Khamis, 27 Ogos 2015

Melayu bangsat

MENCIPTA MELAYU BANGSAT 

Ucapan berapi-api DS Mohd Najib atas kapasiti Presiden UMNO semasa merasmikan mesyuarat agung berkelompok UMNO Bahagian Padang Besar, Kangar dan Arau di Dewan Wawasan 2020, Kangar, dua hari lepas yang mencipta satu ungkapan baru " UMNO kalah menjadikan Melayu bangsat". 

Sejak kontroversi isu IMDB yang membawa kepada isu derma RM2.6 billion, pemberhentian beberapa pegawai kanan kerajaan, kemuncaknya pemecatan Timbalan Preisden dan Naib Presiden UMNO dari kabinet Persekutuan, memudahkan kita membaca krisis keyakinan dalam organisasi "parti keramat" UMNO. Mesyuarat agung perwakilan UMNO di semua peringkat telah diambil kesempatan pihak kaki kipas mempertahankan dasar dan kepimpinan DS Najib. Sementara pihak yang kurang selesa dengan beberapa tindakan kepimpinqn mengambil peluang menyerang dan mencabar kepimpinan. 

Mesyuarat agung peringkat bahagian UMNO, mendedahkan kemelut sebenar berlaku dalam organisasi parti, khususnya kepimpinan. Pemuda UMNO bahagian Tampin meluluskan usul DS Najib berundur. Biasanya wanita UMNO berdiri teguh di belakang pemimpin, tapi ada perwakilan wanita meminta DS Najib berehat. Dalam mesyuarat wanita bahagian Langkawi, disarankan cukuplah DS Najib "kencing" orang Melayu dan minta DS Najib pergi berubat di luar negeri. 

Semasa merasmikan mesyuarat agung UMNO bahagian Gerik pada 16/08/15, DS Najib menyuarakan kebimbangan kemerosotan sokongan kepada UMNO yang secara langsung kemerosotan kuasa politik orang Melayu. Beliau risau bangsa Melayu akan menjadi bangsa yang "bangsat" bila kehilangan kuasa politik. Tegasan beliau dalam mesyuarat bahagian di Kangar memperkukuhkan kebimbangan beliau dengan nasib orang Melayu andainya UMNO tidak lagi menjadi sebuah parti memerintah. Telahan beliau bahawa Melayu akan menjadi satu bangsa yang bangsat dan terhina lantaran hasil dari sikap dan tangan ahli UMNO yang gagal mempertahankan UMNO sebagai sebuah parti keramat. Satu masa dulu, seorang pemimpin kanan UMNO yang masih berada di puncak kepimpinan hari ini, cukup popular dengan ungkapan; UMNO tidak akan kalah hingga ke hari kiamat. 

Meminjam pandangan mantan Setiausaha Agung UMNO, TS Sanusi Junid dalam The Malaysian Insider kelmarin; kebangsatan Melayu adalah keranan kepimpinan hari ini. Zaman Tunku, Tun Razak, Tun Hussien dan Tun Dr Mahathir, Perikatan, kemudiannya Barisan Nasional, di mana UMNO sebagai parti teras, tidak pernah hilang suara majoriti 2/3 dalam pilihan raya umum. UMNO mewakili suara Melayu sebagai kelompok terbesar, paling dominan, paling berkuasa, tetap unggul dalam pilihan raya umum, berbanding kemerosotan UMNO dan rakan komponen dalam BN, dalam dua PRU lepas. 

Secara sinonimnya, meminjam istilah DS Najib di Kangar, kekalahan UMNO adalah tersungkurnya, tertiarapnya, "tapi saya pilih terbangsat bila UMNO hilang kuasa, terbangsat!", nasib orang Melayu selari bersama prestasi UMNO. Secara mata kasar, 25 tahun orang Melayu Kelantan di bawah kepimpinan Pas, tidaklah sebangsat mana pun, masih mampu melahirkan pelajar-pelajar cemerlang setiap tahun, walaupun tidaklah ada individu Melayu Kelantan mendapat simpati penderma sehingga dapat sumbangan melebihi billion ringgit, dalam akaun persendirian. 

Sungguhpun itu istilah orang politik, yang banyak dipenuhi agenda propaganda palsu sebagai amaran kepada penyokong, hakikinya tiada manusia yang sanggup memburukkan nasib bangsanya sendiri. Justeru UMNO terlalu lama memerintah, demi mempertahankan lagenda dan keangguhkan, kadang-kadang agenda immoral terpaksa ditusukkan ke benak khalayak penyokong, demi mohon simpati dari seluruh rakyat. Keyakinan kepada falsafah dan doktrin demokrasi  ciptaan manusia demi menyusun atur pengurusan alam ini disertai nasib sesuatu umat dalam tangan Pencipta alam ini, tidaklah harus digusari bangsat atau sebaliknya masa depan sesuatu umat itu. 



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan