Selasa, 12 Julai 2016

Matlamat jatuhkan BN

MATLAMAT UTAMA UNTUK JATUHKAN BARISAN NASIONAL 

Kenyataan terbaru pemimpin kanan Pas dalam media sosial agak menarik juga, jika kenyataan itu tidak ditokok tambah atau diputarbelit. Kenyataan dari Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presdien Pas serta reaksi dari Dato' Iskandar Abdul Samad, Naib Presiden Pas merangkap Pesuruhjaya Pas Selangor, dikuti sokongan DS Mohamed Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR merangkap Menteri Besar Selangor sebagai satu cetusan baru dalam percaturan politik nasional menjelang PRU14. 

Kedua-dua pemimpin Pas dan MB Selangor senada menyimpulkan matlamat utama parti-parti pembangkang ialah menumbangkan Barisan Nasional dalam PRU14. Usaha menumpaskan BN memerlukan kerjasama dan persepakatan antara parti-parti pembangkang supaya keyakinan rakyat sebagai pemilih mempunyai pilihan yang tepat pihak mana yang harus disokong. Pemilih ingin melihat pembangkang memiliki visi yang jelas dan berkeyakinan untuk menumpaskan sebuah gagasan gergasi yang menguasai 13 siri PRU sejak merdeka, dalam tempoh hampir 60 tahun.  

Pengalaman dari PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar, secara mudah dan umumnya menyimpulkan tanpa pemuafakatan parti-parti pembangkang, sukar untuk menewaskan BN, malah secara langsung memberikan peluang kepada BN menang mudah. 

Dalam sejarah pilihan raya di Malaysia, kerjasama atau persefahaman pilihan raya antara parti-parti pembangkang telah membuahkan hasil. Kerjasama antara parti-parti pembangkang adalah berfokus kepada mengelelakkan pertindihan calon yang membawa kepada perpecahan undi. Mekanisme yang paling berjaya ialah mempastikan wujud "satu lawan satu" antara BN dengan calon pembangkang.  

Satu lagi mekanisme kerjasama ialah dengan mewujudkan persaingan tiga penjuru, di mana salah satu parti sebagai "spoiler" untuk memecahkan undi.  

Kedua-dua pendekatan ini dapat dilihat strategi persefahaman parti-parti pembangkang di Kelantan: UMNO, MCA dan Berjasa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan 1978. Di kawasan kubu kuat UMNO dan Pas, persepakatan UMNO-MCA-Berjasa meletakkan calon tunggal untuk saingan satu lawan satu dengan Pas. Kawasan selamat BN, UMNO bertanding di 9 kerusi dan MCA 1 kerusi, sementara kubu kuat Pas, dibiarkan Berjasa bertanding secara satu lawan satu dengan Pas di 12 kerusi. Hasilnya, UMNO menang 8 kerusi, MCA menang satu dan Berjasa menang 11 kerusi. 

Di 14 kawasan lagi yang merupakan kerusi seimbang atau kelabu bagi pembangkang (UMNO) dan kerajaan (Pas), UMNO mengadakan pakatan menjadikan Berjasa untuk memecahkan undi Pas. Lantaran Berjasa, sebuah parti serpihan dari Pas, mampu menarik penyokong Pas. BN berjaya sepenuhnya menguasai semua 14 kerusi berkenaan menerusi calon UMNO. Di kerusi Semut Api, BN perolehi 2,813 undi, Pas 2,737 undi, sementara Berjasa 983 undi. Di Bandar Pasir Mas; BN 3,252 undi, Pas 1,647 undi, Berjasa 2,333 undi. Di Bandar Machang; BN 3,833 undi, Pas 1,632 undi, Berjasa 2,359 undi. Undi Pas campur Berjasa mengatasi undi BN. 

Laluan mudah BN untuk menang di beberapa kerusi, bila sebahagian undi Pas ditarik oleh Berjasa. Tanpa penyertaan Berjasa, kiranya saingan satu lawan satu UMNO lawan Pas, pertandingan menjadi sengit. Di kerusi Telipot; BN dapat 3,949 undi, Pas 1,376 dan Berjasa 1,918 undi. Di Gual Ipoh; BN 3,859 undi, Pas 881 undi dan Berjasa 1,097 undi. Di Lanas; BN 2,247 undi, Pas 2,059 undi, Berjasa 166 undi dan calon Bebas 105 undi. Di Guchil; BN 2,594 undi, Pas 1,475 undi, Berjasa 713 undi. Di Jeli; BN 2,549 undi, Pas 1,889 undi dan Berjasa 391 undi.  

Cubaan pertama pakatan atau persefahaman pilihan raya berlaku dalam PRU3 (PRU 1969) bila 3 parti utama mewakili masyarakat bandar; PPP, DAP dan Gerakan, bersepakatan elak pertindihan calon. Ketiga-tiga parti bersepakat menggunakan isu hak istimewaan Melayu, yang menghasilkan kejayaan menumpaskan calon-calon Perikatan terutamanya calon MCA dan MIC di kawasan bandar dan pinggir bandar. Kejatuhan kerajaan Perikatan di Pulau Pinang serta prestasi Perikatan terumbang-ambing di Perak dan Selangor. Di samping itu, Perikatan hilang banyak kerusi di kawasan bandar di negeri-negeri Melaka, Negeri Sembilan dan Kedah

Dua parti pembangkang yang fokus kepada kawasan luar bandar; Pas dan Partai Rakyat, bertanding bersendirian. Oleh kerana kedua-dua parti ini bertanding bersendirian dan terlibat dengan bertanding sesama pembangkang, memberikan dua kesan; membantu pembangkang lain mengalahkan Perikatan dan memberi manfaat kepada Perikatan bila undi pembangkang berpecah. 

Oleh kerana Pas dan Partai Rakyat tidak adakan kerjasama pilihan raya dengan parti lain, turut membantu memudahkan laluan calon Perikatan mempertahankan kerusi yang dimenangi dalam PRU 1964. Di Parlimen Alor Star, kawasan campuran, calon MCA mewakili Perikatan yang dapat 9,016 undi menang bila undi pembangkang berpecah kepada calon Gerakan (Cina)8,543 undi dan calon Pas 7,258 undi.   Di Kuantan, yang menyaksikan pertandingan antara 3 calon Melayu, Perikatan dapat 8,798 undi, Partai Rakyat 7,491 undi dan Pas 3,438 undi. Di kerusi Parlimen Perlis Utara yang ditandingi 3 calon Melayu; UMNO/Perikatan 10,763 undi, Pas 8,057 undi dan Partai Rakyat 2,910 undi. Ketiadaan persepakatan antara pembangkang Melayu banyak membantu Perikatan, sebagaimana kes Kuantan dan Perlis Utara. 

Dua kerusi luar bandar DUN Perlis berjaya diselamatkan  Perikatan dengan bantuan perpecahan undi pembangkang bila campuran undi pembangkang lebih besar berbanding perolehan undi Perikatan.  Di kerusi Paya; Perikatan dapat 1,922 undi, sementara Pas 1,814 undi dan Partai Rakyat 186 undi, dan di kerusi Mata Air; Perikatan 1,623 undi, Pas 1,572 undi dan Partai Rakyat 223 undi. 

Penyertaan Pas di kawasan luar bandar dan pinggir bandar mengganggu Perikatan memenangi kerusi, bila andainya tanpa penyertaan Pas apabila pakatan PPP-DAP-Gerakan menjadikan isu hak keistimewaan orang Melayu sebagai isu utama, Perikatan boleh menang bila pengundi Melayu bersamanya. Calon UMNO/Perikatan yang mempertahan kerusi Batak Rabit, Perak, kalah bila cuma dapat 3,784 undi di kawasan majoriti Melayu, sementara calon India dari DAP dapat 4,403 undi dan calon Pas dapat 866 undi. Kerusi Ampang, kawasan majoriti Melayu diwakili wakil rakyat Melayu dari Perikatan sejak PRU 1959, kalah bila perolehi 6,601 undi berbanding 7,634 undi oleh calon DAP, sementara calon Pas, 3,560 undi. Kemenangan kepada calon Cina, setelah undi Melayu berpecah kepada 2 calon Melayu. 

Di kerusi Bukit Rambai, Melaka, calon UMNO/Perikatan gagal pertahan kerusi kerana undi Melayu berpecah kepada 3 calon Melayu membolehkan calon Cina dari DAP menang. Calon DAP dapat 1,578 undi, sementara calon Perikatan 1,465, Pas 883 undi dan Partai Rakyat 671 undi.

Di kawasan majoriti Melayu, persaingan sesama calon Melayu turut memihak kepada DAP atau Gerakan. Contohnya di kerusi Sirusa, Negeri Sembilan, bila calon DAP merampas kerusi Perikatan. Calon DAP dapat 2,486 undi, sementara Perikatan 2,256 undi dan Pas 482 undi. 

Calon-calon Perikatan dari MCA yang bertanding di kawasan campuran gagal pertahan kerusi, bila undi Melayu berpecah kerana penyertaan Pas. Di kerusi Parlimen Larut Selatan, calon Cina dari Gerakan mengalahkan calon MCA, bila Gerakan perolehi 15,641 undi, Perikatan 10,774 dan Pas 4,962 undi. Di kerusi Parlimen Beruas, calon Cina dari PPP dapat 8,368 undi untuk merampas kerusi MCA yang perolehi 7,900 undi, sementara Pas mendapat 4,033 undi. 

Di kerusi negeri Gopeng, Perak, calon MCA/Perikatan perolehi 4,183 undi dikalahkan oleh calon Cina dari PPP yang dapat 6,008, sementara sebahagian  undi Melayu menyokong Pas, 2,014 undi.  Di Kuang, Selangor, calon MCA kalah tipis kepada calon Cina dari Gerakan, bilamana Perikatan perolehi 3,088 undi, Gerakan 3,119 undi dan Pas membolot 1,128 undi. 

Dalam PRU11 (PRU 2004) yang menyaksikan perpecahan dalam Barisan Alternatif bila DAP keluar dari pakatan itu dalam tahun 2001, ditambah dengan perubahan kepimpinan BN yang memerlukan mandat baru, memberikan kemenangan besar kepada BN. Parti Keadilan Nasional (KeADILan) bersama Pas adakan persefahaman pilihan raya, sementara DAP bertanding bersendirian menampakkan beberapa kerusi potensi kepada pembangkang dapat dimenangi mudah oleh BN. 

Walaupun tanpa kerjasama pilihan raya, KeADILan dan Pas tidak meletak calon di kawasan bandar untuk membolehkan DAP berdepan dengan BN secara langsung, tetapi di beberapa kawasan campuran berlaku 3 penjuru bilamana KeADILan dan Pas ikut serta. Di Parlimen Taiping, calon BN perolehi 20,129 undi, sementara DAP 17,957 undi dan KeADILan 4371 undi, dengan jumlah undi pembangkang 22,228. 

Di kerusi Parlimen Puchong, dalam saingan 3 penjuru, BN perolehi 21,291 undi, Pas 9,409 dan DAP 9,185 undi untuk membolehkan BN menang besar dengan majoriti 11,882 undi. Jika dicampurkan undi DAP dan Pas berjumlah 18,594, yang memberikan BN cuma menang majoriti 2,697 undi sahaja jika satu lawan satu. Keadaan sama berlaku di kerusi Parlimen Teluk Intan dan Batu Kawan, bila DAP dan KeADILan bertanding bersama menentang BN. Justeru itu, kerusi-kerusi ini dengan mudah dimenangi pakatan pembangkang dalam PRU12 (PRU 2008) bila berlaku saingan satu lawan satu. 

Cetusan Timbalan Presiden Pas tersebut walaupun bukan pandangan rasmi dan kolektif Pas lebih merupakan satu lontaran yang harus dibincangkan agar kerancakan demokrasi dapat diraikan menjelang PRU14. Masing-masing parti mempunyai strategi dan perancangan masa depan tersendiri, apapun tunggu dan lihat apakah perkembangan selanjutnya demi matlamat utama ialah mengalahkan BN sebagai matlamat akhir.  

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan