Khamis, 15 September 2016

Bersatu; cabaran sebuah serpihan (bah 2)

BERSATU: MENGUJI KEBERKESANAN CABARAN SEBUAH SERPIHAN

bahagian 2  

Dalam era UMNO asal (1946-1988) kemunculan serpihan yang diasaskan oleh pemimpin kanan tidak memberikan impaks sama ada kepada parti atau kepada politik semasa. Era ini, politik lebih terarah kepada tuntutan kemerdekaan tanah air, pengisian pasca kemerdekaan serta dasar semasa yang pro-Barat, mendokongi kapitalisme dan zaman peralihan dari kolonialisme ke kerajaan sendiri, yang dianuti dan dipegang oleh UMNO serta rakan-rakan dalam Perikatan. 

Faktor Dato' Onn, serta faktor Aziz Ishak,  menampakkan ketokohan individu tidak dapat menarik keluar penyokong UMNO. Usaha membuka keahlian UMNO kepada etnik lain adalah satu pendekatan terlalu awal untuk menghakis perjuangan berasaskan perkauman kepada perpaduan. Kukuhnya ikatan kapitalisme berserta imperialisme memaksa UMNO menyingkirkan pendekatan menyempitkan lompang kekayaan antara kaum. 

Selepas UMNO diharamkan, pembentukan UMNO (Baru) dengan pendekatan baru yang mengubah beberapa asas dasar perjuangan, dengan melebarkan  keahlian kepada suku-suku kaum Bumiputera. Impaks dari dasar ekonomi, menerusi Dasar Ekonomi Baru yang bermatlamat menyusun semula masyarakat dan mengurangkan kemiskinan, turut mengubah dasar UMNO menerusi parti baru, UMNO (Baru). Era selepas pembentukan UMNO (Baru) pada tahun 1988, adalah era UMNO yang lebih tercabar dan impaks yang lebih mencabar kepada UMNO berbanding era UMNO asal. 

Selepas Perhimpunan Agung UMNO 1987, kumpulan 11 orang ahli UMNO kemuka bantahan dengan membawa kes ke mahkamah kerana didakwa ada 30 cawangan UMNO yang tidak sah pendaftaran menghadiri mesyuarat agung peringkat bahagian. Satu relif dikemuka, meminta perhimpunan tersebut yang melibatkan pemilihan kepimpinan tertinggi parti adalah tidak sah dan batal, dan perlu diadakan semula. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengambil keputusan mengistiharkan UMNO adalah sebuah parti haram, pada 04/02/1988, di atas kesalahan di bawah Akta Pertubuhan 1966. 

Dengan pengharaman UMNO yang merupakan parti tunjang BN, berlaku kekosongan sementara mengepalai kerajaan. Sebagai ganti, anggota BN paling kanan ialah MCA, justeru itu Presiden MCA bertindak mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN, sebagai badan utama tak rasmi pembuat dasar negara. Kumpulan penyokong Tengku Razaleigh Hamzah, bekas Naib Presiden yang kalah dalam perebutan jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan 1987, kemukakan permohonan UMNO 46, sementara kumpulan dua bekas PM dan Presiden UMNO; Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Hussien Onn, kemukakan permohonan UMNO Malaysia. Parti baru ganti UMNO perlu ditubuhkan ekoran pengharaman UMNO asal, terutama pengurusan dan pemilikan harta dan premis milik UMNO asal. ROS telah menolak permohonan pendaftaran UMNO 46 dan UMNO Malaysia, atas alasan penggunaan nama UMNO yang menyerupai nama sebuah parti yang wujud sebelum diharamkan mahkamah.

Bila kedua-dua parti yang menggunakan nama UMNO ditolak, kumpulan Tun Dr Mahathir kemukakan parti baru; UMNO (Baru), dengan perubahan induk dasar ialah terbuka keahlian UMNO kepada semua etnik Bumiputera. Kelainan dasar ini dengan UMNO asal, memberikan hujah kepada ROS menerima permohonan UMNO (Baru). Permohonan UMNO (Baru) diluluskan pada 13/02/1988. 

Kegagalan menubuhkan UMNO 46 untuk mengisi tempat UMNO yang diharamkan, kumpulan penyokong Tengku Razaleigh atau Team B bergerak bersendirian, dan menguji kekuatan menerusi penyertaan beberapa pilihan raya kecil sebagai calon bebas. Shahrir Abdul Samad, meletakkan jawatan Ahli Parlimen Johor Bahru untuk membolehkan satu PRK diadakan. Beliau bertanding sebagai calon bebas mewakili Team B berjaya mengalahkan calon UMNO (Baru) dengan majoriti besar, lebih 12,000 undi, dalam PRK Parlimen Johor Bahru (25/08/1988). Bila PRK Parit Raja diadakan pada 20/10/1988, kubu kuat UMNO ini yang beberapa kali dimenangi tanpa bertanding dalam beberapa PRU, calon bebas mewakili Team B, hanya kalah 413 undi sahaja setelah memperolehi 48.16% undi. Dalam PRK Parlimen Ampang Jaya (28/01/1989), calon bebas mewakili Team B, Dato' Harun Idris, berjaya memberi saingan sengit, dengan perolehi 44.95% undi. 

Penampilan serta pencapaian calon-calon bebas mewakili Team B ini dalam beberapa PRK selepas pengharaman UMNO, perlanjutan pencapaian Tengku Razaleigh mewakili Team B dengan kekalahan tipis dalam pemilihan tahun 1987 yang perolehi 48.55% undi, memperlihatkan cabaran serius yang bakal diberikan oleh sebuah parti atau kumpulan serpihan. Kumpulan ini menubuhkan Parti Semangat 46, mengambil sempena roh penubuhan UMNO dalam tahun 1946 dan berjaya diluluskan pada 05/05/1989. 

Sebaik penubuhan, Semangat 46 memain peranan yang agak signifikan, bila berjaya membantu Pas merampas kerusi UMNO dalam PRK Teluk Pasu (24/06/1989).Penyertaan pertama Semangat 46 ialah dalam PRK Tambatan (05/08/1989) dengan pencapaian memberangkan memperolehi 45.74% undi. Peranan Semangat 46 sebagai serpihan UMNO, dengan tanda-tanda awal keberkesanan mencabar parti asalnya dalam beberapa PRK sama ada secara bersendiri atau membantu rakan pakatan. 

Semangat 46 yang dipimpin oleh bekas Naib Presiden, Tengku Razaleigh Hamzah, mencipta keberkesanan dan pencapaian yang jauh meninggalkan parti-parti serpihan UMNO terdahulu. Bantuan Semangat 46 berjaya menjatuhkan sebuah kerajaan pimpinan UMNO (Baru) di Kelantan dalam PRU8 (PRU 1990). Kekalahan UMNO (Baru) di Kelantan, adalah satu kekalahan yang memilukan, bagaimana sebuah kerajaan penyandang, kalah semua kerusi DUN, begitu juga kerusi Parlimen. Di samping menyaksikan beberapa kerusi UMNO hilang di Terengganu, buat pertama kalinya dalam sejarah calon-calon UMNO kalah dalam pilihan raya di beberapa negeri kepada bekas ahlinya. 

PRU9 (PRU 1995) mengurangkan pengaruh dan sokongan kepada Semangat 46. Semangat 46 masih berperanan membantu Pas menewaskan UMNO (Baru) serta pertahan kerajaan. Kemerosotan pengaruh serta kepulangan penyokongnya ke pangkuan UMNO, sedikit sebanyak menjadi faktor penolak perjuangan Semangat 46, membawa kepada pembubaran parti dan ahli secara beramai-ramai mengistiharkan diri sertai UMNO. Namun demikian, di beberapa bahagian di Kelantan, bekas ahli Semangat 46 menyertai Pas. 

Kesan tindakan pemecatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden parti, DS Anwar Ibrahim dalam 2 September 1988, yang membawa kepada gerakan kebangkitan rakyat selepas penangkapan beliau 20/09/1988. Penangkapan ini membentuk "Reformasi" iaitu satu gerakan kebangkitan rakyat menuntut keadilan yang dipelopori penyokong Anwar dari UMNO bersama beberapa NGO. Untuk menggerakkan pergerakan ini, sebuah NGO dibentuk; Pergerakan Keadilan Sosial (Adil) di bawah kepimpinan DS Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri Anwar. 

Demi mencapai cita-cita tuntutan keadilan soail, Adil perlu didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan politik. Kegagalan pendaftaran Adil sebagai pertubuhan politik, diambilalih sebuah parti politik yang sudah ada, Ikatan Masyarakat Islam Malaysia (Ikatan). Penjenamaan semula menjadi Ikatan sebagai Parti Keadilan Nasional (KeADILan). Sungguhpun KeADILan diasaskan berbagai NGO, tetapi induknya adalah satu serpihan UMNO, penyokong dan simpatisan Anwar.  

Penglibatan awal KeADILan ialah dalam PRU10 (PRU 1999), KeADILan mencantumkan organnya bersama Pas, DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) untuk membentuk pakatan pilihan raya; Barisan Alternatif (BA). Sungguhpun BA bertanding satu lawan satu menentang BN di Semenanjung, tetapi tentangan sebenar ialah menentang UMNO. Hasilnya, kerajaan BN pimpinan UMNO jatuh di Terengganu, di samping kekalahan besar BN di Kelantan. Bilangan calon-calon UMNO yang kalah dalam PRU semakin bertambah di beberapa negeri; Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Johor. Walaupun KeADILan cuma menang kerusi yang lebih kecil berbanding Semangat 46 dalam PRU 1990, tetapi menampakkan keberkesanan peranan serpihan UMNO, yang membantu mengkucar-kacirkan UMNO. Undi orang Melayu sebagai mewakili undi UMNO merosot di seluruh Semenanjung kecuali di negeri-negeri selatan; Johor, Melaka dan Negri Sembilan. 

KeADILan mengwujudkan kerjasama dengan PRM yang mempunyai dasar dan asas perjuangan sama, membentuk Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang berjaya didaftar pada 03/08/2003. Secara perlahan, wajah serpihan UMNO semakin berkurang, yang menyaksikan PKR sebuah parti mewakili berbagai latar belakang. PRU11 (PRU 2004), menyaksikan pengundi Melayu mula kembali kepada UMNO dan BN, di mana peningkatan mendadak pencapaian BN dan kemerosotan semua parti dalam BA, termasuk DAP yang keluar dari BN, dua tahun sebelum PRU11.

Dua PRU terakhir (PRU12 dan PRU13) yang menonjolkan kebangkitan politik baru, politik perubahan dan politik dinamik memihak kepada parti lawan BN. Apakah pula PRU14, yang dihidangkan pula dengan kemunculan sebuah lagi serpihan UMNO. Serpihan baru ini, PPBM atau Bersatu lebih pure kemelayuanya berbanding dengan KeADILan atau PKR. Kemunculan Semangat 46 dan KeADILan, di era selepas UMNO diharamkan dan di era selepas Dasar Ekonomi Baru, yang bukan lagi perjuangaan untuk mendaulatan negara dan meletakkan ketuanan Melayu di puncak, tetapi perjuangan kepada keadilan, kemakmuran, ketelusan dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang disegani di persada antarabangsa. 

PPBM atau Bersatu yang lahir di era Malaysia berdepan dengan kemelut ekonomi dan kemelut intergriti lebih mencabar UMNO berdepan dengan pengundi generasi baru yang impikan kemajuan ekonomi, peluang pekerjaan, keselamatan dan ketenteraman sosial. Bersatu, sama seperti serpihan-serpihan UMNO lain, dikepalai oleh pemimpin kanan parti, sama ada Presiden, Timbalan Presdien atau Naib Presiden, mempunyai cita-cita mendapat kuasa dan perancangan yang lebih teliti, berasaskan pengalaman serpihan terdahulu. Bersatu bukanlah sebuah NGO memperjuangankan keadilan ekonomi tetapi sebuah badan siasah yang mata akhirnya ialah kuasa. 

  

 

 

 

 

 

 

 

 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan