Isnin, 12 September 2016

Bersatu, cabaran sebuah serpihan (bah 1)

BERSATU: MENGUJI KEBERKESANAN CABARAN SEBUAH SERPIHAN

bahagian 1

Kelulusan pendaftaran sebuah parti baru; Parti Peribumi Bersatu Malaysia, setelah permohonan dihantar pada 09/08/2016, pada 08/09/2016 Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan pendaftaran dengan beberapa pindaan. Akronim "Bersatu" yang dicadangkan tidak diluluskan dengan hendaklah dikenali sebagai PPBM. Logo parti berbentuk bunga raya, diminta dibuat pengubahan. Parti baru ini, sebuah serpihan UMNO lahir selepas krisis keyakinan kepimpinan parti tahun ini. Penggunaan singkatan "Bersatu", yang merupakan slogan UMNO, awal-awal lagi ditentang UMNO, menerusi Setiausaha Agung UMNO.

Awalnya dikenali sebagai Bersatu, kemudiannya PPBM sebagai memenuhi syarat ROS. Kemunculan parti baru serpihan parti induk ini adalah lanjutan deretan parti serpihan pimpinan bekas pemimpin utama parti asal. Tun Dr Mahathir, bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden UMNO yang dinamakan sebagai Pengerusi  dan TS Mahyuddin Mohd Yassin, bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Timbalan Presiden UMNO adalah Presiden, membarisi individu utama pengasas parti. 

Istimewanya Tun  Dr Mahathir pernah mengasas sebuah parti sebelum ini. Bila UMNO yang ditubuhkan dalam tahun 1946 diharamkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 04/02/1988, setelah satu dakwaan oleh Kumpulan 11 mewakili anggota UMNO, sebanyak 30 cawangan UMNO yang tidak sah terlibat dalam mesyuarat perwakilan UMNO peringkat bahagian. Satu relif dikemukakan meminta Perhimpunan Agung UMNO 1987 yang melibatkan pemilihan pemegang jawatan utama parti diistiharkan tidak sah dan batal dan satu perhimpunan baru untuk memilih pemegang jawatan utama. 

Bila UMNO sebagai parti tunjang dalam gabungan Barisan Nasional (BN) diharamkan secara langsung wujud kekosongan jawatan Perdana Menteri dari parti UMNO, secara tersuratnya Presiden MCA menjalankan tugas kepala kerajaan mempengerusikan mesyuarat kabinet. 

Kesempatan matinya UMNO ini, kumpulan penyokong Tengku Razaleigh Hamzah yang kalah perebutan Presiden UMNO, memohon penubuhan UMNO 46. Kumpulan 2 mantan Perdana Menteri; Tun Abdul Rahman Putra dan Tun Hussien Onn, menubuhkan UMNO Malaysia.  ROS menolak permohonan kedua-dua parti ini kerana menggunakan nama sama dengan parti yang pernah wujud. Tun Dr Mahathir menubuhkan UMNO (Baru), sedikit perbezaan dengan UMNO asal, di mana keahliannya terbuka kepada semua etnik Bumiputera. ROS meluluskan pembentukan UMNO (Baru) untuk membolehkan UMNO terus menjadi tunjang BN dan menduduki kerusi PM. 

Tun Dr Mahathir keluar dari parti yang diasaskannya, UMNO (Baru) pada 29/02/2016, sebagai protes terhadap kepimpinan UMNO semasa yang didakwa banyak melakukan penyelewengan, ekoran pemecatan TS Mahyuddin Yassin dari kabinet selaku orang nombor dua pada 28/07/2015.  Fokus Tun Dr Mahathir ialah desakan DS Najib berundur untuk selamatkan UMNO. Kegagalan usaha mengundurkan DS Najib serta pemecatan DS Mahyuddin dari UMNO pada 24/06/2016 serta tindakan memecat mantan Menteri Besar Kedah dan menggantung seorang Naib Presiden parti, mempercepatkan usaha membentuk sebuah serpihan untuk mengganti UMNO. 

Sebelum ini, Tun Dr Mahathir sudah keluar dari UMNO (Baru) buat pertama kali, pada 19/05/2008, sebagai satu cabaran dan desakan Tun Abdullah Ahmad Badawi berundur ekoran pencapaian terburuk BN dalam PRU12. Tun Abdullah berundur setahun kemudian dan membawa kepada Tun Dr Mahathir balik semula menganggotai UMNO (Baru). Beliau pernah dipecat dari UMNO, pada 26/09/1969, setelah mengkritik hebat  kepimpinan masa itu, Tunku Abdul Rahman. Bila Tun Abdul Razak mengambil alih kepimpinan kerajaan dan parti, beliau diminta menyertai semula UMNO. 

UMNO mengalami cabaran akibat krisis kepimpinan yang membawa kepada pembentukan parti-parti serpihan. Apabila Dato' Onn Jaafar, pengasas dan Yang Dipertua (sekarang Presiden) pertama, ditewaskan dalam persaingan merebut kepimpinan bila membawa cadangan membuka keahlian UMNO kepada kaum lain. Dato' Onn menubuhkan Independence of Malayan Party (IMP), sebagai pernyataan tentangannya kepada ketuanan Melayu yang didokongi UMNO. IMP yang ditubuhkan dalam tahun 1951 yang membawa dasar berbagai kaum, hanya mendapat sokongan bahagian besarnya dari etnik India.  MCA yang dibantu UMNO telah menguasai pentadbiran majlis kerajaan tempatan berkenaan. 

Kegagalan meneruskan agenda perjuangan politik berasaskan tidak perkauman memaksa Dato' Onn membubarkan IMP dan menubuhkan Parti Negara, dalam bulan Februari 1954. Walaupun Parti Negara sebuah parti berbilang kaum tetapi tumpuan dan medannya berfokus kepada kawasan majoriti Melayu. Golongan aristokat Melayu, pentadbir masa penjajah kebanyakkannya bersama Dato' Onn, menyokong Parti Negara. 

Pilihan raya pertama ke arah berkerajaan sendiri, Pilihan Raya Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu, 1955, bagi merebut 52 kerusi. Perikatan yang dibentuk oleh 3 parti perkauman; UMNO, MCA dan MIC bertanding di semua 52 kerusi. Pencabar utama Perikatan ialah Parti Negara yang bertanding di 37 kerusi. Parti Negara tidak memenangi sebarang kerusi.

 Dalam pilihan raya pertama selepas merdeka, Pilihan Raya Umum Pertama (PRU 1959), Terengganu menjadi tapak Parti Negara,  memenangi satu kerusi Parlimen dan 4 kerusi DUN. Dato' Onn berjaya memasuki Parlimen menerusi kemenangannya di kerusi Parlimen Kuala Terengganu Selatan. Dalam krisis politik Terengganu 1961, ADUN Parti Negara membantu UMNO menyokong menjatuhkan kerajaan pimpinan Pas. 3 ADUNnya masuk UMNO dan seorang sertai Pas. Parti Negara gagal pertahan kerusi Parlimennya dalam pilihan raya kecil berikutan kematian Dato' Onn, awal 1962. 

PRU2 (PRU 1964) adalah medan terakhir Parti Negara dalam demokrasi kepilihanrayaan. Parti Negara tidak memenangi sebarang kerusi dalam PRU2, dengan hanya bertanding di Terengganu sahaja. Selepas PRU2, Parti Negara  hilang dalam carta aktviti politik tanah air.  

Keputusan kepimpinan UMNO membuat keputusan mengadakan cabutan loteri untuk mengutip derma bagi membina ibu pejabat parti, ditentang oleh golongan agama dalam UMNO. Akhirnya anggota biro agamanya keluar UMNO dan menubuhkan Persatuan Islam Se Tanah Melayu, yang kemudiannya dikenali sebagai Pas, dalam tahun 1951. 

Pas menyertai pilihan raya pertama, dalam Pilihan Raya Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu, Pas meletak 11 calon. Di kawasan persaingan 3 penjuru antara calon UMNO, Parti Negara dan Pas, calon Pas jauh ketinggalan di tempat ketiga. Pas menang kerusi tunggal di Krian, dalam perlawanan satu lawan satu dengan UMNO.  Pilihan raya pra Merdeka yang lebih memperlihatkan sokongan kepada tuntutan kemerdekaan dibawa oleh UMNO bersama MCA dan MIC lebih diterima pengundi. Sokongan kepada Parti Negara menerusi calon-calon berlatarbelakang aristokrat dan birokrat mengatasi calon agamawan dari Pas. 

Pas mula diterima dan menampakkan penerimaan umum selepas Merdeka. Dalam PRU1 (PRU 1959), Pas berjaya menguasai dua buah DUN negeri dan menjadi pembangkang utama di Parlimen. Hingga kini Pas kekal sebagai pembangkang utama dan antara parti politik paling lama bersama MCA dan MIC, berbanding UMNO yang alami dua fasa; fasa pertama, UMNO asal (1946-1988), fasa kedua ialah UMNO (Baru) bermula 1988 hingga kini. 

Abdul Aziz Ishak, seorang pemimpin kanan UMNO era kemerdekaan, adalah Naib Yang Dipertua (sekarang Naib Presiden) dan Menteri Pertanian dan Koperasi (1955-1963). Usaha Aziz Ishak memperjuangkan nasib petani dan nelayan yang rata-ratanya penghuni sektor desa, membawa kepada krisis kepimpinan dalam Perikatan yang menyebabkan Abdul Aziz meletakkan jawatan kabinet dan akhirnya dipecat dari UMNO. Pada 29/08/1963, Aziz menubuhkan Parti Perhimpunan Kebangsaan, yang disokong oleh masyarakat tani dan nelayan. Zaman konfrontasi (1963-1966), Aziz dikenakan tahanan ISA atas tuduhan pro-Indonesia dan pro-China, bersama beberapa pemimpin Socialist Front (SF) dan Pas. 

Dalam PRU2 (PRU 1964), Parti Perhimpunan Kebangsaan (NCP) sebagai parti serpihan UMNO, menyertai pilihan raya dengan bertanding di bawah Socialist Front bersama Partai Rakyat dan Partai Buruh Malaya. NCP hanya bertanding di Selangor, selain Aziz Ishak, termasuk ADUN UMNO, Datuk Kampo Radjo. Dalam PRU2, SF hanya menang menerusi calon bukan Melayu di bandar, semua calonnya yang bertanding di kawasan Melayu; Partai Rakyat dan NCP kalah. Selepas PRU2, NCP berkubur, Partai Buruh diharamkan dalam tahun 1967 dan SF dengan sendirinya terbubar, dan Partai Rakyat bersendirian hingga hari ini. 

Era UMNO asal (1946-1988) menyaksikan kepada kita krisis dalaman UMNO telah melahirkan 4 parti serpihan, di mana serpihan pimpinan pemimpin kanan parti kurang dominan dalam perebutan kuasa undi, berbanding Pas yang lebih banyak bergerak parti dokongan peringkat bawahan. Parti serpihan pimpinan pemimpin yang dipecat atau keluar parti lebih merupakan pergerakan aras atasan sahaja.  

bersambung
 





 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan