Ahad, 25 September 2016

Agenda persempadanan kawasan pilihanraya

MERAMPAS KELANTAN MENERUSI DEMOKRASI  UBAH SEMPADAN KAWASAN PILIHAN RAYA

Cadangan atau syor persempadanan kawasan pilihan raya semula tanpa pertambahan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sedang dipamerkan, bermula 15/09/16 hingga 14/10/16, amat unik dan istimewa. Buat pertama kali, dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya, tidak berlaku pertambahan kerusi. 

Syor persempadanan yang sedang berjalan sekarang setelah kajian mengikut kehendak Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tersebut hanya melakukan perubahan persempadanan kawasan pilihan raya Parlimen dan negeri di negeri-negeri Tanah Melayu, sementara di Sabah, hanya mengubah sempadan pilihan raya Parlimen dan menambah dan mengubah kawasan pilihan raya negeri. 

Gambaran keseluruhannya sebagaimana ulasan berbagai pihak, berfokus untuk mempertahankan kuasa UMNO selaku parti dominan dalam kerajaan Persekutuan. Jika dalam persempadan semula 2003, melibatkan tambahan kerusi Parlimen dan negeri, yang berfokus memperbanyakkan kawasan campuran; campuran dalam bentuk komposisi etnik dan campuran dalam bentuk latar sosio-geografi, iaitu kawasan bandar dan luar bandar. Corak pengundian dalam Pilihan Raya Umum 1999 (PRU10) di mana berlaku ayungan undi Melayu dan luar bandar dari BN kepada pembangkang Melayu; Pas dan KeADILan, kecuali di bahagian selatan Tanah Melayu. Hasilnya persempadanan semula 2003 yang digunakan dalam PRU11 (PRU 2004), memberikan kejayaan gemilang untuk BN.

Prestasi terendah BN dalam PRU13 yang membentuk kerajaan Persekutuan dengan sokongan 47% pemilih. Kerajaan sokongan minoriti pimpinan UMNO sekarang secara langsung menggunakan SPR selaku apparatus birokrasi untuk mempastikan kerajaan Persekutuan sekarang dipertahankan. Persempadanan kawasan pilihan yang disyorkan berfokus kepada merombak semula persempadanan untuk memperbanyak kawasan campuran dalam tahun 2003, kepada perombakan mewujudkan lebih banyak kawasan pilihan raya berasas etnik tertentu. Persempadanan 2003 memperbanyakkan cantuman kawasan penerokaan Felda dengan kawasan bandar atau pinggir bandar, dengan meminggirkan keutamaan pentadbiran, merintasi sempadan daerah dan kawasan operasi pihak berkuasa tempatan. 

Persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi negeri-negeri Tanah Melayu yang sedang dipamerkan untuk bantahan, adalah satu jawapan kepada hasil prestasi BN dalam dua PRU terakhir. Kawasan-kawasan campuran memakan diri BN di mana bila pengundi-pengundi bukan Melayu beralih ke pembangkang sementara undi Melayu berpecah, menyebabkan BN kehilangan banyak undi dan kerusi. Kawasan campuran memberi kemenangan kepada calon Pas, yang mana dahulunya undi Pas hanya bergantung kepada kawasan majoriti pengundi Melayu, di samping calon-calon Melayu dari PKR. Justeru itu persempadanan semula kawasan kali ini mengurangkan kawasan campuran dengan fokus kepada pengumpulan etnik tertentu di kawasan tertentu. Persempadanan ini mengulangi persempadanan awal seperti 1973, 1983 dan 1993, yang sengaja berkecenderungan bersifat perkauman, di negeri-negeri tertentu. 

Pendekata persempadanan ini beragenda meletakkan BN berdepan dengan PRU14 dalam keadaan selesa, kiranya persempadanan ini digunakan. Kata-kata Kelantan akan berpeluang merampas Kelantan bukanlah satu momokan atau propaganda palsu. Kawasan di mana BN kalah dengan majoriti kecil kepada Pas atau PKR dan kawasan BN menang dengan majoriti kecil difokuskan rombakan sempadan yang membolahkan BN berada dalam zon selesa. 

Kawasan pilihan raya negeri yang dimenangi Pas atau PKR dengan majoriti kecil atau perolehan peratusan undi yang marginal diberi tumpuan, selain beberapa kerusi lain yang berpotensi bagi BN. 7 kawasan kritikal Pas/PKR; Jelawat, majoriti 102 undi dengan Pas cuma dapat 50.22% undi, Guchil; PKR menang dengan 492 undi, setelah perolehi 51.01% undi, Gaal; majoriti 302 undi dengan 51.07% undi oleh calon Pas,Gual Periok; 615 undi, 51.94% undi Pas, Wakaf Bharu; majoriti 978 undi dengan 52.22% undi, Tendong; majoriti 978  undi, 52.74% undi, dan Bukit Tuku; majoriti 879 undi, 53.59% undi. 

BN yang memenangi 12 kerusi DUN dalam PRU13, 4 daripadanya dimenangi dengan majoriti kecil. Air Lanas; majoriti 47 undi, 50.18% undi diperolehi calon BN, Selising; majoriti 107 undi, 49.96% undi, Kok Lanas; majoriti 169 undi, 50.42% undi dan Dabong; majoriti 229 undi, 51.27% undi

Contohnya, kawasan pilihan raya Bukit Tuku dengan 10 daerah mengundi dalam PRU13, ditambah 3 daerah mengundi baru dari DUN Chetok, dan dibuang satu daerah mengundi  ke Chetok. Berdasarkan rang daftar pemilih induk (DPI) terkini yang disahkan akhir Jun 2016, pemilih di DUN Bukit Tuku akan bertambah dari 14,962 orang ke 16,554 orang, kiranya berlaku perubahan sempadan. 3 daerah mengundi kuat UMNO dari Chetok ditukar dengan satu daerah mengundi kuat Pas. Logiknya, laluan mudah BN di Bukit Tuku, yang kalah 879 undi dalam PRU13.

Sebagai satu sampel, kawasan Parlimen Pasir Puteh yang mempunyai 4 kawasan pilihan raya negeri, disyorkan perubahan sempadan di 3 kawasan DUN. Daerah mengundi Seligi dalam DUN Limbongan disyor pindah ke DUN Selising. Dalam PRU13, BN menang di Selising dengan majoriti kecil 107 undi. Daerah mengundi Seligi adalah daerah mengundi dimenangi BN setelah perolehi 571 undi, sementara Pas dapat 366 undi, iaitu perbezaan 205 undi. Dengan memasukkan daerah mengundi Seligi ke DUN Selising, akan menambah kekuatan BN untuk mempertahankan kerusi. 

Daerah mengundi Kampung Raja disyor pindah dari DUN Gaal ke DUN Limbongan. Dalam PRU13, Pas mengatasi BN di daerah mengundi ini dengan perbezaan 242 undi, apabila Pas perolehi  680 undi, BN 438 undi. Sementara daerah mengundi Temila sebagai ganti, dipindahkan dari DUN Limbongan ke DUN Gaal. Di daerah mengundi Temila, Pas perolehi 509 undi, BN 510 undi, beza 1 undi. Secara langsung akan mengurangkan kekuatan Pas di DUN Gaal yang memenangi kerusi ini dengan majoriti 302 undi, apabila daerah mengundi dimenangi Pas dikeluarkan dan dimasukkan daerah mengundi 50:50. 

Hasil pergerakan 3 daerah mengundi tersebut membuatkan DUN Limbongan akan mengukuhkan penguasaan Pas, sementara DUN Selising selamat untuk BN, BN akan beri cabaran sengit di Gaal. Sementara DUN Semerak yang dimenangi BN dengan majoriti 985 undi tidak terusik, dengan perancangan BN mempertahankan Selising dan Semerak, merampas Gaal, dan membiarkan Pas menguasai Limbongan.   

Asas persempadanan semula kawasan pilihan raya ialah kesan pertumbuhan penduduk dan pertumbuhan fizikal. Pertembahan penduduk dan penempatan lantaran pembangunan fizikal akan meningkatkan keperluan perkhidmatan. Antara keperluan perkhidmatan ialah pertambahan perwakilan di sesuatu kawasan untuk menyediakan penawaran kepada pemilih selaku pembayar cukai. 

Jumlah pemilih bagi bahagian pilihan raya Persekutuan P028 Pasir Puteh adalah antara bahagian pilihan raya yang mempunyai jumlah yang tinggi berbanding dengan 222 bahagian pilihan Persekutuan yang lain. Jumlah pemilih bagi P028 bagi PRU11 (PRU 2004) ialah seramai 57,308 orang, meningkat kepada 64,393 orang dalam PRU12 (PRU 2008), iaitu peningkatan 7,085 orang atau 12.36%. Peningkatan ini adalah agak tinggi lantaran faktor utama ialah prestasi kedua-dua parti utama; BN dan Pas dalam PRU11. BN mengambil tumpuan aktif dari sudut pendaftaran pemilih baru dan pemindahan pemilih untuk merealitikan "Kelantan Baru Kelantan Maju", sementara Pas bekerja keras dalam pendaftaran pemilih lantaran pencapaian terburuknya dalam PRU11. 

Dalam PRU13, jumlah pemilih di P028 ialah 76,259 orang iaitu peningkatan 11,866 orang atau 18.42%. Memanglah BN menfokus kepada gerakkerja pendaftaran pemilih kerana kemerosotan undi dalam PRU12 sementara Pas meneruskan kerja-kerja teknikal ini untuk menyaingi BN. Tetapi angka terbaru digunakan SPR dalam persempadanan semasa ialah 78,280 orang pemilih, peningkatan cuma 2,021 orang atau 2.65%. Cuma bezanya  angka ini adalah peningkatan dalam tempoh tiga tahun selepas PRU13. Angka 78,280 orang berdasarkan DPI terbaru, dengan mewartakan maklumat pendaftaran dan pemotongan pemilih berakhir 31.12.2015. Angka digunakan dalam PRU13, memasukkan pemilih ke dalam DPI 2013, daripada maklumat berakhir 31.12.2012. Walaupun bezanya DPI 2016 kurang satu tahun berbanding DPI 2013, tetapi jarak antara 2.65% dengan 18.42% amatlah tinggi. 

Di samping itu, persempadanan semula ialah 2003, di mana melibatkan perpindahan kecil daerah mengundi antara DUN, tanpa pertambahan kerusi atau bahagian pilihan raya. DPI 2016 dengan DPI 2004, menunjukkan peningkatan seramai 20,000 pemilih di P028, menyamai jumlah  pemilih bagi sebuah kawasan pilihan raya negeri atau kerusi DUN. Sepatutnya perlu ditambah sebuah kerusi DUN baru di Pasir Puteh, logiknya. 

Jumlah pemilih mengikut DPI 2016 bagi kerusi-kerusi DUN: Selising: 18,456; Limbongan: 24,438; Semerak: 18,823; Gaal: 16,563. Syor persempadanan SPR dengan sedikit perubahan daerah mengundi: Selising: 19,599; Limbongan: 23,243; Semerak: 18,823; Gaal: 16,615.  

Ada munasabah dan asas memindahkan daerah mengundi Seligi ke DUN Selising atas fakta mengimbangkan bilangan pemilih antara DUN. Di samping itu, lokasi Seligi yang terpisah oleh bendang padi, sungai yang memutuskan hubungan musim banjir, serta lebih mudah akses dengan pusat pentadbiran di Limbongan, akan alami perubahan fizikal dan kemudahan perhubungan, bila siapnya jalanraya yang menghubungkan pekan Selising dengan Labok merentasi daerah mengundi Seligi. Kemudahan perhubungan ini akan mendekat dan memudahkan perhubungan dengan pusat pentadbiran Selising. Tambahan pula, kepesatan perubahan fizikal di kawasan Bukit Merbau berserta kewujudan sebuah kolej matrikulasi, akan mengimbangi saiz jumlah pemilih antara Limbongan dan Selising. 

Mengeluarkan daerah mengundi Kampung Raja secara bertukar ganti dengan daerah mengundi Temila ke DUN Gaal, tidak munasabah dan mengelirukan pengundi. Pemindahan daerah-daerah mengundi ini masih mengekalkan jarak saiz pemilih antara Gaal dengan kawasan pilihan yang lain. Sepatutnya mengekalkan daerah mengundi Kampung Raja serta meindahkan Temila ke DUN Gaal, akan mengaimbangkan bilangan pemilih antara DUN dalam P028. Pertumbuhan penduduk serta perkembangan fizikal di bahagian pilihan raya Gaal, yang lembab dan perlahan tidak memerlukan pengecilan saiz pemilih dan kawasan. Tambahan pula, daerah mengundi Temila, terpisah dengan jarak yang jauh serta ketiadaan jalan perhubungan dengan daerah mengundi lain dalam DUN Gaal. Dari segi pemetaan, bentuk kawasan Gaal dengan kemasukan Temila berbentuk hubungan antara tanah besar menerusi sebuah pergentingan dengan satu bahagian yang saiznya lebih kecil.  

Asas keseimbangan pemilih antara DUN serta pertumbuhan fizikal dan potensi pembangunan, munasabah daerah mengundi Seligi dimasukkan ke DUN Selising. Sebaliknya mengekalkan daerah mengundi Kampung Raja serta memasukkan Temila ke DUN Gaal, akan mengurangkan lompang perbezaan pemilih antara DUN. Ini akan menjadikan jumlah pemilih dalam P028 adalah: Selising - 19,599; Limbongan - 22,057; Semerak - 18,823; Gaal - 17,801.

Mengambil persempadanan di P028 sebagai sampel, memperlihatkan agenda di sebalik persempadanan semula tanpa penambahan kerusi ini, satu matlamat politik berselindung atau menumpang kerja-kerja teknikal SPR. Pengalaman dan kesan dari 4 persempadanan lampau, banyak membantu BN memperbaiki prestasi dan memperkukuhkan kedudukan.  

  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan