Isnin, 19 Februari 2018

Kawasan Tumpuan PRU14 (2)

MEMANIPULASI PENDAFTARAN PEMILIH UNTUK MEMPERKUKUH PARTI

Strategi memindahkan pemilih menerusi proses pendaftaran tukar alamat adalah antara strategi popular digunapakai untuk parti politik tertentu untuk memperkukuhkan kekuatan parti dalam pilihan raya umum berikutnya. Strategi popular ini diamalkan di kawasan tumpuan atau kawasan yang dimenangi oleh mana-mana parti dengan majoriti kecil atau perbezaan undi yang kecil.

Parti merancang untuk memindahkan satu angka tertentu, khususnya dari satu kawasan ke kawasan lain. Pengundi dari kawasan lama sama ada pemilih yang dikenalpasti penyokong parti atau penyokong parti lawan, akan dipindahkan. Pemindahan ini berasaskan kepentingan atau memberi kesan positif kepada pencapaian parti.

Parti akan memindah pengundi yang dikenalpasti di mana pemilih perlu memohon pertukaran alamat dalam kad pengenalan. Kemudian pemilih akan mengisi Borang A, borang pendaftaran pemilih, sama ada pendaftaran baru atau pendaftaran tukar alamat menggunakan borang yang sama. Pemilih yang dikenalpasti diberi kemudahan pertukaran alamat untuk mendapatkan kad pengenalan yang baru, tanggungan kos akan diuruskan oleh parti. Kos untuk mendapatkan kad pengenalan baru ialah RM10.00. 

Pemilih perlu hadirkan diri untuk kemukakan Borang A di Pejabat SPR atau Pejabat Pos, sebagai wakil SPR. Kebiasaannya, pihak parti akan mengurus kehadiran pemilih di premis pendaftaran rasmi. Ada kalanya pemilih diberi wang saguhati di atas kerelaan namanya dipindahkan ke kawasan baru yang menjadi tumpuan parti. Semua kerja-kerja ini memerlukan perbelanjaan yang besar, kerana bilangan yang dipindahkan dalam skala besar. 

Pengundi-pengundi yang dipilih  dari kawasan pilihan raya yang dimenangi selesa oleh pihak lawan dalam negeri yang sama atau negeri jiran, dikenalpasti untuk dipohon sebagai pendaftaran tukar alamat. Gerak kerja ini dilakukan dalam sepanjang tahun atau dalam tempoh-tempoh tertentu. Pendaftaran oleh SPR dibuka sepanjang tahun dan dipamerkan untuk semakan dan bantahan setiap suku tahun yang berakhir; 31 Mac, 30 Jun, 30 september, 31 Disember. 

Kos yang besar perlu disediakan; bermula pertukaran alamat kad penganalan serta kos pengangkutan untuk mengangkut pemilih sekiranya berlaku bantahan oleh pemilih tempatan. Parti perlu menyediakan saguhati di atas pengorbanan pemilih yang memohon, meninggalkan tugas harian dan kampung halaman. 

Pihak pembantah, biasanya parti lawan, perlu mengisi Borang C bersama kos, iaitu RM10.00 untuk setiap bantahan dan bersedia membayar tuntutan perjalanan setiap orang kena bantah. Kadar kos tuntutan akan ditentukan oleh pihak SPR sekiranya bantahan ditolak pada hari prosiding bantahan. Kebiasaannya SRP meletakkan kadar minima RM50.00. 

Jentera parti yang mengusahakan kerja-kerja pendaftaran tukar alamat yang terpaksa memperuntukkan kos yang besar adalah satu tindakan yang wajar demi mempastikan kekukuhan dan kekuatan parti bagi sesebuah bahagian pilihan raya. Pihak yang membantah, terpaksa menyediakan peruntukan besar untuk menafikan hak pemilih yang dimanipulasikan. Pihak yang membantah, pastinya parti lawan perlu cermat dan kerja kuat untuk menghalang, pemilih bukan pemastautin sebenar mengundi dalam sesuatu bahagian pilihan raya. 

Parti atau pihak pembantah terpaksa bertindak demi mengelakkan pertambahan penyokong lawannya bertambah dengan "pemilih pemastautin singgah". Pemilih jenis ini ditentukan premis atau rumah tumpang atau rumah angkat sebagai asas pendaftaran yang kadang-kadang menggunakan alamat palsu, penumpang yang terlalu lama dalam satu premis, malah pemilih gagal menunjukkan tempat tinggal atau bermastautin sementara semasa disoalbalas masa prosiding bantahan. 

Pertukaran alamat kad pengenalan sebenarnya berlaku dalam dua kaedah. Pertama: permohonan terus oleh individu secara rasmi di Pejabat Pendaftran Negara (JPN). Kaedah kedua; pertukaran alamat dalam rekod JPN berlaku tanpa disedari oleh individu. Kaedah ini berlaku menerusi pertukaran cip dalam rekod JPN, yang diuruskan oleh pihak lain. Kaedah ini berlaku atas urusan peribadi individu yang memerlukan perpindahan alamat, apabila individu memohon atau menjalankan urusniaga, pihak ketiga akan mengatur pertukaran cip untuk memenuhi syarat penginapan atau permastautinan. 

Elemen paling popular dalam urusan pendafataran pemilih ialah pihak ketiga mengatur pertukaran cip individu untuk mengeluarkan individu dalam sesuatu lokaliti pendaftaran. Individu yang dalam proses pemotongan iaitu pemilih berpindah daerah mengundi atau bahagian pilihan raya tanpa restu, atau pengundi tidak pernah memohon perpindahan. Kes ini berlaku apabila pengundi atau penyokong sesuatu parti terpaksa "dibuang" demi mengurangkan sokongan parti berkenaan. 

Pemilih yang nama mereka tanpa disedari dipindah, terpaksa membuat bantahan menggunakan Borang B, untuk menuntut supaya namanya tidak dikeluarkan daripada senarai pemilih dalam lokaliti dan daerah mengundi asal. Pemilih perlu kemuka Borang B bersama kos RM10.00. Pemilih kena tanggung sendiri kos perjalanan untuk kemuka Borang B di Pejabat SPR berdekatan. 

Kawasan tumpuan PRU14 menjadikan pendaftaran tukar alamat dan pemotongan- pemilih bertukar alamat menjadi kerja utama parti-parti yang bakal bertanding. Namun, lantaran memerlukan kos yang tinggi serta kerjasama agendi pelaksana, SPR, sudah barang tentu selain Barisan Nasional, pihak lain berada dalam zon ketidak-mampuan. Mana mungkin parti-parti pembangkang berupaya dapat kerjasama untuk menukar cip individu dalam rekod JPN, malah ada kalanya SPR terpaksa membantu pemilih dalam prosiding bantahan pendaftaran menunjukkan premis mana yang pemilih akan bermastautin sementara, walaupun syarat bermastautin 90 hari untuk layak didaftarkan sebagai pemilih. 

Bilangan pemilih yang memohon pertukaran alamat bukanlah kecil. Jika 500 orang pemilih dipindahkan dalam satu tempoh Rang Daftar Pemilihan Tambahan (RDPT) bagi satu bahagian pilihan raya negeri (Dun), parti lawan perlu kemukanan borang bantahan bersama kos RM5000.00, serta menyediakan RM25,000.00 untuk berdepan prosiding bantahan. Jika jumlah sama dibantah sepanjang tahun, parti lawan kena sediakan RM120,000.00, untuk berdepan 4 kali prosiding RDPT. 

Bagi parti pemerintah yang tiada masalah dari sudut kewangan serta dana yang secukupnya, Borang permohonan pendaftaran pemilih, tidak memerlukan kehadiran pemilih semasa kemukakan borang di Pejabat SPR. Ianya diuruskan oleh jentera parti, yang kadang-kadang bertimbal-balik antara urusan kerajaan dengan urusan parti, bermula di JPN dan berkahir di SPR. Oleh kerana semua urusan dilaksanakan oleh parti yang menguasai kerajaan, legislatif menguasai eksekutif, ada prosiding bantahan yang tidak dihadiri oleh semua orang kena bantah. Orang kena bantah tidak menyedari mereka memohon pemindahan tempat mengundi, mereka tidak bersetuju untuk pindah, malah menyusahkan mereka kerana dalam rekod JPN mereka telah menukar alamat tempat tinggal. 

Di samping itu, kerja-kerja pendaftaran pemilih dibantu oleh Pemaju KEMAS, Ikatan Relawan Rakyat (RELA), Jabatan Orang Asli (JOA), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) sebagai antara agensi yang aktif.  Agensi berkenaan popular sebagai pihak yang membantu jentera BN di seluruh negara. Sebelum PRU13, parti-parti politik diberi kebenaran untuk membantu kerja-kerja pendaftaran menerui perlantikan Penolong Pendaftar Pemilih. Ruang  ini tertutup untuk jentera parti pembangkang, kecuali negeri di mana BN sebagai pembangkang, PPP dilantik di kalangan Ketua Kampung lantikan kerajaan negeri.

  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan