Jumaat, 22 Julai 2016

Demokrasi menuntut suara majoriti

TUNTUTAN SUARA MAJORITI DEMI MERAIKAN ASAS DEMOKRASI

Salah satu asas demokrasi ialah meraikan suara majoriti. Keputusan majoriti adalah satu hak yang patut dihormati dan diabsahkan demi membentuk sistem pentadbiran atau pengurusan untuk kesejahteraan hidup bermasyarakat. Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab pengamal dan pendokong demokrasi berikhtiar melicinkan proses membentuk sistem demokrasi supaya ianya lebih dihormati sebagai satu institusi kemasyarakatan yang terjamin kekukuhan dan intergritinya. 

Umumnya demokrasi kepilihanrayaan mengambil tiga kaedah untuk merealisasikan amalan demokrasi. Pertama; pemilihan seseorang anggota badan legislatif berasaskan kiraan undi "the first past the post". Kedua; pengesahan terpilihnya seseorang anggota badan perundangan berasaskan perolehan suara majoriti pemilih. Ketiga; pemilihan seseorang ahli perundangan berdasarkan sokongan rakyat kepada parti yang diangotainya.

Kaedah pertama diamalkan dalam sistem pilihan raya Great Britain dan di kebanyakkan negara-negara bekas tanah jajahan British. Sistem berbilang parti ini memilih satu orang ahli perundangan mewakili satu kawasan pilihan raya (constituency).  Setengah negara, memperuntukkan bilangan lebih seorang ahli untuk mewakili satu kawasan pilihan raya, terutama di kawasan kepadatan penduduk yang tinggi. Seseorang calon perlu membentuk kumpulan sama ada atas nama parti atau gabungan, di mana pemilih mengundi kumpulan bukan mengundi individu calon. Contohnya, Singapura mengamalkan di mana sebahagian ahli perundangannya mewakili satu kawasan pilihan raya berkumpulan atau group representatives constituency (GRC). Singapura menggunakan pendekatan berkenaan untuk mempastikan semua kaum menduduki badan perundangan, di mana dalam kawasan GRC, disyaratkan setiap kumpulan atau parti meletakkan bilangan tertentu calon dari masyarakat minoriti; Melayu dan India. 

Kaedah kedua memperuntukkan satu perwakilan bagi satu kawasan pilihan raya di samping lebih seorang perwakilan bagi satu kawasan pilihan raya (GRC), di mana calon secara individu yang bertanding di kawasan satu perwakilan satu kawasan atau kumpulan calon yang bertanding di satu kumpulan calon satu kawasan, diistiharkan terpilih andainya memperolehi majoriti undi atau lebih separuh undi sah. Seandainya, tiada calon melepasi undi lebih separuh, maka dua calon undi teratas akan bertanding semula dalam pilihan raya pusingan kedua. Oleh kerana, dalam pusingan kedua melibatkan pertandingan satu lawan satu, maka calon yang menang pastinya perolehi lebih separuh jumlah undi, atau majoriti jumlah undi. Kaedah ini lebih popular dengan Perancis sebagai model.

Kaedah ketiga; penentuan keanggotaan badan perundangan menerusi undi popular yang dipungut oleh setiap parti. Pemilih memilih parti bukan individu calon. peratusan undi popular akan menentukan kuota atau peratusan kerusi diperuntukan. Andainya satu parti perolehi 40% undi popular keseluruhan, maka parti berkenaan diberi peruntukan sejumlah 40% kerusi atau anggota badan berkenaan. Jerman yang mengamalkan kaedah ini, menetapkan sesebuah parti layak mendapat peruntukan keanggotaan badan perundangan setelah perolehi tidak kurang 5% undi popular. 

Kaedah pertama meletakkan kiraan mudah menentukan pemenang berasaskan undi tertinggi. Kaedah kedua mempastikan setiap wakil mewakili sesuatu kawasan mendapat sokongan majoriti pengundi di kawasan berkenaan, sementara kaedah ketiga meraikan setiap undi rakyat berharga dan berhak mewakili mereka dalam badan perundangan.  

Kaedah pertama yang diamalkan di negara kita lebih menampakkan konsep suara majoriti yang dituntut oleh demokrasi kurang tepat dan longgar. Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, dua bulan lepas, beberapa kerusi dimenangi dengan perolehi undi kurang separuh atau tidak menguasai majoriti pemilih. Contohnya lihat keputusan bagi kerusi N48 Meluan;

Rolland Duat Anak Jubin (BN)     3,363 undi atau 37.40%
Elly Lawai Anak Ngalai    (Bebas) 2,686 undi atau 29.87%
Semana Anak Sawang    (PKR)    2,008 undi atau 22.33%
Remiguis Noel Ak Ngabai(Bebas)    934 undi atau 10.39%
Undi rosak:  127 undi
Peratusan mengundi: 69.59% atau 8,991 dari jumlah 13,108

Sungguhpun calon BN terpilih sebagai wakil rakyat, tetapi harus disedari 68% pengundi tidak memilih beliau. Berdasarkan angka jumlah keluar mengundi yang cuma 69.59%,  dengan pungutan cuma 37.40% undi, calon BN yang menang ini, bolehlah disifatkan tidak mewakili majoriti rakyat. Dengan jumlah sokongan cuma 3,363 dari jumlah pengundi berdaftar di Meluan iaitu 13,108 orang, beliau cuma mewakili 25.65% pemilih keseluruhan. Gambaran seorang wakil rakyat yang mewakili 1/4 pemilih, tidak menggambarkan realiti sebenar kehendak demokrasi iaitu pemimpin diangkat dan diiiktiraf oleh majoriti penduduk. 

Kes N49 Ngemah yang mempamerkan keputusan berikut:
Alexander Vincent                   (BN)      2,888 undi / 46.13%
Joseph Jawa Anak Kendawan (Bebas) 2,734 undi / 43.62%
Thomas Laja Anak Besi           (PKR)       396 undi /  6.32%
Richard Anak Lias                   (DAP)        243 undi /  3.88%
Undi rosak: 154        Peratusan keluar mengundi: 72.09%.

Calon BN yang menang ditentang oleh 53.87% pemilih yang menggambarkan kegagalan beliau memungut undi majoriti. Kejayaan calon BN, Alexander mempertahankan kerusi ini, walaupun dengan majoriti kecil atau pebezaan undi serta peratusan undi kurang separuh, sebagai satu ulangan. Dalam PRN 2011, beliau menang setelah memungut cuma 45.13% undi sahaja untuk mengatasi 4 calon lain. Penyertaan calon yang ramai dalam kedua-dua PRN banyak membantu beliau, di kala beliau tidak mendapat sokongan majoriti, undi menentang beliau berpecah kerana ramai calon berebut mendapat undi yang menentang BN. 

Dalam PRN lepas, calon BN sebenarnya mewakili 32.45% pemilih dalam kawasan pilihan Ngemah, diambil kira dari jumlah 8,899 pemilih berdaftar kawasan berkenaan. 

Dalam PRU13, (PRU 2013) dengan mengambil contoh kerusi N29 Selising, Kelantan, menggambarkan bila berlaku saingan lebih dua penjuru menyebabkan calon yang menang gagal perolehi sokongan majoriti pemilih. Dalam PRU13, keputusan bagi N29 Selising ialah:

Zulkifle Ali                       (BN)   7,662 undi / 49.96%
Saipul Bahrim Mohamad (Pas)  7,555 undi / 49.26% 
Ibrahim Ismail                 (Bebas)  120 undi /  0.78%
Undi rosak: 236 undi   Peratusan keluar mengundi: 86.50% 

Calon BN yang menang tidak mewakili majoriti pemilih yang keluar mengundi kerana gagal meraih lebih separuh undi sah, cuma 49.96% sahaja. Namun begitu, lantaran peratusan keluar mengundi yang tinggi di Selising berbanding dengan Meluan dan Ngemah, sokongan kepada calon BN Selising lebih besar digambarkan mewakili peratusan pemilih dalam kawasan pilihan raya berkenaan. Di samping itu, perpecahan undi menentang BN lebih kecil di Selising kerana bilangan calon yang bertanding lebih kecil. Calon Bebas di Selising, sekadar memecahkan undi untuk membantu BN sahaja. Di Selising, calon BN adalah mewakili 42.43% dari jumlah 18,058 pemilih berdaftar. 

Demokrasi kepilihanrayaan mengikut kaedah kedua sebagaimana amalan setengah negara lebih adil dan menepati asas demokrasi iaitu golongan atau kumpulan yang mendapat sokongan majoriti berhak berkuasa atau dipilih. Justeru kes-kes di atas yang diamalkan oleh demokrasi berparlimen model British, sepatutnya dilibatkan pengundian atau pilihan raya pusingan kedua, ikut pendekatan kaedah kedua. Pemilihan semula sepatutnya diadakan demi asas sokongan majoriti melibatkan dua calon teratas dalam saingan dua penjuru demi menepati calon yang menang mendapat sokongan majoriti iaitu lebih separuh jumlah undi atau lebih 50%.  

Kes N35 Kemuning, Kelantan dalam PRU11 (PRU 2004) yang mecipta rekod kemenangan seorang calon dengan undi paling kecil iaitu perbezaan 2 undi. Kes ini menyamai rekod yang dicapai dalam PRU2 (PRU 1964) bagi kerusi Batu Road, Dun Selangor, iaitu beza 2 undi.  Keputusan PRU11 bagi kerusi Kemuning ialah;

Zakaria Yaacob                        (Pas) 6,078 undi / 50.01%
Wan Mohamad Zin Mat Amin   (BN)   6,076 undi / 49.99%
Undi rosak:  190         Peratusan keluar mengundi: 77.96%.

Calon Pas yang menang di Kemuning, sama ada mengikut kaedah pertama atau kaedah kedua, ialah calon yang perolehi lebih separuh undi, iaitu sudah dikira undi majoriti daripada jumlah undi sah. Tidak perlu pilihan raya pusingan kedua, kerana calon berkenaan sudah berjaya perolehi undi majoriti, 50.01%, walaupun angkanya kecil. Oleh kerana peratusan keluar mengundi 77.96% lebih rendah berbanding peratusan keluar mengundi di Selising, 86.50%, maka jumlah pungutan undi beliau adalah cuma 38.38% daripada jumlah 15,834 pemilih berdaftar berbanding 42.43% oleh calon BN di Selising. 

Lontaran pandangan Timbalan Presiden Pas, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, minggu lepas, yang mencetuskan berbagai tafsiran, yang mendorong kepada usaha kerjasama dan persepakatan parti-parti pembangkang dalam agenda bersama melawan BN. Perpecahan undi menentang BN, bukan sekadar memberi laluan mudah untuk BN tetapi, menafikan kehendak majoriti pemilih yang  bersusah payah keluar membuang undi. Calon yang menang hanya mendapat peratusan kecil undi, lantaran bahagian besar baki undi dikongsi oleh bilangan calon yang ramai. 

Paparan 4 kes sebagai contoh untuk renungan, semata-mata untuk mengukuhkan tuntutan asas demokrasi yang memberi ruang pihak yang mendapat sokongan majoriti berhak dipilih. Bila sokongan minoriti mengatasi majoriti, membuka ruang kelemahan demokrasi kepilihanrayaan. Justeru dalam sistem yang berasaskan kepada "the first past the post", kemurnian demokrasi lebih mudah terukir menerusi saingan satu lawan satu. Perwakilan atau anggota badan perundangan yang dipilih disokong oleh majoriti pemilih iaitu melebihi separuh dari jumlah pemilih yang terlibat. 

Menyedari kemuslihatan di sebalik rasionaliti "the first past the post", siapa cepat dia dapat, tercetusnya kaedah pilihan raya pusingan kedua agar asas demokrasi, pemilihan berpaksikan suara majoriti mutlak direalisasikan.  Tanpa mengubah sistem dan peraturan pilihan raya kerana keterlibatan perundangan, demi merealisasikan kehendak demokrasi yang bertunjangkan suara majoriti, pilihannya hanya satu; saingan satu lawan satu, pastinya calon yang menang menguasai lebih 50% undian, sebagaimana kes Kemuning.  

 

 

 


 

 



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan