Rabu, 16 September 2015

Orang Melayu Singapura

ORANG MELAYU DALAM POLITIK SINGAPURA

Negara Republik Singapura selamat mengadakan pilihan raya umumnya untuk memilih perwakilan ke badan perundangan atau Parlimen, hujung minggu lepas. Pilihan raya minggu lepas menyaksikan kekuatan baru bagi parti memerintah, Parti Tindakan Rakyat (Petir) atau PAP. 

Dalam pilihan raya Parlimen terakhir, 2011, PAP alami pencapaian paling rendah semenjak memegang tampuk pemerintahan lebih 50 tahun, bila undi popularnya cuma 60.1% sahaja. Di samping itu, kekuatan baru pembangkang bila dapat menghantar perwakilan lebih ramai ke Parlimen. Dalam sejarah Parlimen Singapura selepas pemisahan dengan Malaysia, bermula pilihan raya 1968 hingga 2006, PAP mendominasi kerusi Parlimen, di mana kerusi pembangkang tidak melebihi 3 kerusi, malah pernah gagal hantar wakil ke Parlimen. Dalam pilihan raya 2011, pembangkang berjaya bukan sahaja meningkatkan undi popular tetapi berjaya menambahkan bilangan anggota perundangan, dengan memenangi 6 kerusi.

Suasana menjelang pilihan raya 2011 lebih meriah dalam kehidupan demokrasi berbanding sebelumnya. Rapat-rapat umum anjuran parti-parti pembangkang khususnya Parti Pekerja, Parti Demokratik Singapura (SDP) dan Parti Solidariti Nasional  (NSP) mendapat sambutan luar biasa. Ramalan awal, satu perubahan akan berlaku menepati sasaran bila pencapaian undi dan kerusi pembangkang meningkat.

Pilihan raya umum Parlimen minggu lepas yang dijangka akan berlaku saingan sengit dan cabaran kepada PAP dapat dikesan dari sambutan orang ramai kepada gerakan kempen parti pembangkang berbanding pilihan raya 2011. Isu peningkatan kos kehidupan, peluang pekerjaan dan kebanjiran kemasukan tenaga kerja asing dijangka menghakis sokongan pengundi kepada parti pemerintah, PAP. Tambahan pula, semua lapan parti pembangkang adakan persefahaman pilihan raya untuk mempastikan persaingan satu lawan satu di semua kawasan pilihan raya. 

Sungguhpun Singapura mengamalkan sistem parlimen berasaskan perwakilan kawasan atau constituency representatives tetapi berlainan dengan amalan Britain, Malaysia dan India, kerana perwakilan bukan sahaja satu perwakilan satu kawasan tetapi ada lebih satu perwakilan bagi satu kawasan. 29 kawasan pilihan raya terdiri dari; 13 kawasan dengan perwakilan tunggal, 6 kawasan dengan 4 orang perwakilan, 7 kawasan 5 perwakilan dan 3 kawasan dengan 6 perwakilan. 

Kaedah mewujudkan kawasan perwakilan tunggal (single representative constituency) dan kawasan perwakilan berkumpulan (group representatives constituency) disesuaikan dengan sifat  metropolitan yang padat penduduk serta komposisi ras, demi mempastikan perwakilan berimbangan dengan keturunan penduduk. 

Peraturan pilihan raya amalan republik ini, bagi parti yang bertanding di kawasan perwakilan berkumpulan (GRC) mesti meletakkan sekurang-kurangnya seorang calon dari kaum minoriti: Melayu, India dan lain-lain. Parti perlu kemukakan bilangan calon mengikut bilangan perwakilan GRC, tidak boleh kurang atau lebih. 

Hasil pilihan raya minggu lepas memberikan peningkatan prestasi untuk PAP, bila menguasai 1,576,784 undi atau 69.86% undi sah, berbanding 60.14% dalam tahun 2011. Dari segi pungutan kerusi PAP dapat 83 kerusi (tambahan 2 kerusi) sementara Parti Pekerja mengekalkan 6 kerusi yang dimenanginya dalam pilihan raya 2011. Parti-parti lain tidak memenangi sebarang kerusi. Kerusi Parlimen Singapura ditambah dari 87 kepada 89 kerusi selepas kajian semula. Semua parti pembangkang merosot undi popular masing-masing. 

PAP meletakkan 89 calon terdiri dari 67 orang berbangsa Cina, 13  Melayu dan 9 India. Agihan ini berasaskan kepada nisbah penduduk Singapura; 75% Cina, 15% Melayu dan 10% India dan lain-lain. 

PAP tewas di kerusi perwakilan tunggal (SRC) iaitu di Hougang yang ditandingan oleh calon berbangsa Cina, kepada calon Cina dari Parti Pekerja. Di samping itu, PAP juga kalah di kawasan perwakilan berkumpulan (GRC) Aljuneid (5 perwakilan) kepada Parti Pekerja. PAP mempertaruhkan 3 calon Cina, seorang Melayu dan seorang India. Parti Pekerja yang memenangi GRC 5 perwakilan ini, juga mencalonkan 3 Cina, satu Melayu dan satu India. 

Keseluruhannya PAP mencapai kejayaan yang cemerlang, dengan hanya tewas di 2 kawasan: Hougang dan Aljuneid kepada Parti Pekerja. PAP cuma teima tentangan sengit di Punggol East, bila calon Parti Pekerja dapat 49% undi, dan Fengshan, calon Parti Pekerja dapat 43% undi. Sementara di 25 kawasan lagi, calon PAP menang besar, bila semua calon pembangkang perolehi undi kurang 35% undi popular.

Semua parti pembangkang, masing-masing meletakkan calon merangkumi berbagai ras di kawasan GRC: Parti Pekerja (28 calon: 20 Cina, 4 Melayu, 4 India), SDP (11 calon: 8-2-1), NSP (12 calon: 9-2-1), Reform Party (11 calon: 5-2-4), Singapore First (10 calon: 8-1-1), Singapore People's Party (8 calon: 6 Cina 2 Melayu, tiada India), Singapore Democratic Alliance (6 calon: 4-1-1) dan People Power Party (4 calon: 3 Cina 1 Melayu, tiada India). Keseluruhanya, pembangkang meletakkan 63 calon keturunan Cina, 15 Melayu dan 12 India.

Kaedah atau peraturan pilihan raya Singapura yang mensyaratkan parti yang bertanding mesti meletakkan calon dari berbagai keturuan atau ras, secara langsung mewujudkan tiada parti bertanding berasaskan sokongan atau keahlian terhad kepada kaum tertentu. Justeru itu, oleh kerana pakatan parti-parti pembangkang wujudkan persaingan satu lawan satu dengan PAP, taburan taburan pembangkang juga seimbang dengan nisbah penduduk ikut keturunan. . Kecuali di kawasan SRC Macpherson, wujud saingan 3 penjuru, bila Parti Pekerja dan NSP gagal bertolak ansur. Apapun di Macpherson, undi kepada pembangkang diberikan kepada calon Parti Pekerja, bila calonnya dapat 36% undi, sementara calon NSP cuma dapat 1% undi, baki 63% undi dipungut calon PAP.

Kaedah atau syarat perletakan calon oleh parti amalan Singapura ini, sekurang-kurangnya dapat memberi jaminan semua kaum diwakili secara adil dan seimbang dengan saiz penduduk. Syarat ini adalah satu kawalan perundangan agar hak rakyat terpelihara.

Dalam pilihan raya lepas PAP berjaya menempatkan 12 ahli perundangan: Dr Intan Azura Mokhtar (Ang Mo Koo), Saktiandi Supaat( Bishen Toa Payoh), Zaqy Mohamad (Chua Chu Kang), Mohd Maliki Osman (East Coast), Dr Yaacob Ibrahim (Jalan Besar), Rohayu Mahzam (Jurong), Assc Prof Fatimah Abdul Latiff (Marine Parade), Halimah Yaacob (Marsiling-Tew Tee), Assc Prof Muhammad Faisal Ibrahim (Nee Soon), Zainal Sapari (Pasir Ris-Punggol), Amrin Amin (Sembawang), Masagos Zulkifli (Tampines).

Di kawasan SRC Raden Mas, satu-satunya kawasan berlaku pertandingan yang tidak melibatkan calon Cina, bila Reforms Party meletakkan calon India, menyebabkan seorang warga Cina bertanding sebagai calon bebas. Calon bebas memungut 9% undi, calon Reforms 14%, memberikan kemenangan besar kepada calon Cina dari PAP yang perolehi 77% undi. Seandainya, tanpa syarat pencalonan dalam kawasan GRC, agak sukar calon-calon dari kaum minoriti untuk menang. 

Sungguhpun PAP gagal di GRC Aljuneid, Shamsul Kamal, calon Parti Pekerja yang menang ialah Mohd Faisal Abdul Manaf.   Semua Ahli Parlimen Melayu adalah dari kawasan GRC. Tiga orang adalah muka baru, semuanya dari PAP. Tanpa kawasan GRC, jika calon-calon Melayu bertanding di kawasan SRC, sama ada calon PAP Melayu lawan calon pembangkang Cina atau calon Melayu pembangkang lawan calon Cina PAP, mungkinkah ada perwakilan Melayu sebagai kumpulan minoriti di Parlimen Singapura. 

Orang Melayu Singapura dengan perwakilan mereka di badan perundangan sama ada mewakili kerajaan atau pembangkang mempunyai tugas penting menjaga kepentingan dan masa depan keturunan mereka. Kemudahan yang ada dengan syarat pilihan raya khusus untuk menjamin hak kaum minoriti tersebut patut dipergunakan sebaiknya. Anggota Parlimen Melayu di Singapura bukan calang orang, mereka berpendidikan tinggi. 

Laluan kepada perwakilan wanita Melayu juga diberikan. Jawatan pentadbiran juga diberikan kepada orang Melayu seimbang dengan saiz penduduk Melayu. Halimah Yaacob, wanita Melayu pertama diberi tanggungjawab sebagai Speaker Parlimen sesi lepas. 

Dr Ibrahim Yaacob dan Masagos Zulkifli menduduki jawatan kabinet dalam sesi lepas, kali pertama dalam sejarah Singapura, dua orang warga Melayu menduduki menteri penuh. Dengan 2 menteri penuh itu adalah cuma 10% dari jumlah 19 anggota kabinet Singapura. Berbanding dengan menteri penuh dari kaum India, iaitu 4 orang menteri penuh atau 21% dari jumlah ahli kabinet. Perwakilan atau keanggotaan wakil Melayu dalam kabinet Singapura sesi lepas tidak menggambarkan komposisi sebenar penduduk.

Kabinet baru pasca pilihan raya akan dibentuk dalam masa seminggu dua ini, akan menyaksikan apakah nasib masyarakat Melayu Singapura. Kiranya perlantikan Massagos Zulkifli sebagai lembaran baru dalam puncak kuasa republik itu, yang pertama kali pertambahan perwakilan Melayu dalam kabinet. Ramalan penganalisis yang menjangkakan seorang cendekiawan, Zaqy Mohamad sebagai calon yang layak diangkat mengisi beberapa portfolio yang kosong, kerana beberapa menteri tidak bertanding dalam pilihan raya tempoh hari. Kesetiaan orang Melayu Singapura terus menyokong PAP, sewajarnya diberi keutamaan dalam pentadbiran atau pembuat keputusan peringkat tertinggi. 


 

1 ulasan: