Sabtu, 29 Julai 2017

Pas Bersendirian 2

KEKUATAN AKAR UMBI MEMBANTU PAS BERSENDIRIAN

Apabila Pas mengambil keputusan membentuk gagasan baru dalam persaingan parti-parti politik menerusi demokrasi kepilihanrayaan di Malaysia, kritikan yang paling lantang ialah Pas tidak bersikap opportunis dan pragmatik di kala sokongan kepada Barisan Nasional semakin luntur. Ditonjolkan menerusi gagasan politik matang dan sejahtera (PMS) lebih memberikan peluang untuk BN merapatkan talian hayat. 

Pas adalah antara parti pra merdeka yang masih bertahan, di samping UMNO, MCA dan MIC.  Usianya 66 tahun melambangkan kematangan mengharungi politik pilihan raya sebelum merdeka dan tiga belas kali pilihan raya umum selepas merdeka. Politik matang dan sejahtera yang cuba diuji dalam medan politik Malaysia, bukanlah satu strategi dalam politik demokrasi tetapi satu pengenalan kepada demokrasi berasaskan populariti serta persepakatan membina negara. 

Pilihan berasaskan perwakilan mengikut kawasan undi (constituency representatives) dengan kaedah "the first past the post", tidak mewakili suara rakyat sebenar. Ini lantaran pembentukan kawasan pilihan raya yang tidak seimbang dari segi saiz dan sentiasa berubah setiap kali persempadanan semula, dari segi komposisi kaum. Persempadanan semula kawasan pilihan raya (redelineation) diambil peluang oleh parti pemerintah memperkemaskan agenda mempertahankan kuasa. Kaedah ini yang mengwujudkan satu pihak yang berjaya dapat kuasa iaitu kerajaan dan satu pihak sebagai pembangkang. Sistem ini mewujudkan dua blok yang bertentangan; kerajaan-pembangkang, dalam seluruh sistem dan aturan sosial. Di dewan legislatif; bertegang urat serta serangan ke pihak lawan berpanjangan menerusi media massa, majlis rasmi kerajaan dan sebagainya. 

Adapun perwakilan berasaskan populariti, menghimpunkan perwakilan terpilih menduduki majlis perundangan untuk memenuhi asas tugas iaitu menggubal undang-undang demi kesejahteraan, keamanan dan kestabilan negara. Anggota pentadbiran, contohnya keahlian kabinet dipilih dari kalangan anggota majlis legislatif tanpa ikatan puak atau parti. Memungkinkan semua parti yang ada perwakilan di dewan legislatif, bersama membentuk kabinet untuk mentadbir negara, secara langsung melenyapkan amalan blok kerajaan dan blok pembangkang. Konsep unity government sebagai contoh adalah satu amalan demokrasi yang matang demi menghakis kepuakan dan perkauman. 

Berbanding dengan parti-parti lain, Pas merasakan ianya sesuai sepanjang masa lantaran di atas kekuatan akar umbi. Keseluruhannya, bila ada cawangan Pas, ada markas atau pusat pentadbiran dan pengurusan berbentuk premis di peringkat akar umbi. Organisasi parti peringkat dasar berjalan lancar di atas kekuatan, komitmen dan keikhlasan, atas sumbangan material dan semangat ahli secara sukarela. Premis Pas hidup sepanjang masa, bukan di musim pilihan raya, contohnya madrasah dan kelas didikan kanak-kanak.

Kegigihan jentera Pas peringkat akar umbi mengumpul dana setiap masa, sukar ditandingi parti lain terutamanya UMNO, yang bertunjang kepada akarnya di kampung dan dalam masyarakat Melayu. Bila ada pilihan raya kecil, cawangan-cawangan Pas diarah mencari dana untuk membantu parti, yang melangkaui batasan negeri. Pekerja parti guna duit poket sendiri untuk bertugas bila ada pilihan raya kecil di negeri lain.

UMNO bergantung kekuatan kepada sumber kuasa, premis UMNO di akar umbi tidaklah sekuat dan sehebat organisasi Pas. Sumbangan kekuatan UMNO di akar umbi yang dipamerkan menerusi bilik gerakan atau pejabat, kebetulan parti menguasai kerajaan. UMNO, MCA dan MIC lebih terserlah dengan bangunan tersergam, hanya di peringkat bahagian dan negeri.

DAP, PKR dan parti-parti lain hanya mempamerkan ibu pejabat parti di peringkat bahagian, atau kawasan Parlimen dan negeri. 

Tidak dinafikan kerja-kerja sosial dan kebajikan masyarakat yang melibatkan berbagai parti, sebagai kegiatan sepanjang masa bukan tertumpu kepada musim pilihan raya atau kepentingan tertentu. 

Di atas kekuatan, pergerakan sokongan peringkat akar umbi sejak sekian lama, menyakinkan Pas bahawa partinya mampu bersendirian. Atas keyakinan inilah Pas membawa pendekatan baru dalam politik Malaysia, bukan politik berasaskan konflik dan kepentingan puak, tetapi politik yang lebih matang demi kesejahteraan ummah dan negara.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan