perubahan di mana pengundi Cina sudah beralih angin ke BN, tetapi angka tidak cukup untuk menafikan penguasaan parti pembangkang, khususnya DAP di kawasan bandar. Kemunculan mantan Perdana Menteri membantu pakatan pembangkang menerusi PPBM, akan memudahkan ruang pengundi Melayu membina tsunami Melayu untuk menukar kerajaan kleptokrasi.

Pengaruh Tun Dr Mahathir sebagai faktor dominan untuk merombak penguasaan BN yang dikepalai DS Mohd Najib. Fokus utama dimainkan Tun Dr Mahathir untuk menyingkirkan kepimpinan DS Najib yang secara langsung menolak BN. Serangan ke atas peribadi dan kepimpinan DS Najib menenggelamkan serangan ke atas UMNO, yang boleh menghilangkan keyakinan dan sokongan kepada BN. Serangan bertali arus ke atas kelemahan urustadbir serta ketidaktentuan prestasi ekonomi dengan peranan Tun Dr Mahathir boleh menarik undi Melayu yang secukupnya untuk mengimbangi sokongan masyarakat Cina dalam pakatan pembangkang. Membiarkan pengundi bukan Melayu, Cina khususnya bersama pakatan pembangkang sementara orang Melayu mendokongi kerajaan, akan menjarakkan keharmonian dan perpaduan kaum.

Menyedari keperluan untuk mengimbangi kuasa bukan Melayu, secara terpaksa pengundi Melayu perlu melihat di mana sokongan majoriti rakyat Malaysia. Atas faktor kemurungan meraih sokongan kepada BN, pengundi Melayu mungkin mengambil keputusan menyertai pengundi bukan Melayu menolak BN. Fenomena ini iaitu dengan penyertaan sama pengundi Melayu yang menzahirkan tsunami Melayu bersama pakatan pembangkang memudahkan laluan meruntuhkan dominasi kuasa dari tangan BN. 

Kemungkinan tsunami Melayu dalam PRU14, apabila orang Melayu cemuh dan bosan, bila parti-parti politik sama ada dari blok kerajaan atau pakatan pembangkang menanamkan nilai-nilai kebencian terhadap sesuatu kaum. Isu-isu sensitif dan rasialisme menjadi isu utama parti mendapat kuasa, memungkinkan orang Melayu menolak UMNO dan DAP, yang kedua-duanya, parti dominan atau parti yang menguasai kelompok kerajaan atau kelompok pembangkang. 

Tsunami Melayu akan berlaku apabila pengundi Melayu memilih jalan sederhana, jalan kompromi dan jalan harmoni. Mereka akan menolak UMNO yang memimpin BN dan mereka juga akan menolak DAP yang memimpin pakatan pembangkang. Atas perkiraan tersebut, tsunami Melayu akan berlaku bila pengundi Melayu sebagai kumpulan atau etnik majoriti, menolak UMNO/BN, menolak DAP/Pakatan Harapan, dan mereka memilih Pas. Jika pengundi Melayu memilih jalan tengah, mereka mengundi Pas, yang tidak terikat dengan tradisi perkauman UMNO dan cauvanis DAP. 






 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan