Ahad, 7 Ogos 2016

PRN Terengganu

SEPATUTNYA PRN DI TERENGGANU 

Dalam masa tempoh sebulan kita dihidangkan dengan agenda Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berasingan di beberapa negeri, yang dicetuskan oleh sama ada pihak kerajaan atau pembangkang. DAP memulakan episod dengan mencadangkan satu PRN untuk negeri Pulau Pinang, selepas Ketua Menteri Lim Guan Eng didakwa di mahkamah berhubung isu pembelian rumah. Secara umumnya, PRN ini dipanggil sebagai membuktikan serta keyakinan sokongan rakyat kepada kerajaan negeri yang dikepalai oleh DAP, dengan alasan Guan Eng dilibatkan dengan pendakwaan terpilih. Tarikan sokongan dan simpatisan rakyat menjadi agenda yang mendorong parti membuat keputusan diadakan PRN.

Pembangkang di Pulau Pinang dari parti-parti komponen BN khasnya memberikan reaksi negatif agenda PRN ini. Isu ini selesai bila Ketua Menteri Pulau Pinang mengumumkan pembatalan hasrat memangggil PRN khas untuk Pulau Pinang. Kegagalan mendapat persetujuan dari rakan dalam pakatan yang membentuk kerajaan, PKR, mematikan punca keputusan kepimpinan DAP. Ketua Menteri sudah mengadap Yang Dipertuan Negeri, yang berkuasa memberi laluan atau tidak ke atas hasrat kerajaan negeri. 

Seiringan dengan ledakan strategi DAP merancang PRN di Pulau Pinang, seorang pemimpin UMNO negeri mewakili pembangkang di Kelantan, mencabar kerajaan negeri mengadakan PRN untuk Kelantan.  Rasionalenya, setelah Pas keluar dari pakatan pembangkang yang membentuk Pakatan Rakyat dalam PRU13, kerajaan negeri semasa bukan lagi mewakili pakatan tersebut, sungguhpun Pas masih menguasai suara majoriti dalam DUN, memiliki 31 dari jumlah 45 kerusi, iaitu menguasai suara dua pertiga. Kehilangan satu kerusi oleh Pas dalam DUN berikutan pemecatan keahlian parti Dato' Husam Musa, dijadikan alasan pemimpin pembangkang negeri berkenaan yang menggambarkan wujud krisis dalaman dalam pentadbiran kerajaan negeri. 

Pemimpin pembangkang dalam politik Kelantan itu sengaja tidak mengimbas kembali situasi kerajaan Kelantan di bawah pimpinan Pas, selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Pasir, akhir tahun 2006. Pas hilang satu kerusi menjadikan Pas memimpin sebuah kerajaan yang tidak kukuh dan berisiko, bilamana kedudukan kerusi kerajaan dan pembangkang: 23:22. UMNO dan rakan-rakan dalam BN tidak membangkitkan diadakan PRN untuk Kelantan, yang memerintah dengan simple  majority, satu kerusi. Strategi BN selaku pembangkang mengutarakan gagasan mega "Kelantan Baru", dengan harapan tinggi PRU12 adalah Kelantan milik BN. Bakal Menteri Besar sudah dihighlights. Senarai lantikan politik berbagai peringkat sudah siap diatur

Propaganda terancang tersebut menghasilkan BN cuma mampu menambah 2.46% undi popular BN di Kelantan, berbanding peningkatan undi popular 31.72% oleh Pas dan pakatannya, PKR. BN hilang 16 kerusi DUN. 

Berbeza dengan situasi dalam pentadbiran negeri Terengganu kini, yang membentuk kerajaan dengan majoriti kecil, bila kerusi kerajaan cuma 17 berbanding 15 milik pembangkang (14 Pas, 1 PKR).   Majoriti kecil tidak terusik, pembangkang di Terengganu tidak pernah membangkitkan PRN untuk mempastikan kerajaan yang dibentuk menguasai majoriti yang munasabah demi keyakinan dan harapan rakyat. Kemelut hasil pemberhentian DS Ahmad Said sebagai Menteri Besar, yang memungkinkan kerajaan negeri hilang majoriti seandainya ADUN Kijal itu meninggalkan kerusi kerajaan.  Lebih tenat lagi, usaha Ahmad Said membawa usul undi tak percaya, walaupun gagal kerana dikatakan tidak ikut peraturan DUN. Usaha menyingkirkan Ahmad Said demi membersihkan kecelaruan dan ketidaktentuan parti menguasai kerajaan, diketengahkan ke MT UMNO.

Sungguhpun parti menangguhkan tindakan ke atas Ahmad Said yang mencetuskan beberapa gambaran krisis keyakinan dalam UMNO dan kerajaan, hakikinya UMNO yang memimpin Terengganu berdepan dengan kemelut yang berpanjangan, yang memberi kesan kepada kemampuan parti dan pemantapan birokrasi Terengganu. Masalah yang sedang ditanggung oleh UMNO yang menguasai kerajaan Terengganu meletakkannya terus dalam dilemma, cuma ianya kurang dijom hebohkan oleh media arus perdana, yang menjadi rujukan utama sebahagian rakyat. Ianya jauh beza dengan apa ditanggung oleh DAP  yang memimpin Pulau Pinang dan Pas yang menguasai kerajaan Kelantan yang sengaja disensasikan oleh sumber yang tak sehaluan dengan kerajaan negeri berkenaan. Tambahan pula, tiada usul undi tak percaya diusahakan oleh UMNO selaku pembangkang di Pulau Pinang dan di Kelantan.

UMNO dan sekutunya dalam BN mengikut sumber, merancang untuk adakan PRN di Johor dan Sabah, iaitu kubu kuat BN yang menyambungkan hayat BN dalam PRU13, selain Sarawak, yang sudah menyumbangkan peranannya dalam PRN lalu. Lebih munasabah dan lebih berkeperluan PRN Terengganu berbanding dengan PRN Johor atau Sabah. Walaupun Ahmad Said belum diambil tindakan kepartian berbanding tindakan disiplin ke atas tokoh besar, TS Muhyiddin Yassin dan DS Safie Afdal, keperluan PRN Terengganu lebih mendesak berbanding Johor atau Sabah. 

Walaupun kerajaan Terengganu pimpinan UMNO dari rekodnya  agak kukuh kerana berjaya mempertahankan kekuasaan dalam tempoh yang lama. Pas menumpaskan UMNO untuk kuasai kerajaan Terengganu dalam tahun 1959 buat pertama kali, dan mengambil masa 40 tahun untuk dapat balik kuasa, dalam tahun 1999. Tetapi dalam tempoh dua kali persempadanan semula kawasan pilihan raya terakhir iaitu 1993 dan 2003, atau dalam tempoh 30 tahun terakhir. 

Sedia maklum, sebarang persempadanan semula kawasan, akan melibatkan pertambahan kawasan pilihan raya atau kerusi sama ada Parlimen atau DUN yang akan memberikan kelebihan kepada UMNO atau komponen BN yang lain. Tiadanya persempadanan semula di Terengganu dalam tempoh 30 tahun terakhir ini, dengan bahasa yang mudah menggambarkan UMNO tidaklah sekuat mana di Terengganu. Andainya berlaku pertambahan kawasan atau kerusi, memungkinkan akan menambahkan kerusi parti lawan, lantaran itu tiadalah keperluan dan terdesaknya untuk menambah kerusi badan perundangan. 

Dalam PRU13, 12 kerusi dimenangi sama ada UMNO/BN atau Pas dengan majoriti kurang 1,000 undi, iaitu 4 menerusi calon UMNO/BN dan 8 Pas.   Kebimbangan kemungkinan andainya 4 kerusi milik BN itu akan jatuh ke tangan Pas, pastinya kerajaan akan bertukar tangan, kerana Pas bersama PKR memerlukan merampas 2 kerusi BN serta mengekalkan kerusi yang ada. Dua kerusi BN; Jerteh dan Jabi, bukanlah kerusi tradisi UMNO, pernah dimenangi Pas di zaman BN masih kuat di Terengganu dalam tahun 1990. Kebarangkalian dan ketidaktentuan ini menghantui BN untuk memanggil PRN khusus untuk Terengganu untuk selesai masalah semasa sebelum memanggil PRU14. PRN khusus Kelantan pernah diadakan dalam tahun 1978, kerana kemelut politik tempatan, sebelum memanggil PRU 4 bulan kemudian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan