Ahad, 16 Ogos 2015

Konspirasi tidak demokratik

KONSPIRASI GULING KERAJAAN TIDAK DEMOKRATIK

20 minit pertama atau satu pertiga dari paparan Buletin Utama TV3 malam tadi sendat dengan berita, ulasan dan kupasan ada usaha guling kerajaan sebagaimana didedahkan oleh TPM baru, DS Zahid Hamidi semalan. Ulasan yang paling menarik ialag dari Menteri Komunikasi dan Multimedia baru, DS Mohd Salleh Said; konspirasi mengguling kerajaan adalah tidak demokrasi. Tidak menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat menerusi sistem demokrasi. 

Sepintas lalu ulasan YB menteri baru dari Sabah itu memang betul tetapi mengimbau sejarah silam, rasa nak tergelak. Lucunya kaki bodek buat ulasan tanpa menoleh ke belakang. Masih panas, masih segar dalam ingatan bagi otak yang waras dan tidak pelupa, bagaimana kerajaan Perak yang dipilih rakyat menerusi proses demokrasi telah digulingkan perancangan konspirasi Kerajaan Persekutuan, dalam tahun 2009. 

Dalam Pilihan Raya Umum 2008 (PRU12), parti-parti Pas, PKR dan DAP yang mengwujudkan kerjasama politik demi elak persaingan sesama sendiri menentang BN demi persaingan satu lawan satu antara parti pembangkang dengan BN. Kerjasama ini menghasilkan pakatan pembangkang (kemudiannya Pakatan Rakyat) memenangi 31 kerusi sementara BN 28 kerusi di Dewan Undangan Negeri. 

Kerajaan Pakatan Rakyat yang dibentuk oleh 3 parti; diketuai oleh Pas bersama DAP dan PKR digulingkan selepas 11 bulan memerintah. Cubaan Pakatan Rakyat untuk mengembalikan kepada rakyat memberi mandat, agar satu pilihan raya baru diadakan selepas 3 ADUNnya melompat parti, digagalkan menerusi konspirasi menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat. 

Sepatutnya mandat dikembalikan kepada rakyat  menerusi pilihan raya bukan campurtangan eksekutif yang tidak demokratik. Dalam sistem demokrasi kepilihanrayaan  berasaskan penguasaan kerusi yang dikuasai, bila berlaku lompat parti, kerajaan akan hilang majoriti. Memanglah kerajaan Pakatan Rakyat hilang majoriti, terdedah kepada undi tidak percaya. Belumpun DUN bersidang, sudah distiharkan kerajaan baru. 

Dari segi semangat demokrasi, BN tidak sepatutnya diberi mandat membentuk kerajaan baru, kerana undi popular yang menggambarkan sokongan sebenar rakyat. Undi popular BN cuma 399,492 atau 47.42% dari jumlah undi sah, keseluruhan 842,511undi sah dari 59 kerusi DUN. Sebaliknya Pakatan Rakyat perolehi 442,659 undi atau 52.54% undi sah. Maka memerintahkan kerajaan sokongan minoriti rakyat, dengan moral rendahnya hingga tamat tempoh menjelang PRU13. 

Dalam tahun 1994, sebaik selesai Pilihan Raya Negeri DUN Sabah, PBS yang pertahan kerajaan dapat 25 kerusi, sementara BN 23 kerusi, PBS gagal bentuk kerajaan, hasil satu konspirasi dirancang oleh Kuala Lumpur mempastikan PBS gagal bentuk kerajaan. Beberapa ADUN PBS melompat parti, untuk membolehkan BN membentuk kerajaan dikepalai oleh UMNO. Aneh juga hari ini, TS Mohd Salleh, menegaskan konspirasi bukan demokratik.

Kes Terengganu (1961) bagaimana hasil lompat parti membentuk sebuah konspirasi menjatuhkan kerajaan Terengganu yang dipimpin Pas, hasil pilihan rakyat dalam pilihan raya umum dua tahun sebelum itu. Kes Terengganu pun relevan juga untuk dikaitkan bagaimana konspirasi arahan berpusat dulunya di Kuala Lumpur menentukan jatuh bangun sesebuah kerajaan yang tak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan.

Cetusan berita semalam jika ianya benar, bukanlah satu perkara yang democratically immoral. Kerajaan yang menguasai pusat kuasa atau Kerajaan Persekutuan hari ini adalah sebuah kerajaan sokongan minoriti rakyat. 

Mana tidaknya, dalam PRU13, BN hanya memungut sebanyak 5,237,459 undi atau 47.4% dari jumlah 11,052,145 undi sah bagi 222 kerusi Parlimen seluruh negara. Undi sah adalah jumlah keluar mengundi ditolak undi rosak dan undi tidak dikembalikan. Dalam PRU13, semua kerusi Parlimen ditandingi, buat pertama kali dalam sejarah, tidak ada kerusi yang dimenangi tanpa bertanding. 

Gabungan Pakatan Rakyat (Pas, PKR dan DAP) memungut sejumlah 5,622,574 undi atau 50.9% dari jumlah undi sah. Baki 192,112 undi sah atau 1.7% dipungut parti-parti pembangkang lain dan calon-calon bebas. 

BN yang berjaya mempertahankan kerajaan Persekutuan kerana memenangi 133 kerusi berbanding Pakatan Rakyat 89 kerusi. Di Sarawak, BN perolehi 58.9% undi dan Sabah 55.0%, sementara di Semenanjung, BN cuma meraih 45.7% undi. Tanpa sokongan dari pengundi Sabah dan Sarawak, BN amat tergugat keseluruhannya, walaupun Sabah dan Sarawak menyumbangkan 36% kerusinya di Parlimen, iaitu 48 kerusi (termasuk Labuan) dari jumlah 133 kerusi BN. 

Faktor dominan Sabah dan Sarawak demi survival BN boleh tergugat andainya komplot konspirasi ini turut dilibatkan ahli perundangan dari dua negeri berkenaan. Tambahan pula, Sabah yang pernah terlibat berbagai komplot dari kerajaan USNO, Berjaya, PBS dan UMNO. Amatlah melucukan seorang tokoh baru dalam jemaah menteri Persekutuan merepek yang konspirasi bukan demokratik. Jika tidak berlaku konspirasi tidak demokratik di Sabah 1994, belum tentu beliau tidak berpeluang menjawat Ketua Menteri satu masa dulu.

Bersungguh-sungguh kepimpinan dari TPM disokong beberapa pemimpin lain menghentak komplot yang tidak dinyatakan pelakonnya. Pengalaman politik Malaysia, bila sengaja diciptakan dan dipanaskan isu baru, semata-mata menutup isu yang lebih besar yang sedang merengkok dalam kelambu politik. Adakah ianya untuk menutup isu 1MDB yang merangkai ke isu RM2.6 billion. Tunggu dan lihat, pengalaman megajar kita.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan