Isnin, 16 November 2015

Memecahkan Pas

SIAPA MERANCANG PERPECAHAN PAS

Dalam kerancakan Parti Amanah Negara (PAN) melancarkan partinya serta pakatan baru pembangkang, Pakatan Harapan, ada beberapa hujah rasional penubuhan parti berkenaan. Dalam sejarah pembentukan parti-parti serpihan atau pecahan dari parti induk, bahagian besarnya ada unsur atau campur tangan luaran. Maksudnya, ada kepentingan politik pihak tertentu yang banyak membantu atau mengambil bahagian merencana suasana. 

Pas berpengalaman perpecahan atau krisis kepimpinan membawa kepada tertubuhnya parti-parti serpihan. Berjasa, secara langsung peranan UMNO atau kepimpinan Kuala Lumpur (1977/1978) di belakang tabir merealisasikannya sebagai sebuah parti politik. Lantaran itu, kelulusan diberikan dalam tempoh cukup singkat dan diberi layanan mempermudahan proses pendaftaran. Kesempatan terancang krisis Kelantan 1977 serta hubungan kurang harmonis Pas-UMNO selepas kematian Tun Abdul Razak, tidak dilepaskan peluang membuli musuh tradisi. 
Dalam Pilihan Raya Umum 1974, semasa Pas dalam Barisan Nasional, satu pakatan penyokong Pas yang tidak menyokong penyertaan Pas, bertanding di hampir semua kawasan pilihan raya di Kelantan, gabungan calon-calon bebas atas nama "Barisan Bebas Bersatu", pimpinan Cikgu Ahmad Fakhruddin Abdullah, bekas Ahli Parlimen Pasir Mas. Sebahagian besar kepimpinan Berjasa adalah bekas-bekas calon bebas kumpulan ini. 

Satu kumpulan lagi, bekas penyokong Pas Kelantan yang menentang penyertaan Pas ke dalam Barisan Nasional, pimpinan Ustaz Hassan Mat Leh, menubuhkan Ikatan Muslimin Insaf Malaysia (IMAM). IMAM gagal diluluskan pendaftaran.

Hamim lahir setelah krisis kepimpinan Pas 1982/1983, yang membawa kepada perletakan jawatan Presiden Pas, Dato' Mohd Asri Haji Muda (kemudian Tan Sri), kemudian bersama 8 AJK Pusat dipecat dari parti. Abdul Wahab Yunus, bekas Ahli Parlimen Dungun, menubuhkan Ikatan Kaum Muslimin Malaysia (Ikatan), yang terbatas di Terengganu sahaja. 

Setelah Pas berjaya menubuhkan kerajaan di Kelantan bersama Angkatan Perpaduan Ummah, 1990, ahli-ahli Pas yang tidak puas hati dengan kerajaan pimpinan ulamak menubuhkan parti serpihan, Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) pimpinan Cikgu Musa Salleh, dalam tahun 1993. 

Hamim, IMAM, Ikatan, AKIM dan Barisan Bebas Bersatu gagal menempatkan diri dalam arus perdana politik tanah air, bila gagal meraih sokongan pengundi. Hamim cuma berjaya dalam demokrasi kepilihanrayaan bila menyertai BN dalam tahun 1986, yang berakhir berpecah dua: satu puak sertai UMNO, satu puak meneruskan perjuangan bersendirian. 

Cuma Berjasa sahaja yang memberikan peranan yang dominan. Ini menjelaskan kejayaan Berjasa lebih kepada dokongan dan peranan yang dimainkan oleh UMNO. Perbezaannya, kemunculan Berjasa adalah atas ledakan kebangkitan rakyat yang melihat kepincangan yang membawa kepada krisis kepimpinan, sementara serpihan-serpihan lain lebih kepada kelompok kecil pemimpin atau lebih menjurus kepada isu peribadi. 

Apa yang dialami Pas, sama pengalaman parti-parti lain sama ada di Semenanjung, Sarawak atau Sabah. 

Peranan kepimpinan Pusat, tepatnya peranan UMNO mengawal dan menentukan kuasa di Sabah. Kegagalan kerajaan Pusat untuk menjinakkan Tun Datu Mustapha dan USNO, membolehkan pemimpin USNO yang tak selari dengan Tun Mustapha diberi peranan oleh UMNO hingga terbentuknya Berjaya dalam tahun 1975, pimpinan Harris Mohd Salleh, Naib Pengerusi USNO dan anggota kanan kabinet negeri.  Sebaik sahaja, Berjaya berjaya merampas kerajaan Sabah dari USNO, dalam Piilihan Raya Negeri (PRN) 1976, Berjaya terus diterima masuk BN dengan mudah. 

Terbentuknya Parti Bersatu Sabah (PBS) setelah krisis kepimpinan Berjaya dalam tahun 1985. Pemecatan Joseph Pairin Kitingan, Naib Pengerusi Berjaya dan menteri negeri merintis jalan penubuhan PBS, serpihan Berjaya. Berjaya, komponen BN cukup yakin memanggil pilihan raya negeri walaupun mandat masih ada 1 tahun demi mematahkan pengaruh bekas pemimpin Berjaya, sebaliknya Berjaya hilang kerajaan. Kejayaan PBS, kejayaan serpihan tanpa sokongan secara langsung dari luar.

Pentas politik Sabah terkenal dengan amalan pecat keahlian bermula dari USNO, kemudian Berjaya, samalah dengan PBS. PBS lebih didominasi oleh masyarakat Bumiputera bukan Islam berbanding dengan USNO dan Berjaya, yang lebih mempertontonkan kepimpinan Bumiputera Islam. Krisis kepimpinan Kadazan dan Dusun dalam tahun 1988 membawa kepada pemecatan pengasas parti, Mark Koding yang berbangsa Dusun. Koding yang dipecat Timbalan Pengerusi PBS dan Timbalan Ketua Menteri mengasas menubuhkan serpihan, Angkatan Keadilan Rakyat (AKAR) pada dalam tahun 1989. 

Percubaan pertama AKAR parti serpihan PBS mencabar parti induknya ialah menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) 1990. AKAR yang meletakkan 37 calon, kalah semua kawasan dan kebanyakkannya hilang wang pertaruhan, kerana pertandingan sebenar ialah antara PBS dan USNO. Malah BN  yang diwakili Berjaya pun kalah teruk juga, gagal memenangi sebarang kerusi. Setahun kemudian, AKAR sertai BN, berakhir dengan pembubaran setelah kemunculan UMNO, di mana majoriti penyokong meninggalkan parti sertai UMNO.

Usaha UMNO memasuki Sabah akhirnya menjadi realiti dalam tahun 1991 dengan pembubaran USNO dan kemasukan ahli secara en bloc.  Tindakan PBS keluar BN menjelang hari membuang undi dalam PRU 1990, memaksa UMNO mempercepatkan usaha mencari tapak di Sabah. 

Pengalaman USNO membubarkan DUN 1976 dan Berjaya bubar DUN 1995, kedua-duanya lantaran cabaran bekas pemimpin membantuk parti serpihan, menjadi panduan PBS membubarkan DUN untuk memanggil satu pilihan raya negeri dalam tahun 1991. Pembubaran ini di kemuncak krisis parti yang membawa kepada pemecatan Yong Teck Lee, Timbalan Pengerusi parti dan Timbalan Ketua Menteri dari blok Cina. Secara langsung perpecahan dalam PBS antara kelompok Kadazan dengan kelompok Cina. 

Yong Teck Lee bersama kepimpinan Cina dari PBS menubuhkan Sabah Progressive Party (SAPP) selepas DUN dibubarkan. PRN diadakan hampir sebulan kemudian, Februari 1994. Hasil PRN ini memberikan 25 kerusi untuk PBS dan 23 kerusi kepada BN. Sebelum kerajaan negeri dibentuk, 3 wakil rakyat PBS keluar parti masuk UMNO. Berikutnya dikuti kepimpinan PBS dari kelompok Kadazan-Dusun-Murut, meninggalkan parti. Pemimpin kanan PBS, menubuhkan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Bernard Dompok, Timbalan Pengerusi dan Timbalan Ketua Menteri, menubuhkan Parti Demokratik Sabah (PDS), dalam bulan Mac 1994. Sementara Jeffrey Kitingan menubuhkan Parti Rakyat Bersatu Sabah (PRBS), kemudian menyertai AKAR.  Semua parti ini bersama UMNO membentuk kerajaan negeri atas nama kerajaan BN. 

Kemudiannya, PBRS, PDS (kemudiannya bertukar ke UPKO), AKAR (dibubar dalam tahun 1997), SAPP bersama sebuah parti mewakili masyarakat Cina, LDP membentuk BN dengan UMNO sebagai parti utama. SAPP keluar BN dalam tahun 2009.  

Pengalaman serta festa penampilan parti-parti baru yang merupakan serpihan dari parti induk atau parti asal yang dominan dalam perjalanan politik tanah air adalah Pas di Semenanjung, Usno di Sabah dan SNAP di Sarawak. Walaupun parti-parti lain juga melahirkan serpihan seperti MCA yang terserpihan kepada UMCO, UDP dan Gerakan, DAP kepada SDP dan MDP, serpihan DMIP dan IPF dari MIC, Semangat 46, UMNO (Baru) dan KeADILan dari UMNO, serpihan-serpihan ini adalah terbatas dan kecil berbanding 3 parti di atas. 

 

PAN pecahan dari Pas muncul selepas Muktamar Agung Pas 2015. Penubuhannya rata-rata dari bekas kepimpinan Pas Pusat yang secara kebetulan ditolak secara berpakej oleh perwakilan muktamar. 

Dalam sejarah krisis Pas yang membawa kepada penubuhan parti serpihan, serpihan yang didokongi oleh pihak luar sama ada dirancang  secara langsung atau diambil kesempatan, lebih tersusun dan lebih berjaya menandingi parti asal. Contohnya Berjasa yang membantu menumbangkan sebuah kerajaan pimpinan parti asal. 

Berbanding dengan serpihan yang terbentuk kerana krisis kepimpinan dan krisis keyakinan, tidak berkembang dan hayat yang tidak panjang. Parti serpihan bentuk ini gagal memperlihatkan peranan sebagai alternatif, gagal mempersembahkan pencapaian yang menyakinkan khususnya dalam demokrasi kepilihrayaan. Hamim, AKIM, Ikatan dan IMAM sekadar menghiasi gelanggang dengan prestasi yang hambar. 

Satu tanggapan meletakkan PAN dibentuk secara tidak langsung atas dokongan  DAP. DAP yang muncul sebagai parti utama dalam pakatan pembangkang hasil PRU13, dengan memperolehi kerusi terbanyak, 38 kerusi dari jumlah 89 kerusi pembangkang, secara langsung adalah parti utama dalam kelompok ini. DAP adalah persaing utama UMNO yang mengepalai BN selaku kerajaan. Perpecahan Pas akan turut menyumbangkan  membantu meletak DAP selesai mengepalai pakatan pembangkang. 

Tanggapan ini berfokus kepada peranan kepimpinan DAP mencampuri urusan pemilihan kepimpinan Pas serta beberapa tindakan menjurus kepada usaha memencilkan peranan Pas dalam kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor. Usaha ini secara langsung satu cubaan menghakis sokongan kepada Pas untuk menyenangkan dan memudahkan caturan politik DAP dalam gelanggang politik nasional.  

Keyakinan Pas akan mendekati UMNO yang menghantui kepimpinan Pas yang membentuk PAN memberikan alasan utama serpihan Pas mencari tapak baru untuk terus relevan dalam politik nasional. Pas sebagai alternatif kepada UMNO di kawasan Melayu dan luar bandar perlu direbut pengisian ruang ini menerusi sebuah wadah baru menggantikan Pas. 

Satu lagi andaian, penubuhan PAN adalah sokongan moral UMNO memperkukuhkan penguasaan kawasan luar bandar dan sokongan orang Melayu. Perpecahan Pas akan memberikan kesan moral kepada pengundi anti- establishment dan pengundi atas luar atau tidak berpihak. UMNO mengharapkan alihan undian dari sektor ini untuk terus relevan dalam arus politik perdana, setelah pencapaian BN terus merosot dalam PRU13. UMNO perlu kekal sebagai jaguh dan parti utama dalam PRU akan datang. 

Kegagalan pihak kerajaan membentangkan rang undang-undang persempadanan kawasan pilihan raya, di mana kerja-kerja persempadanan sudah bermula dalam tahun 2011 mengikut peruntukan Perlembagaan, memaksa UMNO mencari strategi baru untuk menyambung hayat. Hayat UMNO dan BN untuk terus bertahan dalam mana-mana PRU sebelum ini, bergantung kepada persempadanan kawasan pilihan raya. Kebiasaannya, BN menerusi jentera kerajaan mengusun-atur kawasan pilihan raya yang memberi advantage kepadanya. 

Apapun perebutan untuk menguasa medan tempur sebenarnya adalah antara UMNO dengan DAP, sebagai dua parti utama berdasarkan kerusi terbanyak di Parlimen, menjadikan Pas sebagai papan catur, jika benar telahan dan andaian di atas menjadi bahan perbincangan. Nampaknya sungguhpun PAN pecahan dari Pas, terdapat perbezaan nyata dari segi halatuju, sasaran dan dasar. 

Dalam sejarah, tanpa dokongan parti berpengaruh, sukar parti serpihan untuk memberi impaks dalam caturan politik. Peranan Berjasa dan Berjaya banyak dibantu oleh pihak lain. Berlainan dengan PBS dengan penampilan sendiri tanpa sokongan parti besar. Apapun semua kejutan Berjasa, Berjaya dan PBS sekadar mengisi keperluan politik semasa atau dalam jangka pendek sahaja. Pengundi menjadikan parti serpihan, Berjasa, Berjaya dan PBS sekadar menunai dendam politik dan mahu ubah selera barang seketika sahaja. Kemunculan Berjasa dan Berjaya telah menunaikan hajat UMNO, sementara timbulnya PBS telah merintis menyebarluaskan pertapakan UMNO. 

 



 








 

  



Tiada ulasan:

Catat Ulasan