Sabtu, 17 Februari 2018

Kawasan Tumpuan PRU14 (1)

KAWASAN PARLIMEN TUMPUAN PRU14 


Berita Harian (Rabu 14/02/2018) telah meletakkan 46 kawasan Parlimen bermajoriti bawah 3,000 undi dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) sebagai kawasan tumpuan bagi PRU14, sebagai tajuk utama. Kawasan yang dimenangi dengan majoriti kecil ini; 29 oleh Barisan Nasional, 17 oleh parti-parti pembangkang, dijangka akan berlaku saingan sengit. 

Beberapa orang kepimpinan utama BN termasuk dalam kumpulan ini, antaranya Timbalan Perdana Menteri DS Zahid Hamidi (Bagan Datoh), Presiden MCA, DS Liow Tiong Lai (Bentong), Presiden MIC, DS S.Subramanian (Segamat) dan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Yong (Teluk Intan). 

Berita Harian sekadar melontar sebuah headlines untuk menarik perhatian pembaca dan pemerhati politik dalam bentuk kenyataan umum atau fakta prestasi PRU13, untuk dijadikan panduan dan perbandingan menjelang PRU14. Terjahan Berita Harian ini membuka ruang untuk analisis semua pihak, tanpa mendedahkan latar belakang prestasi dan sokongan pengundi kepada parti-parti terlibat. Di samping itu, tidak didedahkan isu-isu nasional dan tempatan yang boleh mengubah atau menentukan pemilihan pengundi.

Faktor kawasan tumpuan dalam persiapan PRU14 seharusnya diterokai bersama strategi parti pemerintah untuk pertahan kerusi yang dimenangi dengan majoriti kecil dan merampas kerusi pembangkang. Sekurang-kurangnya ada 3 faktor yang sepatutnya menjadi penentu keberkesanan memihak kepada parti pemerintah. Keberkesanannya sama ada BN akan meluaskan jurang perbezaan undi atau merampas kerusi pembangkang dengan undi bergaya. 

Peranan dimainkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) walaupun menjalankan tugasan eksekutif, tetapi hakikinya menyempurnakan kehendak BN untuk mencapai dua matlamat: memperkukuhkan kedudukan di kawasan yang dimenangi dengan majoriti kecil dan memperlebarkan harapan BN untuk merampas kawasan yang dimenangi parti pembangkang dengan majoriti kecil. SRP tanpa berselindung sebagai proxy BN mempergunakan kaedah teknikal ialah persempadanan semula kawasan pilihan raya dengan pencarian alasan yang ada kalanya munasabah dan ada kalanya alasan yang disengajakan. 

Dalam PRU 1999, BN menerusi Timbalan Perdana Menteri hanya menang dengan majoriti kecil, 241 undi di kerusi Parlimen Pekan. Parlimen Pekan adalah adalah kawasan kubu UMNO sejak merdeka yang diwakili oleh Perdana Menteri kedua, selama 4 penggal. Dalam PRU 1995, BN menerusi calon yang sama, menang besar dengan majoriti 10,793 undi. PRU 1999 menggunakan kawasn pilihan raya yang sama PRU 1995 merangkumi 3 bahagian pilihan raya negeri; Kuala Pahang, Bebar dan Chini. Kesempatan persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003 digunakan untuk menjadikan Pekan kekal tradisinya kubu UMNO. Bahagian pilihan raya Parlimen Pekan telah diperbesarkan dengan tambahan satu bahagian pilihan raya negeri yang asalnya dalam bahagian pilihan raya Parlimen Paya Besar. Bahagian pilihan raya parlimen Pekan yang digunakan dalam PRU 2004 mempunyai 4 bahagian pilihan raya negeri (Dun): Pulau Manis (bahagian besar Dun Penur dalam Parlimen Paya Besar), Peramu Jaya (dulunya Kuala Pahang), Bebar dan Chini. Bahagian Parlimen Paya Besar dengan Dun Sungai Lembing dan Lepar, serta Dun Panching yang baru dibentuk, mengambil sebahagian kawasan Parlimen Kuantan. 

Perluasan saiz Parlimen Pekan menjadikan jumlah pemilih di Pekan dalam PRU 2004 ialah 52,687 berbanding 34,307 dalam PRU 1999, sementara pengundi di Parlimen Paya Besar berkurangan kepada 37,440 orang berbanding 47,884 pengundi dalam PRU 1999. Untuk mempastikan kekuatan UMNO di Parlimen Pekan, dimasukkan kawasan-kawasan Felda dari Paya Besar. Hasil persempadanan kawasan pilihan raya 2003, bilangan kawasan pilihan raya atau kerusi Parlimen di Pahang telah bertambah dari 11 kerusi kepada 14 kerusi. Sepatutnya pertambahan kawasan pilihan raya akan mengurangkan jumlah pemilih di sesuatu kawasan, sebagaimana berlaku kepada Parlimen Paya Besar. Parlimen Kuantan, 70,438 pemilih (1999) berkurang ke 45,935 pemilih (2004), Lipis, 42,585 (1999) kepada 28,683 pemilih (2004), Temerloh, 53,685 (1999) kepada 49,984 (2004). 

Implikasi dari kerja-kerja teknikal SPR ini, memberikan BN menang besar dalam PRU 2004, dengan majoriti 22,922 undi. Undi BN meningkat dari 13,148 undi (1999) ke 31,956 undi (2004). 

Pendaftaran pemilih juga memainkan peranan faktor penentu dalam mempertingkatkan sokongan parti. Usaha besar-besaran dimainkan oleh BN semasa menjadi pembangkang di Terengganu (1999-2004), dalam gerak kerja pendaftaran pemilih. Usaha ini membuahkan prestasi cemerlang dalam PRU 2004, hasil  peningkatan pendaftaran pemilih disertai peratusan keluar mengundi yang luar biasa tingginya. Bila Pas mentadbirkan Kelantan dengan kelebihan 1 kerusi majoriti menjelang PRU 2008, gerak kerja utama ditekan Pas ialah pendaftaran pemilih baru secara besar-besaran untuk mempastikan anak-anak penyokong Pas dan simpatisan Pas tersenarai sebagai pemilih. Usaha Pas ini mengejutkan BN dalam PRU 2008, di kala BN/UMNO dengan harapan yang tinggi, Kelantan akan bertukar kerajaan.

Di samping peningkatan besar pendaftaran tukar alamat atau perpindahan pengundi antara faktor memberi kesan besar kepada pencapaian parti. Memindahkan pengundi dari satu kawasan ke kawasan lain untuk menambahkan undi, antara faktor membesarkan saiz kemenangan. Ini adalah kaedah popular digunakan oleh parti pemerintah yang mempunyai kemudahan birokrasi, kewangan dan machinery.

Strategi mencari atau meletakkan winable candidate atau calon mampu menang di kawasan terbuka iaitu kawasan tumpuan, merupakan strategi dominan yang boleh mengubah atau memperkukuh kedudukan parti di kawasan berkenaan. Ketokohan calon atau peribadi calon menjadi faktor tarikan khususnya untuk pengundi atas pagar. Kawasan tumpuan yang merupakan peratusan pencapaian undi calon yang menang dengan calon yang kalah yang kecil perbezaannya, atau hampir sama, di mana sekitar 20 hingga 30 peratus pengundi adalah tidak menyokong mana-mana pihak. Pengundi kategori ini akan mengundi berasaskan berbagai isu; isu nasional, isu tempatan dan isu calon. 

PRU14 yang akan menyaksikan pertarungan tiga penjuru dijangka keputusan yang luar jangka mungkin berlaku. Jika Berita Harian sekadar mengingatkan 46 kawasan tumpuan, kemenangan majoriti kecil berlaku dalam saingan dua penjuru yang sudah tentu satu gambaran persaingan sengit. Andai 3 penjuru, kemungkinan memberikan laluan mudah kepada salah satu parti yang menang majoriti kecil atau kalah majoriti kecil dalam PRU13 di kawasan sama.


 

 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan