Khamis, 6 Julai 2017

Reaksi Husam MB Kelantan

HEBOH HUSAM MUSA CALON MENTERI BESAR KELANTAN

Pandangan Lim Kit Siang, Penasihat dan Ketua Ahli Parlimen DAP menyebut Dato' Husam Musa, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) calon yang layak untuk diamanahkan sebagai Menteri Besar Kelantan, selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) nanti, mengundang berbagai reaksi.  Pandangan atau bolehlah disifatkan sebagai pengumuman, diberikan semasa diberi penghormatan berucap di majlis aidilfitri Parti Amanah di Kota Bharu minggu lepas. 

Antara responsif awal dan menarik adalah dari kepimpinan parti Pas negeri Kelantan. Antaranya, Dato' Abdullah Mat Nawi, Setiausaha Badan Perhubungan Pas Negeri dan Fadhli Saari, Ketua Dewan Pemuda Pas negeri. Mereka membidas tindakan pemimpin DAP, dengan mempersoalkan peranan dan penglibatan DAP dalam politik Kelantan, di samping mempersoalkan kedudukan dan rekod Husam. 

Tindakan Lim membuat "pengistiharan" mungkin janggal lantaran dalam sejarah politik Kelantan, yang umum calon MB hanyalah oleh kepimpinan UMNO atau Pas. Tambahan pula, DAP adalah terasing dalam persepsi khalayak pemilih di Kelantan. UMNO pernah mempopularkan Dato' Awang Adek Hussin, MB Kelantan menjelang PRU12, dengan motto "Kelantan Baru Kelantan Maju". Hasilnya, prestasi UMNO jatuh merudum berbanding PRU11. 

Dua hari lepas, Husam telah membuat kenyataan rasmi, menerima pelawaan bakal MB Kelantan. Beliau mencabar Pas pula, yang sedang mempertahankan kerajaan Kelantan, mengistiharkan calon MB selepas PRU14. 

Ikut kelaziman putaran, PRU13 adalah giliran UMNO bangkit. UMNO meletakkan Dato' Mustapa Mohamad di kerusi Dun dan Parlimen, secara langsung menempatkan beliau calon MB dari UMNO. Dalam PRU8 (PRU 1990), gabungan atau kerjasama Pas, Semangat 46, Berjasa dan Hamim, tidak menonjolkan calon MB. Fokus kerjasama adalah untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan UMNO, tanpa membesarkan bakal MB. 

Tindakan pengistiharan Lim, bukanlah satu yang ganjil dan pelek. Dalam politik semasa, sebenarnya parti dominan ialah UMNO dan DAP. Dalam PRU13, dua parti inilah yang merupakan, dua parti utama menguasai Parlimen. UMNO dengan 89 kerusi dari jumlah 133 kerusi BN yang membentuk kerajaan, sementara DAP menguasai 38 kerusi dari jumlah 89 kerusi blok pembangkang. Dalam PRU12, perolehan kerusi antara 3 parti utama pembangkang, agak seimbang dan setara; DAP  28,  PKR 31 dan Pas  23, berbanding dengan PRU13: DAP 38,  PKR 30 dan Pas 21, di mana memperlihatkan DAP lebih terdepan, sementara Pas sedikit merosot. Tambahan dengan wujudnya serpihan Pas, Amanah, turut mengecilkan perwakilan Pas kepada 14 Ahli Parlimen. 

UMNO sebagai parti dominan dalam blok BN telah memain peranan penguasaan kuasa, peranan dan pengaruh. UMNO berjaya mempengaruhi meletakkan Dato' Muhamad Nasir sebagai MB Kelantan, semasa Pas berada dalam BN, 1974. Pas mempunyai calonnya sendiri untuk ditonjolkan, Wan Ismail Ibrahim. Ekorannya, meletakkan ketegangan hubungan antara Pas dan UMNO, yang lebih jelas selepas kematian Tun Abdul Razak (1976) , membawa kepada krisis politik Kelantan (1977), yang menghilangkan kuasa Pas, dalam tahun 1978. Sebelum timbul krisis politik Kelantan, sudah pun popular kata-kata; "Mat Nasir MB UMNO, Wan Eil MB Pas". 

Situasi semasa, DAP menguasai kerusi Pakatan Harapan, blok pembangkang utama di Parlimen dengan 36 kerusi (asalnya 38, hilang di Teluk Intan dan Kota Melaka), PKR dengan 30 kerusi (hilang Penampang dan Bandar Tun Razak, tambah Tumpat), Parti Amanah, 6 kerusi dan Bersatu, 1 kerusi. Pas, asalnya 21 kerusi, kini hanya 14 kerusi setelah 6 ahli melompat ke parti serpihan dan seorang sertai PKR, menjadikan satu blok pembangkang tersendiri. 

Justeru itu, Pakatan Harapan yang mengharapkan sistem dua parti menerusi saigan dua penjuru untuk menyaingi BN, dengan sendirinya bolehlah disifatkan sebagai kerajaan menunggu atau goverment-in-waiting. Berdasarkan kekuatan semasa menjelang PRU14, DAP adalah paling berpengaruh dalam Pakatan Harapan, ianya telah secara langsung memainkan peranan sebagai parti dominan, sebagaimana UMNO mendominasi BN dan mendera rakan-rakan komponen. Tidaklah mengejutkan dan memang releven peranan DAP menamakan calon MB di kalangan rakan komponen. 

Tindakan Lim tersebut secara tersiratnya mengabsahkan kritikan musuh politik, DAP mengetuai Pakatan Harapan, walaupun DAP hanya bertanding di kawasan bandar dan pinggir bandar di Semenanjung Malaysia, yang majoriti pemilih adalah bukan Melayu. Kawasan pilihan raya ini cuma satu pertiga dari jumlah 165 kerusi Parlimen mewakili Semenanjung. Dalam PRU13, DAP menguasai hampir semua kerusi, hanya memberikan MCA 7 kerusi, Gerakan 1 kerusi dan MIC  4 kerusi mewakili BN. 

Memanglah tidak relevan dan wajar Lim menamakan calon MB Kelantan, lantaran DAP tiada tapak di Kelantan. Dalam konteks politik demokrasi Kelantan, usaha DAP menawarkan diri dalam pilihan raya gagal, dengan undi yang jauh di belakang calon MCA dan Pas dalam PRU6 (PRU 1982) dan PRU7 (PRU 1986), zaman BN menguasai Kelantan. Tapi, tindakan Lim istihar calon MB minggu lepas, atas sifatnya sebagai pemimpin nasional.




 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan