Rabu, 7 Mac 2018

UMNO Tangguh lagi

UMNO TANGGUH LAGI PEMILIHAN KEPIMPINAN PARTI DI KALA KECEMASAN HADAPI PRU14

UMNO sebagai parti utama dalam sistem demokrasi berpalimen ala Malaysia, sekali lagi melakukan penangguhan pemilihan kepimpinan parti di semua peringkat. Apa saja tindakan parti-parti utama menjadi perhatian dan diberi liputan utama sama ada berbentuk positif atau liputan untuk menjatuhkan parti-parti berkenaan. Selain UMNO, parti utama atau parti dominan ialah DAP, PKR, Pas dan PBB (Parti Bumiputera Bersatu). Lima parti ini adalah pemilik kerusi Parlimen terbesar dan menguasai kerajaan negeri. 

Kali terakhir UMNO mengadakan mesyuarat agung pemilihan kepimpinan semua peringkat: cawangan, bahagian dan pusat ialah dalam tahun 2013. Pemilihan untuk memilih Presiden, Timbalan Presiden dan semua jawatan peringkat nasional telah diadakan pada 19/10/2013.  Sepatutnya dengan klausa 10.16, Perlembagaan UMNO yang memberi kuasa boleh ditangguhkan selama 18 bulan, yang selewat-lewatnya berakhir 19/04/2018 iaitu 18 bulan dari tarikh 19/10/2016 (peruntukan klausa 9.3: pemilihan Majlis Tertinggi perlu dipilih setiap 3 tahun).  Tradisi UMNO mengubahsuai tarikh mesyuarat agung yang melibatkan pemilihan kepimpinan parti dengan tarikh pilihan raya umum. 

Mesyuarat agung tahunan UMNO yang melibatkan pemilihan kepimpinan tidak lagi terikat dengan peruntukan  Perlembagaan UMNO bahawa pemilihan kepimpinan parti 3 peringkat: cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi perlu dipilih setiap 3 tahun sekali. Penangguhan perhimpunan agung UMNO bermula dalam tahun 1999, apabila UMNO yang menguasai kerajaan Persekutuan tercari-cari ruang untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke 10, walaupun tempoh Parlimen sehingga pertengahan 2000. 

Sebelum itu, UMNO pernah mengadakan mesyuarat agung tahun yang melibatkan pemilihan kepimpinan parti sebaik selesai PRU.  Perhimpunan Agung tahun 1978 diadakan pada 15/09/1978 iaitu dua bulan selesai PRU pada 08/07/1978. Perhimpunan ini bukan sahaja mengesahkan mandat untuk PM Hussien Onn tetapi mengesahkan beliau sebagai ketua parti. Perhimpunan Agung UMNO 1990 yang melibatkan pemilihan kepimpinan parti diadakan sebulan lepas PRU, PAU pada 29/11/1990 sementara PRU pada 21/10/1990. PM Dr Mahathir Mohamad, tidak menunggu lama untuk mengesahkan beliau pemimpin kerajaan serta pemimpin parti.

PAU 1999 yang terlibat dengan pemilihan parti ditangguhkan ke tahun 2000 untuk beri laluan kepada PRU10 (PRU 1999). Mandat kepimpinan UMNO yang dipilih dalam PAU 2000 sepatutnya tamat dalam tahun 2003. Oleh kerana persiapan parti untuk berdepan dengan PRU sebagai usaha parti memperbaiki imej dari kemerosotan prestasi BN dalam PRU10, PAU diadakan selepas PRU11 (PRU 2004)

Kuasa mengurus dan mentadbir parti meneru pemilihan dalam tahun 2004, sepatut berakhir dalam tahun 2007, telah ditangguhkan menggunakan peruntukan Klausa 10.16, selama 18 bulan ke tahun 2008. PRU12  terpaksa diadakan dalam bulan Mac 2008, untuk mengelakkan pertembungan persiapan PRU dengan tamat tempoh penangguhan mesyuarat agung parti atau pemilihan parti. 

Jawatankuasa yang dipilih dalam tahun 2008, berakhir tempoh 3 tahun dalam tahun 2011. Lantaran pertembungan tempoh pembubaran otomatik Parlimen dengan lanjutan tempoh mesyuarat agung parti, Parlimen terpaksa dibubarkan lebih awal sebelum pembubaran otomatik 28/04/2013. PRU13 telah diadakan pada 05/05/2013 dan PAU diadakan pada 19/10/2013 untuk memilih anggota baru Majlis Tertinggi (MT). Tempoh 3 tahun tamat pada 19/10/2016, dengan peruntukan Klausa 10.16, berlanjutan kepada 19/04/2018.  

Dari sudut perkiraan tempoh dan tarikh, semua mesyuarat UMNO peringkat cawangan serta memilih kepimpinan baru selesai sebelum 28/02/2018, diikuti peringkat bahagian dan pemilihan MT sebelum 19/04/2018. Dua hari lepas Pendaftar Pertubuhan (Registrar of Societies/ROS) memaklumkan keputusan UMNO melanjutkan tempoh pemilihan parti selama satu tahun, ke 19/04/2019, dibolehkan mengikut perlembagaan. Kesibukan kerja-kerja persiapan parti untuk PRU14, pemilihan UMNO terpaksa ditangguhkan kepada tempoh yang paling panjang dalam sejarah parti politik di Malaysia. Pemegang jawatan dalam UMNO sekarang, yang dipilih dalam tahun 2013, boleh dilanjutkan ke 2019, iaitu 6 tahun: tempoh 3 tahun + 18 bulan + 12 bulan.

Justeru amalan demokrasi kepilihanrayaan di Malaysia di mana pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa tidak melebihi 5 tahun tarikh rasmi memegang jawatan ahli badan legislatif atau angkat sumpah seseorang ahli berkenaan. Sebandingan, amalan di setengah negara, pilihan raya umum ditetapkan, contohnya di Amerika Syarikat, tarikh pilihan raya Presiden ialah hari Rabu pertama, setiap bulan November, setiap empat tahun. Setengah negara umumkan tarikh pilihan raya setahun lebih awal. 

Sebagai parti dominan, bukan saja dominan dari segi politik, kuasa dan pengaruh, UMNO juga menguasai kerajaan dengan menggerakkan bersama eksekutif untuk membantu jentera parti. Dalam gerakan kempen dan kerja-kerja teknikal jentera pilihan raya, peranan jabatan perkhidmatan awam dan agensi awam dilibatkan sama. Dengan persiapan serta kelangkapan yang rapi, UMNO gagal sebenarnya untuk merealisasikan pendemokrasian dalam parti, apabila hak seseorang ahli memilih pemimpin parti setiap 3 tahun dinafikan dan dicabuli. 

Berbeza dengan Pas, saingan utama UMNO yang tertumpu kepada sasaran pengundi yang sama: Melayu/Islam dan kawasan luar bandar, Pas tidak melanggari peraturan yang digariskan perlembagaan parti. Dalam kesibukan berdepan dengan PRU14, mesyuarat agung peringkat cawangan berjalan mengikut jadual dan sedang berlangsung di peringkat kawasan, walaupun mesyuarat agung tahunan Pas tahun ini tidak melibatkan pemilihan parti. Sementelahan dalam perlembagaan Pas tiada penundaan atau perlanjutan tempoh memegang jawatan, yang dipilih setiap 2 tahun. 

Mengambil kira catatan sejarah, UMNO dan Pas, adalah parti-parti berpengalaman yang bergerak sejak zaman pra Merdeka, perbandingan yang lebih tepat untuk UMNO ialah Pas. Jika Pas boleh bertahan dengan peraturan parti dan melalui liku-liku pahit maung hampir 70 tahun, mengapa UMNO harus sentiasa gelisah dan resah, peraturan demi peraturan dipinda demi mempertahankan kuasa. 

UMNO patut malu dengan Pas, Pas tidak menggunakan jentera eksekutif untuk pertahan kerajaan negeri, tetapi Pas masih kekal sebagai salah satu parti dominan dan relevan dalam politik Malaysia sejak sekian lama.

Berbanding dengan DAP, yang muncul selepas Merdeka, bersama PBB dan PKR, latar belakang, fokus dan sasaran tumpuan agak berbeza dengan UMNO.  DAP dan PKR dapat selesaikan masalah dalaman dengan beberapa perubahan peraturan demi mengstabilkan parti. DAP telah selesai adakan pemilihan parti akhir tahun lepas, tiada masalah mempersiapkan diri untuk PRU14. Rakan-rakan UMNO dalam BN,  MCA dan Gerakan telahpun mengumumkan sebahagian bakal calon untuk PRU14, dalam UMNO terpaksa melanjutkan tempoh pemilihan parti.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan