Jumaat, 20 November 2015

Jangan ulang salah teknik

  USAH ULANGI SALAH TEKNIK SILAP TEKTIK

Berita terbaru bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa akan dipanggil Jawatankuasa Pusat parti berikutan beberapa kritikan beliau terhadap kepimpinan parti dan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan di bawah Pas. Pihak pengurusan parti juga mengarahkan debat antara beliau dengan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Dato' Mustaffa Ali dibatalkan. 

Tindakan ke atas Husam Musa ini dijangka lebih menjadi perhatian berbanding episod penglibatan sebahagian bekas kepimpinan parti menubuhkan sebuah parti serpihan, tiga bulan lepas. Parti serpihan, Parti Amanah Negara (PAN) sedang rancak melancarkan parti di peringkat negeri di beberapa negeri, dengan isu Husam Musa kini, cabaran terhadap Pas lebih membara. 

Pas pernah menyingkirkan pemimpin-pemimpin tertinggi. Dalam tahun 1974, Abu Bakar Hamzah, Naib Yang Dipertua (sekarang Naib Presiden) merangkap Setiausaha Agung, kerana ekoran beberapa kenyataan beliau menentang kemasukan Pas dalam Barisan Nasional (BN). 

Penyingkiran Abu Bakar Hamzah tidak memberi impaks besar kepada Pas, malah Pas banyak membantu kemenangan cemerlang BN dalam PRU 1974. 

Krisis kepimpinan Pas dalam tahun 1977, hasil usaha menyingkir Dato' Muhammad Nasir dari jawatan Menteri Besar Kelantan, ekoran rasa kurang kenang kepimpinan parti lantaran Muhammad Nasir lebih cenderung mematuhi pandangan UMNO berbanding parti sendiri. Keputusan Dewan Harian Pas Kelantan meminta Muhammad Nasir melepaskan jawatan tidak dipatuhi. Justeru itu, Pas Kelantan merancang akan membawa usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN). 

Sebelum sidang DUN, Jawatankuasa Kerja Pas Pusat (JKP) mesyuaratnya pada 27/09/1977, mengambil keputusan untuk memecat Muhammad Nasir. Dua ahli menentang dan tidak mengambil bahagian dalam undian, lapan menyokong dan lapan menentang. Yang Dipertua Agung (sekarang Presiden) Dato' Mohd Asri Haji Muda selaku pengerusi mengumumkan pengesahan pemecatan, dengan mengambil kira tambahan undi pengerusi mesyuarat. Tanpa sedar, dua undi yang menentang pemecatan sepatutnya dikira sama. Dato' Asri selaku pengerusi mengakui kesilapan dengan menyebut berlaku salah teknik dalam membuat keputusan. 

Keanggotaan JKP masa itu, hampir separuh adalah dari Kelantan, di mana Pas Kelantan sudah pun buat keputusan awal Muhammad Nasir perlu dihentikan. Di samping itu, halangan kakitangan awam dan badan berkanun memegang jawatan politik belum ada. Pensyarah UM dan UKM khususnya dalam pengajian Islam menduduki JKP; Prof Ali Taib, Dr Harun Din, Dr Ishak Mat Rajab, Dr Daeng Sanusi Mariok, Suffian Muhammad. 

Ekoran keputusan salah teknik itu, Muhammad Nasir membawa kes ke mahkamah. JKP mengadakan mesyuarat semula pada 10/10/1977, dengan keputusan majoriti memecat Muhammad Nasir. 

Isu salah teknik dijadikan antara isu pokok yang membawa kepada gelombang kebangkitan rakyat, yang membawa kepada pemecatan Pas dari BN dan penggantungan DUN Kelantan, dalam bulan November 1977, dan Kelantan diletakkan di bawah pemerintahan undang-undang darurat, ditadbir secara langsung oleh kerajaan Persekutuan.

Roadshow dan demonstrasi secara bersiri dilangsungkan di bandar-bandar utama. Acara membakar tayar dilakonkan untuk menggambarkan berlakunya puncak keganasan  dan kemarahan rakyat. UMNO lebih menjelaskan mainan di belakang tabir dan secara tersembunyi, mengumpul orang ramai melibatkan diri dalam acara kebangkitan rakyat. Kegagalan UMNO beberapa percubaan untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Pas sebelum itu; cubaan undi tak percaya yang gagal dalam tahun 1968 setelah beberapa ADUN Pas berjaya dibeli.

Bila pemerintahan darurat ditarik balik pada akhir Februari 1978 dan satu pilihan raya negeri diadakan dalam bulan Mac 1978 untuk membolehkan Kelantan ditadbir kepada kerajaan pilihan rakyat. Pilihan raya khas untuk DUN Kelantan ini menyaksikan Pas bukan sahaja hilang kuasa, tetapi alami prestasi yang teruk, sekadar menang 2 kerusi berbanding 34 kerusi BN dan Berjasa. 

Apabila Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa buat onar dan terlibat dengan beberapa pertemuan dengan kepimpinan BN selepas PRU12 (PRU 2008), tindakan parti ialah menggugurkan jawatan tanpa memecat keahlian. Begitu juga, Pesuruhjaya Pas Selangor, Dato' Dr Hassan Ali, yang juga bekas Naib Presiden, digugurkan semua jawatan dalam parti dan Exco Selangor, tiada tindakan memecat keahlian parti. Berbeza dengan Nasharuddin, Hassan Ali bertindak agak agresif dengan ajuran ceramah dan roadshow di seluruh Semenanjung. Tindakan-tindakan ke atas kedua-dua pemimpin ini lebih kepada mempertahankan kedudukan Pas bertahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang selepas PRU12

Dalam PRU13, pasca pemecatan dua tokoh dan pimpinan kanan parti, prestasi Pas di Selangor meningkat serta berjaya memperbaiki pencapaian di beberapa negeri. Pendekata, pengguguran jawatan tanpa tindakan memecat keahlian parti, tidak menjejaskan parti. 

Bagaimana pula kali ini dengan kes Husam Musa. Apakah bakal keputusan dan tindakan parti menanganinya. Pengalaman salah teknik di zaman Asri dulu yang menjadi bahan ketawa orang ramai, boleh menjatuhkan sebuah kerajaan dan berakhir dengan Asri dan kumpulannya meninggalkan parti. Penyambungan hayat politik menerusi wadah baru menerusi penubuhan sebuah parti serpihan tidak bertahan lama. Bila gagal membubarkan parti yang diasasnya, berkahir dengan menyertai musuh tradisi, UMNO sebagai wadah hingga akhir hayat. Tunggu dan lihat saja, apakah adegan seterusnya demi kelangsungan Pas dalam pentas politik, yang menyambut ulangtahun 60 tahun penubuhannya di Kelantan hari ini.



    

 
   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan