Ahad, 11 Februari 2018

Mahathir Bukan Calon PM

TUN DR MAHATHIR BUKANLAH CALON PERDANA MALAYSIA

Penamaan Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk menjadi Perdana Menteri buat kali kedua sebagaimana diduga mencetuskan controversial berbagai pihak. Pihak musuh iaitu UMNO/BN dan Pas mempersoalkan usia dan persaraan Tun sebagai Perdana Menteri yang paling lama. Ditimbulkan prasangka masyarakat Cina terhadap mantan PM. Isu menonjol, perkaitkan dengan sikap beliau terhadap masyarakat Cina sepanjang tempoh pentadbiran beliau. Undi Cina membentuk tsunami Cina dalam PRU13 hampir meletakkan penolakan total pengundi Cina terhadap Barisan Nasional (BN). 

Apapun dalam politik Malaysia, tokoh Melayu adalah prasyarat penentuan kuasa, walaupun Perlembagaan Persekutuan tidak meletakkan syarat batang tubuh Melayu sebagai ketua kerajaan atau Perdana Menteri. Fakta ini tidak terpakai bagi kerajaan negeri yang mempunyai Raja Melayu. Tun Dr Mahathir adalah tokoh atau watak yang perlu atau tak dapat dielakkan untuk mengetuai pakatan pembangkang, yang memerlukan penyatuan pasukan pembangkang sebagai kerajaan alternatif. 

Tanpa kepimpinan Melayu sebagai simbol penyatuan pasukan pembangkang sebagai alternatif atau pilihan kepada parti yang menguasai kerajaan, alternatif yang ditawarkan kepada rakyat, gagal membentuk satu alternatif yang harmoni dalam masyarakat pelbagai kaum dan etnik. Kejayaan pasukan pembangkang yang membentuk persefahaman pilihan raya berakhir dengan ketidakstabilan politik sebagaimana yang dapat diterjemahkan dari keputusan Pilihan Raya Umum 1969. Walaupun wujud persefahaman pilihan raya untuk elak perpecahan undi anti-kerajaan yang dibentuk oleh PPP, DAP dan Gerakan, yang berjaya menjatuhkan kerajaan negeri Pulau Pinang, dan membuntui pembentukan kerajaan Perak dan Selangor, berakhir dengan penggantungan badan legislatif. Pengalaman 1969 ini, meletakkan faktor Melayu sebagai pemimpin tidak dapat dinafikan. 

Faktor Tun Datu Mustapha sebagai penyatuan ummah yang mengheret Borneo Utara (kemudian Sabah) merdeka menerusi penubuhan Malaysia, menjadi asas faktor Melayu dan Bumiputera Islam sebagai pemimpin utama. Berlatarbelakangkan masyarakat berbagai etnik dan suku, pengalaman Sabah dan Sarawak, memperkukuhkan kepimpinan Melayu dan Islam, walaupun Melayu dan Bumiputera Islam bukan kelompok majoriti. 

Usaha membentuk pakatan pembangkang menerusi kerjasama pilihan raya menjelang PRU 1986, di dalam gagasan Harakah Keadilan (HAK) sebagai usaha awal menampilkan kepimpinan Melayu. HAK yang dianggota Pas, Parti Nasionalis Malaysia (NASMA), Socialist Democratic Party (SDP), Partai Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM), tidak memberi impaks besar mencabar BN dalam PRU 1986. Yusof Rawa Yang Dipertua Pas Pusat tidak ditonjolkan sebagai tokoh pembangkang atau tokoh alternatif kepada Dr Mahathir. Walaupun Yusof Rawa pernah menewaskan Dr Mahathir di kerusi Parlimen Kota Star Selatan dalam PRU 1969, tetapi  ketokohan beliau ditenggelami ketokohan Dr Mahathir sebagai PM masa itu. 

Kegagalan HAK, didepani oleh kejayaan cemerlang DAP, yang berjaya menguasai kawasan bandar seluruh negara, dengan mengaut 24 kerusi Parlimen dalam PRU 1986. Kegagalan penyatuan pembangkang atau meletakkan pembangkang tunggal untuk berdepan BN, lantaran tidak menampakkan sebarang tokoh yang boleh setanding dengan Dr Mahathir. 

Keupayaan Tengku Razaleigh mengumpulkan parti-parti pembangkang dalam dua pasukan menjelang PRU 1990, memberikan cabaran besar kepada BN. Pakatan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dianggota Pas, Parti Semangat 46, Berjasa dan Hamim, yang tertumpu di kawasan Melayu, sementara di kawasan pengundi bukan Melayu?bukan Islam, menerusi Gagasan Rakyat yang dianggota Parti Semangat 46, DAP, Parti Rakyat Malaysia, Indian Progressive Party (IPF) dan PBS dari Sabah.

Sungguhpun Tengku Razaleigh berjaya menarik sokongan di kawasan luar bandar atau di kalangan pengundi Melayu, tetapi di kawasan bandar, sokongan adalah terbatas. Peranan Tengku Razaleigh berjaya meletakkan satu penegasan bahawa politik Malaysia memerlukan satu figura Melayu/Islam sebagai pemimpin atau peneraju. Keterlibatan Tengku Razaleigh mengasas dan menyatukan kumpulan parti-parti pembangkang mengabsahkan politik Malaysia tidak boleh dipisahkan dari dominasi oleh kelompok Melayu/Islam.

Apabila Tengku Razaleigh meninggalkan pakatan pembangkang dengan membubarkan partinya, Parti Melayu Semangat 46 untuk menyertai semula UMNO, dalam tahun 1997, wujud satu vacuum kepimpinan Melayu alternatif kepada BN. Krisis kepimpinan dalam UMNO kesan dari pemecatan Anwar Ibrahim dalam kerajaan dan parti, telah menjadi peluang yang perlu diisi mencari tokoh yang boleh menyatukan parti-parti pembangkang dan pressure groups serta kumpulan simpatisan. Fadzil Noor, Presiden Pas berjaya menyatukan parti-parti politik pembangkang dan pressure groups serta NGO menerusi wadah Gerakan Rakyat (GERAK). Hasil dari penyatuan ini berjaya membentuk kerjasama politik untuk menghasilkan perlawanan satu lawan satu dalam PRU 1999. 

Kempimpinan Fadzil Noor berjaya membentuk tsunami Melayu, membolehkan BN kehilangan banyak kerusi di kawasan Melayu bila BN berdepan dengan Barisan Alternatif yang menggabungkan pakatan Pas, Parti KeADILan Nasional, DAP dan Parti Rakyat Malaysia.. BN gagal merampas Kelantan, hilang kuasa di Terengganu, serta kehilangan beberapa kerusi Melayu di Kedah, Perlis, Selangor, Pahang dan Perak. 

Selepas kematian Fadzil Noor dalam tahun 2002, dikuti pengunduran DAP dari Barisan Alternatif dan pelaksanaan persempadanan semula kawasan pilihan seluruh negara, memberi impaks besar kepada pakatan pembangkang. PRU 2004 menyaksikan pemulihan BN yang menerima kejutan PRU 1999.   Pakatan pembangkang hilang kuasa di Terengganu, serta membuka ruang BN menerusi UMNO merampas balik banyak kerusi yang hilang dalam PRU 1999. 

Ketokohan Tok Guru Nik Abdul Aziz menjadi inspirasi parti-parti pembangkang untuk menerima hakikat kesatuan dalam strategi dan halatuju untuk memberi tawaran alternatif kepada khalayak pemgundi. Tok Guru adalah tokoh yang boleh diterima oleh semua pihak, untuk dijadikan idola, tempat rujukan dan penyatu parti-parti pembangkang, selepas prestasi yang memilukan dalam PRU 2004.

Sungguhpun Tok Guru tidak pernah ditonjolkan calon Perdana Menteri, tetapi diberi perhatian sebagai tokoh penyatuan dan rujukan. Ahli-ahli politik bukan Islam yang terlibat dalam beberapa isu panas dan kontraversi, menjadikan Tok Guru sebagai sumber. Fong Po Kuan, semasa menjadi Ahli Parlimen Batu Gajah (DAP) merujuk Tok Guru untuk nasihat semasa digantung dari Parlimen selama 6 bulan. Exco Selangor dari PKR, Elizebeth Wong dan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching (DAP) juga merujuk Tok Guru untuk bimbingan dan pandangan. 

Anwar Ibrahim yang silih berganti keluar masuk penjara membantut usaha untuk meletakkan nama beliau sebagai calon PM, berjaya menarik sokongan yang memberikan kejayaan parti-parti pembangkang yang lebih cemerlang dalam dua PRU terakhir; PRU 2008 dan PRU 2013. Ketiadaan Anwar dan kematian Tok Guru turut menguburkan Pakatan Rakyat. 

Untuk berdepan PRU 2014, pakatan pembangkang di bawah Pakatan Harapan terpaksa mencari tokoh baru yang boleh mengumpulkan seluruh tenaga pembangkang untuk menumpaskan BN. Tun Dr Mahathir diputuskan sebagai calon PM hasil kesepakatan 4 parti: PKR, DAP, Parti Peribumi Bersatu Malaysia (serpihan UMNO) dan Parti Amanah Negara (serpihan Pas). Tun Mahathir yang telah memegang jawatan PM selama 22 tahun, yang telah meletakkan jawatan hampir 15 tahun lalu. Yang menjadi persoalan dan perdebatan ialah tokoh yang telah bersara dari jawatan yang dipegang dengan tempoh yang panjang, hendak diangkat kembali. Sebenarnya, pengangkatan Tun bukanlah untuk meletakkan beliau sebagai PM seandainya BN kecundang dalam PRU terdekat.Peranan Tun , tak lebih dari peranan Tok Guru, sebagai legenda dan demi menyakinkan usaha untuk menumpaskan BN. Ini adalah satu strategi mengabui mata musuh, dengan hakikat yang sebenarnya tokoh lebih muda, dan boleh diterima semua kaum, ditawarkan sebagai calon PM yang sebenar. Peranan Tun dijangka sebagaimana peranan dimainkan Tengku Razaleigh, Fadzil Noor dan Tok Guru Nik Aziz, sebagai memperkukuh tapak dan perancang strategi untuk memudahkan laluan ke puncak kuasa.                                                                                                                                                                                                                                                                                                      






 

 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan