Jumaat, 2 September 2016

UMNO yakin rampas Kelantan (bah 3)

UMNO BERKEYAKINAN TINGGI UNTUK MERAMPAS KELANTAN

bahagian 3

Keyakinan UMNO dan BN secara umumnya, PRU14 menjamin harapan yang lebih cerah untuk merampas Kelantan berfokus kepada senario dalaman Pas selepas era Tok Guru. Lebih diyakini, ketiadaan Tok Guru akan mengurangkan sokongan massa kepada Pas, lebih-lebih lagi tiada lagi pakatan pembangkang, Pakatan Rakyat, yang berlanjutan dengan kemunculan serpihan Pas, Parti Amanah yang dipimpin beberapa bekas pemimpin utama parti.  

Kejayaan BN merampas beberapa kerusi yang disandang Pas tidak mencerminkan pengekalan berpanjangan atau menjamin pencapaian dalam tempoh yang lebih panjang. Beberapa pilihan raya kecil (PRK) semasa Tok Guru mengetuai kerajaan Kelantan, yang menghasilkan BN berjaya merampas kerusi Pas. Dalam PRK Semerak (11/08/1997) BN berjaya merampas kerusi yang dimenangi Pas dalam PRU9 (PRU 1995) dengan majoriti kecil 248 undi. Calon BN berjaya menewaskan calon Pas dengan majoriti 778 undi, setelah memungut 5,370 undi berbanding 4,536 undi dalam PRU9. Pas gagal pertahan kerusi bila undinya berkurangan kepada 4,592 undi berbanding 4,784 undi semasa memenangi kerusi berkenaan dalam PRU9.

Lazimnya dalam mana-mana PRK peratus keluar mengundi yang tinggi memberi advantage kepada BN, di mana dalam PRK, seramai 82.41% keluar mengundi berbanding 79.07% dalam PRU9. Peningkatan peratusan keluar mengundi memberikan undi yang lebih besar kepada calon BN berbanding pengurangan undi Pas. Bila PRU10 diadakan, peratusan keluar mengundi cuma 81.52% lebih rendah dari PRK. Sepatutnya peratusan keluar mengundi PRK lebih rendah dari PRU kerana ianya tidak sepenting mana khususnya penentuan sebuah kerajaan. Dalam PRU10, iaitu 2 tahun selepas PRK, Pas berjaya merampas balik kerusi Semerak setelah meningkatkan undinya kepada 6,118 undi, sebaliknya undi BN merosot kepada cuma 4,643 undi, penurunan 13.54%, sementara undi Pas meningkat sebanyak 33.23%, memberikannya menang dengan majoriti lebih besar, 1,475 undi. 

Selepas kemenangan tipis Pas menguasai kerajaan Kelantan dalam PRU11,  satu PRK diadakan di kerusi Pengkalan Pasir, kerana kematian ADUN penyandang. Pas menang dengan majoriti 56 dalam dalam PRU11 sebagaimana dijangka memudahkan mesej BN untuk menguasai medan. Dalam PRK Pengkalan Pasir (08/12/2006), BN berjaya memenangi kerusi ini setelah berjaya menambahkan undi dari 7,112 undi dalam PRU11 ke 7,422 undi. Sungguhpun Pas juga berjaya tingkatkan undi dari 7,168 undi dalam PRU11 ke 7,288 undi, gagal pertahan kemenangan. Sebagaimana kelaziman sebagaimana PRK Semerak, peratus keluar mengundi yang tinggi memberi kelebihan kepada BN, peratus keluar mengundi dalam PRK ialah 83.01%, sedangkan dalam PRU11, 77.64% sahaja. Itupun 415 undi dipungut oleh calon Bebas, tanpa penyertaan calon Bebas, akan  membolehkan sama ada BN atau Pas, akan menambahkan perolehan undi. 

PRU12, yang diadakan 15 bulan selepas PRK Pengkalan Pasir menafikan gagasan "Kelantan Baru Kelantan Maju" bilamana walaupun kedua-dua parti berjaya menambahkan undi berikutan pertambahan pengundi, pertambahan undi Pas jauh mengatasi pertambahan undi BN. Undi BN cuma meningkat sebanyak 607 undi atau 8.17%, sementara undi Pas naik sebanyak 3,089 undi atau 42.38%, di kala peratusan keluar mengundi kekal 83.0%.  Ini membolehkan Pas menang selesa 2,348 undi, menebus balik kekalahan dalam PRK

Selepas PRU12 yang menyaksikan penolakan secara total gagasan "Kelantan Baru Kelantan Maju", berlaku 2 PRK di Kelantan yang secara relatifnya memulihkan semangat BN. PRK Manek Urai (14/07/2009) dan PRK Galas (04/11/2010) memiliki keunikan dan keistimewaan tersendiri. Manek Urai, kubu Pas sejak tahun 1980an, kalah dalam PRU11, Galas, kubu BN, kalah dalam PRU12. 

PRK Manek Urai, peningkatan peratusan keluar mengundi dari 84.2% dalam PRU12 ke 87.37% dalam PRK, memberikan kelebihan kepada BN, di samping ayungan hampir 400 undi dari Pas ke BN. Undi BN meningkat sebanyak 889 undi atau 20.23% dalam PRK, sementara Pas kehilangan 398 undi atau 6.92%, berjaya mengurangkan majoriti kemenangan Pas dari 1,352 undi dalam PRU12 ke 65 undi sahaja dalam PRK. Pertambahan pengundi memberi kesan kepada kedua-dua parti dalam PRU13, di mana undi BN meningkat sebanyak 845 atau 15.99% kepada 6,169 undi, tetapi Pas berjaya membuat comeback dengan pertambahan 2,454 undi atau 45.88% ke 7,802 undi, untuk membolehkan Pas menambah majoriti kemenangan dengan 1,633 undi. 

PRU12 adalah kali pertama Pas menang di kerusi Galas, selepas kemenangan dalam PRU1 (1959), masa itu dikenali sebagai Ulu Kelantan Barat. Dalam PRU12, Pas menang dengan majoriti 648 undi. Dalam PRK Galas, di mana seramai 83.15% pengundi keluar mengundi berbanding 80.9% dalam PRU12, membantu BN menambah undi, di samping kembalinya penyokong setia BN yang mengundi Pas dalam PRU12, memberikan BN dapat merampas balik kerusi Galas yang hilang sementara waktu. BN berjaya mengembalikan ke imej asal sebagai kubu utama BN berjaya meningkatkan undinya 1,571 undi atau 41.85% dari 3,753 undi dalam PRU12. Kegagalan Pas pertahan kerusi kesan kemerosotan undinya sebanyak 265 undi atau 6.02% dari 4,399 undi semasa memenangi kerusi ini dalam PRU12. Ini membolehkan BN menang dengan majoriti 1,190 undi.

BN berjaya mempertahankan kerusi Galas dalam PRU13 dengan peningkatan undinya sebanyak 30.77% atau 1,635 undi, Pas yang tewas juga berjaya tambah undi 36.79% atau 1,521 undi, susulan peningkatan jumlah pemilih serta peratus keluar mengundi yang tinggi, 86.39%. Lantaran kekalahan Pas dengan majoriti 1,190 undi, sungguhpun berlaku peningkatan undi yang dapat menyaingi BN, BN masih menang dengan majoriti selesa, 1,301 undi.  

Selepas PRU13, ujian kepada besar kepada Pas di bawah kepimpinan baru di Kelantan, PRK Pengkalan Kubor (25/09/14) mempertontonkan peranan Pas berdepan cabaran selepas hubungan dingin dalam Pakatan Rakyat. Ketidaklibatan kepimpinan rakan-rakan Pas dalam Pakatan Rakyat; DAP dan PKR dalam PRK ini, memberikan satu persepsi negatif pakatan berkenaan. Walaupun berlaku pertukaran calon, dalam PRU13, kerusi ini diberikan kepada PKR, hasil tuntutan beberapa pihak dalam Pas, kerusi ini diserahkan kepada Pas. 

Penurunan peratusan keluar mengundi dari 79.10% dalam PRU13 kepada 73.03% dalam PRK, memberikan kesan kepada kedua-dua parti. BN yang mempertahankan kerusi alami kekurangan undi, dari 10,174 undi dalam PRU13 kepada 9,901 undi dalam PRK, undi Pas cuma 7,326 undi berbanding 8,438 undi dipungut oleh calon PKR dalam PRU13, ini memberikan BN menambahkan majoriti dengan lebih besar iaitu 2,635 undi, berbanding 1,736 undi dalam PRU13. 

Dari 5 PRK di atas mengumpulkan kesamaan hasil iaitu sokongan kepada BN lebih baik berbanding dengan pencapaian semasa PRU, sama ada PRU sebelum atau selepas PRK. Kelebihan memihak kepada BN dalam mana-mana PRK berfokus kepada isu. Isu-isu tempatan lebih menonjolkan dan memikat hati pengundi kerana ianya cenderung untuk menyelesaikan masalah rakyat semasa. Perbelanjaan dan tumpuan kempen yang melibatkan jabatan dan agensi kerajaan digunakan BN selaku pemerintah di peringkat Persekutuan. Justeru itu, janji-janji dalam bentuk pelaksanaan kemudahan untuk rakyat menjadi bahan utama kempen. 

Dalam PRU, parti yang menguasai kerajaan atau tidak, tidak menyentuh isu tempatan. Parti-parti lebih tumpu kepada manifesto parti  dan isu nasional. Dengan lain perkataan, keputusan diambil oleh pengundi ialah memilih siapa yang akan bentuk kerajaan, sebaliknya dalam PRK, pengundi memilih pihak yang dapat menyelesaikan masalah tempatan semasa. BN memiliki kelebihan kerana menguasa kerajaan Persekutuan mampu menyediakan berbagai permintaan pengundi semasa. 

Sunggupuhpun prestasi BN dalam PRK Pengkalan Kubor bertambah baik, tetapi imbas balik kepada beberapa PRK sebelum, nasib BN berubah dalam PRU. Roh kemenangan PRK Pengkalan Kubor hanyalah sekadar pembakar semangat untuk berkerja. Tanpa gerakerja mendaftar pemilih baru yang berkecendungan untuk menyokong BN, pemindahan pengundi penyokong BN dari kawasan yang tiada potensi ke kawasan yang mempunyai peluang yang setara, dan pengubahsuaian lokaliti yang membentuk kawasan pilihanraya yang menguntungkan BN, sukar bagi BN membuat satu kejutan dalam PRU14. Petunjuk dari Pengkalan Kubor, sekadar boleh dikumpulkan dalam khazanah dokumen sokongan dalam gerak kerja jentera pilihan raya. 


 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan