Jumaat, 28 Julai 2017

Pas Bersendirian 1

PAS MEMILIH BERSENDIRIAN MENGHADAPI PRU14

Tindakan Pas tidak mengadakan persefahaman dalam pilihan raya sebagaimana dalam dua pilihan raya umum lepas dilihat sebagai satu alihan pendekatan jalan tengah; menjarakkan diri dengan parti-parti pembangkang utama dan mendekatkan diri dengan parti pemerintah, UMNO khususnya. Kepimpinan parti menafikan, pengasingan dari pakatan pembangkang utama bukanlah memilih pendekatan mesra dengan pihak kerajaan. Dipertegaskan Pas meletakkan tugasan tradisi Pas ialah melawan UMNO dan akan terus menyaingi UMNO.

Pas memperkemaskan pengkalan utamanya ialah kelompok Melayu dan akan terus menyaingi UMNO untuk merebut penguasaan pengkalan asas sejak lebih 60 tahun. Sungguhpun ada kerjasama pilihan raya khususnya menerusi barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat, Pas lebih fokus kepada kawasan peratusan penguni Melayu yang tinggi, sementara PKR (dulunya KeADILan), di kawasan pengundi Melayu sederhana dan campuran. Dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13), di 88 Bahagian Pilihan Raya Persekutuan di Semenanjung, iaiitu pengundi Melayu melebihi 60% jumlah pemilih, 58 kawasan diperuntukkan kepada Pas, sementara baki 30 kawasan kepada PKR. Kawasan majoriti Melayu ini adalah 53.3% daripada jumlah 165 kerusi Parlimen di Semenanjung.

Senario awam meletakkan tsunami Cina antara faktor utama, ayungan undi masyarakat Cina memberikan kekalahan teruk calon-calon Barisan Nasional, khususnya MCA dan Gerakan dalam PRU13, berbanding dengan PRU12. Dalam PRU12, dipaparkan oleh ayungan India di samping pengundi Melayu, sementara aliran pengundian di kalangan pengundi India dan Melayu sedikit memihak kepada BN dalam PRU13, sebaliknya pengundi Cina membuat ayungan yang lebih rancak dan besar. 

Gambaran sebenarnya, dalam kelompok masyarakat Melayu, persaingan lebih sengit di kawasan Melayu antara UMNO mewakili BN dengan Pas. Dalam PRU12, di kawasan majoriti Melayu utama, di mana pengundi Melayu menguasai 95% jumlah pengundi, iaitu 15 kawasan atau bahagian pilihan raya parlimen: Setiu (99.45%), hulu terengganu (99.11%), Kuala Nerus (98.74%), Bachok (98.45%), Jeli (98.44%), Rantau Panjang (98.18%), Pasir Puteh (98.09%), Besut (97.94%), Kubang Kerian (97.87%), Pengkalan Chepa (97.78%), Marang (97.61%), Ketereh (96.77%), Pasir mas (96.41%) dan Dungun (95.65%).

Dalam PRU12, BN menang 6 kerusi, sementara Pas 7 kerusi dan PKR 2 kerusi. BN merampas kerusi PKR; Machang dan Ketereh, dan hilang kerusi Kuala Nerus dan Dungun kepada Pas. BN berjaya mempertahankan 4 kerusi; Setiu, Hulu Terengganu, Besut dan Jeli, yang mempunyai kawasan penempatan rancangan tanah FELDA, dengan majoriti yang besar, melebihi 13 peratus, dan merampas 2 kerusi dari PKR dengan manjoriti kecil, kurang 2 peratus; Machang dan Ketereh, yang tidak terlibat dengan penemptan penerokaan tanah di bawah FELDA. 

Di Parlimen Machang, sungguhpun BN menang dengan majoriti 805 undi, tetapi semua calon Pas memenangi ketiga-ketiga kerusi DUN; Pulau Chondong ( 939 undi), Temangan (1,085 undi) dan Kemuning (1,034 undi). Di Parlimen Ketereh, BN menang dengan majoriti 974 undi, sementara kerusi DUN, BN cuma menang dengan majoriti 169 undi di Kok Lanas, sementara Pas menang di kerusi Kadok (majoriti 3,097 undi) dan Melor (2,489 undi).

Di kawasan majoriti Melayu, persaingan sebenar adalah antara Pas dengan BN yang diwakili UMNO. Tanpa deposit tetap BN ialah penempatan FELDA, Pas lebih mendepani pelumbaan mengaut undi Melayu. Tahalus siyasi Pas dengan PKR gagal mengekalkan undi Melayu menolak UMNO. Di 47 kawasan Parlimen di mana pengundi Melayu menguasai lebih 80% pengundi, kerjasama Pas-PKR mempertaruhkan; Pas 38, PKR 9, semua calon PKR gagal dalam PRU13, berbanding menang 3 kerusi dalam PRU12, sebaliknya Pas berjaya menambah kerusi dari 11 kepada 14 kerusi Parlimen.

Bagi kawasan yang memiliki pengundi Melayu, di antara 60 hingga 80 peratus, yang berjumlah 41 kerusi, Pas menang 4 kerusi, manakala PKR 6 kerusi. Pas merampas kerusi Temerloh dari UMNO, sementara PKR merampas Alor Star dari MCA. 

Di kawasan campuran; peratusan pengundi Melayu di antara 40 hingga 60 peratus, yang meliputi 44 kawasan Parlimen. Dalam PRU13, persefakatan menerusi Pakatan Rakyat, 32 kerusi diberi kepada PKR, 6 kerusi, masing-masing kepada DAP. Pas menang 3 kerusi Parlimen kawasan campuran: Sepang (59.17% Melayu), Hulu Langat (52.74% Melayu) dan Kota Raja (44.60% Melayu) dan kalah 3 kerusi, semuanya di Johor; Ayer Hitam (57.91%), Simpang Renggam (56.79%) dan Pulai (47.88%). Hulu Langat dan Kota Raja adalah kerusi yang dipertahankan, Sepang dirampas dari UMNO. Begitu juga, DAP menang 3 kerusi: Raub (48.93% Melayu), Bakri (44.07%) dan Seremban (43.67%). Bakri dan Seremban, kerusi yang dipertahankan, sementara Raub, dirampas dari MCA, menerusi calon Melayu DAP. Sementara PKR memenangi 19 kerusi, termasuk 4 kerusi yang dirampas dari UMNO dan MCA, Batu Pahat dan Bukit Katil dari UMNO, Lumut dan Pandan dari MCA menerusi calon Melayu PKR. 

Bagi kawasan majoriti pengundi bukan Melayu, yang merangkumi lebih 60 peratus pengundi, iaitu 33 kawasan Parlimen; diagihkan sebanyak 30 kerusi kepada DAP dan 3 kepada PKR (termasuk satu kerusi Parti Sosialis Malaysia yang bertanding atas logo PKR). Pakatan pembangkang hanya kalah di 2 kerusi sahaja dan dengan majoriti tipis: Labis (BN menang dengan 1.13% majoriti) dan Cameron Highlands (BN menang dengan 2.11% majoriti). Labis (63% bukan Melayu) dan Cameron Highlands (66% bukan Melayu) adalah antara kawasan yang mengandungi penempatan rancangan tanah FELDA. 

Pas mengambil pendirian bersendirian dengan meninggalkan pakatan pembangkang, atas alasan utama untuk mempertahan kuasa Melayu dan Islam. Dengan cuma 53%, kawasan yang memiliki majoriti pengundi Melayu yang menggambarkan satu kedudukan terganggu dalam masa depan politik tanah air. Disokong faktor, Pas lebih menguasai pengundi Melayu berbanding UMNO atau PKR, Pas mengambil pendekatan memilih jalan tengah dalam mengaut undi Melayu, untuk menjadi kuasa penentu. 

Hasil dari keputusan PRU13, tanpa sokongan kuat dari penghuni FELDA, BN, khususnya UMNO, tidak mewakili suara majoriti orang Melayu. Digambarkan undi dan kekuatan BN berada di kawasan campuran Melayu dan bukan Melayu. Keputusan PRU13 memperkukuhkan tanggapan Pas lebih dominan di kalangan orang Melayu. Semakin kecil peratusan pengundi Melayu di sesuatu kawasan atau kerusi, semakin kurang sokongan kepada Pas. Kawasan rebutan sengit adalah kawasan campuran, antara BN dengan PKR. Sementara kawasan, pengundi bukan Islam melebihi 60%, pengaruh dan sokongan kepada BN semakin merosot berselari dengan peratusan bukan Melayu. Kawasan Parlimen Kepong, yang mempunyai 95% bukan Melayu memberikan calon BN hampir hilang wang pertaruhan, bila cuma perolehi 12.96% undi sahaja.


Pas tegas dengan mempertahankan kuasa Islam dalam pemerintahan, dengan hakisan berlaku kepada sokongan BN serta trend alihan ke pakatan pembangkang dalam dua PRU lepas, Pas membuat keputusan mengabaikan pendekatan kerjasama sebagaimana beberapa PRU lepas. Atas andaian, kemerosotan sokongan dalam dua PRU lepas ditambah dengan berbagai isu boleh meruntuhkan sokongan, pergantungan BN kepada kawasan Melayu dan luar bandar meragukan.  

BN pungut 53.67% undi di kawasan 60% pengundi Melayu, iaitu 88 kawasan Parlimen, dalam PRU12,  pungutan ini jatuh ke 52.97% dalam PRU13. Sementara di kawasan pengundi Melayu kurang 60%; kawasan campuran dan majoriti bukan Melayu iaitu 87 kawasan, undi BN adalah 46.00% dalam PRU12, turun ke 39.35% dalam PRU13. Justeru tumpuan undi adalah kepada 2 kelompok utama: BN dan Pakatan Rakyat, secara langsung kadar penurunan peratusan undi BN hampir sama dengan kenaikan peratusan undi Pakatan Rakyat. 

Keseluruhannya prestasi bagi 165 kerusi Parlimen di Semenanjung memperlihatkan penurunan peratusan undi kepada BN, perbandingan PRU12 dan PRU13. BN perolehi 47.71% undi dalam PRU12, menurun ke 45.75% dalam PRU13. Peratusan undi kepada pakatan pembangkang utama ialah 50.17% meningkat ke 53.30% dalam PRU13. 

Isu yang menyerang kekuatan BN menjelang PRU14 lebih menonjol dan lebih parah berbanding dengan suasana, isu dan tekanan dihadapi BN menjelang PRU13 dulu.  Kesan kemerosotan sokongan masyarakat Melayu kepada pemerintah yang dikuasai BN serta peningkatan sokongan bukan Melayu, mengilhamkan Pas untuk menawarkan sebagai pilihan ketiga, dengan fokus utama ialah mengambil alih sokongan pengundi Melayu yang sudah tidak berminat dengan UMNO dan BN yang dijangkiti berbagai karenah dan wabak. Pas meletakkan sasaran 40 kerusi Parlimen untuk PRU14, jika Pas dapat pertahan jumlah kerusi yang ada pun sudah cukup kuat untuk menjadi bargaining power, di tengah-tengah percaturan antara BN dengan pakatan pembangkang baru, Pakatan Harapan.






 


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan