Ahad, 30 Ogos 2015

Selamat sambut merdeka

SELAMAT MENYAMBUT HARI MERDEKA

31 Ogos besok, genaplah 58 tahun negara kita mencapai kemerdekaan. Fitrah manusia, dah hampir nak masuk dalam lingkaran warga emas, menandakan kedewasaan dan kematangan sebuah tamadun. Semakin meningkat usia, sepatutnya makin mantap dan tersusun, sebaliknya menjelang sambutan 58 tahun besok, usia 58 semakin dibebani masalah, cabaran dan dugaan. 

Satu kelompok masyarakat melangsungkan unjuk rasa atas nama "Berish 4.0" sejak pagi semalam dan berakhir hari ini sebagai satu manifestasi tuntutan satu pilihan raya bersih. Salah satu instrument pengekalan kuasa dan kemenangan parti pemerintah ialah mengatur beberapa elemen yang mencacat proses demokrasi dan keadilan dalam membuat keputusan di peti undi. Pendatang asing diberikan kad pengenalan yang hanya layak untuk pendafataran pemilih dan kegunaan dalam bilik mengundi sahaja, adalah amalan lazim sejak sekian lama. Senarai pemilih berulang di daerah mengundi berlainan yang membolehkan pengundi mengundi di satu negeri pada sebelah pagi dan sempat mengundi pula di satu negeri lain sebelum pusat pembuangan mengundi ditutup sebelah petang. 

Kaedah celup jari cuba diaplikasi untuk mempastikan tiada pengundi membuang undi lebih dari sekali, di mana dikatakan dakwat kekal yang celup boleh tahan 3 hari.  Antara layanan tuntutan Bersih 1.0 ialah memperkenalkan kaedah celup jari dalam PRU12. Tiga hari sebelum hari mengundi, diistiharkan berlaku penyelewengan dalam edaran bekalan dakwat dan dibatalkan penggunaannya pada hari mengundi. 

Dalam  PRU13, kaedah celup jari digunakan tetapi boleh dibersihkan dengan air biasa tanpa bahan kimia, sebaik keluar bilik mengundi. Kerajaan sementara yang menjalankan tugas legislatif boleh menggunakan kemudahan awam secara meluas, tanpa diberi kemudahan pihak lain menggunakan media awam dan sebagainya. Justeru itu Bersih 4.0 mengambil kesinambungan tiga Bersih 1.0, Bersih 2.0 dan Bersih 3.0, walaupun sedikit kemudahan diberikan pengajur menggunakan Stadium Merdeka untuk Himpunan Kebangkitan Rakyat, 12/01/2013.

Menjelang sambutan kemerdekaan ke 58, sekurang-kurangnya ada 3 isu besar yang  merencatkan kemeriahan upacara bersejarah ini. Pertama, isu IMDB dan duit derma peribadi Perdana Menteri, RM2.6 billion, kedua, keterbukaan teguran dan kritikan ke atas kepimpinan negara dalam mesyuarat agung bahagian UMNO seluruh negara, dan ketiga program Bersih 4.0 yang berjaya menghimpunkan puluhan ribu atau mungkin mencecah ratusan ribu rakyat, di ambang sambutan kemerdekaan.

Tiga peristiwa di atas amat penting untuk direkodkan sambutan ulangtahun kemerdekaan yang paling mencabar. Cabaran lebih berpihak kepada membentuk krisis keyakinan kepimpinan DS Najib. Di tengah-tengah kesibukan dan persiapan membuat sambutan hari penting untuk negara, kepimpinan diuji dengan intergriti, keikhlasan, kejujuran dan ketelusan kepimpinan. Di samping itu, penurunan nilai mata wang yang berterus sejak dua minggu lepas, dengan kadar tukaran paling rendah dalam tempoh 17 tahun, masa krisis ekonomi 1998. 

Isu derma dalam akaun peribadi PM, yang berbelit-belit merosakkan reputasi seorang pemimpin nombor satu. Awalnya menafikan pendedahan oleh akhbar The Wall Street Journal, kemudahan mengakui selepas siasatan SPRM. Kaki kipas sang penguasa, awalnya mempertahankan duit derma itu sebagai sumbangan sumbangan dermawan Timur Tengah untuk memerangi IS. Selepas keluar berita, derma itu dimasukkan dalam akaun, lebih awal dari tarikh penubuhan atau operasi IS, disebutkan untuk melawan agenda Yahudi yang disalurkan menerusi DAP. Aneh juga, alasan kaki bodek ini, tak munasabah dapat bantuan untuk melawan Yahudi, sedangkan sedia maklum, APCO sudah lama digunakan untuk perancangan strategik dan propagandis. Di ambang sambutan kemerdekaan esok, isu derma dan isu 1MDB ini masih kontroversial. 

Tambahan pula, mantan PM dan mantan Presdien UMNO ikut sama dalam unjuk rasa Bersih 4.0 petang semalam dan petang tadi, walaupun pihak berkuasa keselamatan dan menteri bertanggungjawab memberi amaran, perhimpunan ini adalah haram, dan akan ambil tindakan mana-mana orang yang memakai baju kuning bertulisan Bersih 4.0. Belum pernah seorang tokoh serta negarawan begitu lantang mengkritik kerajaan yang dibimbingnya serta melibatkan diri dalam agenda mencabar kepimpinan negara semasa.

Sungguhpun disebutkan lebih 90 peratus penyertaan dalam Bersih 4.0 adalah bukan Melayu, dengan penglibatan sama sokongan moral seorang negarawan, telah mengurangkan persepsi perkauman. Apapun, kecaknaan seluruh kelompok dan khalayak masyarakat dalam isu-isu besar menjelang hari sambutan kemerdekaan tahun ini, dapat membuka satu lambaran baru dalam agenda masa depan politik negara.

Harapan kita sebagai rakyat terbanyak mendoakan agar negara kita tidak terjerumus ke kantung bankrapsi, yang menjejaskan semua pihak; penjawat awam, pendidik,buruh, nelayan, pelajar, penganggur, pesara, pesawah, peniaga kecil atau besar. Semoga ringgit tidak terus menjunam, ketirisan dapat dikurangkan dan kesejahteraan hidup rakyat berkekalan.

Selamat menyambut hari kemerdekaan.







 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan