Ahad, 28 Ogos 2016

UMNO yakin rampas Kelantan (bah 2)

UMNO BERKEYAKINAN TINGGI UNTUK MERAMPAS KELANTAN

bahagian 2

Berbekalkan semangat dari prestasi BN dan Pas dalam PRU11 di mana BN hampir berjaya menguasai kerajaan negeri Kelantan. BN menang 21 kerusi DUN berbanding 2 kerusi dalam PRU10 dengan mengumpul 49.87% dari jumlah undi sah. Angka ini adalah satu angka yang cukup mengejutkan bilamana BN cuma disokong oleh cuma 38.83% undi popular dalam PRU10. Semangat jentera dan pengerak UMNO/BN lebih berkobar setelah berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Pasir, akhir 2006.

Pas kehilangan 19 kerusi DUN dengan kemerosotan sokongan dari 61.15% dalam PRU10, kepada 50.12% dalam PRU11. Dari jumlah 24 kerusi DUN dimenangi Pas yang membolehkannya mengekal kuasa, 6 kerusi dimenangi dengan majoriti tipis, di bawah 100 undi; Kemuning (0.02%), Kota Lama (0.19%), Pengkalan Pasir (0.39%), Gaal (0.43%), Temangan (0.67%) dan Pulai Chondong (0.90%). Di samping itu, 3 kerusi DUN dimenangi dengan majoriti di bawah 5%; Bukit Panau (3.17%), Chetok (3.81%) dan Limbongan (4.77%). 

Bila PRK Pengkalan Pasir diadakan yang dimenangi oleh Pas dengan majoriti 56 undi, dengan senang BN perolehi kemenangan. Kedudukan dalam DUN, Pas masih kekal dengan simple majority, 23:22, telah mengubah senario politik Kelantan. Perhatian lebih tertumpu kepada sidang DUN yang bila-bila masa kerajaan akan negeri terdedah kepada hilang suara majoriti bila mana-mana ADUN Pas tidak hadir sidang DUN. Semangat dari gagasan "Kelantan Baru Kelantan Maju" tajaan UMNO/BN semakin membara.

Malangnya impian tidak menjadi bila PRU12 menterjemahkan realiti politik "mata gergaji". Giliran BN berada di tahap merudum, setelah mendadak dalam PRU11. BN hilang 16 kerusi DUN. Di 6 kerusi yang dimenangi Pas dengan majoriti tipis, Pas berjaya pertahan dengan majoriti yang lebih besar; Kota Lama dari majoriti 34 undi ke 5,206 undi,  Pengkalan Pasir yang kalah dengan majoriti 134 undi dalam PRK, dimenangi balik dengan majoriti 2,348 undi, Pulai Chondong dari 105 undi ke 1,545 undi, Temangan dari 75 undi ke 1,239. Kerusi paling istimewa yang mempertahankan kerajaan Kelantan pimpinan Pas, Kemuning dari majoriti 2 undi kepada 916 undi, sementara Gaal masih dipertahan Pas  dengan sedikit pertambahan dari 43 undi ke 323 undi. Di Bukit Panau, Pas meningkatkan majoriti dari 426 undi ke 4,183 undi dan di Chetok, dari 512 undi ke 2,670 undi. 

7 kerusi dimenangi BN dalam PRU11dengan majoriti selesa dirampas oleh Pas dan PKR dalam PRU12. Galas yang dimenangi oleh BN dalam PRU11 dengan majoriti besar, 1,729 undi, kecundang dengan 646 undi kepada calon Pas. Wakaf Bharu, BN menang dengan 1,406 undi tewas 660 undi dalam PRU12. Gual Ipoh yang dimenangi BN dengan majoriti 1,116 undi dikalahkan 1,663 undi oleh Pas dalam PRU12, begitulah dengan kerusi Jelawat (menang 1,113 undi dalam PRU11 kalah 1,022 undi dalam PRU12), Gual Periok (menang 1,192 undi kalah 333 undi dalam PRU12), Dabong (menang 1,094 undi kalah 552 undi dalam PRU12), dan Guchil (BN menang dengan 1,010 undi dalam PRU11, kalah kepada calon PKR dengan 1,000 undi dalam PRU12). 

Kerusi-kerusi yang dimenangi dengan mudah dalam PRU11 oleh BN, gagal dimanfaatkan dengan gagasan "Kelantan Baru Kelantan Maju" yang menjadi idaman dan siulan yang diterjahkan kepada khalayak birokrasi dan masyarakat awam. Hinggakan di peringkat akar umbi sudah dibentuk kabinet bayangan kampung, siapa akan jadi Ketua Kampung, siapa Imam Mukim. Rupa-rupanya ianya lebih merupakan gerak gempur propaganda melemahkan pihak lawan. Kerana terlalu yakin dengan kemenangan tipis Pas di beberapa kawasan dalam PRU11, tanpa menekankan kerja-kerja teknikal seperti pendaftaran pemilih dan pemindahan pemilih di kawasan sasaran,  melenyapkan ego dan ketakburan. 

Pencapaian cemerlang BN dalam PRU11 keseluruhannya berfokus kepada 2 faktor utama; PM DS Abdullah Ahmad Badawi (kemudian Tun) dan persempadanan kawasan pilihan raya. PRU11 adalah pengesahan mandat kepimpinan baru buat Pak Lah yang mengambil alih pentadbiran 4 bulan sebelum PRU11, yang menggambarkan penerimaan rakyat terhadap kepimpinan baru, sebagaimana setiap kali berlaku pertukaran kepimpinan negara. Persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003, walaupun cuma penambahan 2 kerusi DUN di Kelantan, secara langsung mengubah semula persempadanan kawasan yang memberi kelebihan kepada BN sebagaimana setiap kali berlaku persempadanan semula. Dua faktor ini banyak membantu dan memberi kelebihan kepada BN pada masa itu.

Sebaliknya PRU12, di zaman pentadbiran BN di bawah Pak Lah yang dilanda kemerosotan prestasi ekonomi telah meletakkan sokongan kepada BN berubah dapat dikesan 2 tahun terakhir Penggal Parlimen ke 11. Kemenangan BN dalam PRK Pengkalan Pasir mengalpakan jentera BN dalam mengejar momentun :Kelantan Baru Kelantan Maju". 

Di samping hilang 16 kerusi DUN, BN alami kemerosotan undi di 18 kawasan DUN termasuk 9 kerusi yang disandang. Sebaliknya undi kepada Pas meningkat dengan kadar yang tinggi. Di Gual Ipoh, undi BN merosot sebanyak 739 undi, sementara Pas menambah 2,040 undi, di Tendong, undi BN turun 404 undi dan Pas menambah 2,042 undi, Gual Periok menurunkan undi BN sebanyak 93 undi dengan menambahkan undi Pas 1,432 undi, di Air Lanas undi BN turun 223 undi dan undi Pas naik  sebanyak 1,371 undi, di Mengkebang, undi BN turun 211 undi disusuli peningkatan undi Pas 2,008 undi, di Dabong, undi BN merosot sebanyak 112 undi tetapi undi Pas meningkat 1,534 dan di Galas, undi jatuh 431 undi berbanding peningkatan undi Pas sebanyak 1,944 undi. Peningkatan undi Pas yang tinggi di kawasan-kawasan tersebut membantu Pas merampas kerusi berkenaan. 

Prestasi undi BN dan Pas dalam PRU12 seolah-olah memperlihatkan peningkatan jumlah pengundi baru, semata-mata untuk membantu prestasi calon-calon Pas atau Pas berjaya menguasai  pengundi baru. Relatifnya pengundi baru atau pengundi muda yang menolak realiti gagasan "Kelantan Baru Kelantan Maju". Pengundi muda juga menolak usaha menukar Menteri Besar, menolak calon Menteri Besar yang dicanang seluruh negeri.

Sungguhpun BN ada sedikit kemajuan dalam PRU13 tetapi ianya masih rendah dan tidak menunjukkan kecenderungan menukar kerajaan dalam PRU berikutnya, berbanding dengan PRU11 yang mencetuskan gelombang propaganda dalam jentera BN. Peningkatan prestasi BN dalam PRU13 bukanlah mengejutkan kerana memang sepatutnya berlaku peningkatan mengikut pengalaman aliran menaik sebagaimana PRU11. 

Jika semangat dari kemenangan besar PRU11 mencetuskan impian besar menukar kerajaan, agak janggal jika sedikit peningkatan dalam PRU13 berupaya menukar kerajaan, kerana beza pencapaian bagi BN dalam PRU11 dan PRU13 jauh bezanya. Pergantungan kepada ketiadaan Tok Guru dalam mengemudi Kelantan, krisis dalaman Pas yang memunculkan parti serpihan, tidaklah dominan sangat lebih-lebih lagi kemunculan serpihan UMNO. Tambahan pula tidak berlakunya persempadanan semula kawasan pilihan raya demi menyambung hayat BN, faktor menarik kepada peningkatan sokongan kepada BN, tidaklah ketara dan menonjol. Persempadanan semula kawasan pilihan raya sudah membuktikan dalam sejarah demokrasi kepilihanrayaan di Malaysia adalah faktor induk dan penentu kejayaan BN selaku pemegang kuasa. 

 

  

 


 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan