Jumaat, 14 Oktober 2016

Perluasan polarisasi kaum melalui persempadanan pilihan raya

AGENDA MELUASKAN POLARISASI KAUM MENERUSI PERSEMPADANAN SEMULA KAWASAN PILIHAN RAYA

Syor persempadanan semula kawasan pilihan raya menerusi Kajian Semula Persempadanan Bahagian Pilihan Raya yang sedang berlangsung lebih menampakkan kepada penekanan kepada pembahagian bahagian pilihan raya berasaskan etnik. Secara langsung, mengukuhkan perwakilan berasaskan kumpulan etnik, ke arah mengenalkan etnik tertentu menguasai sesebuah bahagian pilihan raya. 

Berbeza dengan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya 2003 yang melibatkan negeri-negeri di Tanah Melayu dan Sabah secara umumnya, tetapi secara khusus negeri-negeri yang mempunyai bilangan pengundi Melayu yang tinggi dipinggirkan:  Perlis (83.03%), Kedah (77.68%), Kelantan (94.30%) dan Terengganu (95.55%). Demi penekanan kepada pengwujudan lebih banyak kerusi atau bahagian pilihan raya melambangkan kepelbagaian etnik, negeri-negeri yang memiliki keseimbangan etnik Melayu dengan bukan Melayu diutamakan seperti Selangor (50.74% pemilih adalah Melayu) dan Johor (53.27% Melayu). 

Dalam persempadanan semula tahun 2003, sebanyak 21 bahagian pilihan raya Persekutuan atau kerusi Parlimen ditambah di negeri-negeri Tanah Melayu: Pulau Pinang (2), Perak (1), Pahang (3), Selangor (5), Wilayah Persekutuan (2), Negeri Sembilan (1), Melaka (1) dan Johor (6). Dari jumlah tambahan kerusi atau bahagian pilihan raya tersebut, 13 kerusi adalah kawasan campuran, di samping mengurangkan peratusan pengundi Melayu atau pengundi bukan Melayu untuk mewujudkan keseimbangan pemilih mengikut etnik. Kerusi Parlimen Bayan Baru yang merupakan kawasan majoriti bukan Melayu, dipindahkan bahagian besar etnik bukan Melayu ke kerusi baru Parlimen Bukit Gelugor, menjadikan Bayan Baru satu kawasan campuran dan Bukit Gelugor, kerusi baru bukan Melayu.

Kawasan Parlimen Kuala Lipis, satu kawasan campuran  (53% Melayu) dipecahkan kepada satu kawasan baru Parlimen Cameron Highlands, selepas persempadanan semula, Kuala Lipis  menjadi  kawasan majoriti Melayu, sementara Cameron Highlands, kerusi baru campuran dengan cuma 43% Melayu. Kawasan-kawasan Parlimen baru lebih bersifat campuran; Pandan (49% Melayu), Kelana Jaya (42% Melayu), Puchong (43% Melayu), Kota Raja (47%), Setiawangsa (56%), Sekijang (55%), Ledang (52%), Air Hitam (56%), Sembrong (54%), Pasir Gudang (48%) dan Tanjung Piau (50%). 

Hasil persempadanan semula 2003, kerusi-kerusi majoriti Melayu telah menjadi kerusi campuran. Antaranya, Sungai Benut (63% Melayu), dengan bahagian pilihan rayanya membentuk kerusi baru Air Hitam dan Simpang Renggam, di mana kedua-dua kawasan ini membentuk kawasan campuran: Simpang Renggam (dan 53% Melayu) dan Air Hitam (56%). 

Kerusi Parlimen baru Masjid Tanah, walaupun merupakan satu kerusi baru majoriti Melayu (82%), hasil persempadanan semula sebahagian kawasan Alor Gajah dan Selandar, menjadikan Parlimen Alor Gajah satu kawasan campuran (58% Melayu), asalnya kawasan majoriti Melayu. 

Pengwujudan kerusi Parlimen Kota Raja, hasil persempadanan semula sebahagian kawasan Parlimen Kapar  dan Klang, di mana sebelum persempadanan Klang adalah kawasan majoriti bukan Melayu, selepas persempadanan semula ketiga-tiganya adalah kawasan campuran. Peratusan pengundi Melayu di Kapar berkurang dari 58% ke 51%, Kota Raja (47% Melayu), sementara di Klang, peratusan pemilih Melayu meningkat dari 25% ke 33%. Kerusi majoriti Melayu di Kapar, majoriti bukan Melayu di Klang, dicantumkan membentuk 3 kerusi campuran. 

Kerusi majoriti bukan Melayu, Serdang (26% Melayu), disempadankan semula dengan sebahagian Hulu Langat, membentuk satu kerusi baru, Puchong, yang membentuk 2 kawasan campuran; Serdang (37% Melayu) dan Puchong (44% Melayu). 

Analisis mudah kepada pola persempadanan atau fokus persempadanan 2003 adalah jawapan kepada hasil Pilihan Raya Umum 1999. PRU 1999, memberikan kecenderungan pengundi Melayu mengalih sokongan kepada pembangkang Melayu, serta pengundi bukan Melayu memain peranan membantu Barisan Nasional mengekalkan kuasa. Pengwujudan lebih banyak kawasan pilihan raya campuran, demi mengimbangkan peranan pemilih Melayu dan bukan Melayu, untuk mengukuhkan kedudukan BN dalam pilihan raya berikutnya. Justeru itu, persempadanan semula 2003  menampakkan kepergantungan kepada undi Melayu, bukanlah harapan utama BN. Faktor inilah menyokong mengapa tidak diperuntukan tambahan kerusi di negeri-negeri majoriti pengundi Melayu walaupun pengundi kerusi Parlimen di kawasan negeri-negeri majoriti Melayu yang tinggi; Kuala Kedah (95,000 pemilih PRU13), Baling (93,000), Tumpat (98,000), Besut (76,000) atau Kemaman (91,000) berbanding kerusi Parlimen di negeri-negeri kawasan tengah dan selatan; Kuala Kangsar (33,000 pemilih dalam PRU13), Padang Rengas (28,000), Bagan Datoh (38,000), Maran (38,000), Sungai Besar (42,000), Labis (37,000), Tenggara (38,000) dan Pengerang (38,000), sekadar contoh perbandingan.

Syor persempadanan semasa menampakkan kecenderungan mengurangkan kawasan campuran demi mewujudkan lebih banyak bahagian pilihan raya bermajoriti etnik tertentu, secara kasarnya antara Melayu dan bukan Melayu. Kawasan Parlimen Alor Setar, satu kawasan 61% pengundi Melayu disyorkan menyaksikan pertambahan pemilih daftar pemilih induk (DPI) yang digunakan dalam PRU13 dengan DPI terkini dikeluarkan SPR, seramai 4,678 pemilih atau pertambahan 6.78%, sementara kawasan Parlimen berjiran; Pokok Sena (80% Melayu) dan Kuala Kedah (78% Melayu) mengalami kekurangan pemilih seramai 1,726 dan 3,850 orang. Dikhabarkan yang bergerak ialah pemilih bukan Melayu; menambah bilangan pemilih bukan Melayu di Alor Setar, dan mengurangkan bukan Melayu di Pokok Sena dan Kuala Kedah.

Bahagian pilihan raya negeri dalam bahagian pilihan raya Parlimen Alor Star, iaitu Kota Darul Aman (62% Cina, 6% India) meningkat pemilihnya dari 15,486 orang (PRU13) ke 21,480 orang, sementara pemilih di Wira Mergong (dulunya Bakar Bata (68% Melayu) dan Alor Mengkudu (73% Melayu) semakin berkurangan, antaranya pemindahan pengundi bukan Melayu ke Kota Darul Aman. Secara langsung, peratusan pemilih Melayu semakin bertambah di Wira Mergong dan Alor Mengkudu, sementara peratusan pemilih bukan Melayu bertambah di Kota darul Aman. 

Kawasan Parlimen Beruas (disyorkan nama  baru Ayer Tawar) alami peningkatan pemilih seramai 27,089 orang atau 55.5% berbanding PRU13, sementara Parlimen Lumut alami pengurangan 26,246 pemilih atau 29.72%. Kedua-dua kawasan parlimen ini adalah kawasan campuran; Beruas (52% pengundi Cina dalam PRU13), dan Lumut (51% Melayu dalam PRU13). Dalam pengesyoran baru, kawasan pilihan raya negeri Sitiawan (74% Cina, 12% India) dipindahkan dari Parlimen Lumut ke Parlimen Ayer Tawar, mengekalkan Pasir Panjang (69% Melayu) dan Pangkor (70% Melayu). Sementara bahagian pilihan raya negeri Pengkalan Baru (disyorkan nama Beruas, 66% Melayu) dan Pantai Remis (66% Cina, 17% India) dikekalkan di Ayer Tawar. Oleh kerana jumlah pemilih di Beruas hanya 16,137 orang, Pantai Remis 32,388 orang dan Sitiawan, 27,769 orang, akan menjadikan Parlimen Ayer Tawar, kawasan majoriti bukan Melayu, sementara ParlimenLumut, majoriti Melayu. 

Kawasan Parlimen Kapar yang mempunyai pengundi campuran dengan 51% Melayu dengan asalnya 4 bahagian pilihan raya negeri; Meru (60% Melayu), Sementa (campuran dengan 45% Melayu), Sungai Pinang (68% bukan Melayu), Selat Kelang (64% Melayu), dipindahkan Sungai Pinang yang majoriti bukan Melayu ke Parlimen Klang. Pemindahan ini akan menukarkan Kapar dari kawasan campuran ke kawasan majoriti Melayu. Pemindahan Sungai Pinang (ditukar nama ke Bandar Baru Klang) ke Parlimen Klang, akan menukarkan Klang sebagai kawasan campuran dengan majoriti bukan Melayu, setelah memindahkan Kota Alam Shah (84% bukan Melayu) ke Parlimen Kota Raja. Parlimen Kota Raja, kawasan campuran (44% Melayu, 25% Cina, 29% India) akan menjadi kawasan majoriti bukan Melayu, dengan pengekalan Sri Andalas (39% Melayu, 24% Cina, 36% India) dan Sri Muda (50% Melayu). Persempadanan semula dengan mengimbangkan jumlah pemilih 3 kawasan campuran ini akan membentuk satu majoriti Melayu dan 2 kawasan majoriti bukan Melayu. 

Sekadar mengutip beberapa bahagian pilihan raya, kajian semula syor persempadanan semasa lebih memberatkan penyusunan semula bahagian pilihan raya dari penekanan kawasan campuran dalam persempadanan semula 2003 kepada penekanan membentuk kawasan berasaskan etnik. Dalam 2 PRU terakhir menampakkan pemindahan pilihan pengundi bukan Melayu, orang Cina khasnya dari BN ke parti pembangkang. Persempadanan semula yang dibina atas roh perkauman ini mengukuhkan polarisasi kaum dalam kehidupan masyarakat Malaysia yang berbagai kaum. 

Persempadanan semula bahagian pilihan raya yang menutup bantahan hari ini (14/10/2016), amat wajar dibantah oleh warga Malaysia yang inginkan keharmonian dan solidariti rakyat, dengan menyingkirkan identiti perkauman.  

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan