Selasa, 28 Julai 2015

Kabinet Terbesar

MENCIPTA REKOD KABINET BERSKALA BESAR

Hari ini (28/07/2015) Perdana Menteri DS Najib Tun Abdul Razak mengumumkan rombakan kabinet. Rombakan kabinet beliau petang tadi adalah kali kedua, selepas pembentukan kabinet selepas Pilihan Raya Umum (PRU13). Berlainan dengan rombakan pertama pada 25/06/2014, bertujuan penambahan keanggotaan mewakili masyarakat Cina, rombakan hari ini adalah ekoran penyingkiran dijangka ke atas Timbalan Perdana Menteri, TS Mahyuddin Yassin bersama 4 menteri lain. 

Penyingkiran TS Mahyuddin, DS Shafie Afdal, Dato' Hassan Malek dan DS G. Palanivel, sudah diramalkan lantaran krisis kepimpinan dalam UMNO dan MIC, sementara Datuk Ewon Ebin adalah penyusunan kepimpinan dalam UPKO. 

Menariknya bukan setakat menggugurkan nama-nama besar dan menteri kanan, tetapi yang lebih menonjol ialah pembesaran keanggotaan kabinet dalam situasi penguasaan kerajaan BN dalam Parlimen yang semakin berkurangan. Kabinet hari ini dianggotai oleh 37 orang menteri, jumlah anggota kabinet Malaysia yang paling besar sejak merdeka. 

Kabinet hari ini yang mengugurkan 5 menteri: 3 UMNO, satu MIC dan satu UPKO, digantikan dengan 7 menteri baru iaitu 4 UMNO, satu UPKO, satu MCA dan satu Parti Bumiputera Bersatu (PBB). Menjadikan kabinet yang paling paling besar dibentuk tahun lepas iaitu seramai 35 ahli, kepada 37 ahli, memperbaiki ciptaan rekod tersebut.

Seramai 3 orang timbalan menteri dinaikkan ke menteri dan seorang digugurkan, dengan digantikan oleh 9 orang (termasuk 2 senator) dilantik sebagai timbalan menteri. Ertinya pengosongan 4 orang timbalan menteri, sepatutnya diganti dengan 4 lantikan baru, tetapi mendapat tambahan 5 lantikan baru lagi. 3 timbalan menteri dinaikkan ke menteri penuh adalah 2 dari UMNO dan seorang dari PBB. 9 timbalan menteri baru untuk ganti 3 timbalan menteri dinaikkan pangkat terdiri dari 7 UMNO, seorang MCA dan seorang dari Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Keseluruhannya jumlah menteri dan timbalan menteri semakin meningkat untuk mencipta rekod jemaah menteri dan timbalan yang paling ramai dalam sejarah.

Negara Cina dengan 1.3 billion penduduk mempunyai kabinet dianggotai 20 orang sahaja, sementara India yang dihuni oleh 1.2 billion penduduk, ditadbir oleh 32 orang menteri. Britain yang mengamalkan sistem demokrasi pilihanraya sebagaimana amalan kita, mempunyai kabinet yang dianggotai oleh  22 orang menteri dengan penduduknya seramai 65 juta orang. 

Di zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, bila pencapaian BN paling rendah iaitu dalam PRU10 (PRU 1999), kabinet yang dibentuk beliau 10 hari selepas PRU itu dibarisi 28 orang menteri dengan 23 buah kementerian.

Bila BN mencapai kejayaan yang cemerlang dalam PRU11 (PRU 2004) di bawah Tun Abdullah Badawi, beliau telah membesarkan saiz kabinet bersesuaian dengan pertambahan kerusi yang dimenangi dalam PRU. BN memenangi 199 dari jumlah 219 kerusi Parlimen atau 90.9 peratus dengan perolehi 63.8 peratus undi popular. Tun Abdullah membentuk kabinet seramai 33 orang menteri dengan 27 buah kementerian, termasuk 6 menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Kabinet terbaru DS Najib, dengan 37 menteri termasuk 11 menteri di JPM, dengan 24 buah kementerian, iaitu tambahan sebuah kementerian, dengan mewujudkan semula Kementerian Pengajian Tinggi. Saiz kabinet baru ini yang paling besar dalam sejarah, bertentangan dengan prestasi BN paling teruk dalam sejarah. Dalam PRU13, BN cuma menang 133 kerusi dari jumlah 222 kerusi Parlimen atau 59.9%, di samping itu BN cuma memungut 47% undi popular, prestasi paling rendah sepanjang tempoh sejak merdeka. 

Rombakan kabinet hari ini mempamirkan pertambahan perwakilan UMNO berbanding parti lain serta berbanding dengan kabinet asal selepas PRU13. Pertambahan seorang menteri dan 4 orang timbalan menteri tambahan dari UMNO demi satu strategi memperkukuhkan DS Najib selaku PM. MCA yang hanya memenangi cuma 7 kerusi Parlimen dalam PRU13 diberi tambahan seorang menteri dan seorang timbalan menteri. Sementara PRS perolehi satu kerusi timbalan menteri mewakili Sarawak dengan mengorbankan satu kerusi PBB.

Kabinet berskala besar tak sepadan dengan penguasaan kerusi di Parlimen serta penguasan undi popular rakyat berbanding dengan kabinet di bawah 5 orang Perdana Menteri sebelum ini menampakkan kepentingan politik mengatasi kelaziman walaupun tidak bercanggah dengan perundangan. Pembesaran keanggotaan menerusi rombakan kabinet ini secara jelas memperlihatkan usaha memperkukuhkan kedudukan Perdana Menteri mendepani krisis kepimpinan UMNO, yang membawa kepada krisis keyakinan. 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan