Selasa, 1 Disember 2015

UMNO & politik rakus

UMNO TERPERANGKAP ANTARA POLITIK BUDIMAN DAN POLITIK RAKUS

UMNO Kelantan selesai mengadakan konvensyennya, dua hari lepas, 28/11/2015. Konvensyen yang dikira berjaya dengan disertai 2,049 orang, cukup yakin dan penuh kepastian, Barisan Nasional akan dapat menguasai Kelantan dalam PRU14 nanti. Keyakinan ini dirumuskan oleh DS Mustapa Mohamad, Ketua Perhubungan UMNO Negeri Kelantan dengan mengenalpasti dua faktor dominan: ketiadaan aura Tuanguru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA) dan keretakan organisasi Pas selepas munculnya serpihan Parti Amanah Negara (Amanah).

21 jurucakap mewakili 14 bahagian UMNO dan 7 sayap dan kumpulan dalaman UMNO diberi peluang kemukakan saranan, harapan dan perancangan untuk mempastikan hasrat dan keyakinan merampas Kelantan menjadi realiti. Keseluruhannya jurucakap atau wakil setiap segmen tersebut memberikan saranan berstrategik lebih berfokuskan kepada pemantapan organisasi, jentera dan kerja-kerja kepilihanrayaan.Tidak kurang menariknya, cadangan bersifat penyemaian dan pendekatan politik budiman dalam persaingan mencari pengaruh di medan tempur.

Di samping itu, saranan dan luahan dari 6 suara mewakili bahagian yang lebih berbentuk agresif dan immoral;

1. UMNO bahagian Jeli mencadangkan parti mempertingkatkan tekanan kepada semua guru yang berada di Kelantan supaya menyokong BN;

2. Bahagian Kota Bharu mencadangkan supaya parti mengambil kesempatan dalam keadaan kepimpinan Pas yang berada dalam kebimbangan rakyat sudah hilang kepada kerajaan negeri. Oleh itu, usaha untuk melaga-lagakan Pas dengan Amanah, agar terbina momentun rakyat hilang kepercayaan kepada pembangkang;
 
3. Bahagian Tumpat menyarankan mengenalpasti serta menitikberatkan perhatian kepada pegawai kerajaan yang menentang BN, dengan erti lain menentang kerajaan Persekutuan.  

4. Bahagian Tanah Merah meminta perlunya tindakan diambil kepada penjawat awam yang tidak menyokong BN. Di samping itu, dikenalpasti kecenderungan sokongan politik semasa sesi temuduga mengisi jawatan di sektor awam, supaya mereka yang akan menyokong BN sahaja akan dipilih;

5. Bahagian Pasir Puteh meminta pelaksanaan strategi memulaukan penyokong Pas dalam sebarang peruntukan dan kemudahan bantuan kerajaan Persekutuan. Keutamaan hendaklah diutamakan kepada orang UMNO dalam apa bentuk kemudahan dan perjawatan sektor awam. Bahagian Pasir Puteh merumuskan bahawa guru adalah penjawat awam yang paling ramai menyokong parti pembangkang dan tindakan berbentuk tekanan dan penderaan harus diambil 

6. Bahagian Pengkalan Chepa meminta supaya guru-guru di Kelantan dan staf Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) perlu diperbanyakkan sesi taklimat dan penerangan, kerana kumpulan ini bahagian besarnya menyokong parti pembangkang. 

Daripada saranan atau kehendak mewakili sebahagian peserta konvensyen tersebut secara langsung mewakili satu sektor ragam pemikiran orang Melayu berpolitik, dalam sistem demokrasi berparlimen. Ini kerana UMNO Kelantan dianggotai sepenuhnya oleh orang Melayu, berbeza dengan keahlian UMNO di Sabah, di Perlis atau di Kedah. Secara langsung, mewakili latar belakang kelompok masyarakat yang menganggotai UMNO itu sendiri, di mana nilai-nilai kedesaan, tradisional, feudal dan konservatif masih menebal. Norma-norma pembinaan bangsa berasaskan kepada tradisi ilmu, pemodenan dan ketamadunan, seolah-olah dinafikan bila berada di medan persaingan mencari pengaruh dan sokongan. 

Kaedah melemahkan musuh dengan berbagai bentuk deraan sebagai amalan tradisi UMNO lebih menampakkan kelemahan organisasi UMNO itu sendiri bila berdepan dalam gelanggang masyarakat. Kaedah ini samalah contohnya, dalam perlawanan bola sepak atau sukan lain lebih mengharapkan kepada kecederaan dan musibah menimpa pemain pasukan lawan. Yang sepatutnya mengharapkan kemenangan kepada kelincahan, stamina dan perancangan strategi.

Bila seseorang diajak berdebat berdasarkan kepada fakta serta kebijaksanaan berhujah, bila berasa lemah dan gagal menangkis hujah, berakhir dengan cadangan berlawan secara fizikal, diajak bertumbuk. 

Abu Hurairah r.a., berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, " Bukanlah orang yang kuat itu dengan menang beradu tenaga, tetapi orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah". (HR Muslim, 4723).

Seseorang yang didera dan ditekan, tidak semestinya akan tunduk dan mengorbankan jatidiri dan maruah. Contohnya seorang penjawat awam didera seperti dibuang daerah atau ditukar tempat bertugas atau dinafikan kenaikan pangkat, ianya memberi kesan dalam jangka panjang, simpati dan dendam dari ahli keluarga dalam tempoh yang lama. Simpatian ahli keluarga akan melebarluas yang meningkatkan graf anti-establishment. Kata-kata Tun Dr Mahathir, "Melayu mudah lupa" mungkin tepat khususnya bagi yang menindas, tetapi orang yang kena tindas dan dianiayai sebaliknya. Jerat lupakan pelanduk, tapi pelanduk tidak lupakan jerat. 

Daripada berpolitik secara rasional dan budiman menjadi politik bebal dan ala mafia. Ini menampakkan UMNO tidak dapat lari dari pautan kampungan dan feudal. Berbeza dengan saingannya iaitu Pas yang mula meneroka sektor kota dan metropolitan, dalam usaha menghakis persepsi sebagai parti pak lebal, kampungan dan mewarisi sektor tani dan tradisional. Usaha Pas ini berjaya menarik pengundi bandar di mana berjaya memenangi kerusi kawasan bandar. Di Kelantan, menguasai pengundi pusat bandar Kota Bharu, dalam beberapa siri PRU terakhir. 

Keyakinan UMNO dan BN menguasai Kelantan dalam PRU14 ada alasannya. Keyakinan UMNO paling tinggi ialah dalam PRU10 (PRU 1999) dan PRU12 (PRU 2008). Keyakinan BN dalam PRU10 kerana kemenangan Pas merampas Kelantan dalam PRU8 (1990) adalah hasil bantuan perpecahan UMNO, Semangat 46 membantu meruntuhkan kerajaan Kelantan pimpinan UMNO. Oleh kerana Semangat 46 masih bersama Pas dalam PRU9 (1995) walaupun berlaku persempadanan kawasan pilihan raya, Pas berjaya pertahankan kerajaannya. Justeru pembubaran Semangat 46, dan beramai-ramai penyokongnya kembali ke UMNO dalam tahun 1997, menyakinkan BN akan dapat merampas kerajaan negeri Kelantan. Sungguhpun hasil krisis UMNO 1998, menyebabkan terbentuknya Parti Keadilan Nasional, walaupun penyokong Semangat 46 kembali ke UMNO, memberikan kekalahan yang semakin teruk untuk BN, yang hanya mampu pertahan 2 kerusi untuk dijadikan batu nisan untuk memulihkan semangat UMNO masih ada hayat di Kelantan.

Hasil PRU11 (2004) yang memberikan prestasi BN lebih baik, hampir menumpaskan kerajaan pimpinan Pas, di mana Pas membentuk kerajaan dengan simple majority dengan cuma 23 kerusi, dan BN kuasa 21 kerusi untuk menjadi pembangkang yang kuat. Dari 23 kerusi Pas, 6 kerusi adalah dimenangi dengan majoriti kecil di bawah 2 peratus; Kemuning (2 undi), Kota Lama (34 undi), Gaal (43 undi), Pengkalan Pasir (56 undi), Temangan (75 undi) dan Pulau Chondong (105 undi). Secara logiknya, BN memerlukan swinging atau pergerakan undi yang kecil untuk merampas kerusi-kerusi ini jika berlaku pilihan raya. Tepat, bila diadakan pilihan raya kecil bagi kerusi Pengkalan Pasir kerana kematian ADUNnya, BN dengan mudah dapat merampas kerusi ini.

Dalam persiapan menghadapi PRU12 (2008) dengan semangat Pengkalan Pasir, BN cukup yakin dapat merampas Kelantan. Bakal Menteri Besar sudah diistiharkan, dicanang dan ditaburkan poster seluruh pelusuk negeri. Keyakinan BN mengambil alih kerajaan dimanifestasikan dalam majlis-majlis rasmi dan tak rasmi yang menghimpunkan penjawat awam, demi menakutkan dan amaran mereka yang geli geleman nak bantu BN menang. PRU12 memberikan hasil yang pahit buat BN, bila hilang 16 kerusi, memusnahkan gagasan "Kelantan Baru" tajaan BN.   

Apakah dengan ketiadaan aura TGNA dan kemunculan serpihan Pas, akan memberikan advantage kepada BN. Masih terlalu awal, kerana kemunculan serpihan Pas, tidak disokong oleh pembuburan cawangan Pas atau pengistiharan keluar parti beramai-ramai, sebagaimana masa pembentukan Berjasa, serpihan Pas 38 tahun lalu, yang menjatuhkan kerajaan pimpinan Pas. Media arus perdana pro-BN, saban hari melaporkan aktiviti keluar parti dan bubar cawangan. 

Hingga saat ini, media tidak berani mendedahkan adegan keluar Pas beramai-ramai. Upacara penyerahan borang parti baru. Sebaliknya, ada media melaporkan usaha cawangan-cawangan UMNO mendesak Presiden UMNO berundur dan melepaskan jawatan Perdana Menteri.  Akhir-akhir ini, portal berita dan media bukan arus perdana lebih menfokuskan kepada kemelut dalam UMNO berbanding krisis dalam Pas. Mungkin memamaskan persiapan Perhimpunan Agung UMNO yang akan diadakan minggu depan, sementara Muktamar Pas sudah pun berlalu. 



 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan