Sabtu, 28 November 2015

Desakan PM letak jawatan

BILA CAWANGAN UMNO DESAK PERDANA MENTERI LETAK JAWATAN

Perkembangan terkini dalam parti yang mengetuai parti gabungan menguasai kerajaan Persekutuan; UMNO, secara langsung mempertontonkan dilema kepimpinan negara. Daripada pemecatan jawatan Timbalan Perdana Menteri, dan terakhirnya pemecatan keahlian parti bekas Exco Kanan Perak dan bekas Ketua Penerangan Wanita UMNO Pusat, asasnya kekecewaan sikap kegagalan menyelesai skandal 1MDB. Belum pun isu skandal  1MDB jatuh ranking,   muncul pula isu wang derma RM2.6 billion.

Sinar Harian keluaran 25/11/2015 melaporkan 62 orang ketua UMNO cawangan dari 8 bahagian di Johor menggesa DS Mohd Najib meletak jawatan sebagai pemimpin parti dan kerajaan. Mereka mewakili cawangan-cawangan UMNO dari bahagian-bahagian Gelang Patah, Tebrau, Pasir Gudang, Pagoh, Labis, Kulai, Segamat dan Kluang. Bulan lepas, 13 ketua cawangan dari UMNO Bahagian Teluk Kemang sudah pun menyatakan hasrat yang sama, sebagai merintis reaksi dan ledakan suara akar umbi setelah pembentukan kabinet Persekutuan baru, hasil pergolakan dalam parti-parti UMNO, MIC dan SPDP. Rombakan kecil kabinet sekadar menyusun semula, membuang tenaga tak perlu dan masuk tenaga baru.

Ekoran tindakan beberapa ketua cawangan dari Teluk Kemang, dilaporkan lebih 200 cawangan di Selangor akan berbuat demikian. Dakwan Datuk Noh Omar, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Selangor dalam Sinar Harian 25/11/2015, kurang dari 10 ketua cawangan dari bahagian Sepang yang tak puas hati dengan kepimpinan parti, mengesahkan desakan PM berundur berlaku juga di Selangor, walaupun tidak dinyatakan dengan tepat angkanya. 

Keputusan Majlis Tertinggi UMNO menetapkan perasmian Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Pusat pada 08/12/2015 akan disempurnakan oleh ketua sayap masing-masing di mana kelazimannya dilakukan oleh Timbalan Presiden. Keputusan MT UMNO ini walaupun diizinkan oleh peraturan dan perlembagaan parti, lebih kepada satu tindakan berasaskan senario semasa dalam kepimpinan parti. 

Timbalan Presiden, TS Muhyiddin Yassin mempersoalkan apakah dosa beliau, menafikan hak dan kelaziman seorang Timbalan Presiden menjalankan tanggungjawab. Jika benarlah beliau hilang kelayakan merasmikan persidangan sayap parti kerana mempersoalkan 1MDB dan duit derma berskala besar, tepatlah tindakan beberapa ketua cawangan di beberapa negeri mendesak PM berundur.  

Amalan UMNO sejak zaman Tunku dan Tun Razak, Timbalan Presiden atau dulunya Timbalan Yang Dipertua merasmikan mesyuarat agung sayap. Samalah amalan parti-parti politik lain, orang nombor dua diberi penghormatan merasmikan mesyuarat agung sayap. Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali merasmikan Kongres Nasional Angkatan Muda dan Wanita PKR Tahunan,di Petaling Jaya,  dua hari lepas. Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu merasmikan Muktamar Tahunan Pemuda Pas 2014 di Kota Tinggi, walaupun disabotaj dan diprotes. Dalam Muktamar Tahunan Pemuda Pas 2015 di Kuala Selangor di kala kemuncak pergeseran pimpinan Pas, Timbalan Presiden mengikut tradisi merasmikannya. Tiada pun usaha menyekat pemimpin tertentu kerana peraturan, tradisi dan semangat setiakawan atau ukhwah mengungguli semangat pendemokrasian organisasi.

Ini menampakkan kekolotan dan tertutupnya UMNO dalam mempertahankan kedudukan sebagai parti utama dalam demokrasi kepilihanrayaan amalan Malaysia. PKR dan Pas, saingan utama UMNO di pentas politik mewakili sektor luar bandar dan komuniti Melayu sebagai kelompok majoriti, lebih terkedepan, lebih terbuka dan lebih demokratik. Halangan menyekat individu tertentu lebih ketara dalam UMNO berbanding PKR dan Pas. Politik tradisional yang lebih bersifat feudalisme, menghadkan peluang penglibatan semua pihak atau ahli secara sama rata dan sama ruang, masih berleluasa dalam UMNO. 

Desakan atau cabaran orang nombor satu UMNO berundur mengikut sejarahnya belum pernah berlaku zaman Barisan Nasional. Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar Tunku berundur adalah zaman Perikatan, selepas Peristiwa 13 Mei. Setelah usia BN memasuki alam 40 tahun, inilah kali pertama gerakan dari bawah mencabar Presiden UMNO, parti utama dalam kerajaan, meletakkan jawatan; jawatan parti dan kerajaan. 

Orang-orang tua kata; usia 40 tahun adalah usia bermulanya kematangan, bermulanya alam dewasa. Apakah angka 40 ini, akan menyaksikan bermulanya cabaran sebenar sesebuah parti dan bakal menantikan ketidaktentuan. Lagenda dulu, kini dan selamanya akan terhenti dan rekod kemenangan BN setiap kali pilihan raya akan terpadam. Bermulanya episod baru, kemungkinan pemerintah bertukar tangan dan silih berganti akan mewarnai alam demokrasi kepilihanrayaan di negara kita. 

Gerakan ke arah pembaharuan secara dalaman atau dalam parti lebih berkesan dan membara berbanding gerakan luaran. Gerakan luaran lebih tertumpu usaha pihak lawan atau gerakan dalaman yang bergabung dengan pihak lawan seperti peranan serpihan Semangat 46 yang menggabungkan diri dalam Angkatan Perpaduan Ummah bersama musuh UMNO, atau Parti Keadilan Rakyat (dulunya Parti Keadilan Nasional) membentuk Barisan Alternatif dan kemudian Pakatan Rakyat, bersama beberapa NGO dan parti lawan. 

Sama ada wajar atau tidak, kepimpinan bawahan mengambil pendirian kepimpinan parti perlu diubah, hak ahli harus dihormati. Parti-parti lain contoh Pas dan PKR, mengurus perjalanan parti secara berjadual. Setiap dua tahun atau tiga tahun, pemilihan kepimpinan parti perlu dilakukan di semua peringkat, sama ada akan berdepan dengan pilihan raya atau tidak. Ini amat berbeza dengan UMNO yang mengubah jadual atau tempoh pemilihan kepimpinan mengikut kesuaian dan iklim politik. Perlembagaan digubal untuk membolehkan perlanjutan tempoh memegang jawatan. Inilah antara usaha UMNO mempertahankan nilai-nilai feudalisme dan tradisional dalam parti, yang menampakkan usaha-usaha anti-pembaharuan dan mengekang pengdemokrasian institusi. 
 


  

  
 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan