Jumaat, 31 Julai 2015

Tanpa Bukan Melayu

SAINGAN PAS MEREBUT PENGUNDI MELAYU

Keupayaan Pas sebagai parti politik paling lama bertanding bersendirian dalam 14 siri pilihan raya umum bermula 1955 lebih terserlah menampilkan peranan sebuah parti politik dalam sebuah negara berbilang bangsa dan agama, dalam dua pilihan raya umum (PRU) terakhir. Pas pernah mencapai kejayaan paling cemerlang dalam PRU10 (PRU 1999) tetapi ianya lebih berpolakan Pas sebuah parti mewakili orang Melayu. 

Dalam PRU10, berlakunya penolakan orang Melayu kepada UMNO, yang meruntuhkan kubu-kubu UMNO/BN di negeri-negeri majoriti Melayu. Ekorannya, persempadanan semula kawasan pilihan raya dalam tahun 2003, beragendakan memperbanyakkan kawasan campuran dalam bentuk komposisi etnik, campuran kawasan bandar-desa, dengan menafikan persempadanan kawasan majoriti Melayu. Langkah ini lantaran kemenangan BN mempertahankan kerajaan dalam PRU10, adalah sokongan padu masyarakat bukan Melayu. DAP yang bertanding di kawasan bandar dan kawasan bukan Melayu, mengalami prestasi yang merosot. 

Dalam daftar pemilih induk (DPI) 2007 yang digunakan dalam PRU12, terdapat seramai 5,415,937 pemilih berbangsa Melayu , yang merupakan 58.92% dari jumlah keseluruhan pemilih di Semenanjung. Angka pemilih Melayu meningkat ke 6,635,049 dalam DPI 2012 yang digunakan dalam PRU13, iaitu 59.27% dari jumlah pemilih di Semenanjung. 

Secara perbandingannya, pengundi berbangsa Cina adalah 2,945,340 orang (32.05%) dalam DPI 2007, meningkat ke 3,425,432 orang (30.60%) dalam DPI 2012.  Pemilih berbangsa India di Semenanjung: 769,114 (8.37%) dalam DPI 2007, dan 965,646 (8.63%) dalam DPI 2012. Dengan adanya penekanan kerja pihak SPR dan parti-parti politik melaksanakan pendaftaran pemilih antara 2008 hingga 2012, orang Melayu terus kekal sebagai kumpulan majoriti pemilih di Semenanjung yang mempunyai 165 kerusi dari jumlah 222 kerusi Parlimen.

Di Semenanjung, 46 kawasan pilihan raya parlimen memiliki lebih 80% pengundi Melayu, sementara 42 kawasan dengan antara 60 hingga 79% pemilih Melayu. Di pihak BN, 87 kerusi diperuntukkan kepada UMNO dan satu kepada MCA, iaitu Alor Star (61.24% Melayu). Di pihak Pakatan Rakyat: Pas 57 dan PKR 31, sementara DAP tidak diberi peruntukan bertanding di kawasan majoriti Melayu. Pas yang meletakkan 65 calon di Semenanjung, 57 calon atau 87.7% bertanding di kawasan majoriti Melayu, iaitu kawasan melebihi 60% pengundi Melayu, sementara PKR, 48.4% calonnya bertanding di kawasan majoriti Melayu.

Kawasan majoriti Melayu mutlak iaitu 80% pemlih berbangsa Melayu iaitu bagi 46 kawasan pilihan raya Parlimen di Semenanjung, BN meletakkan calon UMNO di 45 kawasan dengan satu kawasan parlimen (Pasir Mas), BN beri laluan kepada seorang calon bebas, ditentang oleh 37 calon Pas dan 9 calon PKR.Di kawasan ini, UMNO/BN menang 33 kerusi, Pas 13, dan PKR gagal memenangi sebarang kerusi.

Dalam PRU13, di 46 kawasan   pengundi Melayu melebihi 80%, BN menguasai 1,210,636 undi popular atau 52.56% berbanding 937,151 undi atau 52.99% dari jumlah sah dalam PRU12. Sementara undi untuk Pas dan PKR  ialah 828,976 undi atau 46.87% undi sah dalam PRU12, meningkat ke 1,064,252 undi popular dalam PRU13, atau 46.21% undi sah. 

Bagi kawasan pilihan raya parlimen di mana pemilih Melayu 60% hinggga 80%, yang mengandungi 42 kawasan, BN meletakkan 41 calon UMNO dan seorang calon Cina dari MCA dalam PRU13. Pakatan Rakyat mengagihkan 23 kawasan untuk Pas dan 19 bagi PKR. PKR meletakkan calon Cina untuk menentang calon Cina BN di kawasan majoriti Melayu, Alor Star (61.24% Melayu). BN dan Pakatan Rakyat masing-masing meletakkan 41 calon Melayu dan seorang calon Cina, di kawasan majoriti Melayu.   

Di kawasan yang mempunyai 60% hingga 80%, BN memungut 851,300 undi atau 54.45% undi sah dalam PRU12, meningkat 1,138,665 undi dalam PRU13, iaitu penurunan peratusan dari jumlah undi sah kepada 53.40%. Gabungan Pas dan PKR yang mendapat 711,402 undi atau 45.50% undi sah dalam PRU12, meningkat ke 985,508 undi atau 46.24% undi sah dalam PRU13.

Kesimpulannya di kawasan pengundi Melayu melebihi 80%, sokongan terhadap BN masih kekal dalam PRU12 dan PRU13, sementara pencapaian Pas dan PKR, tak banyak berubah. Di kawasan 60 hingga 80% pengundi Melayu, BN masih menguasai dengan sedikit penurunan peratusan undi, sebaliknya gabungan Pas dan PKR, memperlihatkan kenaikan peratusan undi. 

Pas kehilangan 7 kerusi Parlimen sementara PKR hilang 5 kerusi Parlimen yang dimenanginya dalam PRU12, di kawasan pilihan raya di mana pengundi Melayu melebihi 60%. Dari jumlah 88 kerusi majoriti Melayu, BN menang 64 kerusi, Pas  18 kerusi dan PKR 6 kerusi. 

Sekurang-kurangnya 8 kerusi Parlimen majoriti Melayu yang dimenangi Pas dalam PRU13, menggugat hasrat untuk pertahan kemenangan. Kerusi parlimen Pokok Sena, kawasan 79.53% Melayu yang dimenangi Pas dalam PRU13 dengan majoriti 3,935 undi, bermasalah kerana seramai 14,300 pemilih bukan Melayu keluar mengundi, berasaskan peratusan keluar mengundi 85.87%. Seramai 55,000 pemilih Melayu keluar membuang undi.

Di Shah Alam, Pas menang dengan majoriti 10,939 undi. Pemilih bukan Melayu yang keluar mengundi adalah seramai 25,600, sementara pengundi Melayu buang undi ialah 61,400 orang berasaskan 87.88%


Kerusi Parlimen Parit Buntar mencatat 85.73% dari jumlah pemilih 51,524 keluar membuang undi dalam PRU13. Pas menang dengan 8,476 undi. Pengundi bukan Melayu yang mengundi ialah 13,890 orang. 

Di Bukit Gantang, Pas menang dengan 986 undi sahaja, sedangkan pengundi bukan Melayu yang keluar mengundi ialah 21,600 berasaskan peratusan keluar mengundi 85.28%.

Sementara bagi kerusi Parlimen Temerloh, Pas menang dengan 1,070 undi, di mana pengundi bukan Melayu yang membuang undi adalah 20,072 orang dengan peratusan mengundi 85.24% dar jumlah 66,217 pengundi berdaftar. 

Di samping itu, di kawasan pemilih Melayu lebih 80%, terdapat 3 kerusi Parlimen amat kritikal kepada Pas. Kerusi Parlimen Kuala Nerus, dengan 98.74% Melayu pun, yang dimenangi dengan majoriti 610 undi, di mana 850 pemilih bukan Melayu keluar membuang undi.

Pas menang kerusi Bachok dengan majoriti tipis, 201 undi. Seramai 1100 pemilih bukan Melayu keluar mengundi, di kawasan yang mempunyai 98.46% pemilih Melayu.

Kuala Krai yang mengandungi 93.96% pengundi Melayu, Pas menang dengan 2,043 undi, di mana seramai 3,300 pemilih bukan Melayu membuang undi. 

Di 3 kerusi Parlimen di atas, walaupun bilangan pengundi bukan Melayu adalah kecil, di bawah 6 peratus, mana-mana parti sukar untuk menang jika bergantung sepenuhnya kepada pemilih Melayu. 

Bagi kawasan campuran, Pas menang 3 kerusi: Sepang (59.12% Melayu), Hulu Langat (52.74% Melayu), Kota Raja (44.59% Melayu). Mampukah Pas pertahan kemenangan bergantung kepada pemilih Melayu/Islam sahaja. 

Dengan senario di atas, Pas akan hadapi cabaran getir tanpa simpati pemilih bukan Melayu. Sejauhmana peranan dan tugasan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) mengaut sokongan pemilih bukan Melayu. Tanpa tahaluf siyasi dengan DAP, tugasan DHPP akan menjadi lebih mencabar, dalam menentukan pemilih bukan Melayu sebagai faktor penentu prestasi Pas.

 


 

 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan