Ahad, 31 Julai 2016

Kewajaran PRN Pulau Pinang

KEWAJARAN SATU PILIHAN RAYA NEGERI DI PULAU PINANG.

Khabarnya Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP telah membuat keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang untuk membolehkan diadakan satu pilihan raya negeri (PRN). 

Mengadakan PRN berasingan serta di pertengahan penggal bukanlah perkara yang asing dalam senario politik Malaysia. Kerapkali DUN Sabah dibubar untuk memberi laluan kepada satu PRN baru. Ancaman kepada kerajaan negeri yang memegang teraju pemerintahan, mendorong kerajaan negeri membubar DUN, dalam tempoh luar jangka.

 Kerajaan Sabah zaman pimpinan USNO, berdepan dengan krisis kepimpinan membawa kepada penubuhan parti baru oleh bekas pimpinan USNO bersama UPKO. Bila Berjaya yang disokong oleh Kerajaan Pusat di Kuala Lumpur berjaya didaftarkan dalam tahun 1975, dua ADUN Berjaya yang melompat dari USNO mengosongkan kerusi untuk membolehkan pilihan raya kecil diadakan. Pengosongan kerusi ini sebagai menguji sokongan kepada Berjaya. bubarMalangnya dalam PRK (Disember 1975) di dua kerusi ini, Labuan dan Kuala Kinabatangan calon Berjaya termasuk ketuanya, Harris Mohd Salleh kalah kepada calon USNO. Kekalahan Berjaya dalam percubaan pertama ini dibaca sebagai rakyat masih bersama dengan USNO yang memerintah sejak PRN pertama, 1967. Justeru itu kerajaan USNO membubarkan DUN Sabah, yang baru masuk penggal keempat, dalam bulan Mac 1976. PRN Sabah kali ke 3, dalam bulan April 1976, memberikan kejutan bila rakyat Sabah memberikan mandat kepada parti baru, Berjaya. 

Pemecatan pemimpin kanan parti dan jemaah menteri negeri, Joseph Pairin Kitingan dalam tahun 1984, memulakan krisis dalaman Berjaya. Akhirnya, Pairin mengosongkan kerusi ADUN untuk membolehkan satu PRK di Tambunan, sebagai bukti kekuatan tentangan terhadap kepimpinan Berjaya di bawah Harris Mohd Salleh. PRK di kerusi Tambunan (Disember 1984) dimenangi Pairin yang bertanding sebagai calon bebas, kerana parti ditubuhkannya Parti Bersatu Sabah (PBS) belum diluluskan pendaftaran. Kesan kemenangan Pairin ini memberikan satu momentun baru sikap pemilih terhadap kerajaan BN yang dikepalai oleh Berjaya. Sebelum PBS meluaskan pengaruh, Harris membubar DUN yang baru berusia 4 tahun, untuk satu PRN mengejut dalam tahun 1985. PBS yang baru ditubuhkan berjaya menumbangkan kerajaan Berjaya dalam PRN tersebut. Berjaya/BN yang pertahan kerajaan cuma perolehi 6 kerusi sahaja dari jumlah 48 kerusi DUN

PBS berdepan dengan ancaman berupaya usaha untuk menggugat kerajaan pimpinannya. Ancaman terbesar ialah usaha untuk memaling tadah ADUN, sementelahan kerajaan PBS adalah dari parti pembangkang berdepan kerajaan pusat di bawah BN. Belum cukup setahun selepas PRN 1985, PBS membubarkan DUN Sabah untuk memberi laluan kepada PRN baru dalam tahun 1986. 

Sementara di Semenanjung, satu-satunya PRN berasingan ialah di Kelantan dalam tahun 1978. Apabila DUN Kelantan digantung dan diletakkan di bawah pentadbiran kuasa dharurat, kerana krisis poiitik Oktober 1977. Bila kuasa dharurat ditarik balik dalam bulan Februari 1978, untuk meneruskan pentadbiran awam, DUN dibubarkan  pada 17 Februari 1978 iaitu 20 bulan lebih awal sebelum penggal DUN yang bermula mesyuarat dalam bulan September 1974 berakhir. 

Berbeza dengan semua badan perundangan; Parlimen dan DUN yang digantung selepas PRU 1969, bila kuasa dharurat ditarik balik awal 1971, bila dikembalikan kepada pentadbiran awam, dikembalikan kepada perwakilan yang dipilih dalam PRU 1969. Sepatutnya, bila pentadbiran awam dipulihkan, kuasa pentadbiran Kelantan dikembalikan kepada perwakilan atau anggota perundangan yang dipilih dalam PRU 1974, sebab penggal DUN berbaki 20 bulan 
lagi. 

PRN Kelantan diadakan pada 11 Mac 1978, yang menyaksikan kejatuhan kerajaan pimpinan Pas, bila Pas cuma menang 2 kerusi dari jumlah 36 kerusi DUN.

Lontaran idea mengadakan PRN Pulau Pinang lebih awal dan berasingan dengan pilihan raya umum (PRU) sungguhpun diizinkan oleh amalan demokrasi Westminter, bertentangan dengan usaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan semua pilihan raya negeri diadakan bersama dalam PRU demi mengurangkan politiking dan perbelanjaan dana awam.  Bagi kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang, lebih merupakan mendapatkan mandat rakyat apabila kepimpinan kerajaan negeri berdepan dengan krisis keyakinan. Pendakwaan ke atas Lim Guan Eng, yang mengetuai kerajaan negeri dirumuskan sebagai antara usaha untuk meletakkan cabaran keyakinan dan ketelusan kerajaan negeri di mata awam. Dengan kata lain, pendakwaan ini disimpulkan sebagai agenda politik  untuk meruntuhkan keyakinan awam terhadap kerajaan negeri. 

Tindakan dan keputusan yang diambil oleh CEC DAP bukanlah satu perkara asing, ianya sama sebagaimana pendekatan diambil oleh Pairin semasa membubar DUN Sabah, dalam tahun pertama menerajui kerajaan Sabah dalam tahun 1986, bila kekecohan serta pengeboman di beberapa tempat sebelum PRN 1985, berterusan selepas PRN tersebut. Keberanian PBS memanggil PRN baru dalam tahun 1986, ada kebenarannya kerana PBS telah memperlihatkan kejayaan yang lebih cemerlang bila merangkul 34 kerusi, meningkat dari 25 kerusi, USNO kehilangan 4 kerusi, tinggal 12, lebih malang Barisan Nasional menerusi Berjaya yang hilang kerajaan setahun lalu, cuma mampu menang satu kerusi sahaja. 

DAP menganggap pendakwaan ke atas Guan Eng sebagai satu tindakan politik untuk melumpuhkan DAP. Tindakan balas dari kepimpinan DAP yang mengambil keputusan untuk membubarkan DUN sebagai menguji sokongan rakyat terhadap kerajaan Pulau Pinang semasa. Keyakinan tinggi DAP mengekalkan sokongan rakyat sebagaimana dalam PRU13 di mana di samping DAP bersama PKR dan Pas mempertahankan kerajaan negeri, pakatan ini juga berjaya menambah kerusi dan peratusan undi popular. 

Dari jumlah 40 kerusi DUN Pulau Pinang, 14 kerusi adalah majoriti pengundi bukan Melayu melebihi 80%, serta 8 kerusi, mempunyai lebih 60% pengundi bukan Melayu. DAP bertanding di 19 kerusi, sementara 3 diberikan kepada PKR. Semua 22 kerusi majoriti bukan Melayu ini dimenangi DAP dan PKR sebagaimana PRU12, dengan peningkatan peratusan undi yang besar. Berdasarkan sokongan tinggi pengundi di 22 kawasan ini, dengan mudah DAP bersama pakatannya mampu mempertahankan kerajaan negeri Pulau Pinang. Di 16 kerusi, undi BN telah merosot berbanding PRU12, malah calon BN di Berapit dan Pengkalan Kota, hilang wang pertaruhan. Dari rekod pilihan raya, sejak penubuhan BN dalam tahun 1974, belum ada mana-mana calon BN hilang wang pertaruhan, dan rekod ini dipecahkan di Pulau Pinang dalam PRU13. 

Kawasan campuran diberikan kepada PKR. Kawasan campuran, majoriti bukan Melayu (pengundi Melayu hanya 40%); Pulau Jerejak, Machang Bubuk dan Bukit Tengah, sungguhpun undi BN ada sedikit peningkatan, tetapi peningkatan undi dan peratusan undi calon yang mempertahankan semua kerusi ini, jauh lebih tinggi. Di Machang Bubok, undi PKR naik sebanyak 73.42%, berbanding peningkatan 3.73% undi calon BN. 

Terdapat 2 kawasan campuran dengan pengundi Melayu melebihi 50%; Batu Maung dan Pulau Betong. PKR berjaya pertahan kerusi Batu Maung, walaupun undi BN meningkat dengan peratusan lebih tinggi, tetapi peningkatan undi PKR dan majoriti undi kemenangan calon PKR lebih besar. Pulau Betong, kawasan campuran tunggal dimenangi BN, tetapi  kenaikan peratusan undi PKR lebih tinggi dari calon BN. 

13 kerusi adalah majoriti pengundi Melayu di mana Penaga, Permatang Berangan dan Sungai Dua di utara Seberang Perai mempunyai lebih 80% pengundi Melayu. BN mengekalkan kerusi ini dengan peningkatan undi yang lebih besar berbanding tambahan undi calon Pas. Ketiga-tiga kerusi ini diberikan kepada Pas. BN hilang kerusi majoriti Melayu, Seberang Jaya, bila calon PKR berjaya meningkatkan undi sebanyak 59.05% iaitu lebih 5,000 undi  berbandinberbanding undi BN cuma meningkat 2,000 undi lebih atau 24.42%. Di samping itu, peningkatan undi BN lebih rendah berbanding peningkatan undi PKR di Bertam, Pinang Tunggal dan Telok Ayer Tawar, yang turut menurunkan undi majoriti kemenangan. Di 13 kerusi majoriti Melayu ini, BN menang 9 kerusi, PKR 3 dan Pas 1. 

Senario PRU13 yang menyaksikan sokongan berbagai kaum sama ada masyarakat bukan Melayu mahupun Melayu meningkat berbanding PRU12, menjadi sumber kekuatan DAP selaku peneraju kerajaan menyakini mampu berdepan dengan satu PRN dalam masa terdekat. Namun begitu, DAP masih gagal mendapat persetujuan rakan-rakan dalam pakatan pembangkang, Pakatan Harapan, untuk memanggil satu PRN.  

DAP mengambil kira sumber yang menyebut strategi BN untuk mengadakan PRN berasingan di negeri tertentu, ekoran kejayaan cemerlang BN dalam PRN Sarawak tempoh hari. PRN di Johor dan satu lagi PRN Sabah, di akhir tahun ini dan awal tahun depan, dilihat sebagai mempastikan 3 kubu kuat BN: Sarawak, Sabah dan Johor, terus utuh dan mampu dijadikan sandaran untuk hadapi PRU14. Kemelut dalam UMNO yang dijangka tergugat di dua negeri kubu kuat tersebut memerlukan pendekatan sebagai BN berdepan dengan PRU 1978 selepas pemecatan Pas dari BN. Bila PRN berasingan di Kelantan memberi kemenangan kepada BN, memberi ilham pembubaran Parlimen dan dewan-dewan perundangan negeri lain untuk PRU 1978. Mengambil kira dari pengalaman serta rekod demokrasi kepilihanrayaan di Malaysia ini, wajarlah DAP mengambil langkah awal sebelum BN adakan PRN berasingan di negeri tertentu. Mungkin langkah DAP ini, akan mengendurkan strategi BN untuk adakan PRN. Alasan peningkatan kos pengurusan SPR dan penggunaan dana awam serta meningkatkan politiking, bukanlah alasan kukuh untuk menghalang kiranya PRN diadakan di Pulau Pinang.  

 


 



   



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan