Rabu, 12 Ogos 2015

Di sebalik Singapura merdeka

PEMISAHAN SINGAPURA DEMI PENGUKUHAN KUASA MELAYU 

Ahad lepas,  09/08/2015, negara Republik Singapura menyambut hari kemerdekaannya. Sempena genap 50 tahun, sambutan secara besar-besaran menandakan kedewasaan sebuah negara merdeka. Pemisahan Singapura dari Malaysia pada 09/08/1965, yang membawa kepada pembentukan sebuah republik, menimbulkan reaksi negatif khususnya UMNO masa itu. Setiausaha Agung UMNO, Syed Jaafar Albar (kemudiannya Tan Sri) meletakkan jawatan, kecewa dengan penyingkiran Singapura.

Memikirkan nasib orang Melayu Singapura tanpa pembelaan dari kerajaan Persekutuan, dikaitkan dengan ketegangan kaum pada Julai dan September 1964, UMNO melihat sewajarnya menjadi tempat orang Melayu berteduh. Tambahan pula, kehilangan pengaruh dan suara UMNO dan sekutunya di Singapura selepas penubuhan Malaysia semakin ketara.

Rasionalnya penyingkiran atau disebut dengan istilah lebih diplomasi, pemisahan Singapura, lebih diperkuatkan dengan faktor mengukuhkan kuasa Melayu sebagai faktor dominan politik Malaysia. Pemisahan Singapura secara langsung mengurangkan suara atau peratusan perwakilan Cina dalam badan induk perundangan, Dewan Rakyat Malaysia. 

Dewan Rakyat Malaysia yang dibentuk hasil penubuhan Malaysia 1963, terdiri dari 104 perwakilan dipilih rakyat dalam Dewan Rakyat Persekutuan Tanah Melayu, sementara 40 kerusi diperuntukan kepada 24 untuk Sarawak, 16 bagi Sabah dan 15 bagi Singapura memilih perwakilan masing-masing. Jumlah perwakilan atau kerusi dalam Dewan Rakyat ialah 159.

Singapura yang sudah berkerajaan sendiri sejak tahun 1955 sudah mewujudkan sebuah badan perundangan, Majlis Perundangan Negeri (State Legislative Assembly), yang dipilih menerusi pilihan raya. Singapura yang diperintah oleh Parti Tindakan Rakyat (Petir) atau PAP di bawah Lee Kuan Yew, mendapat tentangan sengit dalam dan luar parti, hasrat untuk bergabung dalam gagasan Malaysia sebagai jalan singkat mencapai kemerdekaan. 

Petir yang memerintah sejak memenangi pilihan umum 1959, setelah memperolehi 43 kerusi dari 51 kerusi dalam dewan perundangan. Antara tahun 1961 hingga 1963, Petir kehilangan banyak kerusi, setelah parti memecat 13 orang wakil rakyatnya, berlaku lompat parti serta kekalahan dalam beberapa pilihan raya kecil, menjadikan kedudukan dalam dewan perundangan: kerajaan 26, pembangkang 25, menjelang hari penubuhan Malaysia. 

Dua minggu menjelang pengistiharan pembentukan Malaysia (16/09/1963), Lee Kuan Yew membubarkan dewan perundangan untuk pilihan raya umum ke 3. Dalam pilihan raya Majlis Perundangan Singapura pada 21/09/1963, iaitu lima hari selepas penubuhan Malaysia, Petir mengekalkan kerajaan dengan perolehi 37 kerusi, iaitu 46.9% undi popular, Barisan Sosialis di bawah pimpinan Lee Siew Choh, perolehi 13 kerusi atau 33.2% undi popular (dengan 46 calon bertanding), sementara United People's Party (UPP) satu kerusi. 

Barisan Sosialis adalah ditubuh oleh ahli-ahli Petir yang dipecat. Petir hadapi masalah dalaman, bila satu puak yang memperjuangkan pendekatan lebih radikal dan dituduh ada elemen komunis dalam parti. Beberapa ahli dikenakan ISA, menerusi " operasi coldstore".  Seramai 13 wakil rakyat Petir dipecat dari parti, atas tuduhan diresapi komunisme. 

Dalam pilihan raya 1963, sudah mula menampakkan keretakan hubungan kerajaan Persekutuan yang dikuasai UMNO dengan Petir yang menguasai Singapura, bila UMNO, MCA dan MIC cawangan Singapura turut serta atas nama Perikatan Singapura. Perjanjian tidak rasmi, Petir (PAP) dan Perikatan (UMNO-MCA-MIC) berpakat saling tidak mencampuri urusan politik di negeri masing-masing, selepas pembentukan Malaysia. 

Perikatan Singapura kalah teruk, tidak memenangi sebarang kerusi dan cuma memungut 8.4% undi popular, dalam pilihan raya 1963. Sebaliknya dalam pilihan raya umum Singapura 1959, Petir (PAP) memangi 43 kerusi (51 calon), Perikatan Singapura di bawah bekas Ketua Menteri, Liew Yew Hock, dapat 4 kerusi (dari 39 calon), UMNO dapat 3 kerusi (8 calon bertanding), sementara baki satu kerusi dimenangi calon bebas. Secara langsung, pilihan raya 1963 menggambarkan penolakan secara langsung terhadap pengaruh Kuala Lumpur. 

Dalam pilihan raya umum (PRU) 1964, yang hanya melibatkan negeri-negeri Semenanjung sahaja, Petir (PAP) turut serta dengan meletakkan beberapa calon di Selangor dan Johor. Hasilnya, Petir berjaya menembusi politik Persekutuan setelah memenangi satu kerusi Parlimen, iaitu Parlimen Bangsar (sekarang sebahagian Siputeh dan Lembah Pantai), menerusi J.V. Devan Nair. Permulaan tapak Petir ini, satu cabaran baru dalam politik Malaysia, setelah parti-parti pembangkang sedia ada khususnya Socialist Front dan PPP semakin merosot sokongan. 

Selepas penubuhan Malaysia, keretakan hubungan antara UMNO yang menguasai kerajaan Persekutuan dengan Singapura semakin ketara. Peristiwa ketegangan kaum pada 21/07/1964, ekoran majlis maulidur rasul berdekatan Kallang Gasworks yang mengurbankan 23 jiwa. Ini disusuli pula dengan rusuhan dua bulan berikutnya  (September 1964) walaupun tidak meragut nyawa. 

Dengan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura, menambahkan ahli Dewan Rakyat seramai 55 ahli dan menjumlah 159 ahli semuanya. Untuk meminda Perlembagaan memerlukan sokongan dari ahli dari Sabah, Sarawak dan Singapura, kerana kuasa dua pertiga ialah sokongan 105  ahli. Dengan jumlah 104 ahli mewakili Semenanjung, memerlukan sokongan mana-mana ahli dari tiga entiti politik tersebut. Kedudukan ini menjelaskan kedudukan dan peranan determinant perwakilan dari negeri-negeri yang baru bergabung, kerana jumlah kerusi Dewan Rakyat dari negeri-negeri ini adalah 34% dari jumlah 159 kerusi. 


Atas faktor-faktor; 1. kehilangan pengaruh UMNO di pulau itu untuk memayungi orang Melayu, 2. ancaman ketegangan kaum, 3. perluasan pengaruh PAP, 4. peranan Singapura dalam penentuan kuasa dua pertiga di Dewan Rakyat, tindakan kerajaan Perikatan Tunku-Tun Razak, adalah lebih penting didahulukan penyingkiran Singapura demi ancaman dan cabaran masa depan UMNO khususnya dan orang Melayu amnya. Agenda untuk kemantapan dan masa depan kuasa politik Kuala Lumpur lebih besar, justeru itu kepentingan orang Melayu Singapura perlu dikurbankan.

Penyingkiran Singapura akan mengurangkan jumlah kerusi atau perwakilan Cina di Dewan Rakyat, etnik terbesar bukan Melayu, sementelahan perwakilan Singapura mewakili majoriti penduduknya, melebihi 75% dari etnik Cina. Dengan pengurangan 15 kerusi dari pulau itu, jumlah kerusi di Dewan Rakyat tinggal 144 kerusi, bererti untuk dapat undi dua pertiga, memerlukan  97 kerusi. Perwakilan dari Sabah dan Sarawak hanya 27% sahaja. Perwakilan dari negeri gabungan baru ini tidak lagi menjadi penentu. Perwakilan dari Semenanjung sudah cukup kiranya untuk meminda Perlembagaan Persekutuan. 

Sungguhpun tamatnya fungsi Singapura sebagai sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia, secara langsung Devan Nair bukan lagi Ahli Dewan Rakyat mewakili PAP dan cuma berperanan sebagai seorang wakil rakyat bebas, namun pengaruh PAP terus berkembang. Dalam pilihan raya kecil DUN Rahang (Negeri Sembilan) beberapa bulan selepas pemisahan Singapura, Disember 1965,  berjaya merebut kerusi Perikatan/MCA. Dr Chen Man Hin, bertanding sebagai calon bebas menang dengan majoriti besar, kerana pendaftaran sebuah parti menggantikan PAP iaitu DAP dalam bulan Oktober 1965 belum diluluskan. Rahang adalah sebuah kawasan dalam bandar Seremban, di mana pengaruh Socialist Front (SF) cukup dan pernah menguasai Majlis Perbandaran Seremban. Kemerosotan pengaruh SF telah diisi oleh simpatisan PAP. 

Pada 18 Mac 1966, DAP (Democratic Action Party) diluluskan pendaftaran, menggantikan PAP (People's Action Party). Cubaan pertama DAP selepas didaftarkan, ialah menerusi satu pilihan raya kecil kawasan campuran iaitu Kampung Baru (masa itu, satu kerusi DUN Selangor) awal tahun 1967, calon DAP berbangsa Cina walaupun tewas ditangan calon Melayu Perikatan (UMNO), undinya lebih tinggi mengatasi undi calon parti Gerakan (juga parti baru diasaskan bekas penyokong MCA dan SF), dalam saingan 3 penjuru. Di kawasan majoriti Cina, calon DAP memberi saingan sengit, dalam pilihan raya kecil DUN Serdang (Selangor) akhir 1968. Calon DAP, Lim Kit Siang cuma tewas 607 undi kepada calon Perikatan dari MCA, meninggalkan calon Gerakan di tempat ketiga. 

Perkembangan dan pengaruh DAP cukup hebat sebagai mewarisi PAP, membawa kepada kejayaan cemerlang dalam PRU3 (PRU 1969). Perkembangan ini sudah dijejaki dan disedari awal kepimpinan Persekutuan masa itu, memang wajarlah Singapura disingkirkan lebih awal dari sebahagian wilayah Malaysia, walaupun tentangan sengit juga dalam kepimpinan UMNO. 

Seandainya Singapura masih sebahagian dari negara Malaysia hari ini, pola kependudukan, iklim demografi dan suasana geopolitik yang cukup mencabar. Penduduk Singapura tidak jauh berbeza polanya, dalam tahun 1970, etnik Cina adalah 77.0% dari jumlah penduduk, sementara Melayu adalah 14.8%, bakinya India dan kaum lain. Hari ini, ikut data 2014, 74.3% adalah Cina, sementara Melayu 13.3%, dengan peningkatan penduduk India dan lain-lain.

Semasa bersama dalam gagasan Malaysia tempoh hari, Singapura diperuntukan 15 kerusi Parlimen, dalam pilihan raya umum terakhir bagi republik itu, pilihan raya umum Parlimen 2011, jumlah pengundi ialah 2,350,873 orang. Dengan kepadatan penduduk yang tinggi, bolehlah dibandingkan dengan negeri Selangor. Dalam PRU13, jumlah pengundi di Selangor ialah 2,051,708 orang, yang diwakili oleh 22 kawasan pilihan raya Parlimen atau purata 93,000 pemilih setiap kerusi Parlimen. Jika angka ini dipadankan dengan Singapura, layak mendapat 26 kerusi, purata 90,000 satu kerusi Parlimen.

Jika Singapura masih dalam Malaysia, katakan semua 26 kerusi ini dimenangi oleh PAP versi Malaysia iaitu DAP, campur 38 kerusi Parlimen dimenangi DAP dalam PRU13, jumlahnya cuma 64 kerusi. Kawasan pilihan raya Parlimen majoriti Cina ialah: 32 di Semenanjung, 6 di Sarawak dan 3 di Sabah. PKR menang 3 iaitu Bayan Baru, Kelana Jaya dan Sungai Siput, BN menang 2 iaitu Labis (MCA) dan Tawau (PBS). Jika 3 kerusi diberikan kepada DAP kerana majoriti Cina, jumlah kerusi sepatut dimenangi DAP ialah 67 kerusi, andainya Singapura masih dalam Malaysia. Jumlah 67 itu cuma 27% dari jumlah kerusi Parlimen 248 (222 campur 26).

Dari logik di atas, mana mungkin DAP boleh memerintah Malaysia, walaupun Singapura masih dalam Malaysia. Apatah lagi, sekarang tanpa faktor Singapura, mana mungkin DAP boleh memerintah Malaysia. Inilah propaganda BN, UMNO khususnya, DAP perintah Malaysia jika UMNO kalah. Samalah dengan propaganda UMNO dalam PRU lepas; macamana Pas nak perintah Malaysia, bila Pas cuma meletakkan cuma 73 calon Parlimen dalam PRU13. 
























 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan