Isnin, 17 Julai 2017

Kepimpinan Pakatan Harapan

REAKSI STRUKTUR KEPIMPINAN PAKATAN HARAPAN

Pengumuman pengstrukturan kempinan Pakatan Harapan, dua hari lepas mendapat reaksi seragam dari kempimpinan dan penyokong UMNO khususnya. DS Anwar Ibrahim diletakkan sebagai Ketua Umum, bersama Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi dan Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai Presiden, mengetuai struktur teratas dalam organisasi Pakatan Harapan. 

Dari pemimpin tertinggi, Pemangku Timbalan Presiden UMNO dan deretan kepimpinan berbagai peringkat memberi ulasan senada dan fokus kepada satu isu sahaja. Mereka menempelak Pakatan Harapan mengorganisasikan struktur kepimpinan untuk menggambarkan Pakatan Harapan adalah didominasi oleh kepimpinan Melayu sebagai teras sebagai satu wayang. Hakikinya, kepimpinan DAP dielakkan berada di hadapan untuk mengelakkan dominasi dan peranan DAP dalam Pakatan Harapan. Ulasan kepimpinan UMNO cuba mengetengahkan DAP berselindung dengan peranan di belakang tabir, mendominasi peranan Pakatan Harapan.

Dipersoalkan mengapa DAP yang menguasai kedudukan tertinggi di Parlimen semasa, sepatutnya mengetuai Pakatan Harapan. Penguasaan DAP dengan 37 kerusi, yang memisahkan kedudukan dengan anggota gabungan lain: PKR  29 kerusi, Amanah 6 kerusi dan Bersatu 1 kerusi, memperlihatkan kekeliruan dan kecelaruan dalam kepimpinan Pakatan Harapan, yang memaksa meletakkan kepimpinan Melayu untuk menyaingi Barisan Nasional. 

Ulasan dan kritikan pemimpin UMNO seolah-olah lupa struktur organisasi BN di Pulau Pinang. UMNO menguasai 10 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, berbanding Gerakan (13 calon), MCA (10 calon) dan MIC (1 calon) yang gagal memenangi sebarang kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13), yang meletakkan Gerakan mengetuai struktur organisasi BN Pulau Pinang. UMNO yang mengetuai Pembangkang di Pulau Pinang serta dengan kedudukan dalam DUN, sepatutnya mengetuai BN Pulau Pinang.

Meletakkan kepimpinan Melayu di peringkat nasional atau politik Persekutuan tiada beza dengan meletakkan kepimpinan Cina di peringkat negeri Pulau Pinang. Mana-mana gabungan parti sama ada kerajaan atau pembangkang di peringkat nasional harus dipimpin oleh orang Melayu, kerana sejak merdeka secara tradisinya kepimpinan Persekutuan adalah orang Melayu yang diwakili oleh UMNO, dari Perikatan, diteruskan oleh BN hingga hari ini. 

Begitulah di peringkat kepimpinan kerajaan atau pembangkang di Pulau Pinang tradisinya dipimpinan oleh orang Cina. Bermula MCA semasa pemerintahan Perikatan, beralihkan kepada Gerakan (dari pembangkang  sebelum menyertai BN) dan diteruskan oleh DAP hari ini. 

Realiti komposisi penduduk dengan kelompok Melayu sebagai majoriti di peringkat Persekutuan dan khalayak Cina di peringkat negeri Pulau Pinang, secara langsung membentuk  struktur kepimpinan politik. Janggal dan dangkal sekali ulasan dan pemikiran yang mempersoalkan mengapa mengetepikan DAP yang mewakili pengundi Cina mengetuai Pakatan Harapan walaupun menguasai kerusi terbanyak di Parlimen. 

Alasan DAP sebagai parti terkuat di Parlimen selepas UMNO, sepatutnya DAP mengetuai kerajaan menunggu (government in-waiting) menandingi UMNO yang menguasai dan mengetuai kerajaan Persektuan, tanpa rujukan kedudukan UMNO yang sepatutnya mengetuai kerajaan menunggu menyaingi DAP di Pulau Pinang, sepatutnya tidak dijadikan hujah untuk memperlekeh struktur Pakatan Harapan. 



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan